Dua hari Ummi tak buka blog. Wah! Rindunya bukan kepalang, mengalahkan si pungguk yang merindukan bulan...
Hari ini Ummi kembali bertugas di klinik setelah dua hari bercuti ke Kelantan untuk meraikan majlis perkahwinan saudaraku seIslam. Kelantan bagi Ummi ibarat ‘syurga dunia’…segala-gala yang diingini ada, segala-gala yang dihajati boleh didapati, apalagi dengan aura pemerintahannya yang berada di bawah lembayung Islam!
Namun, ibarat kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi hujan batu di negeri sendiri.’ Maka kembalilah juga daku ke negeri hujan batu, Terengganu Darul Iman ini. Harap-harap le tak lama lagi 'hujan batu' di negeriku akan juga bertukar menjadi 'hujan emas'!
Lama-lama kat tempat orang, tak lena tidur pula dibuatnya. Walhal kat rumah abang, tempatku menumpang, bukan main selesa lagi. Teringat kata-kata Ustaz Azhar Idrus dalam kuliah mingguannya.. “Setebal mana tilampun, kalau tak lena tidur, tak ada nikmatnya juga. Sesedap mana makananpun, kalau tak ada selera, tak terasa juga nikmatnya. Kerana itu, sentiasalah bersyukur dengan nikmat sihat, nikmat tidur lena, nikmat selera makan, yang Allah kurniakan pada kita tetapi seringkali dilupakan.” Benar dan teramatlah benarnya! Ramai manusia yang tahan bersabar tetapi tidak ramai yang mampu bersyukur…
Hmm..terlanjur bercakap mengenai syukur, apakata kita dengar cerita berkaitan syukur dengan tajuk ‘Saya Mahu Terbang’. Masih cerita kanak-kanak…? Layan ajalah ya…sebab Ummipun masih berada di bawah pengaruh kanak-kanak lagi di musim cuti sekolah ini! Ha,ha,ha…
Saya Mahu Terbang
(Oleh: Ezee Rahmani ; Petikan Buku: Bacakan Saya Satu Cerita)
“Mari ikut ibu ke sungai.” Anak kura-kura itu mengekori ibunya. Sesekali ia mendongak ke langit. Tiba-tiba ia tersepak sebiji batu dan terjatuh.
“Mak! Tolong saya!” Ibunya menoleh dan berpatah balik semula. Mereka kembali berjalan semula. Tetapi matanya masih leka mendongak ke langit.
“Tengok di hadapan kamu! Ada batu!” Anak kura-kura itu hampir terlanggar batu lagi. Ibunya tersenyum melihat perangai anaknya.
“Tengok hadapan ketika berjalan. Barulah selamat perjalanan kamu.”
“Saya melihat burung-burung itu terbang.”
“Mereka juga seperti kita. Pagi-pagi keluar mencari makan.”
“Tetapi mereka dapat terbang.”
“Sebab mereka dikurniakan sepasang sayap.”
“Mengapa kita tidak diberikan sepayang sayap seperti burung?” Ibu kura-kura menoleh anaknya dan ketawa.
“Apa agaknya nama kita sekiranya badan kita bercengkerang dan bersayap?”
“Apa salahnya. Namakan apa-apa sahaja asalkan boleh terbang seperti mereka.”
“Bolehkah kita terbang dengan cengkerang yang berat di belakang ini?”
Anak kura-kura menarik muka masam. Muncungnya semakin panjang. Ibu kura-kura mendekatinya. “Mengapa bersedih begini?”
“Saya mahu jadi seperti burung-burung itu!”
“Tetapi kita dilahirkan sebagai seekor kura-kura.”
“Saya tidak mahu jadi kura-kura! Saya mahu jadi seekor burung!”
“Mengapa?”
“Saya mahu terbang jauh! Saya bosan berjalan perlahan begini!”
“Mari sini dekat ibu.” Ajak ibu kura-kura sebaik sahaja mereka tiba di tebing sungai. Beberapa tangkai kangkung liar ditariknya ke tepi. Itulah makanan mereka.
“Kamu fikir menjadi burung itu bagus?”
Anak kura-kura mengangguk. “Saya boleh terbang dan tiada siapa boleh kacau saya!”
“Berbanggalah dengan apa yang diberikan kepada kita. Kamu patut bangga dilahirkan sebagai seekor kura-kura.”
“Apa kelebihan yang saya ada? Saya tidak boleh terbang!”
“Kamu patut bangga kerana memiliki cengkerang yang dapat melindungi kamu ketika kamu dalam bahaya. Burung ada cengkerang?”
Anak kura-kura menggeleng.
“Kita ada rumah bergerak. Cengkerang itulah! Burung ada rumah bergerak?”
Anak kura-kura menggeleng lagi. Ibu kura-kura tersenyum.
“Apabila hari hujan sarang mereka basah dan mereka anak beranak basah kuyup dan kamu?”
“Saya boleh diam di dalam cengkerang, rumah bergerak saya ini!”
“Mereka terpaksa terbang jauh mencari makanan dan membawa makanan untuk anak-anak mereka dan kamu?”
“Saya boleh berjalan bersama ibu dan dapat makan dengan mudah!”
“Pandai! Ucaplah terima kasih kepada Tuhan kerana menjadikan kamu seekor kura-kura!”
Subhanallah! Bagaimana pula dengan kita, manusia yang dikurniakan keistimewaan akal fikiran berbanding makhluk yang lain. Dengan akal fikiran itu, kita tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Dengan akal fikiran itu juga kita tidak mudah ditipu dan diperdayakan kerana kita mampu berfikir. Dan dengan akal fikiran itu jugalah, kita diangkat sebagai khalifah di mukabumi Allah ini serta dijanjikan dengan kenikmatan Syurga Jannah di hari akhirat kelak sekiranya kita berjaya mematuhi perintah Allah dan meninggalkan laranganNya! Nikmat yang tidak terperi yang dijanjikan untuk hamba-hambaNya yang beriman…
*************************************************************************************
Tiada ulasan:
Catat Ulasan