Cuti sekolah ni, nampaknya Ummipun dah rasa seronok join anak-anak baca buku cerita kanak-kanak. Tak tahan dengar ‘ulasan’ keseronokan jalan ceritanya dari puteri-puteriku.. He,he. Berjaya juga anak-anak Ummi mempengaruhi walhal banyak lagi buku-buku ilmiah yang Ummi belikan untuk diri sendiri yang belum habis dibaca.
Hari ini Ummi nak sambung sketsa Allah sayangkan kita. Nak dengar tak??? Rugi kalau tak dengar tau!
Sketsa Allah Sayangkan Kita II
(Oleh: Izzah Ahmad)
“Ibu…mengapa Allah sayangkan kita?”
“Sebab Allah yang jadikan kita.”
“Mengapa Allah jadikan kita, ibu?”
“Allah jadikan kita supaya kita menyembahnya. Allah bukan sahaja jadikan kita, malah seluruh makhluk yang ada di dunia ini Allah yang jadikan.”
“Wah! Hebat betul Allah ini ya, ibu…tetapi mengapa kita tidak boleh lihat Allah?”
“Sebab Allah hebatlah kita tidak boleh melihatNya, tetapi kita boleh rasai kasihsayangNya.”
“Bagaimana kita rasa kasihsayang Allah pula ibu?”
“Okey, cuba tarik nafas dalam-dalam...satu dua tiga…tarik…kemudian lepaskan perlahan-lahan. Apa yang adik rasa?”
“Adik rasa angin masuk ke dalam lubang hidung kemudian adik hembus semula angin dari hidung keluar.”
“Okey, sekarang ibu mahu tanya…adik boleh rasa angin masuk dan keluar dari hidung, bukan? Adik menganggukkan kepalanya.
“Tetapi bolehkah adik pegang angin yang masuk dan keluar itu?” Adik menggelengkan kepalanya.
“Ha…begitulah juga dengan Allah. Kita tidak dapat melihat Allah, tetapi kita dapat merasai kasihsayang Allah apabila kita diberi nikmat olehNya seperti nikmat udara ketika bernafas, nikmat rasa sedap ketika makan dan nikmat tidur ketika letih serta pelbagai nikmat lagi.” terang ibu.
“Wah! Banyak betul rahmat yang Allah berikan kepada kita ya ibu?”
“Begitulah betapa besarnya rahmat dan kasihsayang Allah kepada kita.” tambah ibu lagi.
Subhanallah! Kadang-kadang kita sendiri tidak menyedari akan nikmat-nikmat yang terlalu besar yang dikurniakan oleh Allah buat kita. Maha Suci Allah! Betapa sayangnya Allah pada kita tetapi apakah pula balasan kita terhadap kasihsayang dan nikmatNya yang tak terhitung itu?
*************************************************************************************
1 ulasan:
analogi yang baik.
subhanallah
Catat Ulasan