Rabu, 31 Disember 2008

Kalau Kerja Dah Tak Tersusun…

Assalamualaikum.

Bekerja sebagai doktor di klinik sendiri, segala-galanya terpaksa diuruskan sendiri. Kitalah boss, kitalah kuli. Bermula dari melangkah kaki ke klinik, membuat persediaan sebelum melihat pesakit, merawat pesakit dan seterusnya kerja-kerja perakaunan, pembelian ubat, pengurusan staff dan sebagainya. Memang meletihkan, tambah bila usia dah semakin meningkat ini.

Nak dijadikan cerita, punyalah kelam-kabutnya Ummi kelmarin bila didapati 2 penyata akaun bank ‘Tetuan Klinik Ummi’ hilang! Sedangkan buku cek dan buku penyata akaun belum dikemas-kinikan. Puas mencari, habis fail digeledah, keluar-masuk keluar-masuk antara bilik doktor dan bilik penyimpanan fail entah berapa kali…yang dicari, tetap juga tak jumpa! Akhir sekali terlintas di hati, ‘Entah-entah bank tak hantar statement yang 2 bulan terakhir tu kot.'

Waktu rehat tengah hari, dalam perjalanan ke Bandaraya Kuala Terengganu untuk beberapa urusan, terus Ummi maklumkan pada Abi berkenaan statement bank yang hilang itu.

“Abi, statement bank yang bulan 12 dan bulan 1, bank tak de hantarpun ke klinik?”

Dalam nada yang agak terkejut, terus Abi bertanya, “Bulan 12 dan bulan 1?”

“Yalah. Bulan 12 & bulan 1. Yang bulan 2 punya ada!”

“Sekarang ni baru bulan berapa Ummi? Dah tentulah baru nak habis bulan 12. Memanglah bank tak keluarkan statement lagi! Alamak, apa dah jadi kat Ummi ni?”

“Hah??!! Ya tak ya juga! Alamak, apa pasal Ummi duk tercari-cari statement bulan 12 & bulan 1 ni? MasyaAllah..agaknya statement bulan 2 yang Ummi nampak tu, tahun ni punya. Ingatkan tahun 2009! Dah tentulah kita tak masuk tahun 2009 pun lagi. Aduhlahai…”

Apa lagi, pecah berderailah ketawa kitaorang kat dalam kereta tu! Nilah penangannya kalau otak dah berserabut dengan kerja-kerja yang dirasakan tertangguh tetapi sebenarnya tak tertangguhpun…mungkin tak cukup kerja lagilah tu kot? Ha,ha,ha,ha….

Tetapi jawapan yang sebenarnya adalah kerana kerja-kerja pengurusan yang tak tersusun…

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang tersusun rapi seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh”
(Al-Saff : 63-64)



Kata-kata masyhur dari Saidina Ali r.a:

“Kebenaran yang tidak tersusun (bersistem) akan ditumpaskan oleh kebatilan yang tersusun (bersistem)”


Sekian Wasallam.

*************************************************************************************

Selasa, 30 Disember 2008

Derma Organ Atau Darah Kepada Bukan Islam?

Assalamualaikum.

"Doktor, boleh tak saya dermakan sebelah buah pinggang saya kepada rakan karib saya? Tapi dia ni bukan Islam?"

Dalam kehidupan sebagai seorang doktor muslim, berbagai persoalan serta permasalahan yang berkait dengan agama & perubatan akan disasarkan kepada kita. Terasa begitu ceteknya ilmu di dada lantaran terlalu luasnya ilmu Allah yang belum dipelajari. Apa nak digahkan dengan title seorang doktor sedangkan soalan-soalan sebegini masih tidak mampu dijawab secara spontan. Apalagi dengan ilmu yang selama ini dipelajari berdasarkan pendekatan sekular, bukan pendekatan Islam.

Bolehkah Menderma Organ Atau Darah Kepada Bukan Islam?

Ulama’ Menjawab : Syeikh Yusuf Al-Qardawi

Tentang mendermakan organ atau darah kepada orang bukan Islam, kami ingin memetik fatwa berikut yang diterbitkan oleh ulama Islam yang terkenal Yusuf Al-Qardawi. Bunyinya:

Mendermakan organ sama seperti memberikan sedekah dari sudut boleh tidak bolehnya kepada orang Islam dan kepada bukan Islam. Akan tetapi haram mendermakan organ kepada orang bukan Islam yang berjuang menentang orang Islam dan kepada orang yang menyerang agama Islam. Berdasarkan hal yang sama, organ tidak boleh didermakan kepada orang yang murtad sebab dia sudah menjadi pengkhianat kepada agamanya dan kepada kaumnya dan oleh yang demikian patut dibunuh.

Akan tetapi sekiranya ada seorang Islam dan seorang bukan Islam serta kedua-duanya memerlukan darah, maka Yang Maha Kuasa menyatakan dalam al-Qur’an: “Dan orang Islam yang beriman, lelaki dan perempuan, setengah-setengahnya menjadi penolong kepada setengah-setengah yang lain” (At-Taubah : 71)

Di sini kami ingin menerangkan dengan sejelas-jelasnya bahawa orang Islam yang warak lebih utama daripada orang Islam yang menyeleweng dan suka berbuat dosa, yang menggunakan kurnia Allah kepadanya untuk melanggar perintah Allah dan mencederakan saudara seagamanya.

Juga kami harus mengatakan bahawa jika orang yang berkaitan itu keluarga atau tetangga kita, maka dia hendaklah diutamakan disebabkan oleh ikatan kekeluargaan atau hubungan sebagai tetangga. Allah Yang Maha Kuasa berfirman: “…dalam pada itu orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengah-setengahnya lebih berhak atas setengah-setengahnya yang lain menurut kitab Allah…” (Al-Anfal : 75)

Patutlah juga diingat bahawa seseorang boleh mendermakan organnya kepada seseorang tertentu ataupun kepada sesebuah yayasan seperti bank yang ditunjukkan untuk maksud ini.

Dalam pertanyaan yang lain, yang berkaitan dengan mendermakan darah kepada orang bukan Islam, Dr Muhammad Siddiqi menyatakan:

Pemindahan darah kerana tujuan perubatan diizinkan oleh Islam. Darah boleh diambil daripada orang bukan Islam dan orang Islam boleh pula memberikan darah kepada orang bukan Islam. Perkara-perkara ini ada kaitannya dengan nyawa manusia.

Menurut fikiran waras nyatalah bahawa Islam mengajar kita memberi makan kepada yang lapar, menjaga orang yang sakit dan menyelamatkan nyawa orang. Dalam hal ini tiadalah menjadi soal apakah nyawa itu nyawa orang Islam ataupun nyawa orang bukan Islam.

Rujukan : Buku Fatwa Menempuh Kehidupan Moden (Diterbitkan Oleh: Daud Baharum)

*************************************************************************************************

Ahad, 28 Disember 2008

Hudud : Hukum Allah Paling Adil

Assalamualaikum.

Oleh kerana Ummi sekarang ni berada dalam tahap kesibukan yang 'melampau' sehingga tidak berkesempatan memasukkan post terbaru, apa kata sama-sama kita manfaatkan sedikit masa yang ada ini untuk mendengar sedutan kuliah dari Ustaz Azhar Idrus berkaitan kewajipan menegakkan hukum Allah di mukabumi ini. Alahhh..sekejap aja sedutan kuliah ni. Alang-alang dah masuk ke blog Ummi ni, takkan tak nak tekan play tu. Hihi..tapi bersedialah korang dengan loghat pure Terengganu dari Ustaz Azhar yang cukup ramai peminatnya di seluruh Terengganu termasuk le Ummi. Ilmunya cukup luas dan gaya persembahannya begitu bersahaja..

Selamat Mendengar...



*************************************************************************************

Selasa, 23 Disember 2008

Usaha Kecantikan Yang Membawa Padah!

Assalamualaikum.

Siapa beliau? Beliau adalah Han Mi Ok, selebriti dari Korea yang dikenali sebagai ‘Fan Lady’ setelah berlaku malapetaka terhadapnya kesan daripada suntikan dan pembedahan kosmetik. Akibat terlalu menurut hawa nafsu, beliau telah menjadi obses dan ketagih dengan suntikan serta pembedahan plastik hanya semata-mata untuk kelihatan cantik! Malah beliau sanggup melakukan sendiri suntikan muka di rumah. Akibatnya…adalah apa yang anda lihat sekarang! Han Mi Ok akhirnya terpaksa melalui 15 siri pembedahan dalam usaha membaik-pulih kecacatan.

Bagaimanakah rupa beliau yang sebenar sebelum kejadian ini?

Subhanallah...Seorang yang cukup jelita, cantik dan menawan!

Gambar di bawah pula menunjukkan Han Mi Ok di hadapan kamera dalam siri pendedahan beliau yang ke-500: ‘Shocking Stories Of The World’! Tabik hormat untuk Han Mi Ok di atas kesanggupan mendedahkan wajah beliau yang terkini! Pendedahan beliau itu pastinya akan memberi kesedaran kepada mereka di luar sana yang masih mengimpikan wajah cantik sehingga sanggup mengubah hasil ciptaan Allah yang telah sedia sempurna…


Masih ingat dengan berita ini?


Suntikan Botox Haram - Pakar Syariah
(Utusan Malaysia - 14 Julai 2006)




Kecantikan paras rupa adalah bersifat sementara dan kekedutan pada wajah adalah lumrah apabila usia meningkat. Wanita harus menerima hakikat ini. Apa yang lebih penting, mereka harus sedar kecantikan sebenar adalah dari dalam diri yang kemudian diterjemahkan melalui tingkah lalu dan adab sopan.

*************************************************************************************

Khamis, 18 Disember 2008

Bahaya Shisha...!

Assalamualaikum.

Malam tadi Ummi ajak Abi ke Mydin untuk membeli sedikit keperluan. Dah lama sebenarnya tak ke Mydin kerana Ummi lebih selesa ke pusat membeli belah Sabasun. Sayangnya, Sabasun tutup lebih awal dari Mydin, jam 10.30 malam sedangkan Mydin tutup jam 11.00 malam. Maka tak berkesempatanlah orang seperti Ummi ni nak ke sana yang waktu kerjanya tamat paling awalpun jam 10.00pm.

Selesai membeli-belah, Abi ajak Ummi dan Along makan dulu di Mayang Village. Memang dah lama tak makan sini. Bukan apa, Ummi tak suka suasananya yang bingit dengan lagu dan tayangan LCD yang entah apa-apa. Waduh! Bisa memeningkan kepalaku!

Sambil menunggu makanan yang dipesan, terpandanglah Ummi pada sebuah warung yang terpapar SHISHA pada papan iklannya. Terbayanglah di fikiran Ummi, makanan Jepun Sushi. 'Hmm...tersalah eja agaknya' bisik hati Ummi. Serentak itu pula, Along bersuara : "Shisha tu apa benda Ummi?" Bila Along dah tanya macam tu, terus Ummi perhatikan betul-betul apa yang dijual kat warung tu. Kebetulan, warungnya agak jauh dari tempat duduk kami. Perhati punya perhati, tak de pulak nampak apa-apa makanan atau minuman. "Nampak macam paip yang Tok Arab suka hisap tu je Along." "Ha'alah Ummi."

Tup,tup..ada pulak anak muda yang bawak benda tu ke mejanya dan duduk betul-betul bersebelahan meja kita orang. Sah! Memang Shisha tu rupanya paip yang dihisap dan mengeluarkan asap bila dihembus. Sama macam hisap rokok tulah juga. Tapi yang gelinya...diaorang boleh hisap paip tu gilir-gilir pulak! Eii..geli-geleman Ummi tengok.

Paling menyedihkan, dalam banyak-banyak meja yang 'asyik' dengan shishanya, terpandanglah Ummi pada seorang anak muda yang Ummi kira masih di peringkat sekolah rendah sedang menghisap shisha dengan begitu asyik sekali. Penagih tegar shisha barangkali? MasyaAllah..rasa sedih, rasa geram dan entah apa lagi perasaan Ummi tika itu..tak dapat nak diceritakan. Sempat Ummi snap gambarnya dari jauh..

Kauorang jangan gelakkan Ummi sebab tak tau apa itu Shisha. Ummi rasa sedih dan terkilan dengan kemodenan yang telah melanda negeriku, Terengganu Darul Iman. Suasana dulu dan kini amat berbeza!

Berada di Terengganu masakini seolah-olah berada di sebuah kota metropolitan...dengan anak-anak gadisnya yang berpakaian seksi dan rambutnya yang berwarna-warni, dengan anak-anak mudanya yang rambut terpacak dan berpakaian rock, dengan perempuan yang dah berumurpun, susah nak cari yang berpakaian baju kurung! Masing-masing dengan seluar sendat atau seluar jeans, terkadang mengalahkan anak muda. Dan terkini, dengan ketagihan shishanya pula! MasyaAllah. Apa nak jadi dengan negeriku, Terengganu Darul Iman yang' iman'nya entah terbang ke mana?
"Ya Allah, kembalikanlah kegemilangan Islam di bumiMu ini..."

Hisap Shisha Ibarat Api Masa Kecil Jadi Kawan, Besar Jadi Lawan
(Oleh Melati Mohd Ariff)


KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) : Memerhatikan gelagat anak-anak muda menghabiskan waktu malam dengan bersantai di kafe atau restoran adalah seperti menyaksikan satu pementasan drama tetapi itulah realitinya.

Drama kehidupan muda-mudi di bandar besar. Lelaki, perempuan bergelak ketawa dan mempamerkan gaya hidup bebas di kota metropolitan.

Asap berkepul, mereka menyedut perlahan-lahan objek yang diletakkan di sebelah tempat duduk. Yang perempuannya sedikit pun tidak menampakkan rasa segan atau malu, asap yang disedut dihembus, berkepul-kepul keluar dari mulut.

Antara sedar atau tidak, ada satu trend atau kecenderungan yang semakin menular dalam kehidupan kita hari ini, yang mungkin jika tidak dibendung akan menjadi satu budaya perosak iaitu menghisap shisha.

Shisha atau juga dikenali dengan nama "hookah" merupakan sejenis peralatan paip air yang menegak, lazimnya digunakan untuk menghisap tembakau yang berperisa.

Bayaran yang biasa dikenakan ialah antara RM10 hingga RM15 untuk satu sesi shisha.

ASAL USUL

Menghisap shisha yang kian menjadi kegilaan khususnya muda-mudi Melayu, telah diamalkan di Timur Tengah ratusan tahun lamanya.

Sebelum kemunculan tembakau, bahan yang sering digunakan di dalam shisha ialah candu dan hashish.

Shisha dipercayai mula membanjiri negara ini dengan kedatangan pelancong-pelancong dari Timur Tengah khususnya pada tahun-tahun 90-an.

Sesetengah pihak mungkin tertanya-tanya mengapa tiada batasan atau larangan untuk shisha sedangkan kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit untuk mengadakan pelbagai kempen anti-merokok dan kempen amalkan gaya hidup sihat.

Aneh bukan? Atas alasan apa menghisap shisha dibiarkan sedangkan ia masih menggunakan tembakau!

BAHAYA UNTUK PEROKOK

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini, terdapat kira-kira 1.3 bilion perokok di seluruh dunia dan sekitar lima juta mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan menghisap rokok.

WHO memberi amaran jika trend tersebut tidak berubah, 10 juta orang setahun akan mati akibat penyakit berkaitan menghisap rokok menjelang 2020.

Kebimbangan WHO itu juga membuatkan badan dunia itu mengeluarkan slogan untuk sambutan Hari Tanpa Tembakau Dunia tahun ini yang memberi amaran kepada perokok bahawa tembakau adalah "berbahaya dan boleh membawa maut dalam apa jua bentuk".

Satu laporan dari London baru-baru ini menyebut tentang pengharaman menghisap rokok di khalayak ramai yang akan dikuatkuasakan di England Jun 2007.

Langkah tegas ini sudah tentunya turut memberi kesan kepada penghisap shisha.

MUDAH TERPENGARUH

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman tidak terperanjat dengan budaya menghisap shisha yang semakin menular di kalangan golongan muda negara ini khususnya anak Melayu.

"Orang Melayu terutamanya mudah dipengaruhi dengan satu benda kelainan yang pada pendapat mereka ia hanya sekadar berseronok tanpa mengetahui latar belakang sejarah sesuatu budaya tersebut dan juga risiko ke atas diri sendiri, dari segi kesihatan terutamanya," jelas beliau.

Tradisi menghisap shisha ini, tambahnya, sesuatu yang barangkali boleh diterima di kalangan masyarakat tertentu seperti di Timur Tengah dan di Afrika.

"Ada di antara mereka berpendapat bahawa apabila mereka membakar tembakau atau buah-buahan atau bahan-bahan lain yang diadun maka air yang digunakan akan menjadi satu penapis yang boleh menyelamatkan mereka daripada risiko kesihatan akibat pengambilan tembakau."

"Perbuatan ini sebenarnya didorong oleh nafsu dan mereka sekadar ingin merasa selamat walhal mereka masih menanggung risiko," tambah Dr Maamor.

Menghisap shisha, katanya, mempunyai banyak persamaan dengan perbuatan menghisap rokok dan dalam masa yang sama, ada juga penggemar shisha perokok tegar.

Di Malaysia, tambahnya, menghisap shisha ini lebih mirip kepada pengambilan dadah marijuana dengan menggunakan alat yang dipanggil "dapur".

"Ini sebenarnya memberikan satu bentuk kebebasan kepada kumpulan penagih untuk berlindung kononnya sekadar mengambil shisha yang menggunakan buah-buahan dan sebagainya."

"Persoalan yang perlu dirungkaikan ialah, sesuaikah menghisap shisha ini dengan sosio-budaya Malaysia?"
soal Dr Maamor.

GANGGU KETENTERAMAN

Perbuatan menghisap shisha yang biasanya dibuat secara berkumpulan juga boleh mengganggu ketenteraman dan keselesaan orang ramai di satu-satu premis yang tidak bertepatan dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Ini kerana, katanya, terdapat golongan remaja yang bersikap biadap dan kurang sopan apabila mereka ditegur di tempat-tempat awam seperti restoran dan premis makanan yang lain.

"PPIM memandang serius penularan aktiviti negatif ini walaupun atas apa alasan dan pihak bertanggungjawab perlu mengkaji secara profesional perkara ini sebelum ia merebak dan mempengaruhi serta merosakkan budaya orang-orang Islam," tegas Dr Maamor.

Timbalan Setiausaha Agung, ERA Consumer Malaysia, Ismail Abd Aziz berkata beliau bimbang shisha akan membawa kesan sosial yang negatif di kalangan remaja dan belia tempatan.

Beliau sendiri membuat beberapa tinjauan ke gerai-gerai makanan termasuk di sekitar Petaling Jaya di sebelah malam dan lewat malam untuk melihat sendiri trend menghisap shisha ini.

"Saya dapati golongan remaja termasuk anak-anak gadis tidak segan-silu menghisap shisha di khalayak ramai, baik di gerai-gerai makan tepi jalan dan di kawasan-kawasan perumahan kos rendah sehinggalah ke Bintang Walk Kuala Lumpur."

"Mereka seolah-olah bangga dengan cara menghisap begitu dan merasakan kepuasan apabila ramai orang memerhatikan mereka sedangkan mereka belum tahu risiko dari segi kesihatan yang boleh membawa kesan jangka panjang,"
jelasnya.

Ismail turut menyuarakan kebimbangannya akan berlaku penyalahgunaan menghisap shisha dengan mencampurkan ganja yang boleh mengkhayalkan.

Menurutnya, perkara itu mungkin berlaku tetapi tidak secara terbuka, di kalangan rakan karib atau pelanggan tetap tuan punya gerai atau restoran yang menawarkan shisha.

LUMPUH HASRAT KERAJAAN

Kegilaan menghisap shisha boleh melumpuhkan hasrat kerajaan untuk membebaskan rakyat Malaysia daripada pengaruh dadah.

Kekhuatiran ini disuarakan Dr Maamor dalam mengulas lebih lanjut tentang kecenderungan anak muda menghisap shisha yang semakin menjadi-jadi ini.

Beliau mengimbau kesan penagihan ganja dan marijuana di mana menjadi kebiasaan untuk penagih menggunakan "dapur" bagi menghisap dadah tersebut apabila dadah-dadah tersebut mula diperkenalkan ke alam Melayu.

"Kita dapati hampir semua penagih tersebut kemudiannya berlanjutan kepada pengambilan apa yang ditakrifkan sebagai 'designer drugs' seperti syabu, ice dan lain-lain."

"Kerajaan telah menetapkan dadah sebagai musuh utama negara. Justeru, kita tidak sepatutnya membiarkan budaya negatif ini timbul semula melalui inovasi shisha. Ia mungkin inovasi baru tetapi tetap sama (penggunaan tembakau),"
jelasnya.

Beliau berpendapat kempen daripada pihak Pemadam, polis dan sebagainya seolah-olah ditipu melalui penggunaan alat shisha yang kononnya tidak memberi apa-apa risiko negatif.

"Ini juga sangat bertentangan dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melahirkan masyarakat budiman (towering personality) kerana budaya ini juga mengundang kepada perbuatan membuang masa dan boleh merebakkan penyakit kerana perkongsian alat yang sama," tambah Dr Maamor.

RISIKO PENYAKIT

Perbuatan menghisap asap boleh mendatangkan risiko penyakit berkaitan sistem pernafasan seperti bronkitis yang kronik, emphysema (bronchiaectasis) dan kanser paru-paru.

Menurut Dr Maamor, keadaan itu berlaku kerana peningkatan kandungan bahan berisiko seperti nikotin dan tar dalam saluran pernafasan.

"Dalam masa yang sama ia merendahkan aktiviti sel-sel khas yang akan menurunkan daya tahan badan serta mendedahkan seseorang itu kepada risiko mendapat jangkitan kuman sekunder."

"Andaian yang menyatakan bahawa apabila kita menyedut asap yang melalui air boleh mengurangkan risiko di atas adalah sesuatu yang indah khabar dari rupa. Risikonya tetap ada sebab masih ada asap yang disedut. Seperti juga rokok yang ada filter, risikonya masih ada"
jelas beliau.

Beliau turut mengingatkan tentang risiko tinggi yang terpaksa ditanggung penghisap pasif.

"Kanak-kanak yang membesar dan ibu-ibu yang mengandung yang mungkin berada di premis tersebut turut menanggung risiko. Malah mereka yang tidak berada di premis yang sama juga boleh terdedah kepada bahaya kerana asap yang dikeluarkan tidak musnah dan ia mencemar alam sekitar," tambah Dr Maamor.

Beliau turut memberitahu terdapat kajian bahaya menghisap shisha ke atas sistem saraf dan juga tahap kesuburan seseorang.

"Risiko kesihatan juga meningkat apabila peralatan ini dikongsi kerana ia boleh menyebabkan merebaknya penyakit bawaan udara."

"Selain risiko kesihatan sudah tentulah ada risiko-risiko sosial, ekonomi, budaya dan pengaruh politik yang boleh menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan celaru. Maksud saya ada orang yang berkata ia halal, ada kata haram atau makruh,"
jelasnya.

LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL

Dr Maamor dan Ismail mahu kerajaan mengambil langkah memantau penularan budaya menghisap shisha ini sebelum ia merebak dan tidak dapat dikawal.

Dengan mengibaratkan shisha sebagai "api yang semasa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan", Dr Maamor berkata budaya negatif itu perlu dibendung semasa ia masih di peringkat awal.

"Jika tidak, ia akan menjadi sesuatu yang sangat sukar dan mungkin menelan belanja jutaan ringgit untuk diatasi."

"Harapan kita supaya kerajaan menyedari kesan negatif akibat perbuatan menghisap shisha ini dan mengambil satu polisi yang jelas supaya ia bersesuaian dengan polisi-polisi lain yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini,"
kata beliau.

Ismail pula menyarankan Kementerian Kesihatan supaya memantau kandungan shisha dan segera membuat kajian.

"Pihak polis juga perlu memantau gerai atau premis yang menawarkan shisha ini dan memeriksa bekasnya jika perlu untuk memastikan tiada kandungan ganja."

"Khidmat jualan shisha juga perlu dilesenkan seperti jualan rokok dan pihak kastam juga perlu memantau jualan tembakau shisha ini dan mengesahkan sumber bekalan,"
kata Ismail.

*************************************************************************************

Selasa, 16 Disember 2008

"Kenapa Ummi Tak Sembahyang?"

Assalamualaikum.

Pernah di suatu hari, Ummi terdengar perbualan di antara anak kecil Ummi, Atiqah Maisarah yang berumur 4 tahun dan bibiknya.

Atiqah : Bik, kenapa Ummi tak sembahyang?

Bibik : Ooooo..Ummi lagi penat. Baru balik kerja…

Terdengar aja jawapan bibik sedemikian, terus Ummi menyampuk.

Ummi : Ummi tak sembahyang sebab Ummi sekarang ni tengah menses, Atiqah.

Atiqah : Menses tu apa Ummi?

Ummi : Menses tu, bahasa orang putih. Dalam bahasa melayunya, datang haid. Haid maksudnya keluar darah. Orang perempuan besar, Allah jadikan setiap bulan akan keluar darah. Masa keluar darah haid ni, kita tak boleh sembahyang sebab tak bersih.

Atiqah : Ooo..jadi sekarang ni Ummi tak sembahyang sebab Ummi keluar darahlah?

Ummi : Yalah sayang. Tapi kalau keluar darah sebab luka ke atau sebab lain, Ummi kena sembahyang juga. Keluar darah sebab haid aja yang tak boleh sembahyang. Atiqah faham ke Ummi terang ni?

Atiqah : Faham! Faham! Ummi bukan tak sembahyang sebab Ummi penatlah?

Ummi : Tak! Kalau penat, mana boleh tinggal sembahyang. Berdosa! Penat macamanapun kita tetap kena sembahyang.

Atiqah : Bik! Ummi tak sembahyang sebab Ummi darah haid lah!!!

Tergelak Ummi dengar respons Atiqah yang menegur bibiknya dengan sebutan ‘ummi darah haid’. Sekurang-kurangnya Atiqah faham sesuatu. Bibikpun turut Ummi tegur supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama. Anak kecil jangan diajar berbohong dan jangan disangka mereka tidak memahami. Bayangkan, si kecil begitu telah diterapkan kefahaman yang salah…tak sembahyang sebab penat! Bila mereka dah besar kelak, merekapun akan turut meninggalkan sembahyang setiap kali badan terasa penat! Wal’iyazubillahiminzaalik.

Usah disangka anak sekecil itu tidak dapat memahami perkara-perkara besar. Semenjak kejadian itu, bila dilihat aja Ummi tak sembahyang, terus Atiqah bertanya, “Ummi menses ke?” atau “Ummi darah haid ke?”. Ha,ha,ha…Setiap kali Atiqah timbulkan soalan “Ummi darah haid ke”, Abilah pulak yang sibuk membetulkan ayat dia, “Ummi datang haidlah, Atiqah. Bukan Ummi darah haid”. Nak tahu apa jawapan Atiqah? “Atiqah tahu dohlah, Abi…” (Tahu doh = Dah tahu) Hihihi…

Demikianlah sedikit sinopsis yang Ummi kira boleh membawa pengajaran sebelum kita pergi kepada perbincangan yang lebih formal. Alang-alang dah mulakan dengan sinopsis berkaitan haid ni, Ummi masukkan sedikit informasi berkaitan haid yang dipetik di sini.

HAID (MENSTRUASI)

Menjadi seorang wanita

Apa itu haid?

Haid juga dikenali sebagai menstruasi. Ia menunjukkan anda kini menjadi seorang wanita.

Apabila haid berlaku, anda akan mengalami pendarahan dari faraj. Haid yang berlaku adalah berbeza dari seorang wanita dengan wanita lain. Setiap kitaran haid adalah selama 3-7 hari. Tempoh antara sebuah kitaran haid ke kitaran seterusnya adalah berbeza iaitu di antara 21-35 hari.

Haid saya yang pertama

• Kanak-kanak perempuan akan mula mengalami haid semasa berumur 8-16 tahun
• Purata umur seorang kanak-kanak perempuan mengalami haid adalah pada umur 12 tahun
• Menstruasi bermula apabila sistem pembiakan telah matang
• Ia berlaku hasil daripada tindak balas hormon yang berinteraksi dengan tubuh badan anda

Anda mengalami masalah dengan haid anda?

Ada masanya masalah mungkin akan timbul, contohnya:

Sindrom Pra-Menstruasi (PMS)

• Ia mungkin berlaku beberapa hari sebelum anda didatangi haid
• Anda mungkin mengalami cepat marah, rasa sedih dan kecewa serta keinginan yang kuat terhadap sesuatu
• Anda juga akan merasa sebu dan sembap, sedikit sakit pada payudara dan jerawat mula timbul
• Ini hanyalah untuk sementara sahaja dan anda akan berasa lebih baik sehari dua selepas anda didatangi haid

Senggugut

• Ianya adalah perkara biasa semasa hari-hari awal haid anda
• Ia juga dikenali sebagai dysmenorrhoea
• Anda akan berasa sakit pada bahagian bawah abdomen atau pada bahagian bawah belakang pinggang dan kaki
• Senggugut boleh dilegakan dengan mengambil ubat tahan sakit seperti parasetamol
• Jika sakit anda amat teruk dan berpanjangan, berjumpalah dengan doktor anda

Haid yang terlalu banyak

Mungkin berlaku akibat ketidakseimbangan hormon.

Apabila anda mendapat haid yang terlalu banyak, anda akan mengalami:

• Pendarahan yang berpanjangan
• Senggugut
• Haid yang kerap dalam tempoh yang pendek
• Sila berjumpa doktor anda jika anda mengalami haid yang terlalu banyak

Tidak datang haid

• Jangan risau, ia adalah perkara biasa bagi tahun pertama haid
• Ia mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon yang menyebabkan kitaran haid yang tidak teratur
• Sekiranya seseorang wanita itu mengamalkan seks secara aktif, tidak datang haid boleh menandakan beliau mengandung
• Sila rujuk doktor anda untuk nasihat lanjut

Haid yang tidak teratur

Haid yang tidak teratur adalah haid yang tidak tetap:

• Haid mungkin berlaku terlalu awal atau terlalu lewat
• Ia juga mungkin disebabkan oleh gangguan hormon yang menjadi punca haid yang tidak teratur

Jika masalah ini terjadi, anda dinasihatkan:

• Menyimpan catatan dalam diari tentang kitaran haid anda setiap bulan
• Mencatatkan tempoh masa setiap haid anda
• Mencatatkan sama ada anda mengalami senggugut semasa haid

Apa yang harus dilakukan semasa haid?

Ingatlah, haid adalah satu kejadian normal dalam kehidupan wanita.

• Anda masih boleh bersenam dan melakukan perkara-perkara yang anda gemari
• Menjaga kebersihan dan menukar tuala wanita dengan kerap
• Anda boleh mengambil ubat penahan sakit seandainya mengalami senggugut
• Menggunakan tampon dengan baik. Patuhi arahan yang diberikan

Nota: Sekiranya anda mengalami demam, muntah-muntah, pening kepala mahupun rasa kurang sihat semasa menggunakan tampon, segeralah berjumpa dengan doktor anda. Anda mungkin mengalami keadaan serius yang dikenali sebagai Sindrom Kejutan Toksik.

Perlu kah anda mengambil ubat bagi haid yang tidak teratur atau haid yang terlalu banyak?

• Ia perlu bagi memperbetulkan haid anda
• Jangan mengambil ubat tanpa nasihat doktor
• Sila rujuk doktor anda untuk nasihat lanjut

Perlukan bantuan dengan haid anda?

Seandainya anda mengalami masalah, dapatkan nasihat daripada:
• Ibu
• Doktor atau jururawat
• Guru

*************************************************************************************

Sabtu, 13 Disember 2008

"Saya Mahu Terbang!"

Assalamualaikum.

Dua hari Ummi tak buka blog. Wah! Rindunya bukan kepalang, mengalahkan si pungguk yang merindukan bulan...

Hari ini Ummi kembali bertugas di klinik setelah dua hari bercuti ke Kelantan untuk meraikan majlis perkahwinan saudaraku seIslam. Kelantan bagi Ummi ibarat ‘syurga dunia’…segala-gala yang diingini ada, segala-gala yang dihajati boleh didapati, apalagi dengan aura pemerintahannya yang berada di bawah lembayung Islam!

Namun, ibarat kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi hujan batu di negeri sendiri.’ Maka kembalilah juga daku ke negeri hujan batu, Terengganu Darul Iman ini. Harap-harap le tak lama lagi 'hujan batu' di negeriku akan juga bertukar menjadi 'hujan emas'!

Lama-lama kat tempat orang, tak lena tidur pula dibuatnya. Walhal kat rumah abang, tempatku menumpang, bukan main selesa lagi. Teringat kata-kata Ustaz Azhar Idrus dalam kuliah mingguannya.. “Setebal mana tilampun, kalau tak lena tidur, tak ada nikmatnya juga. Sesedap mana makananpun, kalau tak ada selera, tak terasa juga nikmatnya. Kerana itu, sentiasalah bersyukur dengan nikmat sihat, nikmat tidur lena, nikmat selera makan, yang Allah kurniakan pada kita tetapi seringkali dilupakan.” Benar dan teramatlah benarnya! Ramai manusia yang tahan bersabar tetapi tidak ramai yang mampu bersyukur…

Hmm..terlanjur bercakap mengenai syukur, apakata kita dengar cerita berkaitan syukur dengan tajuk ‘Saya Mahu Terbang’. Masih cerita kanak-kanak…? Layan ajalah ya…sebab Ummipun masih berada di bawah pengaruh kanak-kanak lagi di musim cuti sekolah ini! Ha,ha,ha…

Saya Mahu Terbang
(Oleh: Ezee Rahmani ; Petikan Buku: Bacakan Saya Satu Cerita)

“Mari ikut ibu ke sungai.” Anak kura-kura itu mengekori ibunya. Sesekali ia mendongak ke langit. Tiba-tiba ia tersepak sebiji batu dan terjatuh.

“Mak! Tolong saya!” Ibunya menoleh dan berpatah balik semula. Mereka kembali berjalan semula. Tetapi matanya masih leka mendongak ke langit.

“Tengok di hadapan kamu! Ada batu!”
Anak kura-kura itu hampir terlanggar batu lagi. Ibunya tersenyum melihat perangai anaknya.

“Tengok hadapan ketika berjalan. Barulah selamat perjalanan kamu.”


“Saya melihat burung-burung itu terbang.”


“Mereka juga seperti kita. Pagi-pagi keluar mencari makan.”


“Tetapi mereka dapat terbang.”


“Sebab mereka dikurniakan sepasang sayap.”


“Mengapa kita tidak diberikan sepayang sayap seperti burung?”
Ibu kura-kura menoleh anaknya dan ketawa.

“Apa agaknya nama kita sekiranya badan kita bercengkerang dan bersayap?”


“Apa salahnya. Namakan apa-apa sahaja asalkan boleh terbang seperti mereka.”


“Bolehkah kita terbang dengan cengkerang yang berat di belakang ini?”


Anak kura-kura menarik muka masam. Muncungnya semakin panjang. Ibu kura-kura mendekatinya. “Mengapa bersedih begini?”


“Saya mahu jadi seperti burung-burung itu!”


“Tetapi kita dilahirkan sebagai seekor kura-kura.”


“Saya tidak mahu jadi kura-kura! Saya mahu jadi seekor burung!”


“Mengapa?”


“Saya mahu terbang jauh! Saya bosan berjalan perlahan begini!”


“Mari sini dekat ibu.” Ajak ibu kura-kura sebaik sahaja mereka tiba di tebing sungai. Beberapa tangkai kangkung liar ditariknya ke tepi. Itulah makanan mereka.

“Kamu fikir menjadi burung itu bagus?”


Anak kura-kura mengangguk. “Saya boleh terbang dan tiada siapa boleh kacau saya!”



“Berbanggalah dengan apa yang diberikan kepada kita. Kamu patut bangga dilahirkan sebagai seekor kura-kura.”


“Apa kelebihan yang saya ada? Saya tidak boleh terbang!”


“Kamu patut bangga kerana memiliki cengkerang yang dapat melindungi kamu ketika kamu dalam bahaya. Burung ada cengkerang?”


Anak kura-kura menggeleng.


“Kita ada rumah bergerak. Cengkerang itulah! Burung ada rumah bergerak?”


Anak kura-kura menggeleng lagi. Ibu kura-kura tersenyum.

“Apabila hari hujan sarang mereka basah dan mereka anak beranak basah kuyup dan kamu?”


“Saya boleh diam di dalam cengkerang, rumah bergerak saya ini!”


“Mereka terpaksa terbang jauh mencari makanan dan membawa makanan untuk anak-anak mereka dan kamu?”

“Saya boleh berjalan bersama ibu dan dapat makan dengan mudah!”


“Pandai! Ucaplah terima kasih kepada Tuhan kerana menjadikan kamu seekor kura-kura!”




Subhanallah! Bagaimana pula dengan kita, manusia yang dikurniakan keistimewaan akal fikiran berbanding makhluk yang lain. Dengan akal fikiran itu, kita tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Dengan akal fikiran itu juga kita tidak mudah ditipu dan diperdayakan kerana kita mampu berfikir. Dan dengan akal fikiran itu jugalah, kita diangkat sebagai khalifah di mukabumi Allah ini serta dijanjikan dengan kenikmatan Syurga Jannah di hari akhirat kelak sekiranya kita berjaya mematuhi perintah Allah dan meninggalkan laranganNya! Nikmat yang tidak terperi yang dijanjikan untuk hamba-hambaNya yang beriman…

*************************************************************************************

Rabu, 10 Disember 2008

"Mengapa Allah Sayangkan Kita?"

Assalamualaikum.

Cuti sekolah ni, nampaknya Ummipun dah rasa seronok join anak-anak baca buku cerita kanak-kanak. Tak tahan dengar ‘ulasan’ keseronokan jalan ceritanya dari puteri-puteriku.. He,he. Berjaya juga anak-anak Ummi mempengaruhi walhal banyak lagi buku-buku ilmiah yang Ummi belikan untuk diri sendiri yang belum habis dibaca.

Hari ini Ummi nak sambung sketsa Allah sayangkan kita. Nak dengar tak??? Rugi kalau tak dengar tau!

Sketsa Allah Sayangkan Kita II
(Oleh: Izzah Ahmad)

“Ibu…mengapa Allah sayangkan kita?”


“Sebab Allah yang jadikan kita.”


“Mengapa Allah jadikan kita, ibu?”


“Allah jadikan kita supaya kita menyembahnya. Allah bukan sahaja jadikan kita, malah seluruh makhluk yang ada di dunia ini Allah yang jadikan.”


“Wah! Hebat betul Allah ini ya, ibu…tetapi mengapa kita tidak boleh lihat Allah?”


“Sebab Allah hebatlah kita tidak boleh melihatNya, tetapi kita boleh rasai kasihsayangNya.”


“Bagaimana kita rasa kasihsayang Allah pula ibu?”


“Okey, cuba tarik nafas dalam-dalam...satu dua tiga…tarik…kemudian lepaskan perlahan-lahan. Apa yang adik rasa?”



“Adik rasa angin masuk ke dalam lubang hidung kemudian adik hembus semula angin dari hidung keluar.”


“Okey, sekarang ibu mahu tanya…adik boleh rasa angin masuk dan keluar dari hidung, bukan? Adik menganggukkan kepalanya.


“Tetapi bolehkah adik pegang angin yang masuk dan keluar itu?”
Adik menggelengkan kepalanya.

“Ha…begitulah juga dengan Allah. Kita tidak dapat melihat Allah, tetapi kita dapat merasai kasihsayang Allah apabila kita diberi nikmat olehNya seperti nikmat udara ketika bernafas, nikmat rasa sedap ketika makan dan nikmat tidur ketika letih serta pelbagai nikmat lagi.” terang ibu.


“Wah! Banyak betul rahmat yang Allah berikan kepada kita ya ibu?”


“Begitulah betapa besarnya rahmat dan kasihsayang Allah kepada kita.” tambah ibu lagi.

Subhanallah! Kadang-kadang kita sendiri tidak menyedari akan nikmat-nikmat yang terlalu besar yang dikurniakan oleh Allah buat kita. Maha Suci Allah! Betapa sayangnya Allah pada kita tetapi apakah pula balasan kita terhadap kasihsayang dan nikmatNya yang tak terhitung itu?

*************************************************************************************

Ahad, 7 Disember 2008

"Mengapa Adik Demam, Ibu?"

Assalamualaikum.



Buku ini adalah antara hadiah kecemerlangan untuk anak Ummi, Aisyah Farihah. Dalam masa beberapa hari sahaja, Aisyah dah mengkhatamkan kesemua cerita setebal 169 mukasurat ini. Hmm..bila dilihat pada tajuk buku ‘Bacakan Saya Satu Cerita’ bermakna Ummilah yang perlu membacakan satu cerita setiap hari buatnya, kan? Namun dek kerana Umminya yang selalu sibuk berulang-alik ke klinik siang dan malam, maka apa yang berlaku, si anaknya pulalah yang membacakan Ummi satu cerita setiap hari! Hihihi..apa nak buat. Tapi memang betullah tu. Bacakan saya satu cerita tu untuk anak yang belum tahu membaca. Bagi anak yang dah tahu membaca, memang patutlah dibacakan satu cerita pada Umminya setiap hari, kan?

Aisyah memang suka sangat berceloteh dan bercerita. Sambil-sambil Ummi bersiap nak pergi kerjapun, sempat lagi diceritakan balik pada Ummi apa yang dah dibacanya. Lebih menakjubkan, habis sahaja diceritakan pada Ummi, Abi pula yang dicarinya untuk diulangi cerita yang sama dari awal sampai akhir! MasyaAllah…memang Aisyah tak pernah penat bercerita.

Suatu hari, terpana Ummi mendengar sebuah cerita yang ada kaitannya dengan bidang perubatan. Cukup ringkas dan cukup mudah jalan ceritanya tetapi memberikan kesan yang mendalam buat Ummi untuk memikirkan kembali betapa besarnya peluang seorang doktor untuk menyampaikan mesej dakwah kepada pesakitnya dalam bentuk perbualan yang santai. Nak dengar ceritanya?

Sketsa Allah Sayangkan Kita
(Oleh: Izzah Ahmad)

“Mengapa adik demam, ibu?”

“Allah yang beri adik demam.”

“Mengapa Allah bagi adik demam?”

“Sebab Allah sayangkan adik.”

“Sebab apa Allah sayangkan adik, kemudian Allah bagi adik demam?” Jiji hairan mendengar jawapan umi.

“Apabila adik demam, adik akan ingat Allah. Apabila adik ingat Allah, Allah juga akan ingatkan adik.” Terang umi lagi.

“Tunggu sekejap ya adik, ibu suapkan ubat.”



Jiji yang takut makan ubat terus berubah wajah. “Mengapa adik kena makan ubat, ibu?’

“Sebab Allah suruh kita berusaha untuk sihat. Makan ubat adalah satu usaha untuk sihat. Apabila badan adik sihat barulah adik kuat hendak bekerja, belajar, bermain dan buat semua perkara.”

“Oh…sekiranya adik makan ubat adik akan sihat.”

“InsyaAllah dengan izin Allah adik akan sihat, tetapi kadang-kadang sekiranya makan ubatpun badan tidak sihat juga.”

“Habis tu ibu, bagaimana badan kita boleh sihat?”

“Berdoalah kepada Allah di samping berusaha dengan makan ubat.”

“Betulkah dengan berdoa dan makan ubat adik boleh sihat?”

“InsyaAllah sekiranya kita yakin, Allah sayangkan kita!”

Hari ini Ummi benar-benar memperolehi sesuatu yang berharga dari sebuah cerita kanak-kanak yang diceritakan oleh seorang kanak-kanak!

*************************************************************************************

Rabu, 3 Disember 2008

Alamak! Monsoon Blogger Award?

Assalamualaikum.

Petang ini, sebaik sahaja habis merawat pesakit, terus Ummi buka blog. Tengok kat ruangan chatting...Wah! Ada mesej dari Baity yang tertulis: "Kak... ada award untuk akak.. akak sorang je tau... :biggrin: "Uih! Dapat award lagi? Di alam siber ni rupanya penganugerahan award tak putus-putus, mengalahkan selebriti! He,he...

Ummipun apa lagi. Ambik award jangan tangguh-tangguh. Nak tengok apa award Ummi dapat? Ni dia....



Monsoon Blogger Award! Huwaaaaaa...Baity, sampai hati ngko ya...mentang-mentang le Kak Ummi lama tak update blog kerana kesejukan di musim tengkujuh! Huhuhuhuhu...

Tapi bila tengok dan renung betul-betul gambar tu...Uih! Memang sebijik macam yang Kak Ummi bayangkan dan angan-angankan.."kalaulah dapat berselimut litup kat bilik doktor ni..bestnya!" Kah,kah,kah,kah...nakal betul le Baity ni. I really like this picture and enjoy this award very much!!!

Oh ya! Cuma ada satu yang Kak Ummi nak komen. Cermin mata tu kena lukis besar sikit Baity, baru nampak macam 'mak datin'! Hihihi...Yang lain, perfect! Sebijik macam bilik Kak Ummi bertugas dah tu, apalagi dengan tudung hijau dan baju hijau kegemaranku. Ha,ha,ha. Aduhhh! Rasa nak pecah perut Kak Ummi ketawa ni. Nak kena berenti tulis dulu...sejukkkkkkkkkkkk.

*************************************************************************************

Selasa, 2 Disember 2008

Sakit Mental - Kembalilah Kepada Fitrah!

Assalamualaikum.

Waduh! Lama betul Ummi tak update kali ini. Mungkinkah kerana jari-jemariku yang kaku kesejukan di musim tengkujuh? Atau otakku yang kaku mencari idea untuk dikongsi? Apa-apapun, kembali kita bertemu pada hari ini di alam siber. Alhamdulillah.

Dah lama Ummi bercadang untuk berbicara bab penyakit pula. Tapi tak ada le pulak isu penyakit yang kontroversi sekarang ini melainkan isu ‘doktor sakit mental’ yang boleh dibaca di sini.

Fulamak! Perit juga dengar kenyataan 5 doktor setiap bulan disahkan sakit mental dan lagilah perit bila ia dikaitkan sebahagian besarnya kerana isu paksaan ibubapa terhadap anak-anak untuk mengambil bidang kedoktoran. Termenung Ummi bila membaca kenyataan itu.

Malas Ummi nak ulas tajuk ini sebenarnya tapi terasa gatal juga tangan ini nak menceritakan pengalaman sendiri. Cerita pengalaman sendiri tak ada sesiapa boleh pertikaikan kesahihannya berbanding menceritakan atau mengkhabarkan sesuatu berita yang melibatkan orang lain, apalagi dalam bentuk nisbah kajian yang entah betul, entahkan tidak.

Oleh kerana Ummi nipun doktor perubatan dan Ummipun pernah melalui kehidupan sebagai pelajar perubatan serta Ummi sendiri mengikuti kursus perubatan kerana kecenderungan ibubapa berbanding kecenderungan sendiri, maka layaklah juga Ummi bercerita, kan?

“Alkisah…Pada zaman dahulu, tersebut kisah seorang gadis yang begitu tinggi cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik. Namun disebabkan kesemua adik beradiknya hanya tercebur dalam dua bidang, sama ada perubatan atau kejuruteraan, manakala kedua ibubapanya pula begitu menggalakkan beliau untuk mengambil bidang perubatan, maka si gadis terasa bahawa dia sudah tiada pilihan lain lagi. Maka memilihlah akan dia bidang perubatan sebagai pilihan pertama...”

Ha,ha,ha…macam penglipurlaralah pulak bunyinya. Tak kuasa Ummi nak cerita panjang lebar. Cuma yang Ummi nak simpulkan, dari pengalaman sendiri, kalaulah semata-mata disebabkan paksaan ibubapa, rasanya dari peringkat student lagi Ummi ni dah kena serangan mental! Tak perlu tunggu jadi doktorpun. Mohon perlindungan dari Allah jua…

Alhamdulillah, sepanjang Ummi melalui alam kehidupan seorang pelajar perubatan, segala keperitan, segala kepayahan dan segala kesukaran tetap berjaya diatasi dengan kekuatan dalaman yang diperolehi melalui solat dan doa, pertolongan sahabat serta dorongan dari ahli keluarga. Tapi bila time jadi doktor itulah saat atau detik yang paling mencabar! Apalagi dalam menghadapi kehidupan sebagai seorang doktor pelatih yang waktu bekerjanya bukan 8 jam sehari tetapi menjangkau 32 jam berterusan bila on-call, ditambah dengan tekanan dari sesetengah senior MO atau specialist atau jururawat yang garang! Huhuhu…bukan tujuan untuk menakut-nakutkan adik-adik yang masih di peringkat student tetapi sekadar untuk menyatakan bahawa situasi inilah yang lebih mendatangkan tekanan atau stress yang boleh membawa kepada gangguan mental berbanding tekanan atau paksaan dari kedua ibubapa atau keluarga. Walau apapun, mungkin banyak lagi faktor lain yang boleh dikaitkan. Yang Ummi cerita ni lebih kepada faktor pengalaman yang memberikan tekanan kepada Ummi.

Sebenarnyakan, kalaulah dalam kehidupan kita ini betul-betul menurut apa yang diajar dalam Islam, InsyaAllah tak ada dan tak akan timbul penyakit-penyakit mental disebabkan tekanan ini. Tak percaya? Tengok aja artikel yang pernah Ummi keluarkan bab hubungan sesama doktor. Itu baru cakap bab hubungan sesama doktor, belum lagi bab lain.

Kesimpulannya, dalam menghadapi unsur tekanan ini, kedua-dua pihak, sama ada yang menerima tekanan atau yang memberikan tekanan perlu melakukan sesuatu. Yang menerima tekanan, hadapilah ia dengan kekuatan EQ (Emotional Intelligence) dan SQ (Spiritual Intelligence). Manakala bagi pihak yang memberikan tekanan, kalaulah mereka ini berunsur manusia, maka wajar sekali mereka kembali kepada unsur-unsur fitrah seorang manusia yang berperikemanusiaan. Tetapi jika sekiranya yang memberikan tekanan itu adalah unsur sistem, maka unsur sistem itulah yang wajar diubah oleh pemegang sistem yang juga terdiri dari kalangan mereka yang berunsur manusia.

Mudah-mudahan segala unsur itu dapat dikembalikan kepada fitrah pegangan agama yang suci!

*************************************************************************************