"Tidak kecewa orang yang istikharah (minta pilihan kepada Allah), tidak menyesal orang yang bermusyawarah, dan tidak melarat orang yang hemat."
(Diriwayatkan oleh Ath-Thabarani dalam Ash-Shaghir dan Al-Ausath)
Suatu hadis yang tidak dapat disangkal lagi akan kepentingan beristikharah, bermusyawarah dan berhemat.
Namun apa yang ingin Ummi tekankan dan perkatakan di sini adalah berkaitan musyawarah atau mesyuarat.
Semenjak dulu lagi Ummi perhatikan, acapkali perjalanan mesyuarat berjalan tanpa disiplin di kalangan kita, baik di peringkat jabatan mahupun di peringkat jemaah. Kalau sekadar di peringkat jabatan, Ummi tidak hairan kerana ahli mesyuaratnya terdiri daripada pelbagai golongan. Yang faham Islam, yang kurang faham dan yang tidak faham. Namun apabila perjalanan mesyuarat berjalan tanpa disiplin di peringkat jemaah, ini amat merisaukan dan mendukacitakan.
Apakah kesilapan yang seringkali berlaku dalam mesyuarat? Teramat banyak. Namun yang ingin Ummi perkatakan di sini hanya dua perkara.
Pertamanya, mesyuarat dikendalikan secara meleret dan panjang-lebar. Pengerusi mensyuarat seringkali lari dari agenda sehingga membawa kepada perbincangan yang juga lari daripada topik yang sepatutnya.
Ini seringkali berlaku dalam mesyuarat yang dikendalikan oleh muslimat. Namun tidak kurang juga berlaku di kalangan muslimin.
Kesilapan kedua, agak sensitif untuk diperkatakan. Namun izinkan Ummi untuk meluahkannya juga agar segala kelemahan dapat diperbaiki.
Apa kesilapannya? Mesyuarat seringkali di'sambung' agendanya ke warung-warung atau kedai-kedai kopi sehingga memakan masa yang agak tidak munasabah. Apa yang Ummi maksudkan, mesyuarat yang sepatutnya berakhir paling lewat jam 12 malam, akhirnya membawa kepada perbincangan di luar topik di warung-warung sehingga ke jam 1 atau 2 pagi!
Natijahnya, ahli mesyuarat yang selama ini istiqamah dalam menunaikan solat malam atau qiamullail, mula luput qiamullailnya. Ahli mesyuarat yang selama ini tidak pernah ketinggalan dalam menunaikan solat jemaah di masjid, akhirnya terpaksa berjemaah di rumah sahaja kerana lewat terjaga lantaran pulang ke rumah terlalu lambat.
Mungkin ada yang memberikan alasan; "Sekali-sekala seronok juga berkopitiam bersama-sama sahabat. Inilah masanya untuk merapatkan ukhuwwah."
Ummi langsung tidak bersetuju dengan alasan sedemikian kerana syaitan selalunya akan menggoda umat Muhammad dengan fikiran-fikiran sedemikian. Sekali luput qiamullail, lama-kelamaan tidak mustahil solat yang wajib pula boleh luput akibat ketiadaan disiplin dalam menjaga waktu!
Kesilapan kedua ini sudah tentunya seringkali berlaku di peringkat kaum muslimin.
Di pihak muslimat, pengalaman mengajar Ummi bahawa mereka selalunya akan cuba seboleh mungkin untuk menghabiskan masa menyuarat secepat mungkin lantaran tanggungjawab di rumah yang masih menunggu. Bukan niat Ummi untuk membela muslimat dan bukan juga niat Ummi untuk memburukkan muslimin.
Segala apa yang Ummi nukilkan ini adalah sebagai muhasabah untuk diri kita sendiri sebagai penggerak Islam.
Jangan kerana sedikit kesilapan yang sepatutnya boleh dielakkan itu menjadi penyebab kepada terhakisnya iman kita sedikit demi sedikit.
Mohonlah daripada Allah agar Dia sentiasa menyedarkan kita akan segala kekhilafan yang berlaku.
Ummi cukup terharu dengan apa yang pernah dinukilkan oleh Professor Dr Muhammad Kamil akan betapa besarnya kerugian yang dirasai akibat tertinggal qiamullail. Bagaimana dengan kita?
Bacalah artikelnya di sini...
Ummi sendiri sedang berusaha untuk mengubah diri. Selama ini keletihan bekerja dan penyakit migrain yang dihadapi seringkali dijadikan alasan untuk luput dari qiamullail.
"Ya Allah, kurniakanlah diri ini kekuatan untuk menghampirkan diri kepadaMu..."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan