Rabu, 21 Julai 2010

Menghitung Hari...

Assalamualaikum.

Anak-Anak Yang Dirindui :

Ummi giat menghitung hari.

Hanya seminggu sahaja lagi InsyaAllah Ummi akan bertemu kembali dengan anak-anak lelaki Ummi yang sekian lama dirindui. Meski baru 9 bulan terpisah, hati seorang ibu terasa bagaikan 9 ribu tahun. Malah lebih dari itu. Rindu yang tak terungkap di lidah serta kerisauan yang tak terpancar di wajah...

"Anak-anakku, mudah-mudahan kalian selamat dan dipermudahkan dalam perjalanan..."

Sungguh perjuangan di bumi anbiya' tidak semudah apa yang tergambar di kepala. Selama 9 bulan pertama di sana, Ummi banyak berbincang dengan ustaz yang menjaga. Cabaran yang tidak sedikit rupanya!

Mengapa tahap pencapaian hafazan mereka agak lemah?

"Banyak dugaannya kak..." kata Ustaz.

Seorang hafiz perlukan bi'ah yang soleh dalam membantu mempertingkatkan tahap hafazan mereka namun bi'ah di sana? Terkadang lebih teruk dari suasana di Malaysia apabila di lihat dari segi pemakaian minah-minah Arabnya, suasana bandarnya yang semakin hanyut dengan arus kemodenan dan tempoh penyesuaian diri anak-anak yang juga dalam peringkat perubahan dari alam kanak-kanak kepada alam remaja.

Ummi mengerti...

Namun bagaimana Ummi dapat membantu? Hanya kata-kata semangat buat mereka...

"Di manapun jua kamu berada, maka di sana cabaran telah sedia menunggumu..."

Bagaimana mungkin kehidupan seorang manusia itu dapat lepas dari kesusahan, musibah dan ujian? Namun jika kesusahan, musibah dan ujian itu diterima dan ditafsirkan dengan penerimaan dan tafsiran yang betul, maka ia akan berubah menjadi satu kekuatan baru kepada kita dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata 'Kami beriman' sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."

(Al-Ankabut : 2-3)

Semoga kalian akan terus tabah dalam menghadapi segenap ujian yang mendatang. Mohonlah pertolongan Allah dengan solat dan doa...

Ramadhan Yang Didambakan :

Ummi giat menghitung hari.

Hanya 20 hari sahaja lagi, Ramadhan, bulan yang mulia lagi suci akan kembali menemui kita, hambaNya.

Mampukah diri ini memanfaatkan bulan yang penuh barakah ini dalam menghampirkan diri kepadamu Ya Allah? Mampukah bulan yang suci ini menjadi titik tolak pembersihan jiwaku yang penuh noda dan dosa ini?

"Ya Allah, kurniakanlah kekuatan buatku, hambaMu yang hina ini mendekatkan diri kepadaMu, menghampirkan diri kepadaMu dengan sepenuh-penuh hati dan ketulusan jiwa.."

Kematian Yang Pasti Tiba :

Ummi giat menghitung hari.

Semakin hari semakin terasa lemahnya diri ini. Kekuatan di waktu muda telah beransur pergi. Sebagaimana beransur kendurnya keanjalan kulit, begitulah juga beransur kurangnya ketajaman penglihatan...

Hari demi hari yang berlalu menyebabkan kita mula merenungi diri. Alangkah singkatnya kehidupan di dunia ini. Namun telahkah kita bersedia untuk menghadapi hari yang teramat panjangnya, yang tidak akan ada penghabisannya di yaumul akhirah nanti?

2 ulasan:

alQasam berkata...

Askum

Kak Han,

InshALLAH semoga semuanya selamat dan dipermudahkan.

Ketiga-tiga penantian. Moga barakah menghujani kita semuanya.

Teringin inshALLAH, ziarah anak-anak k.han bila mereka pulang nanti

Kak Han To alQasam berkata...

Wkmslm.

Amin...begitulah harapannya dik..semoga semuanya selamat dan dipermudahkan dan semoga barakah sentiasa menghujani kita semua.

Jemputlah ke rumah Kak Han,dik.Kak Hanpun dah rindu nak jumpa Sumayyah.Lama sangat dah kita tak bersua,kan?Mudah-mudahan 1st trimester symptom tu dah beransur hilang hendaknya...