Assalamualaikum.Ummi terima email dari seorang sahabat di Institut Jantung Negara (IJN) yang menyebarkan pandangan seorang ulamak mengenai serangan wabak influenza H1N1 yang melanda seluruh dunia termasuklah negara kita Malaysia. Cukup berguna untuk kita sebagai seorang muslim dalam menghadapi kemelut ini. Mungkin agak panjang, tetapi bacalah sehingga ke akhirnya kerana ia sangat-sangat bermanfaat!
______________________________________________________________________________
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.Islam agama yang sempurna. Itulah perkataan yang seringkali kita dengari walaupun perlaksanaannya masih di tahap yang amat mengecewakan.
Pada hari ini kita diuji dengan H1N1 yang telah dikenalpasti puncanya adalah khinzir. Semua pihak mula memandang serius isu ini, antaranya pihak IJN sendiri. Oleh itu, pelbagai usaha telah diambil untuk mengawal jangkitan H1N1. Tahniah diucapkan.
Cuma, saya ingin menyeru diri saya dan semua warga IJN umumnya untuk melihat sejauh mana peranan Islam dalam mengawal jangkitan H1N1. Mungkin istilah H1N1 tidak pernah digunakan oleh Nabi kita SAW tetapi Junjungan kita telah meninggalkan teori yang amat sempurna lagi
perfect untuk memastikan segala bentuk jangkitan terkawal. Jadi, marilah sama-sama kita menghayati serta cuba untuk mempraktikkannya :
1. REDHA : Iaitu beriman bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah.
Pada hari ini, kita memberi pelbagai alasan tentang tersebarnya H1N1. Kita seolah-olah terlupa bahawa yang menentukan jangkitan wabak ini adalah Allah. Bila diingatkan, mereka berkata :
“ek eleeeh, yang tu semua orang tahu”.
Saya setuju dengan perkataan mereka. Cuma, saya ingin bertanya. Mengapa setiap kali kita menyambut hari kemerdekaan, kita akan ulang sebut nama Tunku Abdul Rahman beserta tayangan klip video laungan beliau ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!” ? Mengapa?
Jawapannya, kerana bertujuan untuk mengingatkan masyarakat kita tentang sumbangan besar beliau dalam kemerdekaan negara kita. Maka, mengapa tidak kita seringkali ingatkan manusia tentang Allah dan kekuasaan-Nya, sebagai langkah mensyukuri nikmat-Nya. Sedangkan segala sesuatu di alam ini adalah milik Allah. Maka Allah berkuasa untuk mewujudkannya atau menghapuskannya.
Sabda Nabi SAW :
“Sesungguhnya Allah mencipta segala penyakit, dan Allah jugalah Pencipta segala penawarnya…”2. SABAR : Hasil dari redha akan terpupuk sifat sabar. Apa jua yang berlaku termasuk peningkatan jangkitan H1N1 secara drastik, hendaklah kita perkemaskan rasa redha dan sabar terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang tindakan. Kerana ia akan mengawal emosi serta tindakan kita agar tidak songsang dan menyanggahi batas-batas syariat.
Allah berfirman, maksudnya :
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun” (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali” (Al-Baqarah, 2 : 155-156).
Nah, jelaslah bahawa apa yang berlaku adalah bertujuan untuk menguji manusia. Banyak-banyaklah menyebut :
"Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun”, sebagai pemangkin kepada sifat redha dan sabar. Bukan sebutan semata-mata, tetapi perlu difahami juga maknanya. Maka, hendaklah kita berhati-hati dalam ujian ini, agar kita semua berjaya.
3. BERUSAHA : Ada pihak yang hanya berserah kepada Allah dan langsung tidak mahu berusaha. Sebagai muslim yang mukmin, kita bukan sahaja redha dengan ketentuan Allah, bahkan kita juga berusaha untuk melaksanakan segala perintah-Nya.
Sabda Nabi SAW :
“Sesungguhnya Allah mencipta segala penyakit, dan Allah jugalah Pencipta segala penawarnya, maka berubatlah, dan janganlah kalian berubat dengan benda-benda yang haram.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Perintah Nabi supaya kita berubat menunjukkan peri pentingnya usaha yang menyusul selepas dari redha. Bukan duduk saja. Tahniah kepada IJN dan bahagian
Infection atas usaha-usaha yang dilakukan. Moga Allah memberkati usaha kalian. InsyaAllah. antara bentuk-bentuk usaha yang digariskan di dalam Islam bagi mengawal penyakit-penyakit berjangkit seperti H1N1 adalah seperti berikut :
(i) Doa : Merupakan ubat yang paling berkesan dan mujarab untuk mengawal serta menghapuskan H1N1. Cuma, sejauh mana keyakinan kita dengan doa ????
Ya, kita telah berusaha. Pelbagai peralatan dan perkakasan disediakan untuk
safety, tapi bagaimana pula dengan DOA ? Ingatlah saudara-saudaraku, usaha yang dilakukan tanpa mengingati Tuhan adalah usaha yang sia-sia sahaja.
Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW :
“Perumpamaan orang ingat akan Tuhannya dengan orang yang lupa akan Tuhannya seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Saya tidak bermaksud menyeru supaya diadakan majlis doa selamat. Itu tak perlu. Apa yang saya maksudkan adalah kesedaran individu. Semua di kalangan kita perlu memandang serius isu doa. Usah kita lihat doa dari sudut yang begitu sempit, seperti, kena ambil wudhu' dulu, kena mengadap kiblat, kena pakai pakaian solat, kena angkat tangan dan sebagainya. Saya tidak menafikan kebaikan semua perkara di atas, tetapi jika keterlaluan dalam mempraktikkannya, akan membuatkan rasa susah, payah dan menyebabkan ramai yang tidak berdoa dan langsung tidak mengenali konsep doa yang sebenar. Seruan saya di sini adalah supaya kita mempraktikkan doa-doa harian yang mudah.
Contohnya : Kakitangan bahagian
Infection yang bertugas awal pagi di pintu masuk utama IJN, ketika ingin meletakkan pelekat di baju atau tag, bacalah
“Bismillaah”. Ringkas tetapi kandungannya sarat dengan intipati aqidah yang mampu membina keikhlasan seterusnya mempertingkatkan lagi kualiti kerja. Tak perlu kuat-kuat,
just sebutkan secara perlahan di bibir.
Secara teorinya, kita semua tahu bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu termasuk H1N1 untuk menguji manusia. Maka, mengapa kita tidak memohon kepada Pencipta serta Penguji kita iaitu Allah supaya menjauhkan kita dari wabak H1N1 ??? (Saya yakin kita semua telah berdoa. Kenyataan di atas adalah sebagai satu muhasabah untuk muslim yang mukmin).
Satu pesanan saya; kadang kala apabila kita telah berdoa, kita inginkan hasil yang segera. Sikap ini telah dikritik oleh Nabi SAW, sabda Baginda :
“Doa seorang hamba itu sentiasa dimakbulkan selama mana dia tidak memohon untuk memutuskan silaturrahim, selama mana dia tidak tergesa-gesa. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan tergesa-gesa? Baginda bersabda : “Seseorang yang berdoa berkata, aku telah berdoa, aku telah berdoa, namun aku belum lihat ia dimakbulkan. Lalu dia berasa lelah dan tidak ingin berdoa lagi.” (Hadis Riwayat Muslim)
(ii) Menjaga kebersihan : Contoh : Di pintu masuk disediakan cecair untuk mencuci tangan sebagai langkah mengawal jangkitan. Tahniah! Kalian telah melakukan sesuatu yang Islami.
Allah berfirman di dalam Al-Quran :
“Allah suka kepada hamba-hamba- Nya yang bertaubat dan menyucikan diri.” (Al-Baqarah, 1 : 222).
Bahkan Nabi SAW memerintahkan kita mencuci kedua belah tangan sebelum mencelupnya ke dalam bekas air (Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim).
Dan banyak lagi bukti-bukti lain menunjukkan betapa prihatinnya Islam terhadap isu-isu kebersihan.
(iii) Mengelak dari bermusafir ke negara-negara yang tersebarnya wabak H1N1 : Ini adalah saranan Menteri Kesihatan Malaysia. Alhamdulillah atas peringatan tersebut. Sebenarnya Nabi kita, Muhammad SAW telah terlebih dahulu
alert dengan isu-isu penyakit berjangkit dan telah melarang sesiapapun bermusafir ke tempat-tempat yang didapati punca wabak tersebar. Begitu juga penghuni tempat tersebut dilarang keluar dari tempat tinggalnya bagi mengelakkan jangkitan (peristiwa taun).(Hadis diriwayatkan oleh: al-Bukhari dan Ibn Sa’d)
Istilah ini dikenali kini dengan kuarantin. Sedangkan 1430 tahun yang lalu, Nabi kita telah memikirkan tentang
infection serta pengawalannya, mengapa kita tidak berusaha memanfaatkan nasihat Baginda ?? Ingat! Perkataan Baginda adalah wahyu, yang bebas dari kesilapan dan kesalahan, manakala idea kita adalah teori semata-mata hasil dari kajian yang tidak bebas dari sebarang kekurangan dan kecacatan.
Ingatilah Baginda, berselawatlah padanya. Sabda Nabi SAW:
“Perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari Jumaat, barang siapa yang selawat ke atasku sekali, Allah akan selawat ke atasnya 10 kali.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).
Perlu diingati, Islam bukan agama yang melarang kemajuan dan membentuk kejumudan. Sebaliknya Islam menyeru kepada kemajuan teknologi. Bertepatan dengan hadis Nabi SAW ketika Baginda mengkagumi teknik tut (kahwinkan pokok), Baginda bersabda :
“Kalian lebih mengetahui tentang dunia kalian.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Oleh itu, gunakan dan kembangkanlah segala teknologi yang ada sebagai satu tanda mensyukuri nikmat Tuhan. Cuma, biarlah ada batas-batasnya agar manusia tidak lupa statusnya sebagai HAMBA.
(iv) Muhasabah diri : Mungkin H1N1 Allah turunkan sebagai satu bala ke atas manusia bersesuaian dengan maksiat yang mereka lakukan. Dalam umum hadis Nabi SAW:
“Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat adalah manusia akan ditimpa bala bencana dan ia berlaku apabila kefasikan berleluasa (bahkan manusia bermegah dengan maksiat mereka), para sahabat Baginda bertanya : Ya Rasulullah, bagaimana jika ada di kalangan kami orang yang soleh, adakah bala itu turut menimpa mereka? Jawab Baginda : Ya, bala itu turut menimpa mereka, sekiranya perkara yang keji berleluasa.” (Hadis riwayat Muslim).
Sebahagian ulama menterjemahkan perkataan “keji” adalah zina, dan sebahagian yang lain menyatakan maksiat. Wallaahua’lam. Jika demikian, marilah sama-sama kita cerminkan diri kita, sejauh manakah kita mentaati segala perintah Allah dan sejauhmanakah kita meninggalkan segala larangan-Nya. Moga dengan perubahan sikap kita, Allah memberikan bantuan-Nya. Firman Allah:
“Sekiranya kamu menolong Allah (mentaati-Nya) nescaya Allah akan membantu kamu dan menetapkan pendirianmu.” (Muhammad, 47 : 7)
(v) Memurnikan aqidah dari sebarang unsur-unsur syirik dan perkara-perkara yang membatalkan iman : Sia-sia sahaja, walau kita bebas dari H1N1, tetapi kita tidak bebas dari azab neraka. Azab neraka sesuatu yang pasti kewujudannya. Cuma adakah kita mempercayainya atau tidak ? Ada 4 kelompok manusia dalam beriman kepada kewujudan neraka :
1. Beriman dengan kewujudannya, takut dan melakukan amalan yang soleh untuk mengelak darinya.
2. Beriman dengan kewujudannya, takut tetapi tidak melakukan amalan yang soleh untuk mengelak darinya.
3. Beriman dengan kewujudannya, tetapi tidak takut dan tidak melakukan amalan yang soleh untuk mengelak darinya.
4. Tidak beriman, tidak takut, tidak beramal (kafir)
Persoalannya ; Di manakah kita ????
Bagimana ingin murni aqidah? Dengan ilmu. Itu sahaja jalannya. Kerana itu SAW bersabda :
“Barang siapa yang Allah inginkan kebaikan untuknya, maka Allah akan fahamkan dia dengan agamanya.” (Hadis riwayat Ahmad). Bererti barangsiapa yang Allah tidak inginkan kebaikan baginya, maka Allah tidak akan memberikan kefahaman kepadanya. Semuanya terletak di tangan kita sekarang. Berusahalah. Beramallah dengan ilmu bukan ikutan dan tradisi.
(vi) Memperbanyakkan amalan yang soleh. Amalan yang soleh akan membentuk akhlaq yang baik. Dari akhlaq yang baik, akan membawa kepada sikap bertanggungjawab dalam menjaga hak-hak manusia lain. Contohnya : Apabila seseorang terkena selesema yang “pelik”, dia tidak ingin ke klinik atau hospital untuk dirawat kerana bimbang ditahan. Sikap seperti ini, boleh membawa jangkitan kepada orang lain, sekiranya dia dijangkiti H1N1. Islam agama yang menjaga hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Tuhannya. Hak-hak manusia dipelihara. Jadi, jangan semata-jangan kerana pentingkan diri sendiri, kita gadaikan hak-hak orang lain.
4. TAWAKKAL : Setelah, redha, sabar, berusaha (beserta beberapa teknik-tekniknya) , maka bertawakkallah kita kepada Allah. Firman Allah :
“Dan kepada Allah sahaja orang beriman itu bertawakkal.” (Ali ‘Imran, 3 : 160). Golongan yang bertawakkal ada beberapa kelompok:
- Usaha, bertawakkal
- Tidak usaha, tetapi bertawakkal (pelik)
- Usaha, tetapi tidak bertawakkal (mempercayai kekuatan diri sendiri melebihi segalanya. Terlebih motivasi!)
- Tidak usaha, tidak bertawakkal.
Mengapa perlu tawakkal? Bagi muslim yang mukmin, tawakkal membuktikan keimanan kita bahawa Allah yang mencipta, memiliki, menguasai atas segala sesuatu. Oleh itu, jika kita gagal, kita akan memulai semula susunan di atas redha > sabar > usaha > tawakkal, dan jika kita berjaya, kita berpindah ke destinasi yang baru iaitu SYUKUR.
5. SYUKUR : Hendaklah kita mensyukuri segala nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita. Antaranya, pada hari ini, kita masih merupakan salah seorang dari manusia yang terselamat dari jangkitan H1N1. Bagaimana dengan besok? Lusa ? Belum tentu. Ingatlah, Allah berfirman :
“Sekiranya kalian bersyukur, nescaya Allah akan menambahkan (kebaikan) kepada kalian, dan jika kalian kufur (terhadap nikmat Tuhan), maka ketahuilah azabku amat pedih.” (Ibrahim, 14 : 7). Antara cara-cara bersyukur kepada Allah adalah melalui :
- Lisan - seperti berzikir memuji Allah, berdoa dan sebagainya.
- Perbuatan - seperti melakukan amalan yang diperintah Allah dan meninggalkan amalan yang dilarang-Nya, sujud syukur dan sebagainya.
- Hati - seperti mengharapkan kebaikan dari Allah, ikhlas, takut hanya pada-Nya.
Wallaahu a’lam.
*************************************************************************************