Sabtu, 28 Mac 2009

25 Rawatan Untuk Pesakit: Siri 18

Assalamualaikum

http://websitifatimah.files.wordpress.com/2009/01/air-sakit.jpg

Kita tidak digalakkan merungut dalam sesuatu perkara yang menimpa. Rungutan wujud apabila kita kehilangan hak manfaat yang dikecap sebelumnya. Kita belum menunaikan hak kita kepada Tuhan. Oleh itu kita sepatutnya berbuat demikian dengan bersyukur kepadaNya.

Kadangkala kita juga merungut pada sesuatu yang batil, seolah-olah kita benar dalam tindakan itu. Kita tidak berhak merungut dengan melihat kepada orang yang lebih sihat daripada kita, sepatutnya kita melihat kepada orang yang lebih lemah dan lebih teruk sakit yang dialaminya daripada kita.

Kita sebenarnya ditugaskan supaya selalu dan banyakkan bersyukur. Sekiranya tangan kita patah, kita perlu melihat kepada tangan yang terpaksa dipotong. Sekiranya kita hanya memiliki sebelah mata sahaja, kita perlu melihat kepada mereka yang kehilangan kedua-dua belah mata. Ini adalah supaya kita bersyukur kepada Tuhan.

Apabila seseorang itu dilimpahi dengan kenikmatan, dia tidak berhak melihat orang yang lebih baik kedudukannya. Kerana ini menambahkan lagi rungutan dalam dirinya. Dan sekiranya ditimpa bencana, seseorang itu mesti melihat kepada orang yang lebih teruk ditimpa bencana. Dengan berbuat demikian, mereka lebih bersyukur dengan apa yang mereka peroleh. Rahsia ini dijelaskan dalam sebahagian risalah yang lain.

Contohnya seperti berikut, “Seorang lelaki memimpin tangan seorang miskin menaiki sebuah menara sehingga ke puncaknya. Lelaki itu memberikan hadiah kepada si miskin pada setiap tingkat menara. Akhirnya ketika sampai di puncak menara, lelaki itu memberikan hadiah yang besar dan berharga kepada si miskin itu.”

Menurut risalah itu lagi, “Sepatutnya lelaki miskin itu mengucapkan terimakasih kerana pelbagai jenis hadiah yang diberikan kepadanya. Sama ada dia lupa pada segala hadiah yang diterimanya di setiap tingkat menara ataupun dia menganggapnya tidak bernilai, lalu dia tidak berterima kasih kerana dia melihat kepada orang yang lebih tinggi darjatnya daripada dirinya.”

Seterusnya lelaki miskin itu berkata dan merungut, “Sekiranya menara ini lebih tinggi, pasti saya boleh mencapai darjat yang lebih tinggi. Kenapa ketinggian menara ini tidak sama dengan bukit di sana ataupun menara di sebelah?”

Sekiranya lelaki miskin tadi merungut sedemikian rupa, sememangnya dia memperolehi kekufuran nikmat dan hak yang melampau.

Demikian juga halnya dengan keadaan manusia yang datang ke dunia ini daripada ‘ketiadaan’, dengan menjadi muslim yang banyak memperoleh segala jenis nikmat kesihatan serta dapat mengecap darjat kenikmatan yang tinggi. Meskipun begitu dia tetap merungut tidak kira sama ada ketika ditimpa penyakit ataupun kerana dia sendiri yang mensia-siakan nikmat yang diperoleh disebabkan kesalahan sendiri.

Dia dikurniakan nikmat tetapi dia tidak menggunakannya dengan baik. Dia juga dikurniakan nikmat, tetapi dia tidak mampu mencapai nikmat itu. Ini menyebabkan dia berkata, “Apakah yang sudah aku lakukan, sehingga berlaku kepadaku apa yang berlaku?”

Dia berkata demikian dalam keadaan yang mengkritik rububiyyah dan uluhiyyah Tuhan. Keadaan ini menggambarkan kesakitan yang sebenar dan musibah yang lebih besar daripada penyakit dan musibah yang dialaminya. Dia sebenarnya menambahkan sakitnya dengan rungutan itu, contohnya seperti seseorang yang memasuki pertandingan gusti sedangkan tangannya tercedera.

Tetapi orang yang berakal sentiasa mengingati kata-kata Tuhan yang etrkandung di dalam al-Qur’an surah al-Baqarah ayat 156 yang bererti, “Apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Tuhan dan kepadanya jua kami kembali.”

Lalu dia menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan dalam keadaan sabar sehingga penyakit itu berakhir dan menjalankan tugas seterusnya.

- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960) - Petikan daripada buku 'Berita Gembira Buat Pesakit & Doktor'

*************************************************************************************

Tiada ulasan: