
Rasulullah SAW menegaskan, “Ziarah pesakit yang paling baik pahalanya adalah apabila orang yang menziarahi itu segera bangun dari sisi pesakit.”

Terdapat hadis yang menyuruh kita supaya meminta orang sakit berdoa kerana doanya adalah mustajab atau diterima. Khususnya apabila pesakit itu terdiri daripada kerabat terdekat kita, seperti ibu ataupun bapa.
Sekiranya kita memberikan khidmat kepada mereka semasa mereka sakit, ia adalah ibadat penting dan pada masa yang sama ia juga adalah pahala yang besar. Menenangkan dan menggembirakan hati orang yang sakit adalah sedekah yang penting. Anak-anak yang menjaga dan yang menggembirakan hati kedua-dua ibubapa yang sensitif itu memperoleh doa ibubapa mereka yang mustajab.

Situasi ini adalah pandangan kesetiaan yang menampilkan kebajikan yang tinggi di sisi anak. Sifat kemanusiaan yang tinggi juga membangkitkan rasa takjub seluruh makhluk sehingga para malaikat mengalu-alukannya dengan bertahlil, bertakbir serta meninggikan suara mereka dengan berkata, “MasyaAllah. Barakallah.”
Rasulullah SAW bersabda, “Doa orang sakit adalah mustajab dan dosanya diampunkan.”
Perasaan kasih-sayang, kasihan-belas dan rahmat yang dimiliki pesakit dapat mengurangkan kesakitan yang ditanggung. Seterusnya mereka dapat mengecap kenikmatan yang manis dan menggembirakan.

Doa adalah ibadat, kerana seorang pesakit berlindung di bawah lindungan Ilahi semasa berada dalam keadaan lemah. Oleh itu walaupun sudah 40 tahun saya berdoa supaya sakit di bahagian belakang saya sembuh, tetapi tidak diterima, namun itu tidak sedikitpun memalingkan saya ataupun menjadikan saya terfikir supaya meninggalkan doa meskipun sehari.
Ini adalah kerana sakit adalah waktu dan ketika untuk berdoa. Sembuh pula bukan kesan daripada doa, bahkan ia adalah pemberian Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Pengasih berdasarkan kelebihan dan kemuliaanNya semata-mata.

Kita adalah jahil. Tuhan memberikan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat kepada kita. Kadang-kadang Tuhan menyimpan doa-doa keduniaan kita itu supaya kita mendapat faedahnya di akhirat nanti.
Bagaimanapun, doa yang lahir daripada keikhlasan dan rahsia penyakit yang datang daripada sifat kelemahan dan kehinaan adalah hampir diterima. Sakit adalah asas kepada doa yang ikhlas seperti ini. Justeru itu, orang yang sakit dan mereka yang menjaganya semasa sakit sepatutnya mengambil faedah daripada doa ini.
- Risalah atau wasiat ini ditulis oleh pemimpin agama, Badiuzzaman Said Nursi (1876-1960) - Petikan daripada buku 'Berita Gembira Buat Pesakit & Doktor'
*************************************************************************************
Tiada ulasan:
Catat Ulasan