Sabtu, 18 Disember 2010

Pertemuan Yang Tak Disangka...

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Setelah balik dari Mekah, minggu ni Ummi sekeluarga berpeluang pula menjenguk Serambi Mekah (Kelantan). Kebetulan ada majlis walimah adik angkat. Usai pertemuan dengan pengantin, terus kami ke KB Mall untuk mencari sedikit keperluan.

Tak disangka-sangka, sebaik saja Ummi melangkah masuk ke KB Mall, tiba-tiba Ummi disapa oleh seseorang.

"Kak Ummi!"

"Eh, Chik ke ni?"

"Ha'ah...Chik ni. Ya Allah, tak sangkanya dapat jumpa Kak Ummi kat sini!"

Begitulah pertemuan yang telah diatur oleh Dia yang Maha Pengatur...

Ummi kenal Chik melalui blognya yang tidak asing lagi ; Keluargaku Sayang. Malah Ummi juga antara pelanggan tetap buku-buku jualan Chik melalui laman online MariBaca Blogshop. Sungguh pertemuan yang begitu mengujakan!

Kalau selama ini kami hanya mengenal melalui alam maya, namun kini Allah telah mempertemukan kami di alam realiti. Pertemuan sedetik itu malah telah menambah eratkan rasa kasihsayang persaudaraan di antara kami. Chik amat mesra sekali orangnya. Tak hairan kalau selama ini kemesraan itu sudah terasa melalui tulisan-tulisan Chik yang sentiasa di update setiap hari! Tulisan yang sarat dengan bait-bait nasihat dan pengajaran untuk pembaca....

Chik, Moga ikatan ukhuwwah antara kita akan terus berkekalan....

Tak sangka juga saiz Kak Ummi dan Chik, lebihkurang aja...hehe. Lepas ni senang Kak Ummi nak order abaya dengan Chik...dah tahu saiznya.

Malah pertemuan ini juga rupanya membawa rezeki kepada kami sekeluarga untuk peluang melancong ke Beijing dengan pakej yang begitu murah sekali - RM199.00 per kepala! Terimakasih Wan (suami Chik) atas peluang yang diberikan. Ada sesiapa yang berminat nak join pakej ini? Cepat hubungi Chik di blognya sebelum 20 Disember ini...hehe. Saja nak promosi.

Mudah-mudahan bertemunya kita kerana Allah dan berpisahnya kita, juga kerana Allah. Bukankah antara tujuh macam orang yang akan dinaungi Allah pada hari kiamat kelak, pada saat tidak ada naungan kecuali naungan Allah ialah dua orang yang saling menyintai (berkasih sayang) kerana Allah s.w.t. baik ketika berkumpul mahupun berpisah?

Seeru 'ala baarakatillah....


Khamis, 16 Disember 2010

Travelog Haji : Mohonlah DariNya...

Assalamualaikum.

Bertemu kembali...

Termenung Ummi sebenarnya nak menulis berkaitan hikmah perjalanan haji yang baru dilalui. Apa yang nak disampaikan mungkin tak kesampaian maksud. Cukuplah beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk dikongsi bersama...

Selagi Usia Masih Muda

"Abi, lepas ni kan...kita mintaklah anak-anak kita kerjakan haji sewaktu umur masih muda. Kita yang masih dalam kategori belum berusia sangat (40-an) nipun dah terasa sangat beratnya beban fizikal yang perlu ditanggung dalam mengerjakan ibadah haji ni. Macamanalah agaknya makcik-makcik yang lebih tua dari kita tu ek?"

Itulah antara cetusan perbualan Ummi dan Abi sewaktu di sana.

Benar, ibadat haji adalah ibadat fizikal. Tawaf, Sa'i, Wukuf di Arafah, Bermabit di Muzdalifah dan Mina, Melontar Jamrah...segala-galanya memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Malah, untuk berulang-alik ke masjid juga memerlukan daya kekuatan fizikal! Apa tidaknya, jarak antara masjid dan tempat penginapan tidak lagi sedekat dulu. Apalagi jika tempat penginapan kita itu jalannya berbukit bukau.

Terasa sangat ruginya apabila melihatkan jemaah berusia terpaksa solat sendirian di bilik lantaran diri yang tak berkemampuan untuk ke masjid walhal ganjaran solat di Masjidil Haram itu 100,000 kali ganda pahalanya.

Mengapa perlu tunggu usia tua untuk mengerjakan haji? Bila diri sudah berkemampuan, bersegeralah...

Selagi Kekuatan Masih Ada...

"Han, tak payahlah ulang-alik ke masjid sangat panas-panas ni. Nanti sakit, susah. Lepas ni kita nak kerjakan haji pulak. Masa haji ni, perlu tenaga lebih. Jadi simpanlah dulu tenaga tu betul-betul..."

Antara nasihat yang Ummi terima...

Terdetik dihati, 'Jauh-jauh aku datang ke sini. Kalau tak kerana nak merebut pahala dan ganjaran selama berada di sini, rugilah sangat.'

"Tak apa. Sayang kalau tak ke masjid. InsyaAllah kita doa banyak-banyak mintak Allah pelihara kesihatan kita.."

Setiap kali ke masjid di waktu puncak kepanasan (Zohor), Ummi akan menyelubungi diri dengan pemakaian 'mask'/purdah dan cermin mata hitam. Benar, tak terasa kepanasannya lagi. "Patutlah nampak jemaah yang pakai purdah tu, payah nak kena demam/selsema/batuk eh Abi. Rupanya diri mereka benar-benar terlindung dari kepanasan dan habuk."

Waktu ke masjid juga kami tetapkan hanya 3x untuk 5 waktu. Waktu Subuh, Zohor dan gabungan Asar sehingga Isyak. Bermakna selepas Asar kami akan terus berada di masjid sehinggalah solat Isyak. Dengan cara begini, kami tak kepenatan kerana berulang-alik. Namun perbanyakkanlah doa agar Allah memelihara wudhuk kita sentiasa. Kalaupun terbatal, tandas di Masjidil Haram ada tersedia. Cuma bagi Ummi, jemaah wanita, agak gerun rasanya nak keluar dari saf berseorangan untuk ke tandas. Maka doa sentiasa dipanjatkan agar Allah tetap memelihara wudhuk sehingga selesai menyempurnakan solat Isyak.

Selagi Waktu Masih Tersisa

Sebelum sampai waktunya kita berangkat ke Arafah untuk wukuf, perbanyakkanlah masa di Masjidil Haram. Sewaktu kami di sana, waktu siang terasa sekali pendeknya. Waktu malam yang panjang pula jangan dihabiskan untuk tidur memanjang. Tidur awal, bangunnya juga awal. Tidur sekadar 3,4 jam sudah cukup mengembalikan tenaga untuk beribadat. Qiamullail di Masjidil Haram terasa sungguh keseronokannya. Selepas solat Subuh, itulah masa terbaik untuk melakukan tawaf sunat atau sekadar merenung kaabah dalam merebut ganjaran rahmat dari Allah. Pulang ke bilik hanya selepas waktu dhuha untuk bersarapan. Rehat seketika dan kembali lagi ke Masjidil Haram 2 jam sebelum masuk waktu. Selepas Zohor, kembali ke hotel untuk makan tengah hari. 2 jam sebelum masuk waktu Asar kembali lagi ke masjid sehinggalah selepas solat Isyak. Alhamdulillah, banyak masa yang boleh dihabiskan di masjid untuk membaca al-Qur'an dan melakukan solat sunat.

Seawal jam 7.30 petang, solat Isyak sudah selesai. Waktu Subuh hanya masuk lebih kurang jam 5.15 pagi. Itulah sebabnya Ummi mengatakan waktu malam begitu panjang dan waktu siang terasa sekali pendeknya. Maka pergunakanlah ia dengan sebaiknya.

Rindu Pada Mak

Sepanjang di sana, hampir setiap malam Ummi tidur bermimpikan mak. Mak yang ditinggalkan di rumah dalam keadaan tidak mampu duduk atau berjalan, tidak mampu makan atau minum, tidak mampu bertutur akibat angin ahmar yang menyerang. Namun sewaktu di Tanah Suci, hampir setiap malam Ummi bermimpi bersama mak yang bisa bertutur, bisa berjalan dan bisa melakukan apa sahaja sebagaimana mak sewaktu masih sihat. Apabila siang menjelma, Ummi menelefon ke rumah hampir setiap hari bertanyakan khabar mak. Namun hakikatnya keadaan mak tetap juga tak berubah. Mak tetap tak mampu berjalan, duduk, makan, minum mahupun bertutur. "Ya Allah, aku tetap pasrah dengan kehendakMu namun aku akan tetap memohon dariMu di setiap ketika agar mak diampuni segala dosa-dosanya dan disembuhkan dari penyakit yang dihidapinya. Hanya Engkaulah jua Ya Allah yang Maha Pengatur atas segala-galanya..."

Pertolongan Allah

Mohonlah sentiasa dari Allah agar memberikan pertolongannya buat kita di setiap masa. Jangan kita merasa gah dengan kesihatan dan kekuatan yang Allah kurniakan pada kita sehingga kita lupa untuk meminta pertolonganNya.

Pernah sewaktu melontar 3 jamrah, Ummi dihimpit 2 manusia yang berbadan besar dan sasa, namun di ketika itu juga datang seorang hamba Allah yang lebih besar memegang bahu Ummi dan membawa Ummi terus ke benteng hadapan jamrah. Subhanallah...

Pernah sewaktu tekak ini terasa sekali hausnya, namun tangan tak kesampaian menadah air zamzam yang berada di bawah sana, tiba-tiba ada hamba Allah yang merenung ke atas ke arah Ummi dan menghulurkan segelas air zam-zam buat membasahi tekak. Sungguh tak terhitung nikmat dariNya...

Bahkan untuk bersolat di masjidpun, mohonlah sentiasa agar Allah menyediakan ruangnya untuk kita. Betapa ramai mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan saf di dalam ruang masjid atau di hadapan kaabah, namun jika kita memohon dariNya dan yakin akan pertolonganNya, InsyaAllah saf kita akan sentiasa tersedia di sana...

Terimakasih Ya Allah..Terimakasih Suamiku

"Abi, masa kat Mekah nanti Abi jangan tinggal Ummi eh..."

Itulah antara cetusan yang lahir dari hati yang was-was, gerun dan bermacam lagi yang difikirkan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Terbayang di sana kita bakal melaksanakan ibadat tawaf, sa'i, wukuf, melontar jamrah dalam himpitan jutaan manusia.

Memang benar. Di sana, kita berada dalam himpitan jutaan manusia namun rupanya Allah sentiasa menyediakan ruangnya untuk kita. Abi tak pernah tinggalkan Ummi keseorangan. Baik dalam situasi tawaf, sa'i, wukuf, melontar bahkan berulang-alik ke masjid juga kami sentiasa bersama. Terpisah hanya pada saf solatnya. Terimakasih Ya Allah...terimakasih yang tak ternilai buat anugerah seorang suami yang begitu penyayang dan prihatin dalam membimbingku di setiap ketika...

Selasa, 14 Disember 2010

Travelog Haji: Kembali Ke Tanah Air...

Assalamualaikum.

Buat pengunjung yang dirindui, Alhamdulillah Ummi dan Abi telah selamat kembali ke tanah air. Segala puji bagi Allah yang telah mempermudahkan segalanya. Walaupun kesihatan agak sedikit terganggu sewaktu di Tanah Suci, namun urusan ibadah haji tetap dapat disempurnakan. "Ya Allah, terimalah amalan ibadah kami dan kurniakanlah kami haji yang mabrur..."

Hanya beberapa keping gambar untuk dikongsi bersama. Kali ini Ummi kembara tanpa kamera. Niat dihati nak menumpukan sepenuh masa yang ada untuk beribadah kepadaNya. Lantaran itu, kamera ditinggalkan di tanah air. Cukuplah beberapa keping gambar yang disnap melalui kamera telefon Abi sebagai kenangan.

Dari Tingkat 2 Masjidil Haram. Setiap hari, di sinilah tempatnya kami meraih 20 rahmat dari Allah yang Maha Pemurah hanya dengan melihat dan merenung kaabah...

Kami tiba di Masjidil Haram benar-benar di waktu puncak, di saat hampir kesemua bakal-bakal jemaah haji telah berkumpul dari seluruh negara. Ada yang mengatakan jumlah kesemua jemaah haji tahun ini 5 juta orang, ada juga yang mengatakan 4 juta orang. Wallahua'lam.

Di belakang Ummi adalah Jamratul Aqabah. Rasa macam tak percaya, saat kami tiba di sana untuk melontar Jamratul Aqabah setelah selesai mengerjakan tahallul awal, suasananya begitu tenang dan damai...Sungguh Allah telah mempermudahkannya buat kami.

Inilah saatnya kelambu kaabah ditukar. Kalau sebelum ini, hati sentiasa dilanda kebimbangan...mampukah ya Allah aku menghadapi suasana beribadat dalam himpitan berjuta-juta manusia, namun rupanya ruang untuk kita sebagai tetamuNya di sana sentiasa tersedia...mohonlah dari Nya yang Maha Memberi...

- Bersambung, InsyaAllah -


Rabu, 3 November 2010

Kusahut PanggilanMu Ya Allah...

Assalamualaikum.

Dikesempatan ini, Ummi ingin memohon ribuan kemaafan buat semua pengunjung blog jika terdapat sebarang kekhilafan, kesalahan dan kesilapan dari Ummi sama ada secara sedar atau di luar kesedaran Ummi sendiri. InsyaAllah pada tarikh 7 November ini, jam 10.20 pagi Ummi dan Abi akan bertolak ke Tanah Suci Al Mukarramah bagi menunaikan tuntutan Rukun Islam yang ke-5. Doakanlah kami….

Bercelaru hati ini sebenarnya kerana panggilan ke tanah suci tiba di saat Ummi menyambut amanah menjaga bonda yang terbaring tenat di rumah Ummi sendiri. Hati terkata-kata, wajarkah panggilan haji ini disambut? Namun Alhamdulillah, berkat musyawarah bersama keluarga, kakak bersetuju menyambung amanah menjaga bonda sepanjang ketiadaan Ummi dan Abi di rumah. Semoga segalanya dipermudahkan Allah. Doakanlah juga untuk kesihatan bonda…


“Ya Allah, kurniakanlah keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan buat kami ya Allah. Permudahkanlah urusan kami. Kami serahkan anak-anak dan kedua ibubapa kami dibawah peliharaanMu ya Allah. Kurniakanlah buat kami haji yang mabrur..Amin, Amin, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”

Selasa, 19 Oktober 2010

Dari Insan Yang Melahirkanmu...

Assalamualaikum.

Hari ini genaplah umur anak sulung Ummi, Ammar, 15 tahun. Selamat menyambut hari lahir di perantauan, Along. Semoga Along bertambah matang dalam meniti usia. Doa dari Ummi dan Abi buat Along dan adik-adik pastinya tidak akan putus.

Dah seminggu lebih Along dan Angah kembali ke Mesir demi tuntutan ilmu. Ummi tahu, Along dan Angah sedih nak berpisah. Tapi Ummi juga tahu, Along dan Angah orang yang tabah. Orang yang di dalam hatinya sentiasa berazam untuk menjadi luar biasa, bukan sekadar biasa-biasa.

Hanya kalianlah anak-anak lelaki Ummi. Siapakah kelak yang akan menjaga Ummi dan Abi di kala Ummi dan Abi dah tak bermaya kudratnya? Siapakah nanti yang bakal menjadi pemimpin buat adik-adik perempuan yang sentiasa memerlukan bimbingan? Siapakah seharusnya kelak yang akan menerajui keluarga setelah bergelar suami dan ayah? Siapakah juga nanti yang akan memperbaiki keadaan masyarakat yang punah di sekeliling? Tak lain dan tak bukan, kalianlah yang perlu bersedia kearah itu.

Tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya. Kalam Allah terlalu amat luasnya. Kalam yang tersedia untuk menyediakan diri manusia sebagai khalifah Allah di mukabumi ini.

Usah banyak membuang masa, wahai anak-anakku. Sungguh masa itu terlalu berharga! Menjelang usia yang semakin lanjut kini, Ummi amat merasakan betapa berharganya masa-masa yang telah berlalu itu. Namun kita tidak mungkin berbalik kembali ke masa yang lampau. Kerana itu, jadikanlah hari-hari yang dilalui itu sebagai hari-hari yang terbaik dalam hidup kalian. Biarlah hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari esok lebih lagi baiknya dari hari ini.

Peliharalah solatmu di awal waktu. Jangan tinggalkan solat berjemaah dan biasakanlah diri Along dan Angah bertahajjud di kala rakan-rakan yang lain masih enak dibuai mimpi. Hanya dengan jalan itu benteng pertahanan iman yang kukuh akan terbina. Perjalanan hidup kalian masih jauh jika dikurniakan usia yang panjang. Terlalu banyak cabaran yang bisa mendatang. Kerana itu benteng pertahanan iman perlu dibina dengan sekukuh-kukuhnya.

Hanya sekadar itu coretan dari insan yang melahirkanmu di hari lahirmu ini…

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) do’a permohonan. Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Khamis, 16 September 2010

Suka Dan Duka Di Aidilfitri...

Assalamualaikum.

Kemeriahan Aidilfitri tak terasa lantaran keadaan mak yang sangat uzur. Anak cucu tak ada mood nak ke mana-mana. Namun kunjungan tamu ke rumah mak tak henti-henti dari pagi sehingga ke malam.

Mak dan bak sangat menjaga hubungan waris dan ahli keluarga. Bila ditimpa sakit, kunjungan dan doa dari mereka datang mencurah-curah.

Wan bersama cucu kesayangannya. Wan dah tiada daya untuk bangun dan berjalan sendiri. Duduknyapun perlu dipangku. Namun dek kerana kesungguhan untuk memeriahkan suasana, digagahkan jua dirinya untuk duduk di birai katil meskipun IV Drip tercucuk di tangan.

Align Center
Ki bersemangat sekali nak gembirakan hati cucu-cucunya. Bersungguh-sungguh Ki membantu Wan untuk membahagikan duit raya.

Seorang demi seorang cucu datang bersalaman dengan Wan. Nampak sangat Wan yang keletihan.

Tiba giliran Anas (anak ke-2 Ummi) tak semena-mena Wan jadi sebak. Agaknya kerana harapan tinggi yang diletakkan pada cucunya ini untuk menjadi ulamak warasatul anbiya'...itulah yang sering diperkatakannya sewaktu Wan masih sihat.

Begitu juga bila tiba giliran Ammar (Along). Wan sebak tak terkata. Sambutlah harapan Wan itu, wahai anak-anak Ummi...

Usai sesi bersalaman dan bermaaf-maafan, Ki dengan gaya macam penyimpan mohor besar raja-raja meng'offer'kan diri untuk bergambar beramai-ramai dengan anak-menantu dan cucu-cucunya.

Ki bersama anak-menantu dan cucu-cucu lelaki. Masih belum lengkap sebenarnya ni sebab abang sulung Ummi sekeluarga tak balik beraya di kampung tahun ini.

Ki bersama anak-menantu dan cucu-cucu perempuan.

Ummi sekeluarga bersama Ki.

Ayah Chik sekeluarga (abang ke-3 Ummi) bersama Ki.

Ayah Ngah sekeluarga (abang ke-2 Ummi) bersama Ki.

Mak Teh sekeluarga (satu-satunya kakak Ummi) bersama Ki.

Ni dia Ki bersama kesemua anak-menantu dan cucu-cucu (tanpa keluarga abang sulung)

Selepas bergambar, kembali kami menemani Wan yang terlantar...

"Mak nak makan apa? Nanti mek suapkan..." Agaknya itulah yang dibisikkan Mak Teh.

3 wajah seiras. Ayah Ngah dan Mak Teh memang banyak sekali irasnya dengan rupa Wan.

"Wan minum elok-elok ya. Nanti tersedak..." Hanya 2 minggu sahaja lagi Anas dapat bersama Wan sebelum kembali berangkat ke bumi kinanah untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu.

Dalam keadaan diri yang lemah tak bermaya, Wan mudah sebak dan menangis.

Namun suami tercinta sentiasa memujuk dan menghiburkan...

Bahkan setia menemani sehingga terlena...sungguh cinta yang tulus dan mendalam, menjadi idola buat anak-menantu dan cucu-cucu.


Add Image

Ahad, 12 September 2010

Tetamu Istimewa Di Penghujung Ramadhan

Assalamualaikum.

Pagi 30 Ramadhan merupakan pagi yang amat bermakna buat Ummi kerana tanpa disangka-sangka, pagi ini Ummi telah menerima kunjungan tetamu yang sangat-sangat istimewa. Pasangan suami isteri yang Ummi anggap sebagai sifu dan idola lantaran penulisan mereka di blog dan buku yang amat mengesankan. Nak tahu siapa mereka?

Tak lain dan tak bukan, pasangan suami isteri Professor Muhd Kamil dan Kak Roza yang merupakan penulis buku Travelog Haji dan Travelog Cinta.

Tak sangka, tempahan buku yang Ummi buat di akhir Ramadhan menjanjikan sebuah pertemuan. Prof dan Kak Roza benar-benar telah memberikan Ummi satu kejutan dengan kunjungan persahabatan ini. Segan tak terkira Ummi sebenarnya bila kedua-dua idola dan sifu Ummi ini sudi menjejakkan kaki ke teratak Klinik Ummi yang uzur. Rasa macam tak percayapun ada. Malah kemesraan yang terjalin benar-benar membuatkan Ummi semakin menghormati mereka. Juga Ummi berdoa agar ikatan ukhuwwah ini akan kekal berpanjangan sehingga ke yaumul akhirah...

Terimakasih Prof, Terimakasih Kak Roza...

Jazakumullahu khairan kathira.

Semoga kita akan dipertemukan lagi dalam pertemuan yang diredhai Allah. Amin...

P/s : Boleh baca juga cerita kunjungan ini di blog Prof di sini.


Khamis, 9 September 2010

Salam Lebaran

Assalamualaikum.


Dengan ini, Amirah mewakili Ummi sekeluarga dengan 'titah-perintah' Ummi supaya Amirah buat
post ni mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri special buat semua pengunjung blog Klinik Ummi. Ummi kirim salam untuk semua. Tak baik tak jawab salam, dosa! H0hoh0.. :)
Hari Raya nanti beringat-ingatlah makan tu, ya...http://planetsmilies.net/eat-drink-smiley-5158.gifNanti beraya dalam tandas baru tahu! Tak payah takut sebab syaitan tengah sibuk makan kuih kat dapur. Hahaha.. Eh, lawak ke? Kalau lawak sukalah...rolling on the floor

Sampai di sini ajalah.. Nanti Ummi marah Amirah merapu banyak sangat.. Hehe..

Wassalam..

*********************************

Dari Ummi Pulak :

Assalamualaikum.

Terimakasih kakak (Amirah) sebab dah tolong Ummi postkan gambar ucapan Salam Aidilfitri di atas tu lebih awal. Hehe...melawak sokmo kakak ni,ya. Juga ucapan terimakasih tak terhingga dari Ummi buat Along yang dengan senang hatinya, tanpa disuruh telah merekacipta kad raya ni untuk blog Ummi dan Abi. Harapkan Ummi memang tak retilah bab-bab design ni...

Saat-saat akhir Ramadhan ni, Ummi busy betul. Tu pasal mintak tolong kakak postkan ucapan tu. Bila dah baca tulisan kakak tetiba aja rasa nak tumpang sekaki..hehe.

Ummi ambil sedikit masa yang terluang ni untuk ucapkan Salam Aidilfiri buat semua pengunjung blog Ummi dengan doa - Taqabbalallahu minna waminkum. Mudah-mudahan segala amal kita di bulan yang mulia ini diterima Allah dan kita semua layak mendapat pengampunan dariNya yang Maha Pengampun.

Hmm..macam pesanan kakak kat atas tu, musim-musim raya ni, pandai-pandailah jaga pengambilan makanan dan minuman tu,ya. Bukan apa, selalu sangat kalau raya ni, penyakit paling sering berlaku, tak lain dan tak bukan...cirit-birit! Ni Ummi link kan artikel lama Ummi pasal cirit-birit...moga membantu.

Kullu Amm Wa Antum Bikhair...

Isnin, 23 Ogos 2010

Cerita Ramadhan...

Assalamualaikum.

Hari ni dah masuk 13 Ramadhan. Semenjak Ramadhan ni belum ada lagi post baru dari Ummi kecuali hari ini.

Ucapan Salam Ramadhanpun belum terucap lagi untuk sahabat-sahabiah pengunjung blog Ummi. Jadi alang-alang dah mula menulis ni, Ummipun nak ambil kesempatan untuk mengucapkan:

"Selamat Menyambut Ramadhan buat semua. Mudah-mudahan Ramadhan ini berjaya kita penuhi dengan amalan-amalan yang akan membawa pengampunan Allah terhadap dosa-dosa kita yang telah lalu."...Ameen.

Mercun Oh Mercun

Dah dengar berita semalam pasal letupan mercun yang membawa kepada kematian seorang kanak-kanak tadika?

Kejadian yang berlaku ni dekat sangat dengan Klinik Ummi. Masa letupan tu berlaku, Ummi yang berada di bilik rawatan ni pun terkejut sakan. Punyalah kuat bunyinya beserta dengan gegaran sekali. Macam ada letupan bom atom!

Tapi lepas tu senyap aja macam tak ada apa-apa berlaku. Ummipun balik rehat tengahari di rumah macam biasa. Sesampainya Ummi di klinik untuk sesi petang, barulah dengar cerita rupa-rupanya letupan kuat tadi merupakan letupan mercun di stor mercun yang membawa kepada kematian seorang kanak-kanak dan kecedaraan parah 2 pemuda.

Dengar ceritanya, salah seorang pemuda yang menjadi mangsa tersebut adalah merupakan taukeh mercun yang juga merupakan pemilik stor/rumah mercun tersebut. Kejadian tu berlaku sewaktu mereka sedang memasukkan belerang ke dalam mercun. Wallahua'lam. Dah duduk dekat-dekat sinipun, macam-macam versi cerita yang timbul. Malas Ummi nak tambah-tambah cerita, tambah pulak dalam bulan puasa ni.

Ummi cakap kat Abi : "Budak yang meninggal tu tak ada masalah dah. Dah dijamin ahli syurga sebab belum ada dosa. Alhamdulillah. Allah nak pelihara dia tu. Macam kisah budak yang dibunuh dalam cerita Nabi Khaidir dan Nabi Musa. Yang jadi masalahnya,2 pemuda tadi. Kalau dipanjangkan umur,tersiksa juga mereka dengan kecacatan kekal (hancur kaki) akibat letupan. Namun hikmahnya, Allah masih bagi peluang untuk mereka bertaubat jika benar mereka terlibat dalam jenayah mercun ni."

Video di bawah ni, Ummi tengok kat blog Keluargaku Sayang. Ummi post kan pula ke sini. Yang bagi testimoni nipun (saksi kejadian) Ummi kenal sangat. Selalu datang ke Klinik Ummi. Mudah-mudahan anak-anak kita di rumah, tak adalah lagi lepas ni merengek-rengek nak main mercun. Pastikan mereka tahu cerita ini dan mengambil pelajaran daripadanya.


Juga, luangkanlah sedikit masa untuk membaca artikel yang sangat bagus untuk dijadikan pengajaran dan iktibar, ditulis oleh sifu kita, Ustaz Zaharuddin di bawah tajuk Mercun, Ucapan Maaf & Duit Raya.

Tadarrus

Puasa kali ini, Alhamdulillah keluarga Ummi dapat di'lengkap'kan kembali dengan kepulangan Along dan Angah dari Mesir. Bersahur bersama, bertadarrus sekeluarga dan berbuka beramai-ramai...sungguh saat yang indah dan menggembirakan.

Bermula selepas solat Subuh, sepulangnya Abi dan anak-anak lelaki dari masjid, kami akan bertadarrus bersama. Abi memperuntukkan masa antara 45 minit sehingga 1 jam selepas Subuh untuk kami sekeluarga menghabiskan tadarrus 1 juzuk setiap hari. Lain-lain masa, bolehlah membaca al-qur'an sendiri-sendiri.

Tahun ni, Aisyah dahpun boleh mengikuti jemaah tadarrus kami menjadikan jumlahnya 6 orang. Cuma anak bongsu Ummi, Atiqah Maisarah aja yang belum boleh masuk geng. Makanya masa kitaorang bertadarrus, Atiqahpun menyibuk sama dengan buku Iqra'nya. Kadang-kadang buku ma'thuratnya. Hari ke-3 puasa, Atiqah dah khatam Ma'thurat Al-Kubra. Siap dengan makna-maknanya sekali! Bisinglah dia cakap yang dia dah khatam dulu...hehe...

Bukan tak ada yang terlentok masa mengaji lepas Subuh ni. Tetap ada punya. Kadang-kadang tu dari 6 ahli, tinggal 2 ahli aja yang masih terjaga. Yang lain, semua dah syahid! Huhuhu. Itulah kelemahan manusia, kan?Kalau mengadap qur'an, mata ni rasa macam tak boleh nak celik aja. Kalau mengadap laptop ke, tv ker...tau pulak mata tu membulat. Apapun, Ummi tetap gembira dengan kesungguhan anak-anak yang tak pernah merungut untuk keluar dari kelab tadarrus ni.

Atiqah Belajar Berpuasa

Tahun lepas, masa umur Atiqah 5 tahun memang susah nak 'penuhkan' puasanya. Ada-ada aja alasannya untuk berbuka. Kena pulak time tu dia tak sekolah. Dah duduk di rumah dengan bibik, melayan ajalah bibik dengan kerenahnya mintak makan. Bibik pulak jenis yang tak sampai hati nak tengok si kecil tu berlapar.

Tahun ni, urusan Ummi lebih mudah. Malah teramatlah mudah. Bila dah sekolah, cikgu di sekolah bukan main lagi galakkan anak-anak muridnya berpuasa. Siap janji nak kasi hadiah lagi kat siapa yang puasa penuh. Atiqahpun apa lagi.

"Ummi, cikgu cakap cikgu nak bagi hadiah kat siapa yang puasa penuh. Atiqah nak puasalah Ummi."

Hehe...tak payah dah lagi nak kena kita yang 'paksa'. Cuma tugas Ummi dan Abi di rumah...fahamkan Atiqah maksud puasa yang sebenar dan kenapa kita kena berpuasa beserta ganjaran-ganjarannya.

Hari pertama puasa, hampir kalah juga Atiqah. Asyik duk tanya dah pukul berapa, dah pukul berapa dan asyik mintak nak makan. Tapi bila Ummi nampak Atiqah sebenarnya segar semacam aja, tak letih sangatpun, Ummi buat don't know ajalah dengan permintaan nak makannya tu. Haha..memang tahanpun sampai maghrib. Alhamdulillah.

Masuk hari ke-2 sampai ke hari ni, Alhamdulillah Atiqah dah tak kisah lagi. Soalan-soalannya pun hanya menjurus kepada usaha dia untuk memahamkan maksud puasa. Setiap kali masuk waktu solat, pasti dia mintak confirmation. "Lepas Zohor ni belum boleh makan lagi kan Ummi?" Masuk waktu Asar, tanya lagi. "Lepas Asar ni belum boleh makan lagi kan Ummi?" Dah dekat Maghrib, tanya lagi. "Lepas Maghrib ni boleh makan tak Ummi?" Ditambah pula dengan soalan-soalan lanjutan yang memerlukan kesabaran seorang ibu. Hahaha...apa taknya. Ada ke lepas satu, satu dia tanya makanan apa yang boleh dimakan. "Lepas buka ni, Atiqah nak makan coklat boleh tak Ummi?' "Makan dadih tak apa ke Ummi" "Makan roti batal puasa tak Ummi?"

Huwaaa.....sabar ajalah Ummi...

Solat Terawih

Abi dan anak-anak lelaki bersolat terawih di masjid. Manakala Ummi dan anak-anak perempuan berjemaah di rumah. Bila sampai giliran berbuka puasa di rumah Ki dan Wan, biasanya kami sekeluarga berjemaah bersama Ki di rumah. Kesian Ki yang dah tak larat nak ke masjid kerana keuzuran. Time ni, Abi dan anak-anak lelaki Ummi bergilir-gilir jadi imam. Syukur sangat-sangat Ummi tengok perkembangan Along dan Angah yang dahpun boleh jadi imam. Walaupun kadang-kadang bacaan al-qur'annya masih perlu diperingatkan oleh Abi lantaran terlupa, sekurang-kurangnya harapan Ummi dulu untuk bermakmumkan anak-anak lelaki Ummi sendiri dah tercapai.

Kakak Amirah (anak ke-3 Ummi) pun dah boleh jadi imam terawih kepada Ummi dan adik-adik. Ummi suka kakak jadi imam sebab bacaannya bagus, tertib dan lancar. Malah kakak lebih banyak hafal ayat qur'an daripada Ummi sendiri. Memang lebih layak jadi imampun berbanding Ummi...kan kakak?

Balik dari terawih semalam, Abi summarizekan pada Ummi tazkirah yang Abi dengar di masjid. Antaranya yang boleh Ummi kongsikan.

- Bulan Ramadhan ni kalau boleh jangan ditinggalkan solat sunat rawatib sebelum dan selepas sembahyang farhu tu. Besar ganjarannya. Malah berbanding solat sunat rawatib dan solat sunat terawih, lagi besar ganjaran pada solat sunat rawatib kerana hukumnya sunat muakkad. Masalahnya, orang kita ni selalu sangat tinggalkan solat sunat rawatib untuk kejar solat sunat terawih. Contohnya: Lepas sembahyang fardhu Isyak, terus aja tunaikan solat sunat terawih dengan meninggalkan solat sunat rawatib selepas Isyak. Kan dah rugi kat situ? Begitu juga dengan solat sunat rawatib yang lain - sebelum subuh, sebelum dan selepas zohor serta selepas maghrib.

- Kalau masa solat sunat terawih tu kita ditimpa kantuk yang amat, jangan diteruskan. Bukankah solat terawih ni nabi kata solat bersenang-senang. Rehatkan diri dulu atau tidur dulu. Masa dah hilang ngantuk nanti, boleh sambung semula. Jangan dipaksa diri. Nanti bacaanpun entah apa-apa. Tak pasal-pasal patut dapat pahala, dapat dosa pulak dengan bacaan sembahyang yang salah. Ada Abi cerita contoh macamana Nabi kita solat terawih mengambil masa yang lama untuk dihabiskan kerana diselangi dengan aktiviti-aktiviti yang menyenangkan seperti tazkirah dan sebagainya tapi lupalah pulak Ummi cerita lengkapnya. Huhu...

Hmm...apa lagi ya? Setakat tu dululah yang Ummi ingat. Nanti kalau ada yang boleh dikongsikan, Ummi akan tulis semula InsyaAllah.

Sehingga bertemu kembali...seeru 'ala barakatillah.

Isnin, 2 Ogos 2010

Berjalan Sakan...

Assalamualaikum.

29 Julai petang, bertolak ke KL untuk jemput Along dan Angah di KLIA. Sampai di KL jam 1.00 pagi dek kerana sesat mencari rumah Abang. 30 Julai, bertolak balik ke Terengganu. 31 Julai, bertolak ke Kelantan pula untuk menghadiri majlis kesyukuran sempena pernikahan anak saudara sulung Ummi, Amir Faisal yang pernah Ummi ceritakan mengenainya di sini.

Fuh! Jenuh berjalan.

Apapun, hati terasa puas kerana sempat juga meraikan majlis perkahwinan anak saudara Ummi ni.

Amir dan Muna, bermulalah sudah tanggungjawab dan amanah sebagai suami dan isteri...

Pengantin bersama keluarga di pihak lelaki. Dari kiri : Olin (adik Amir), Dr Khairi (ayah Amir yang juga merupakan abang sulung Ummi), Pasangan Pengantin, Dr Salekhatun (ibu Amir), Mariam (adik Amir) dan paling di hadapan adalah Omar (adik bongsu Amir).

Pasangan pengantin bersama mak-mak saudara dan sepupu-sepapa dari Terengganu.


Kalau tak ada muka puteri bertiga tu, tak sah posting Ummi. Hehehe...

Usai majlis, sempatlah lagi bershopping sakan kat KB Mall. Bila masuk bandar Kota Bahru, terpegun kami. MasyaAllah, sampai begitu sekali pesat membangunnya Kelantan Darul Naim. Siapa cakap Islam memerintah tak boleh maju? Tak percaya, datanglah sendiri di Kota Bharu!

Salut untuk Tok Guru yang telah berjaya membangunkan Kelantan Bersama Islam!



Dah Balik...

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, Along dan Angah sudah selamat tiba di Malaysia!

28 Julai, jam 11.00 malam waktu Malaysia, tiba-tiba Ummi mendapat panggilan telefon dari nombor antarabangsa +60301. Ummi sangkakan anak bibik dari Indonesia yang menelefon. Bila panggilan diangkat, terdengar sayup-sayup suara dari corong telefon : "Assalamualaikum Ummi! Along ni!".

Dalam keadaan terpinga-pinga Ummi bertanyakan Along. "Eh, Along kat mana ni?" Dalam hati terasa pelik juga. Tak pernah Along membuat panggilan pada hari dan masa sedemikian. Biasanya Along akan menelefon Ummi setiap hujung minggu.

"Along kat airport ni Ummi! Dah nak naik flight!"

"Naik flight? Nak ke mana?"

"Nak balik Malaysialah Ummi!"

"Hah?Biar betul?Kan Along cakap Along balik 10 Ogos?"

"Along dan Angah dapat tiket emergency. Kawan Along yang uruskan. Okay Ummi, kawan Along dah ajak pergi ni. Ummi doakan Along Angah ya."

"Okay,okay Along. Jangan lupa baca doa dan zikir dalam perjalanan, ya. Oh ya! Along jangka sampai di KLIA pukul berapa ni?"

"InsyaAllah Along sampai esok malam pukul 9.40p.m di KLIA sebab Along akan transit di Doha dulu selama 6 jam. Okay Ummi. Doakan,ya. Assalamualaikum..."

"Okay Along. Waalaikummussalam..."

Ummipun apa lagi? Gembiranya hati tak terkira sambil doa dipanjatkan agar mereka semua dikurniakan Allah keselamatan dalam perjalanan.

Hari ini mereka dahpun berada di rumah. Alhamdulillah.

Terimakasih tak terhingga dari Ummi buat adik-adik pengunjung yang sudi memberikan panduan, nasihat dan sebagainya buat Ummi dalam posting Ummi topik Terkilan sebelum ini.

InsyaAllah segala panduan dan nasihat yang diberikan itu akan Ummi manfaatkan sepenuhnya di masa-masa akan datang.

Seeru 'ala barakatillah...