Assalamualaikum.
Bertemu kembali...
Termenung Ummi sebenarnya nak menulis berkaitan hikmah perjalanan haji yang baru dilalui. Apa yang nak disampaikan mungkin tak kesampaian maksud. Cukuplah beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk dikongsi bersama...
Selagi Usia Masih Muda
"Abi, lepas ni kan...kita mintaklah anak-anak kita kerjakan haji sewaktu umur masih muda. Kita yang masih dalam kategori belum berusia sangat (40-an) nipun dah terasa sangat beratnya beban fizikal yang perlu ditanggung dalam mengerjakan ibadah haji ni. Macamanalah agaknya makcik-makcik yang lebih tua dari kita tu ek?"
Itulah antara cetusan perbualan Ummi dan Abi sewaktu di sana.
Benar, ibadat haji adalah ibadat fizikal. Tawaf, Sa'i, Wukuf di Arafah, Bermabit di Muzdalifah dan Mina, Melontar Jamrah...segala-galanya memerlukan kekuatan fizikal dan mental.
Malah, untuk berulang-alik ke masjid juga memerlukan daya kekuatan fizikal! Apa tidaknya, jarak antara masjid dan tempat penginapan tidak lagi sedekat dulu. Apalagi jika tempat penginapan kita itu jalannya berbukit bukau.
Terasa sangat ruginya apabila melihatkan jemaah berusia terpaksa solat sendirian di bilik lantaran diri yang tak berkemampuan untuk ke masjid walhal ganjaran solat di Masjidil Haram itu 100,000 kali ganda pahalanya.
Mengapa perlu tunggu usia tua untuk mengerjakan haji? Bila diri sudah berkemampuan, bersegeralah...
Selagi Kekuatan Masih Ada...
"Han, tak payahlah ulang-alik ke masjid sangat panas-panas ni. Nanti sakit, susah. Lepas ni kita nak kerjakan haji pulak. Masa haji ni, perlu tenaga lebih. Jadi simpanlah dulu tenaga tu betul-betul..."
Antara nasihat yang Ummi terima...
Terdetik dihati, 'Jauh-jauh aku datang ke sini. Kalau tak kerana nak merebut pahala dan ganjaran selama berada di sini, rugilah sangat.'
"Tak apa. Sayang kalau tak ke masjid. InsyaAllah kita doa banyak-banyak mintak Allah pelihara kesihatan kita.."
Setiap kali ke masjid di waktu puncak kepanasan (Zohor), Ummi akan menyelubungi diri dengan pemakaian 'mask'/purdah dan cermin mata hitam. Benar, tak terasa kepanasannya lagi. "Patutlah nampak jemaah yang pakai purdah tu, payah nak kena demam/selsema/batuk eh Abi. Rupanya diri mereka benar-benar terlindung dari kepanasan dan habuk."
Waktu ke masjid juga kami tetapkan hanya 3x untuk 5 waktu. Waktu Subuh, Zohor dan gabungan Asar sehingga Isyak. Bermakna selepas Asar kami akan terus berada di masjid sehinggalah solat Isyak. Dengan cara begini, kami tak kepenatan kerana berulang-alik. Namun perbanyakkanlah doa agar Allah memelihara wudhuk kita sentiasa. Kalaupun terbatal, tandas di Masjidil Haram ada tersedia. Cuma bagi Ummi, jemaah wanita, agak gerun rasanya nak keluar dari saf berseorangan untuk ke tandas. Maka doa sentiasa dipanjatkan agar Allah tetap memelihara wudhuk sehingga selesai menyempurnakan solat Isyak.
Selagi Waktu Masih Tersisa
Sebelum sampai waktunya kita berangkat ke Arafah untuk wukuf, perbanyakkanlah masa di Masjidil Haram. Sewaktu kami di sana, waktu siang terasa sekali pendeknya. Waktu malam yang panjang pula jangan dihabiskan untuk tidur memanjang. Tidur awal, bangunnya juga awal. Tidur sekadar 3,4 jam sudah cukup mengembalikan tenaga untuk beribadat. Qiamullail di Masjidil Haram terasa sungguh keseronokannya. Selepas solat Subuh, itulah masa terbaik untuk melakukan tawaf sunat atau sekadar merenung kaabah dalam merebut ganjaran rahmat dari Allah. Pulang ke bilik hanya selepas waktu dhuha untuk bersarapan. Rehat seketika dan kembali lagi ke Masjidil Haram 2 jam sebelum masuk waktu. Selepas Zohor, kembali ke hotel untuk makan tengah hari. 2 jam sebelum masuk waktu Asar kembali lagi ke masjid sehinggalah selepas solat Isyak. Alhamdulillah, banyak masa yang boleh dihabiskan di masjid untuk membaca al-Qur'an dan melakukan solat sunat.
Seawal jam 7.30 petang, solat Isyak sudah selesai. Waktu Subuh hanya masuk lebih kurang jam 5.15 pagi. Itulah sebabnya Ummi mengatakan waktu malam begitu panjang dan waktu siang terasa sekali pendeknya. Maka pergunakanlah ia dengan sebaiknya.
Rindu Pada Mak
Sepanjang di sana, hampir setiap malam Ummi tidur bermimpikan mak. Mak yang ditinggalkan di rumah dalam keadaan tidak mampu duduk atau berjalan, tidak mampu makan atau minum, tidak mampu bertutur akibat angin ahmar yang menyerang. Namun sewaktu di Tanah Suci, hampir setiap malam Ummi bermimpi bersama mak yang bisa bertutur, bisa berjalan dan bisa melakukan apa sahaja sebagaimana mak sewaktu masih sihat. Apabila siang menjelma, Ummi menelefon ke rumah hampir setiap hari bertanyakan khabar mak. Namun hakikatnya keadaan mak tetap juga tak berubah. Mak tetap tak mampu berjalan, duduk, makan, minum mahupun bertutur. "Ya Allah, aku tetap pasrah dengan kehendakMu namun aku akan tetap memohon dariMu di setiap ketika agar mak diampuni segala dosa-dosanya dan disembuhkan dari penyakit yang dihidapinya. Hanya Engkaulah jua Ya Allah yang Maha Pengatur atas segala-galanya..."
Pertolongan Allah
Mohonlah sentiasa dari Allah agar memberikan pertolongannya buat kita di setiap masa. Jangan kita merasa gah dengan kesihatan dan kekuatan yang Allah kurniakan pada kita sehingga kita lupa untuk meminta pertolonganNya.
Pernah sewaktu melontar 3 jamrah, Ummi dihimpit 2 manusia yang berbadan besar dan sasa, namun di ketika itu juga datang seorang hamba Allah yang lebih besar memegang bahu Ummi dan membawa Ummi terus ke benteng hadapan jamrah. Subhanallah...
Pernah sewaktu tekak ini terasa sekali hausnya, namun tangan tak kesampaian menadah air zamzam yang berada di bawah sana, tiba-tiba ada hamba Allah yang merenung ke atas ke arah Ummi dan menghulurkan segelas air zam-zam buat membasahi tekak. Sungguh tak terhitung nikmat dariNya...
Bahkan untuk bersolat di masjidpun, mohonlah sentiasa agar Allah menyediakan ruangnya untuk kita. Betapa ramai mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan saf di dalam ruang masjid atau di hadapan kaabah, namun jika kita memohon dariNya dan yakin akan pertolonganNya, InsyaAllah saf kita akan sentiasa tersedia di sana...
Terimakasih Ya Allah..Terimakasih Suamiku
"Abi, masa kat Mekah nanti Abi jangan tinggal Ummi eh..."
Itulah antara cetusan yang lahir dari hati yang was-was, gerun dan bermacam lagi yang difikirkan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Terbayang di sana kita bakal melaksanakan ibadat tawaf, sa'i, wukuf, melontar jamrah dalam himpitan jutaan manusia.
Memang benar. Di sana, kita berada dalam himpitan jutaan manusia namun rupanya Allah sentiasa menyediakan ruangnya untuk kita. Abi tak pernah tinggalkan Ummi keseorangan. Baik dalam situasi tawaf, sa'i, wukuf, melontar bahkan berulang-alik ke masjid juga kami sentiasa bersama. Terpisah hanya pada saf solatnya. Terimakasih Ya Allah...terimakasih yang tak ternilai buat anugerah seorang suami yang begitu penyayang dan prihatin dalam membimbingku di setiap ketika...
Khamis, 16 Disember 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan