Khamis, 28 Mei 2009

"Nak Malas Mandi Lagi?"

Assalamualaikum.

Mandi Tak Mandi Ada Beza?

“Anak-anak perempuan Ummi ni dah mandi ke belummmmmmm?”

Panjang pula bunyi belumnya kerana dah tahu jawapannya memang belum! Hujung minggu, liatlah anak-anak nak mandi awal. Bukan setakat adik-adik perempuan ni, yang lelakipun sama. Dah besar panjangpun, soalan ‘dah mandi ke belum’, ‘dah gosok gigi ke belum’ tak pernah lekang dari bibir.

Pernah Abi bertanya, “Tak jemu ke Ummi tanya soalan tu dari dulu Ummi?” sambil Abi ketawa terkekek-kekek…

Jawab Ummi, “Kalau Ummi jemupun, mana ada lagi orang lain nak ganti tugas Ummi. Sebab Abi tak rajin ambik tugasan Ummi ler Ummi jadi tak jemu. Hihihi…”

Terkena juga Abi.

Bertanya pula si anak kecil, “Kenapa Ummi selalu suruh kita mandi? Mandi tak mandipun sama aja Ummi?”

“Aha! Mari sini Ummi tengok.”

Sambil menarik si anak kecil ke pangkuan Ummi.

“Eiiii…tengok! Tahi matanya tak tanggal lagi ni hah. Masih melekat lagi kat mata adik ni. Cuba adik tengok, ada tak lagi tahi mata kat kakak berdua tu?”

Tanpa berlengah lagi, terus sahaja si adik membelek-belek muka kakak-kakaknya.

“Eiiii…kakak ada tahi mata! Kakak ada tahi mata!”

“Hahhh…nampak bersih ke tak bersih tu?”

“Kotorlah Ummi!”

“Kakak pulak, cuba cium bau badan adik. Wangi ke tak wangi?”

“Eiii…busuklah Ummi! Isyyyh…adik! Jangan dekat dengan kakaklah. Malas kakak nak kawan dengan adik.”

“Hahhh tengok? Dengan adik-beradik sendiripun kita dah malas nak berkawan sebab tak mandi punya pasal. Agak-agaklah, kalau kita ke sekolah dengan bau badan yang busuk, bertahi mata dan gigi tak bergosok, ada ke orang yang nak kawan dengan kita? Silap-silap, cikgupun suruh kita keluar kelas, kan?”

Nak Allah Sayang?

“Ingat lagi tak kisah yang Ummi bacakan dari buku Harun Yahya tu?”

“Yang mana satu Ummi?”

“Kisah Zafar menemuramah Pakcik Hamid berkaitan kebersihan…”

“Ohhh yang itu. Dah lupalah Ummi.”

“Kalau gitu, duduk diam-diam, dengar Ummi cerita.”

Sebut aja nak bercerita, beriyalah anak-anak sampai terlopong mulut dia orang. He,he…

“Kan ada Pakcik Hamid sebut pada Zafar. Dalam al-Qur’an, Allah perintahkan orang beriman supaya sentiasa bersih dan menjauhkan diri daripada kekotoran. Ini bermakna kalau kita tak jaga kebersihan, kita tidak patuh pada saranan Allah. Orang yang tak patuh pada perintah Allah adalah orang yang rugi! Kenapa rugi?”

Masing-masing mengangkatkan kepala bahu dan menggeleng-gelengkan kepala. Tanda tidak tahu.

“Mestilah rugi. Kalau kita tak patuh perintah Allah, Allah tak sayang kita. Rugi tak kalau Allah tak sayang kita?”

“Kalau Ummi Abi tak sayang kita, mesti Ummi Abi tak nak layan kita, kan? Bila Allah dah tak sayang kita, Allahpun tak naklah layan kita lagi, kan Ummi?

“Pandaipun anak Ummi!”

“Kalau kita nak Allah sayang kita, kita kena jadi orang yang beriman, orang yang taat pada perintah Allah. Antara ciri orang yang beriman adalah mereka yang fizikalnya sangat bersih. Tubuh mereka, makanan mereka, pakaian dan tempat tinggal mereka sentiasa dalam keadaan bersih dan rapi. Mereka akan cuba menjadikan setiap tempat mereka sama bersihnya dengan syurga seperti yang digambarkan di dalam al-Qur’an.”

Allah Suka HambaNya Bersih

“Kat dalam qur’an ada ke Allah suruh kita mandi Ummi?”

“Hahh..bagus soalan tu! Dalam al-qur’an macam-macam ayat yang Allah seru agar kita menjaga kebersihan. Contohnya….”

Dari Sudut Pakaian :

“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.” (Surah Al-Muddathir : 4-5)

Berkaitan Makanan :

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya." (Surah Al-Baqarah : 172)

Makanan yang bersih tergolong juga dalam kumpulan makanan yang baik (halal).

Tempat Tinggal Pula :

“Dan ingatkanlah peristiwa ketika kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya) : Janganlah engkau sekutukan sesuatupun denganKu dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang)." (Surah Al-Hajj : 26)

“Itu rumah Allah Ummi. Bukan rumah kita.”

“Kakak suka tak tengok rumah kita bersih?”

“Memanglah suka.”

“Kalau gitu, kakak suka tak tengok rumah orang lain bersih?”

“Sukalah…”

“Aha! Kalau Allah suka rumahNya bersih, Allahpun pasti suka melihat rumah hamba-hambaNya bersih. Tak gitu?”

“Betul juga ek Ummi…”

Jahatnya Syaitan!

“Ummi ada satu teka-teki. Teka-teki mudah. Dalam banyak-banyak alat, alat apa yang paaaaling penting untuk menyucikan?”

“Mestilah yang suci lagi menyucikan. Kakak dah belajar kat sekolah tu. He,he…”

“Hah! Kakak dah dapat agak tu. Apa dia?”

“Airlah.”

“Betul tu! Anak Ummi memang bijak!”

“Sebab itulah kita perlu banyak bersyukur kepada Allah di atas rahmat air yang dikurniakanNya kepada kita. Bayangkan, sebaik saja kita bangun dari tidur, airlah yang mula-mula kita cari. Basuh muka, basuh tangan, gosok gigi, cuci najis, mandi, berwudhuk... semuanya memerlukan air. Sampaikan Allah berfirman dalam al-qur’an yang bermaksud…”

“…Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).” (Surah Al-Anfaal : 11)

Bertanya lagi si anak :

“Menghapuskan gangguan syaitan? Macamana air boleh hapuskan gangguan syaitan Ummi?”

“Dalam ayat ini, secara tidak langsung Allah mengingatkan manusia bahawa syaitan memang sukakan kekotoran. Syaitan akan halang manusia daripada membersihkan diri mereka. Syaitan cuba pesongkan manusia dari jalan Allah dan sering bisikkan hasutan tentang kebersihan. Contohnya, dia cuba menghalang kita dari memberus gigi selepas makan atau dia cuba halang kita dari mandi setiap hari dengan menjadikannya sangat membebankan dan akhirnya kita abaikannya. Walaupun perkara ini tidak memberikan kesan yang serius tetapi lama kelamaan ia akan menjejaskan kesihatan dan penampilan seseorang. Inilah yang syaitan mahu! Syaitan sentiasa mendendami manusia dan sentiasa berusaha mengheret kita ke neraka. Dia mahu kita hidup dalam keadaan kotor zahir dan batin. Dia mahu penampilan kita terjejas disebabkan kulit yang rosak dan gigi yang kotor.”

“Eiii…jahatnya syaitan!”

“Sebab itulah kita kena beramal dengan ajaran al-qur’an supaya kita akan sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan hasutan syaitan. Orang yang beramal dengan ajaran al-qur’an tidak akan sesekali cuai dalam hal kebersihan. Dia menyedari kepentingan kebersihan dalam semua keadaan.”

Niat Mandi Bukan Untuk Redha Allah?

“Ummi, macamana kalau kita mandi dan gosok gigi bukan dengan niat nak bersihpun tapi sebab nak keluar jalan-jalan aja atau sebab Ummi yang suruh atau sebab ada tetamu yang datang ke rumah kita?”

“Itu tandanya kita jaga kebersihan bukan sebab untuk mencari keredhaan Allah. Matlamat kita agar orang lain tak kritik kita atau supaya Ummi tak lagi marah kat kakak. Sedangkan orang yang beriman akan menjaga kebersihan mereka bukan untuk dapatkan pujian orang lain, bukan juga untuk elakkan daripada teguran manusia tetapi hanya semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah dan untuk mematuhi perintahNya. Sekalipun dia tak menerima tetamu selama beberapa hari atau tak ada sesiapapun yang menyuruhnya agar mandi, mereka akan sentiasa bersih dan kemas sepanjang masa!”

“Maknanya, orang yang tak menjaga kebersihan tu, belum sempurna lagilah imannya. Kan Ummi?”

“Betul tu.”

“Jadi rupanya Ummi suruh kita mandi, gosok gigi, basuh muka dan macam-macam lagi tu, bukan semata-mata sebab takut pada kumanlah, kan? Sepatutnya kita lebih takut sekiranya Allah tak lagi sayang pada kita.”

“Wah! Ini benar-benar kesimpulan di luar jangkaan ni. Dah pandai anak Ummi buat kesimpulan. Itu tandanya mesej yang Ummi nak sampaikan pada hari ini dahpun disempurnakan. Maka tamatlah sudah sesi cerita Ummi pada hari ini…hihihi.”

“Alahhhhh Ummi, ceritalah lagi!”

Sambil berlari-larian mengejar Ummi yang mula melangkah ke bilik air…

- Watak cerita mungkin benar, mungkin sekadar ilusi. Tujuan utama adalah mesej di sebalik penceritaan. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah dan yang tidak baik itu adalah dari kelemahan hambaNya ini. Semoga keampunan Allah sentiasa bersamaku di sebalik istighfar yang dilafazkan -

*************************************************************************************

4 ulasan:

alQasam berkata...

Askum.

Terkekek-kekek saya membaca kisah Kak Han dan keluarga. Sekalipun perkara biasa namun dapat dibuat ibrah untuk mendidik anak-anak agar TAHU dan MAHU melaksanakan kewajiban dengan ilmu dan kenal Allah.:)

rabbani berkata...

huhu aduyaii..... mcm2 cerita la akak nih.. aduyai tak peikir pun nk citer pasai mandi manda nih... hihihi....

emmmm... apa pun maybe sbb bnyk pengalaman idup, berkeluarga tuh yg buatkan akak bnyk idea nak menulis hihihi... :D

wearelearningparents berkata...

seronok dapat jumpa akk semalam di family day papisma, walaupun tiada kesempatan menegur..

kim salam kat anak2 akk yg comel..kata, kakak yg pakai jubah hijau yg sama kaler semalam kim salam. hehe

damitri berkata...

salam kak han,
bukan setakat budak2 jer yg liat nok mandi, kekadang mak budak n ayah budok pom liat sbb klu cuti pg2 tu nok basuh kain, basuh keta, dll. biasanya pagi tu mandikan anak dulu, mak n ayah tak mandi pom...hehehhe