Isnin, 25 Mei 2009

Warkah Buat Along...

Assalamualaikum.

Anakandaku tercinta, Along ;

Kejadian semalam kembali mengingatkan Ummi untuk memuhasabahkan diri Ummi sendiri dan memuhasabahkan anak-anak Ummi yang dikasihi.

Sebagaimana perbualan kita di telefon semalam, sungguh Ummi bersyukur kehadhrat Allah SWT di atas nikmat keselamatan yang dikurniakan Allah ke atas Along semasa kejadian ragut itu.

Tak dapat Ummi bayangkan, kalaulah Along bersetuju masuk ke kereta mereka untuk menunjukkan arah Pantai Sabak. Ummi tahu Along anak yang baik. Siapapun yang bermasalah, Along cuba rungkaikan permasalahan mereka. Kejadian semalam menjadi muhasabah dan peringatan untuk Along, adik-adik dan rakan-rakan Along, agar selepas ini lebih berhati-hati dalam memberikan pertolongan.

Bukan ajaran Islam untuk kita bersikap lokek dalam memberikan bantuan dan pertolongan kepada insan yang memerlukan…namun dalam suasana dunia yang penuh dengan penipuan ini, amat wajar bagi kita untuk lebih bersikap hati-hati dan berjaga-jaga!

Tak dapat juga Ummi bayangkan, bagaimana kiranya si hamba Allah yang meragut Along ini menghunuskan pisau pada Along di waktu Along cuba melawan! Ya Allah, betapa besar kurniaan keselamatan yang telah Engkau berikan buat anakku ya Allah…

Along yang sangat-sangat Ummi kasihi ;

Ummi pohon untuk Along kembali memuhasabahkan diri di atas kejadian yang baru berlaku ini. Usah Along terkilan dengan kehilangan telefon bimbit yang dipinjamkan Allah sementara waktu untuk Along. Ummi pasti ada hikmah yang besar di sebalik kejadian itu!

Doa dari Ummi dan Abi tidak pernah lekang dari bibir agar anak-anak Ummi dan Abi menjadi anak-anak yang soleh dan solehah serta bakal menjadi ulamak yang muktabar, pejuang agama Allah!

Sehubungan itu, ingin Ummi bertanya pada Along…

Pernahkah Along leka dengan pemilikan telefon bimbit yang Ummi Abi hadiahkan dengan niat untuk memudahkan perhubungan di antara seorang anak dan kedua ibubapanya itu? Pernahkah Along menggunakan telefon itu ke arah perkara yang lagha sehingga Along mengabaikan solat di awal waktu atau sehingga secara tidak sedar Along telah mengurangkan masa bersama Allah? Atau telefon itu lebih kepada alat untuk Along berinteraksi sesama rakan dalam perkara yang lagha berbanding tujuannya yang asal sebagai alat untuk memudahkan hubungan dan mengeratkan hubungan antara ahli keluarga?

Ummi tidak terkilan dengan wang yang melayang atas asbab hilangnya telefon bimbit itu, malah Ummi bersyukur ke hadhrat Allah SWT kerana asbab kehilangan ini telah menyebabkan kita kembali berfikir dan kembali memuhasabahkan diri.

Along anakku tercinta ;

Apa jua mudharat yang berlaku dalam persekitaran hidup ini, kembalilah kepada Allah. Bersujud syukurlah kepada Allah atas keselamatan yang telah dikurniakannya buat Along dan mohonlah taubat dari Allah SWT di atas segala kelalaian dan kelekaan kita selama ini kerana sesungguhnya ujian yang Allah berikan pada kita ini adalah kaffarah ke atas dosa-dosa kita yang tidak kita sedari.

Ingatlah Allah, kembalilah kepada Allah, wahai anak-anakku tercinta…

Semoga kalian hidup sebagai insan yang pandangan, pendengaran dan perbuatannya di atas dasar taqwa, yang taat kepada perintah Allah, yang mencintai dan setia kepada kekasihNya, yang memusuhi dan membenci musuh-musuhNya…

Ameen Ya Rabbal ‘Alamin.


Salam Kasih Cinta Tak Bersyarat ;

Ummi...

(25 Mei 2009)

*************************************************************************************

5 ulasan:

nasikerabupetro berkata...

akak...

Baity nangis baca ni...
macam teguran untuk diri ni je...

NizA berkata...

alhamdulillah along xder ape2...

Kak Ummi berkata...

Dik Baity; semoga tangisan itu adalah tangisan kerana Allah.Berbahagialah mereka yang mampu menangis kerana Allah dik.Mudah-mudahan dirimu dan akak juga termasuk di dalam golongan yang akan diberi naungan oleh Allah yaumul akhirah...

Dik Niza; Alhamdulillah dik.Kesyukuran yang tak terhingga di atas keselamatan yang dikurniakanNya.Besar sekali nikmat Allah buat akak.Sakit kepala Niza camana?Dah ok?

alQasam berkata...

Salam.

Kak Han.

Sedihnya baca surat untuk anak Kak han ni..Alhamdulillah, semuanya selamat.

Pasti ada ibrah di sebalik semua ini. Ingatan untuk along. Untuk kita semua sekali sebenarnya.

Kirim salam along.

Kak Han berkata...

Wkmslm.InsyaAllah Dik Sumayyah.Akan Kak Han sampaikan salam tu...