Assalamualaikum.
Sungguh benar sekali hidup ini ibarat roda. Wujudnya pertemuan, wujud juga perpisahan. Wujudnya kehidupan, wujud juga juga kematian. Ada masanya gembira, ada ketikanya sedih. Ada masanya sihat, ada juga masanya sakit.
Pagi ini Ummi bangun dalam keadaan seluruh badan terasa sengal dan sakit. Sejak semalam lagi Ummi dah mula sakit-sakit badan. Bukan kerana demam. Mungkin kerana terlalu banyak berjalan ke sana ke mari semasa di KLIA. Almaklum, dah lama tak bersenam. Sekali berjalan jauh, urat dan sendi habis tegang! Terpaksa ‘pain killer’ ditelan bagi melawan kesakitan. Bila dah terkena ‘pain killer’, ringan terasa badan. Barulah terasa, “Ya Allah, nikmatnya sihat yang engkau kurniakan buat hambaMu selama ini!”
Lantas teringat kembali Ummi, dah lama rupanya Ummi tak update ‘Siri Rawatan Untuk Pesakit’. Hanya setakat 18 siri. Masih ada 7 siri yang ketinggalan. Makanya, hari ini izinkan Ummi untuk kembali menyambung tulisan Badiuzzaman Said Nursi dalam siri ini, sekadar untuk memperingati diri sendiri dalam menghadapi kemelut putaran roda kehidupan….
*************************************************************************
Perkataan al-asma’ al-husna yang digunakan bagi menggambarkan semua nama-nama Tuhan yang maha indah lagi maha mulia menunjukkan semua nama-nama itu adalah indah.
Kehidupan adalah cermin ketuhanan yang indah dan halus. Cermin kepada sesuatu yang indah adalah indah juga. Cermin yang menyinari keindahan sesuatu yang indah juga menjadi indah. Segala sesuatu yang indah yang mengenai cermin itu menjadi indah juga.
Oleh itu daripada sudut hakikat, segala yang menimpa kehidupan ini adalah indah kerana ia sebenarnya memperlihatkan buatan ukiran yang indah bagi nama-nama Tuhan yang indah itu.
Sekiranya kehidupan terus menerus berada dalam keadaan sihat, pasti ia menjadi tidak sempurna. Bahkan sedikit sebanyak kehidupan menjadi sia-sia. Demikian itu, ia pasti mengalami kesempitan. Kesenangan umurnya bertukar menjadi sakit dan dukacita.
Malangnya manusia sering terjerumus ke dalam lumpur kebodohan yang merampas segala kesenangan hidup mereka meskipun sebelum umurnya berakhir. Ia adalah seumpama banduan yang memusuhi umurnya yang berharga itu, lalu membunuh dirinya dengan segera kerana mahu menamatkan tempoh tahanannya.
Kehidupan yang dipenuhi dengan pelbagai perubahan serta mengalami keadaan dalam pelbagai bentuk dan peringkat, pasti mempunyai nilai dan kehidupannya yang tinggi. Kehidupan seumpama ini menyebabkan umur adalah penting dan memberikannya nikmat yang menakjubkan.
Sehinggakan kita dapati seorang itu tidak mahu umurnya berlalu meskipun dia mengalami pelbagai jenis kesulitan dan musibah. Dia sedikitpun tidak mengeluh dan menyesalinya. Dia berkata, “Harap-harap matahari tidak tenggelam dan malam tidak berlalu.”
Sebaliknya kita boleh bertanya kepada orang kaya yang tidak berbuat apa-apa. Segala yang diingini boleh diperolehnya dengan mudah. Tanyalah kepadanya, “Bagaimana keadaan saudara?”
Kita pasti akan mendengar dia mengeluarkan perkataan-perkataan yang menggambarkan kesakitan dan penyesalan, seperti, “Aah…Kenapa lambat benar masa ini berlalu? Mahukah saudara datang kepada saya dan kita mencari suatu permainan yang boleh mengisi masa kita ini? Marilah kita bermain terup sekejap!”
Kita mungkin mendengar berbagai-bagai pengaduan yang menunjukkan dia adalah seorang yang mempunyai angan-angan yang panjang seperti, “Pekerjaan saya ada kekurangan. Adalah baik sekiranya saya berbuat sekian-sekian…”
Tetapi sekiranya kita bertanya kepada seorang fakir yang dilanda musibah ataupun seorang fakir yang giat bekerja, “Bagaimana keadaan saudara?”
Sekiranya dia seorang yang mendapat petunjuk, dia berkata, “Saya berada dalam keadaan yang baik. Syukur ke hadhrat Tuhan. Segala puji bagi Tuhan. Ribuan kesyukuran buat Tuhanku. Saya sentiasa berusaha. Adalah baik sekiranya matahari tidak tenggelam dengan cepat supaya saya dapat menghabiskan kerja saya. Waktu cepat berlalu.”
Orang fakir itu menambah lagi, "Umur juga berlalu tanpa berhenti. Meskipun sebenarnya saya berada dalam keadaaan kesusahan dan kesulitan, tetapi ia tetap berakhir juga. Semua perkara berada di atas landasan yang sama!”
Situasi lelaki fakir ini sebenarnya menggambarkan nilai dan kepentingan umur di samping kedukacitaannya pada umur yang melarikan diri daripadanya. Oleh itu, dia mengetahui nikmat umur dan nilai kehidupan hanya diperoleh melalui kesukaran dan kesulitan.
Manakala kemewahan dan kesihatan menjadikan kehidupan ini pahit dan membebankan kerana ia menyebabkan seorang itu bercita-cita supaya dapat menyelamatkan diri daripadanya dengan segera.
Musibah, kejahatan dan dosa berpunca daripada ‘ketiadaan’ sebagaimana dibuktikan dengan bukti yang kukuh. ‘Ketiadaan’ adalah keburukan dan kegelapan sepenuhnya.
Berehat dan menikmati kesenangan adalah menyamai sifat yang sia-sia. Persamaan ini menjadikan kehidupan diselaputi dengan kegelapan yang wujud pada ‘ketiadaan’ seterusnya menjadikannya berada dalam keadaan keluh-kesah dan kesempitan.
Manakala keadaan, pergerakan dan perubahan pula adalah kewujudan dan menjadikan kehidupan itu dirasai kewujudannnya. Kewujudan adalah kebaikan dan cahaya yang sejati.
Hakikatnya, penyakit yang berada pada diri kita sebenarnya adalah tetamu yang diutus kepada kita bagi melaksanakan tugasnya yang banyak. Tugasnya adalah membersihkan, menguatkan dan mempertingkatkan kehidupan kita serta mengarahkan seluruh jentera lain yang berada dalam diri kita supaya membantu anggota badan kita yang sakit.
Dia juga menampilkan ukiran segala nama-nama Tuhan yang maha pembuat lagi maha bijaksana. Dengan izin Tuhan, tugasnya berakhir tidak lama lagi. Ia pergi melaksanakan tugasnya yang lain pula. Ia berkata kepada keadaan sihat, “Marilah ke sini sekarang menggantikan tempat saya selamanya. Mulakan semula tugas saudara. Inilah tempat saudara. Terimalah dan tinggallah di sini dalam keadaan baik.”
*************************************************************************************
Tiada ulasan:
Catat Ulasan