Selasa, 28 Julai 2009

Tag & Rumah Tangga Bahagia

Assalamualaikum


Adakalanya hati terasa bosan untuk menulis. Dilayan bosan, macam ada yang tak kena. Tak dilayan bosan, tak tahu pula apa yang nak ditulis. Makanya (dibaca dengan slang Indonesia - baru dapat ungkapan ni dari filem Laskar Pelangi..he,he..) hari ni biarlah Ummi melayan tag dari ‘Narumi yang nakal’ ni pulak…

1. Anda rasa anda hot?
Oh, tidak! Macamana nak hot, duk dalam aircond memanjang…

2. Upload gambar kegemaran anda










3. Kenapa anda suka gambar ini?


Sebab gambar ni gambar anak kesayanganku Anas, yang di 'snap' dan di'solek' pula oleh ustaz sifuku, Ustaz Azhar . Dah tu ditayangnya pulak kat blog kreatifnya www.digitalmukmin.com …he,he..

4. Bila kali terakhir anda makan piza?

Masa mesyuarat Papisma kat Perak bulan April tahun ini. Tupun sebab pizza sponsored. If not, rasanya kemungkinan nak masuk kedai pizza tu terlalu kecil nisbahnya sebab suamiku tercinta tak suka pizza…makanya isteri tersayang nipun turut jadi tak suka kat pizza..hahaha…

5. Lagu terakhir yg anda dengar?

Alamak…punyalah lamanya tak dengar lagu. Oh ya! Malam tadi merayap kat blog anakku Along, maka terdengarlah lagu…apa ya?...yang automatik dipasang kat blognya. Dahsyat Ummi ni...lagu apapun tak tau..hihi…

6. Apa yang sedang anda buat selain selesaikan tag ini?

Check e-mail juga…sama macam Narumi…

7. Nama anda sendiri, anda suka dipanggil dengan nama apa?

Suka dipanggil Ummi atau Kak Ummi…walaupun nama sebenar bukan Ummi..he,he. Bukan apa, dah terbiasa dipanggil pesakit dengan panggilan tu...lebih mesra, inovatif dan konservatif...kih,kih,kih…

8. Tag lagi 6 orang dgn hati yg terbuka tanpa rasa kekesalan. Sila lakukan, kalau tak kena denda mandatori.

Walaupun kena denda mandatori, kusanggup terima kerana memang tak taupun nak tag kat siapa. Makanya, sape-sape yang nak terima tag ni dengan hati yang terbuka, ambiklah...hahaha…

Apa dendanya? Biar Ummi jatuhkan hukuman sendiri jerlah ya…he,he..for sure bagus punya hukuman.

Hukumannya adalah :
Bentangkan sebuah nukilan berbentuk sajak yang membawa pengertian yang amat bermakna buat diri anda. Boleh cedok dari mana-manapun...hihihi…syarat ni yang penting.

Makanya, Ummi persembahkan di sini nukilan dari sifuku, Pahrol Mohd Juoi yang berjodol :

Rumah Tangga Bahagia


Syurga rumah tangga itu fitrah hati
Naluri nurani yang pinta diisi
Kerananya dara rela diperisteri
Kerananya jejaka rela menjadi suami
Masing-masing dengan harapan
Agar rumahtangga membawa kebahagiaan

Matlamat yang satu tapi jalannya berliku
Destinasi sama, kaedah berbeza

Ada yang mengatakan
Bahagia itu pada harta…
Diukir oleh intan permata

Tak kurang yang merasakan
Bahagia itu pada rupa…
Ditempa oleh wajah nan rupawan

Sesetengahnya berkeyakinan
Bahagia itu pada kemasyhuran
Dibaja dek gelar dan nama

Ramai juga yang merasakan
Bahagia itu pada kuasa
Dituai oleh pangkat dan jawatan

Pelbagai jalan menimbulan dilemma
Mencari yang benar, mempelai tersasar

Kalaulah bahagia itu pada harta…
Kalaulah bahagia itu pada nama…
Kalaulah bahagia itu pada rupa…
Kalaulah bahagia itu pada kuasa…
Kenapa Charles dan Diana berpisah?
Kenapa Elvis dan Priscilla berpecah?
Kenapa Onasis dan Jackie bertelagah?

Rupanya…
Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir, rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati
Terbenam bagai mutiara di laut nurani
Bahagia itu pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Bahagia itu pada jiwa
Mahkota di singgahsana rasa

Bahagia itu pada kesabaran…
Bila susah tak gelisah
Bila miskin tak pemarah
Bila sakit tak gundah
Bila gagal tak resah
Oh, suamiku, “Innalillah”

Bila kaya pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tak alpa
Bila sihat beribadat
Oh, isteriku, “Alhamdulillah”

Hakikatnya bahagia itu ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan
Firman Allah yang bermaksud :
“Ketahuilah dengan mengingati Allah itu memberi ketenangan pada hati.”

Suami isteri sama-sama mengerti
Maksud terseni takdir Ilahi
Itulah zikir yang hakiki!

*************************************************************************************

Rabu, 22 Julai 2009

Pasal Tongkat Ali Pulak...

Assalamualaikum


“Doktor, pakcik ni pengamal kopi tongkat ali. Bagus ke tidak kopi tongkat ali tu doktor?”

“Tongkat ali tu sendiri memang banyak khasiatnya pakcik tapi masalahnya kopi tu pulak banyak mudaratnya. Kita bimbang lebih banyak mudarat yang dapat berbanding manfaatnya nanti.”

Dalam senario yang lain ;

“Abi, cuba tengok tu. Banyaknya tongkat ali! Kopi ni ada tongkat ali, kopi tupun ada tongkat ali. Isyyyhhh semua sekali tu ada kandungan tongkat ali! Kat Malaysia ni banyak sangat ke ladang tongkat ali Abi?”

Sembang Ummi bersama Abi pada suatu hari di sebuah kedai makan.

“Itulah pasal. Rasa macam tak logik aja. Entah-entah diaorang masukkan tongkat ali tu seto’et (secubit) je tapi dah bising sebut ini minuman berkhasiat tongkat ali.” Jawab Abi spontan.

Entahlah, macam-macam jenama minuman berkhasiat pulak sekarang ini. Yang harunya, segala macam khasiat yang dimaksudkan tu digabungkan dengan bahan kafein yang kita sendiri maklum banyaklah pula mudaratnya. Kita bimbang, bila ‘susu dicampurkan nila’…punah-ranahlah jadinya. Siapa berani cakap susu tu masih berkhasiat?

Hari ini terbaca pulak Ummi artikel ini. Sama-samalah kita membuat penilaian yang terbaik…

Antara khasiat dan mudarat tongkat ali
Oleh LAUPA JUNUS

"Orang Malaysia cepat terpengaruh ingin cantik cepat, ingin langsing, kuat tenaga dan ingin cepat kaya, seterusnya tertipu dengan gimik iklan atau produk yang ditawarkan. Kenapa?"

Itu soalan yang dilontarkan oleh Pengarah Loji Pepandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Ramlan Aziz yang ditanya mengenai obsesi rakyat negara kita terutama orang Melayu dengan produk prosesan hasilan herba.

Orang Melayu kata beliau, cepat terpengaruh dengan gimik iklan pelaris jualan yang menunjukkan kehebatan produk tertentu tanpa meneliti terlebih dahulu akan kebenarannya.

Pengguna juga mudah dan cepat mendapat hasil diingini tanpa mengira kesan sampingan produk yang mereka gunakan.

Beliau yang ditanya mengenai khasiat tongkat ali dan kacip fatimah untuk meningkatkan kehebatan dan tenaga berkata, kajian menunjukkan memang produk berasaskan tumbuhan tersebut mempunyai kesan positif tetapi ada pihak mengambil kesempatan mengkomersialkannya dengan cara yang salah.

''Saya tidak nafikan ada kajian mengesahkan khasiat kedua-dua herba popular itu, malangnya ia menjadi momokan dan permainan gimik.

Malah katanya, beliau kagum dengan orang terdahulu yang berjaya menemui khasiat produk tersebut sedangkan belum ada kecanggihan peralatan ketika itu untuk meneroka khasiatnya.

Namun kini, ada dua persoalan besar yang menjadi masalah pokok iaitu sama ada produk berasaskan tongkat ali dan kacip fatimah diproses dengan cara yang betul untuk menjadikannya minuman bertenaga dan kedua, adakah produk tersebut mencapai tahap minimum kandungan sebenarnya.

Katanya, cara memproses, boleh menimbulkan persoalan kerana ada pihak mungkin hanya mengisar tongkat ali berkenaan untuk dicampurkan dalam minuman. Sedangkan katanya, cara terbaik ialah mengekstraknya terlebih dahulu secara kimia dan ditulenkan kerana ini cara betul untuk menjadikannya satu ramuan.

''Jika kita kisar sahaja, ia ibarat memasukkan habuk kayu dalam minuman dan ini membahayakan tubuh pengguna,'' katanya.

Malah orang Melayu kata beliau, boleh pupus jika menggunakan produk yang memudaratkan kerana ia boleh merosakkan organ peranakan.

Persoalan kedua ialah adakah kandungan tongkat ali atau kacip fatimah tersebut mencukupi untuk melayakkannya digelar minuman daripada tongkat ali sedangkan kuantitinya sangat sedikit.

Kajian awal oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menunjukkan kandungan tongkat ali dalam kopi campuran adalah jauh daripada dos minuman yang memberi manfaat kepada kesihatan. Malah, ada jenama yang gagal dikesan kandungan tongkat ali dalam produk berkenaan.

Justeru beliau mahu agensi berkaitan, mengambil langkah perlu untuk menetapkan peraturan supaya jumlah minimum tertentu diperlukan bagi mengesahkan minuman tersebut memang mengandungi tongkat ali sebagai contoh dan mana-mana pihak yang tidak mematuhinya dianggap penipu.

Lebih mendukacitakan, sesetengah syarikat menggunakan testimoni untuk mengesahkan kehebatan produk mereka dan inilah yang mengundangkan minat pengguna.

Beliau berkata, trend ini semakin menjadi-jadi apatah lagi terdapat tawaran tertentu untuk menjadikan penggunanya kaya.

Beliau berkata, menggunakan produk berasaskan bahan semula jadi memang semakin menjadi trend di peringkat global disebabkan kecenderungan manusia kini untuk melakukan pencegahan penyakit berbanding rawatan, khususnya herba.

Dalam hal ini, Malaysia mempunyai kelebihan kerana memiliki kekayaan hutan atau biodiversiti yang boleh dimanfaatkan.

Bagaimanapun, menjadi cabaran saintis Malaysia untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan mengenai khasiat tumbuhan herba dan peruntukan untuk tujuan tersebut perlu ditambah.

Satu lagi masalah yang timbul ialah perbuatan pengilang yang mencampurkan banyak jenis herba dalam satu jenis produk dengan mendakwa mampu merawat pelbagai jenis penyakit.

''Adakah ini telah dibuktikan secara saintifik atau hanya ilmu tradisional sedangkan kajian mengenainya perlu dilakukan terlebih dahulu," ujar Ramlan.

Perbuatan untuk mengkomersialkannya secara melulu ini ibarat menculik ilmu yang sepatutnya dipelajari terlebih dahulu.

Satu lagi penyelidikan yang perlu diperhebatkan ialah menghasilkan sebatian piawai yang boleh dijadikan rujukan dalam menghasilkan produk tongkat ali dan kacip fatimah pada masa akan datang.

Berdasarkan kajian kata Ramlan, tongkat ali mempunyai banyak khasiat antaranya meningkatkan hormon lelaki dan dikatakan mampu membantu menguruskan badan.

Khasiat tongkat ali

Khasiat ini disokong oleh satu kajian di Amerika Syarikat. Justeru, pada mana-mana produk, ia sepatutnya sama kemujarabannya walaupun diambil daripada pokok herba tertentu dari sumber yang menggunakan ekstrak piawai yang berlainan.

Sementara itu, salah sebuah institusi penyelidikan yang terlibat dalam kerja-kerja makmal mencari khasiat tongkat ali ialah FRIM.

Tongkat ali (Eurycoma longifolia) adalah dari famili Simaroubaceae telah digunakan secara tradisional oleh kaum Melayu di Malaysia sejak dahulu lagi.

Ia digunakan secara tradisional sebagai agen penggalak seks (apphrodiasiac) dan untuk meningkatkan kesihatan badan.

Penyelidikan tersebut dijalankan di bawah projek utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Program Perkongsian Bioteknologi Malaysia-Institut Teknologi Massachusetts (MIT).

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Tumbuhan Perubatan FRIM, Dr Rasadah Mat Ali, penyelidikan tersebut bermula pada 1999 yang mana pihaknya terlibat mengkaji bahan kimia dan juga genetik tumbuhan tersebut.

"Hasil kajian kita mendapati penanda kimia tongkat ali sejenis bahan di namakan eurikomanon dan juga sebatian aktif," katanya.

Pelbagai sebatian kimia dalam tongkat ali telah diasingkan dan dikenalpasti. Pencirian dan penentuan struktur sebatian kimia tersebut dilakukan menerusi kaedah spektroskopi.

Beberapa sebatian kimia telah dipilih sebagai sebatian penanda ekstrak tongkat ali.

Sebatian penanda tersebut berperanan penting untuk memastikan identiti, integriti dan kualiti serta keseragaman produk yang berasaskan tongkat ali.

Eurikomanon yang merupakan sebatian utama (major) telah dipilih sebagai sebatian penanda untuk akar tongkat ali.

Peratus pemulangan pengekstrakan eurikomanon daripada akuas ekstrak akar tongkat ali adalah tidak kurang daripada 1.7 peratus.

Terkini, FRIM telah menawarkan perkhidmatan teknikal kepada industri farmaseutikal, nutraseutikal dan makanan, untuk penilaian kualiti ekstrak dan produk tongkat ali.

Penentuan kualiti juga dapat dihasilkan dengan teknologi sensor bau dan rasa yang telah digunakan sebagai peralatan penjanaan finger-printing untuk aktiviti pempiawaian tumbuhan ubatan, ekstrak dan herba produk.

Dengan adanya penanda kimia tersebut, ia sebagai 'cap jari' tongkat ali yang mengesahkan kehadirannya dalam mana-mana campuran pun.

Ditanya mengenai kegilaan golongan lelaki yang minum tongkat ali untuk menambah tenaga terutama untuk tujuan seks, beliau berkata, kajian mengenainya telah dibuktikan tetapi biasanya pada dos yang disyorkan.

''Pengguna sihat secara umumnya hanya memerlukan 100 miligram sehari sahaja," ujar Rasadah.

Katanya, memang benar ada kajian mengenai kandungannya yang dikenali sebagai kesan apphrodisiac tetapi kesannya bergantung kepada dos.
Kajian kimia mendapati kewujudan sebatian aktif seperti eurikomanon, eurikomalakton dan eurikomanol (qussinoids) yang banyak di dalam akar.

Sebatian ini telah dikenal pasti berkeupayaan untuk meningkatkan penghasilan hormon testosterone (androgenic) yang diperlukan dalam fungsi kelelakian.

Sebatian yang menyebabkan aktiviti tersebut telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk nutraseutikal atau farmaseutikal untuk rawatan masalah hormon dan kesuburan.

Apa yang penting dalam pengambilan tersebut, dos penggunaan perlu diambil kira kerana ada kemungkinan ia mengundang risiko kepada pengguna.

Hasil kajian juga mendapati bahawa tongkat ali mempunyai sebatian aktif anti malaria dan anti kanser tetapi kajian lanjut mengenai tumbuhan herba tersebut masih dijalankan.

Ditanya mengenai bahagian mana pada pokok tersebut yang paling banyak sebatian bioaktif, Rasadah berkata, khasiatnya banyak tersimpan di bahagian akar selain daun dan batang.

Orang Melayu kata beliau hanya mengetahui rahsia khasiat pada 1990-an dan ketika itu mereka menggunakannya dengan merebus bahagian yang dikatakan mempunyai banyak khasiat.
Dengan kata lain, apa yang dilakukan oleh saintis hari ini ialah untuk membuktikan atau mengesahkan apa yang telah dilakukan oleh orang terdahulu.

Pembuktian secara saintifik itu perlu bagi menguji keberkesanan, kualiti dan keselamatannya.
Malah FRIM telah menawarkan perkhidmatan memproses kepada industri herba dalam penghasilan produk daripada tongkat ali menerusi kilang Amalan Pengilangan Baik (GMP) di Pusat teknologi Herba (HTC) FRIM di Kepong.

Namun katanya, apa yang membimbangkan ialah kecenderungan segelintir pihak yang suka mencampurkan tongkat ali dengan bahan lain untuk menambah khasiat sesautu formulasi herba tersebut

''Kita tidak tahu apakah bahan-bahan yang dicampurkan ini bertindak balas sesama sendiri dan menimbulkan risiko lain," katanya.

*************************************************************************************

Ahad, 19 Julai 2009

Seronoknya Bertamrin!

Assalamualaikum.

Alhamdulillah setelah sekian lama tak mengikuti program tamrin, baru kali ini berpeluang kembali merasakan kemanisannya. Bayangkan, kali terakhir mengikuti tamrin adalah semasa di kampus universiti! Punyalah lamanya tak digilap hati ini dengan tarbiyyah berbentuk tamrin.

Betullah kata tok guru...kalau kita tak bersedia ditarbiyyah, maka kita akan sentiasa beralasan. Semasa di universiti alasan sibuk belajar kononnya. Bila dah keluar universiti, alasan sibuk bekerja pulak. Bila dah kerja, masih beralasan sibuk dengan urusan nak berumahtangga. Dah berumahtangga, sibuk dengan urusan keluarga, sibuk dengan anak, sibuk dengan cucu, sibuk dengan cicit...sudahnya ke lubang kuburlah pula kita. Maka apa pula alasan yang nak kita kemukakan kepada malaikat mungkar dan nangkir?

Sungguh tarikh 16 & 17 Julai baru-baru ini kembali mengingatkan Ummi kemanisan bertamrin sewaktu di alam kampus dahulu. Tamrin bukan sekadar majlis untuk menadah ilmu, malah di sini kita kembali memupuk ukhuwwah sesama sahabat. Taaruf bersama, tidur bersama, makan bersama, berbincang bersama, bermain bersama...subhanallah...sungguh ianya meninggalkan kesan dan cakna yang mendalam. Tahniah tak terhingga buat PAS Cawangan Tok Ku yang telah berjaya merealisasikan Tamrin Qiadi ini dengan jayanya!

Selepas maghrib, kami berkumpul bersama di dewan tingkat 3, Madrasah Al-Ansar di Basong. Jazakallahu khairan kathira buat Ustaz Kamaruzaman Abdullah yang telah sudi menumpangkan kami bertamrin di madrasah yang cukup selesa dan menyenangkan.

Along dan Angah turut dibawa mengikuti tamrin sebagai latihan asas buat mereka. Program-program sebeginilah yang akan membantu dalam membina pemantapan iman dan kekuatan jiwa.

Abi tak habis-habis dengan tugas teknikalnya menyediakan alat pandang-dengar. Jangan risau Abi, besar pahalanya tu..he,he...

Ummi bersama sahabat-sahabiah. Sungguh mantap sekali dua pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Kamaruzaman pada malam pertama.

Keesokannya, selepas bertahajjud, berkuliah subuh dan bersarapan, sekali lagi kami berkumpul bersama untuk aktiviti bengkel. Kali ini di lokasi yang ditunggu-tunggu semenjak sekian lama - di pinggir jeram Basong! Kumpulan bengkel mula dibentuk dan disusun...

Sedang membahagikan kumpulan, 'durian runtuh' pulak sampai! Hihihi....yang ini untuk aktiviti sukaneka sebentar lagi.

Abi mengetuai kumpulan bengkelnya yang turut dianggotai oleh Along dan Angah.

Ummi dalam kumpulan yang diberi nama kumpulan 'durian power'! Haha..tu pasal taruk durian kat tengah-tengah. Baunya sungguh memberikan aroma yang mendatangkan ilham yang mencurah-curah...

Paling kanan adalah adik Awin dari oversea yang sedang bercuti untuk praktikal di Klinik Ummi. Hahaha..kat Klinik Ummipun ada buat praktikal ke? Bagus adik ni! Banyak idea yang dicurahkan untuk jemaah. Terimakasih Awin...caaaaayang Awin...mmmuah!

Yang paling tengah tu pulak, Adik Madihah, juga dari oversea hebat memberikan pandangan. Gabungan idea golongan muda dan golongan tua pastinya menghasilkan natijah yang cukup memberangsangkan!

Persembahan bengkel bermula. Along siap panjat bukit lagi nak ambik gambar ni...hahaha..memang beriya sungguh anak Ummi sorang ni.

Wah! Suami isteri ni satu kumpulan rupanya. Haaa...tengok! Kalau tadi gabungan idea dari golongan tua dan muda, yang ini gabungan kerjasama yang mantap dari suami dan isteri yang sefikrah!

Fulamak! Dengar adik Awin buat presentation, meremang bulu roma! Dahsyat wooo...terpegun kita orang. Inilah bakal serikandi muslimat, penegak al-haq...InsyaAllah.

Pesrta-peserta tamrin qiadi bergambar bersama sebagai kenang-kenangan. Bukan senang nak sampai sini...hampir 1 jam perjalanan dari Kuala Terengganu!

Selesai berbengkel, acara sukaneka pula dimulakan. Ini adalah acara larian padu. Abi bergabung bersama anak sulungnya, Ammar.

Alamak! Lama sangat nak selesaikan ikatan tadi, kan dah tertinggal tu..huhuhu...

Masih tak berputus-asa, kali ini gabungan Abi dan Along meneruskan acara dalam pertandingan lari membawa bola dengan perut! Hahaha...dah ler perut Abi tu dah ke depan. Nasib baiklah Along masih ada ruang rongga nak pegang bola kat perut..hihihi. Jangan main-main, acara ni Abi & Along berjaya menggondol tempat ke-2!

Acara mengisi air dalam botol menggunakan helaian kertas. Rupanya ada taktik tersembunyi yang akan memastikan kemenangan. Syyyhh..mana boleh cakap taktiknya kat sini...

Along bergabung dengan Angah pula untuk acara membawa api tanpa padam ke garisan penamat.

Betul-betul dah dekat nak sampai ke garisan penamat, api lilin yang Along bawa tu terpadam. Kantoi sungguh! Sabaq naa Along...hehe...

Pertandingan menyusun tin berdasarkan 'arabic number'. "Kali ini Angah mesti menang!"...itulah azam Angah.

"Abipun nak menang juga." Owhhh...Abi dah masuk grup lain kali ini.

Yes! Angah dan Along menang! Alhamdulillah...

Pertandingan paling berprestij! Hahaha..apa dia? Pertandingan makan durian paling banyak! Tengok Abi tu...belum apa-apa dah mengatasi orang lain. Memang 'hantu durian' sungguh! Hihi...

"Sedaplah pulak durian ni. MasyaAllah..." kata Abi. Hmm...dah tau sedap tu, makan cepat-cepat Abi.

"Walamak Ummi! Bestnya...!" Angah pulak duk tayang-tayang kesedapan dan kelazatan durian yang sedang dinikmati...aduyaiii...tak aci sungguh.

Rupanya bukan senang-senang nak tanding makan jer. Sebelum dapat makan, durian tu nak kena kopek dengan sudu dulu! Hah ngko...tak dapat-dapat bukak lagi si Along ni!

Sampai dah habis pertandingan, durian Along tak terbukak-bukakpun lagi! Kih,kih,kih...tergelak besar Abi! Lastly, pelahap durian Abi yang tak habis dimakan...

"Meh sini Abi bukakkan. Apalah Along ni..."

Hmmm...dah habis pertandingan, barulah muslimat tumpang semulut.

Muslimat dengan acara bowling kampung. Johan bowling kampung muslimat jatuh kepada adik Madihah dari oversea! Alamak...orang oversea pulak yang menang bowling kampung..hihi...

Hah tu dia! Sambil galas begpun boleh berbowling...

Akhirnya sampailah masanya untuk berendam di jeram! Dah lama Angah nak datang sini. Baru kali ini diizinkan Allah...Alhamdulillah...

Abi dan Angah bersama Syed Hassan, ketua cawangan Tok Ku yang disegani dan hebat sekali dalam menerajui kepimpinan!

Ni dia, snap canggih dari Along. Nampak begitu tenang dan damai sekali air yang mengalir...

Lagi snap dari Along...

Alamak! Kerengga nipun Along snap jugak? Tu dia! Marah sekali nampaknya kerengga ni pada Along yang snap tanpa kebenaran sebelum sempat ia berpakaian..kih,kih,kih...nampak aurat woi, kantoi!

Ummi bersama adik-adik angkat tersayang...

Dah penat main air,balik ke madrasah, nasi dah ready. Lauk kampung pulak tu. Best tak terkira! Siap dengan sayur dan kerabu kundur, ayam goreng, ikan selayang goreng bersambalkan cili tempoyak. Fulamak!

Akhirnya sampailah masanya ke sesi terakhir tamrin - resolusi dari wakil-wakil peserta dan pimpinan.

Walaupun perut dah kekenyangan dan badan keletihan, namun Alhamdulillah semangat bertamrin punya pasal, mata tetap segar tanpa gangguan kantuk.

Ditambah pula dengan semangat nak tunggu acara penyampaian hadiah sukaneka...he,he...

Kali ini Abi pula yang mempengerusikan majlis...

Along menerima hadiah untuk acara lari bawa bola dengan perut dan acara susun tin.

Angah menerima hadiah untuk acara susun tin.

Abi juga turut menerima hadiah untuk acara lari bawa bola dengan perut dan acara makan durian....johan lagi tu! Haha...

Tibalah ke saat akhir sebelum berpisah...sesi ceramah terakhir bertajuk 'Amanat Pejuang'. Kata ustaz "Bukanlah kita yang memulakan perjuangan. Kita hanyalah menyambung tugas Rasulullah saw yang diwajibkan ke atas kita, umat Muhammad saw. Dan kita juga bukanlah penyudah kepada perjuangan ini. Oleh kerana itu wajib bagi kita untuk meninggalkan benih penyambung kepada perjuangan ini..."

Sebelum majlis ditutup, sekali kali Abi memperingati majlis dengan ucapan dan amanat dari ustaz sebentar tadi ; "Usah kita penat dan usah kita berputus asa kerana barangsiapa yang menghidupkan sunnah nabi di kala rosaknya masyarakat, Allah akan memberikan ganjaran pahala 100 orang yang mati syahid kepadanya.." AllahuAkbar!

Majlis berakhir dengan acara penyampaian sumbangan untuk Madrasah Al Ansar...mudah-mudahan Al Ansar akan terus hidup dalam melahirkan kader-kader yang akan menegakkan agama Allah di mukabumi ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

*************************************************************************************