Rabu, 16 Disember 2009

Bukan Sekadar Cinta Fitrah...

Assalamualaikum.
Sekadar muhasabah diri….buat diriku yang bernama isteri dan buat dirimu yang bernama suami ;


Masa bercinta mungkin warna sebenar (true colours) pasangan kita tidak nampak ketara. Dia rela mengikut selera, minat dan jalan hidup kita atau kita juga rela mengikutnya. Tetapi semakin lama berumahtangga, maka semakin ketara kelemahan dan kekurangannya. Ah, bagaimana hendak mengekalkan cinta? Apakah ia umpama bulan yang dipuja dari kejauhan tetapi botak dan berlopak di mata angkasawan?

Kata bijak pandai, sesuatu akan berakhir mengikut bagaimana ia bermula. Mukaddimah banyak menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya di syurga), ia mesti diperkukuh dari pangkalnya. Perkahwinan dimulakan dengan percintaan, tetapi disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab itu ramai ahli psikologi mendefinisikan cinta sebagai ‘rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang!’

Janganlah hendaknya cinta dan rumahtangga dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Atau mengejar status sosial. Atau lebih hina lagi hanya untuk memenuhi keperluan fizikal dan material semata. Jika rumahtangga hanya dibina untuk makan-minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks), kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego)…apa bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Ingat kata Farabi, “Cinta yang didorong untuk memenuhi kehendak seks ialah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan untuk binatang!” Itulah cinta kelas dua.

Oleh itu, pada tahap manapun rumahtangga kita…di permulaan, pertengahan atau pengakhiran marilah bermuhasabah apakan benar-benar rumahtangga kita di asaskan di tapak cinta Allah? Ini cinta kelas pertama. Jika sebarang cinta di asaskan di atas cinta ini, InsyaAllah cinta itu akan kekal selama-lamanya. Bagaimana kita boleh memastikan bahawa rumahtangga kita benar-benar diasaskan kepada cinta Allah? Jawapannya mudah. Cubalah nilai, apakah seluruh isi keluarga lalai atau taatkan perintah Allah? Bagaimana dengan solat? Bagaimana dengan al-Qur’an? Bagaimana dengan hak-hak Allah yang ada di kalangan manusia? Sudahkah kita tunaikan amanah itu?

Jika tidak, itu menunjukkan cinta kita sudah tersasar. Sekali-sekala jika terjadi pertembungan kehendak Allah dengan kehendak isteri atau suami, yang mana satu didahulukan? Jika didahulukan kehendak pasangan, sah itu petanda cinta telah tersasar. Hakikatnya, inilah yang banyak berlaku dalam alam berumahtangga kini. Dan inilah punca mengapa ramai pasangan suami isteri berpisah sekalipun di kalangan pasangan yang saling cinta-mencintai. Berpisah, bukan kerana mereka tidak cinta, tetapi cinta mereka telah meminggirkan cinta Allah.

Cinta yang meminggirkan cinta Allah adalah rendah mutunya dan tidak tahan uji. Cinta hanya semata-mata berasaskan fitrah, adalah cinta kelas bawah. Cinta jenis ini dikurniakan secara semulajadi (fitrah) oleh Allah kepada semua manusia, yang Islam dan bukan Islam, malah binatangpun mendapatnya. Hanya dengan cinta kategori ini, sebuah rumahtangga tidak akan dapat bertahan dengan perubahan fizikal. Bila wajah kendur, cinta luntur. Bila kemudaan hilang, sayang melayang. Sebaliknya cinta Allah mampu mengekalkan, malah boleh meningkat lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku, justeru tapak cinta itu di hati, bukan di mata. Ingat, cinta itu buta. Itu ada kebenarannya. Bila sudah cinta, semuanya indah sahaja.

Tegasnya, cinta yang berdasarkan fitrah semata-mata akan runtuh dipukul badai alam rumahtangga. Ketika itu perkahwinan akan menjadi pusara percintaan. Sebaliknya cinta yang dibina atas dasar cinta Allah akan menjadikan perkahwinan sebagai taman atau kebun percintaan. Mungkin sekali-sekala bergolak jua, tetapi atas dasar ibadah, tanggungjawab, cinta dapat dibina semula…rumahtangga akan dipacu ke arah cinta selamanya, di syurga!


“Cinta kelas pertama bukan ditentukan oleh urat, daging dan kulit…yang akan kedut dan mereput, tapi ditentukan oleh hati, yang menilai iman, kasih, sayang, akhlak dan budi. Nilai-nilai ini tidak akan reput. Ya, kedut kelopak mata isteri kita, dia dah tua…tapi itu pandangan mata cuma. Hati kita memandang lain…mata itulah yang pernah menangis bersama kesusahan kita. Ya, telah putih uban di kepala suami kita…tapi si isteri seolah-olah tidak melihatnya, yang di’pandang’nya ialah kepala itulah yang selama ini memikirkan bagaimana nak membahagiakan rumahtangga!”

Firman Allah SWT:

“Pergaulilah isteri-isterimu dengan baik dan apabila kamu tidak lagi menyukai (mencintai) mereka (jangan putuskan tali perkahwinan), kerana boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, tetapi Allah menjadikan padanya (di sebalik perkara itu) kebaikan yang banyak.”

(an-Nisa: 19)

Petikan Daripada Buku :

Satu Rasa Dua Hati
(Pahrol Mohd Juoi)

*************************************************************************************

Isnin, 14 Disember 2009

Buatmu, Along dan Angah...

Assalamualaikum.

Buat anak-anak Ummi yang dikasihi, dicintai dan dirindui nun di bumi Mesir, Along dan Angah...


"Ya Allah, jadikanlah Along dan Angah hamba-hambaMu yang soleh. Berikanlah kekuatan dan ketabahan kepada keduanya dalam menempuhi medan jihad di bidang ilmu ini. Bantulah mereka untuk menguasai bahasa, ilmu dan al-qur'an."

" Ya Allah, pilihlah mereka untuk menjadi para huffazMu yang dapat sentiasa mengekalkan hafazannya dan beramal dengan isi kandungan al-qur'an. Pilihlah mereka untuk menjadi hamba-hambaMu yang berbakti kepada kedua ibubapanya dan berbakti kepada masyarakat dengan ilmunya. Muliakanlah akhlak keduanya sebagaimana akhlak Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya serta perelokkanlah tuturkatanya untuk menjadi pendakwah yang baik dan berkesan."

" Ya Allah, pilihlah anak-anak kami ini untuk menjadi hamba-hambaMu yang terbaik di sisiMu di dunia dan di akhirat. Amin ya Rabbal 'alamin..."


*********************************************************

Petikan artikel terbaru dari blog Along dengan tajuk Doakan Ammar & Anas ;

Kepada semua pengunjung blog Ammar...

Assalamualaikum...

Beberapa hari lagi Ammar & Anas akan menghadapi peperiksaan (Imtihan Qabul) di Maahad Bu'uth Islamiah bagi menentukan kelas yang akan kami duduki, Ammar berharap agar pengunjung blog Ammar semua dapat mendoakan kami agar berjaya menempuhi cabaran yang akan kami tempuhi ini. Ammar juga meminta maaf kerana terlalu lama blog ini tidak bergerak atas sebab-sebab tertentu. Itu saja yang dapat Ammar sampaikan sebab hari pun dah lewat, sampai masanya untuk pulang ke asrama.

Wassalam...

DSC00156

Doakan Anak-Anak Ummi!

*************************************************************************************

Sabtu, 12 Disember 2009

Bolehkah Doktor Merawat Pesakit Berlainan Jantina?

Assalamualaikum.

Sebelum ini Ummi ada mengeluarkan artikel bertajuk 'Dr Lelaki Atau Perempuan?' yang boleh dibaca di sini. Hari ini Ummi terbaca pula artikel bertajuk 'Adakah Boleh Doktor Merawat Pesakit Berlainan Jantina?' dari laman Ustaz FaridRashidi.Com. Sungguh mengesankan!

Ummi sendiri sebagai doktor wanita Islam di sebuah klinik swasta merasa cukup terkilan dengan masyarakat kita terutamanya kaum wanita yang tidak mengambil kisah dengan perkara ini. "Jumpalah doktor mana-manapun. Sama jer..." kata mereka. Malah lebih menyedihkan ada sebahagiannya yang hanya memberikan alasan ; "Alahh...saya dah turun temurun dapatkan rawatan dengan Dr Lim tu kak. Dia tu dah jadi macam doktor peribadi keluarga saya dah". Kalau setakat demam selsema tu bolehlah tahan, tapi untuk masalah sakit puan yang memerlukan pendedahan aurat dalam pemeriksaan kesihatanpun mereka sanggup? MasyaAllah....

Pengalaman bersama pesakit lelaki pula macamana? Hmm...tak taulah Ummi nak cakap. Yang perempuannya suka jumpa doktor lelaki, yang lelakinya pulak suka jumpa doktor perempuan? Lebih memelikkan lagi, ada pasangan suami isteri tu, si suami datang jumpa Ummi untuk masalahnya dan si isteri datang jumpa Dr Abi! Tak ke dunia dah terbalik? Nasiblah Ummi ni suami isteri doktor, untuk masalah-masalah yang melibatkan aurat lelaki, bolehlah Ummi rujuk pada Abi dan begitu juga sebaliknya.

Pernah suatu ketika tu datang seorang pesakit lelaki yang mengadu masalah 'sakit tuan' dan mintak Ummi buatkan pemeriksaan lengkap untuknya. Secara lembut Ummi menolak kerana dia masih ada pilihan untuk berjumpa dengan doktor lelaki dan Ummi sendiri yang akan merujuknya. Tapi tuan-tuan nak tahu apa jawapannya? "Saya seganlah dengan suami doktor. Doktor jerlah yang examine saya!" MasyaAllah, memang dunia dah terbalik! Seorang pesakit lelaki boleh segan dengan doktor lelaki tapi tak segan nak mendedahkan auratnya pada doktor perempuan? Lebih tragis lagi, ada pulak yang menasihatkan kita, "Alahh..doktor tak payah seganlah dengan saya. Saya dah kahwinpun!" Tak ke haru?

Pengalaman Dr Abi dengan pesakit perempuan pulak? Kisah yang sama, malah banyak yang pelik wal melik. Malas Ummi nak cerita.

Kesimpulannya, kefahaman masyarakat Islam kita terhadap isu-isu penjagaan aurat sebegini teramatlah cetek dan seringkali dianggap remeh oleh sebahagian besar dari mereka. Amat malang sekali!

Berikut Ummi paste kan artikel yang ditulis oleh Ustaz Farid Rashidi untuk tatapan dan renungan kita semua. Jazakallahukhair ustaz atas pendedahan yang sangat berguna ini.

*************************************************************************************

“Siapakah yang bersalah, doktor atau pesakit jika ternampak aurat?” Tanya seseorang.

“Bagaimana hukumnya?”

Saya percaya, ramai di kalangan kita masih samar-samar mengenai hukum berkaitan dengannya. Tambahan pula perkara ini seolah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat sehinggakan perkara sebenar tidak diaplikasikan sebaik mungkin. Di sini kita bukan mahu mencari salah siapa samaada pesakit ataupun doktor, akan tetapi mahu mengambil jalan penyelesaian agar dapat diselesaikan semaksimum mungkin.

BOLEHKAH DOKTOR LELAKI MENGUBATI PESAKIT WANITA ATAUPUN SEBALIKNYA?

Memahami masalah ini pada asasnya perbuatan melihat aurat wanita adalah ditegah sama sekali. Islam mengharamkan lelaki melihat aurat wanita, begitu juga wanita melihat aurat lelaki. Namun dalam masalah mengubati pesakit berlainan jantina diharus bersyarat.

Majma’ al-Fiqhi al-Masihi di bawah Rabitah al-A’lami al-Islami di dalam seminarnya yang ke-14 bertempat di Mekah bertarikh 20 Sya’ban 1415 Hijrah bersamaan 21 Januari 1995M telah mengeluarkan resolusinya seperti berikut:

1. Syariat pada asalnya mengharamkan perempuan mendedahkan aurat kepada lelaki dan mengharamkan lelaki mendedahkan aurat kepada perempuan. Begitu juga perempuan diharamkan mendedahkan aurat sesama perempuan atau lelaki sesama lelaki.

2. Pihak Majma’ sekali lagi menegaskan di dalam resolusinya yang bernombor 85/12/85 di dalam persidangan yang bermula pada 1-7 Januari 1414H bahawa: “Asalnya apabila kedapatan doktor perempuan Islam, dialah yang wajib merawat pesakit wanita. Jika doktor Islam tidak ada, maka mestilah doktor wanita bukan Islam. Apabila doktor wanita bukan Islam tidak ada, maka dibolehkan doktor lelaki Islam. Apabila ketiadaan doktor lelaki Islam, barulah dibolehkan doktor lelaki bukan Islam merawat pesakit wanita Islam. Ianya mesti disyaratkan melihat bahagian badan perempuan yang diperlukan sahaja bagi menentukan jenis penyakit serta merawatnya, dan tidak boleh melampaui batas keperluan. Hendaklah menutup anggota badan sekadar yang terdaya. Apabila seseorang doktor lelaki merawat pesakit perempuan, maka pesakit perempuan hendaklah ditemani mahram atau suami atau perempuan lain yang boleh dipercayai, dibimbangi berlakunya khalwat.”

Manakala di dalam kita Fiqh as-Sadah as-Syafie’yah oleh Doktor Khalifah Abdul Basit Shahin menyebut bahawa melihat aurat berlainan jantina tanpa sebab adalah haram. Ini berdasarkan dalil al-Quran bermaksud:

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

Begitu juga Allah SWT mengharamkan ke atas wanita melihat aurat orang lain:

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat.”

Pengarang juga membahagikan sebab yang diharuskan melihat aurat berlainan jantina kepada tiga bahagian dan ini termasuklah mengenai rawatan oleh para doktor.

Justeru, secara kesimpulannya prioriti bagi merawat pesakit menurut syariat Islam adalah sebagaimana berikut:

1.Doktor wanita Islam
2.Doktor wanita bukan Islam
3.Doktor lelaki Islam
4.Doktor lelaki bukan Islam

DOKTOR YANG MENGAMBIL KESEMPATAN

Dewasa ini kedapatan banyak kes melibatkan doktor ke atas pesakit, ini termasuklah kes cabul, rogol ataupun perzinaan. Inilah natijahnya jika tidak mengguna pakai aturan yang ditetapkan oleh syariat Islam. Doktor-doktor keluaran sistem barat tidak langsung menitikberatkan soal akhlak dan syariat ketika mengubati pesakit berlawanan jantina. Malah doktor berhidung belang seperti ini sanggup mengambil kesempatan dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Pada asalnya tugas sebagai doktor adalah suatu profesyen yang baik dan mulia kerana membantu manusia dari kecelakaan. Namun ianya menjadi haram kerana salahguna tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Sudah tentu ianya mencalarkan kredibiliti sebagai seorang doktor profesional.

Saya yakin, mengambil alasan darurat (sedangkan masih ada jalan penyelesaian) demi memuaskan nafsu syahwat itu bukan etika seorang doktor muslim dan tidak termasuk silibus yang pernah dipelajari bertahun-tahun!

PESAKIT YANG TIDAK PEKA

Masalah ini juga pada asasnya terletak kepada pendirian pesakit itu sendiri. Dalam hal ini, saya melihat ramai di kalangan kita mengambil jalan mudah dan langsung tidak menghiraukan soal penjagaan syariat ketika menerima rawatan. Masakan tidak, terkadang masih wujud klinik yang mempunyai doktor wanita Islam tetapi mereka lebih gemar memilih untuk menerima rawatan dari doktor lelaki malah lebih dahsyat apabila lelaki itu bukan beragama Islam.

Jika sakit itu melibatkan batuk demam mungkin tidak terlalu bermasalah, tetapi jika sakit itu melibatkan aurat mughallazah (aurat berat seperti tubuh badan wanita dan alat sulit) tidakkah ianya sesuatu yang mengundang risiko? Tidak tercalarkah maruah?

Tambahan pula perkara ini melibatkan kesan psikologi pesakit, terutamanya pesakit wanita jika ianya melibatkan aurat sulit. Sudah tentu timbul pelbagai perasaan kelak jika tidak dibendung segera.

Pekalah dengan keadaan semasa, usahlah terlalu mengambil ringan dan memandang enteng tentang perkara ini. Berhati-hatilah!

Mencegah itu bukankah lebih baik dari mengubati?

JADILAH DOKTOR YANG ISLAMIK

Suka saya untuk mengutip kata-kata nasihat beberapa orang doktor buat tatapan pembaca di blog ini.

Kata Dr.Hamdi Mas’ud dalam kitabnya Daur at-Tobib al-Muslim fi nasyri Ta’alim al-Islam bermaksud:

“Adapun bagaimanakah cara untuk seseorang doktor itu membawa pesakitnya ke jalan menuju Allah ketika melaksanakan tugasan dirinya.. hendaklah berusaha dalam kadar waktu yang mengizinkan untuk memasukkan ke dalam benak fikiran dan hati pesakit akan kefahaman Islam yang sebenar.. bertitik-tolak dari kefahaman Islam yang sebenar inilah, seseorang doktor itu mampu mendekatkan pesakitnya akan hakikat Tauhid dengan menyatakan bahawa segala perkara yang terjadi adalah di bawah kekuasaan Allah.”

Renungilah pula kata-kata dari Dr. Nada Abd Azez Mohamed al-Yusfi, dalam kitabnya Ila at-Tobib wa Tolib at-Tib Kaifa Takhdimu al-Islam:

“Sesengguhnya doktor yang hidupnya adalah untuk dirinya sendiri tanpa memikirkan orang lain di sekelilingnya dan tidak meletakkan di hadapannya tujuan dakwah yang menggunung, juga tidak melapangkan masanya sejam sahaja dalam seminggu untuk mempelajari ilmu agama dan menghafaz apa yang patut dari al-Quran, juga tidak memikirkan apa yang perlu dibuat untuk Islam terhadap ilmu perubatan yang dianugerahkan kepadanya, maka keadaannya kadang-kadang banyak rehat, hidup matinya dalam keadaan jiwanya kerdil. Adapun doktor yang berjiwa besar sanggup memikul tugasan yang penat ini, tidak mementingkan urusan tidurnya, waktu rehatnya, berada di atas tilam empuk dan kehidupan yang senang-lenang disamping harta benda yang memuaskan. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberitahu keadaan sepatutnya dan bersabda kepada Ummul Mukminin Saidatina Khadijah: Telah berlalu masa untuk tidur wahai khadijah. Maka kami ingin menyatakan di sini: Telah berlalu masa untuk kamu tidur dan pejam lelap wahai penuntut-penuntut bidang perubatan!”

Subhanallah, nasihat yang berbekas!

10:15AM, 12 Disember 2009,
Siberbay, Tanta.

*************************************************************************************

Selasa, 8 Disember 2009

Jangan Sampai SMS Mengundang Bala!

Assalamualaikum.

3 hari komputer Ummi masuk bengkel. Banyak kerja tergendala dan tertangguh. Alhamdullillah hari ini dah ok. Terlintas di hati, hilang satu kemudahanpun, pelbagai urusan dah tergendala. Bagaimanakah agaknya jika hilangnya salah satu nikmat pancaindera yang Allah anugerahkan pada kita? AllahuAkbar! Alangkah tak terhitungnya nikmat dari Allah untuk kita selama ini.

Alang-alang bercakap pasal kemudahan, suka Ummi nasihatkan. Gunakanlah apa jua kemudahan untuk kebaikan. Jangan sampai disalahgunakan sehingga mendatangkan kemudharatan.

Acapkali Ummi mendengar luahan dari pesakit, yang terganggu kerukunan rumahtangganya hanya kerana kemudahan SMS masakini. Bagaimana?

Ada isteri yang terguris hati hanya semata-mata kerana suami asyik bermain sms. Ada isteri yang merajuk kerana masa bersama mereka diganggu dengan panggilan tak henti-henti dari rakan sekerja suami. Walaupun kesetiaan suami tidak mereka ragui, namun jauh di sudut hati, mereka kecewa kerana terasa seperti tidak dihiraukan. Lebih mengecewakan lagi, ada si suami yang bersms sehingga berjam-jam sambil tersenyum-senyum, sambil ketawa sendirian, tanpa langsung memaklumkan kepada isteri dengan siapa dia berinteraksi. Kalau beginilah halnya, memang layak untuk seorang isteri mencemburui suaminya. Apa salahnya kalau si suami memaklumkan sepatah pada sang isteri, “Abang tengah bersms dengan kawan lama abang, si fulan bin si fulan ni Yang…” Tidaklah sang isteri menaruh prasangka yang bukan-bukan. Kena pulak time mereka bersms tu tengah-tengah malam.

Entahlah, macam-macam kisah yang Ummi dengar. Klinik Ummi ni dah jadi macam klinik kaunseling pulak. Mungkin ada sedikit ketidakadilan dari kisah yang Ummi ceritakan ini sebab semua kesalahan seolah-olah diletakkan di pihak yang bernama suami. Dah memang pengunjung Klinik Ummi ni majoritinya perempuan, maka yang mengadunyapun semestinya perempuan. Tak tahulah Ummi kot ada juga pihak suami yang menghadapi masalah yang sama kerana isteri asyik bersms. Wallahua’lam.

Namun Ummi amat bersetuju sekiranya dipihak suami-isteri saling berterus-terang. Tak salah untuk seorang suami atau isteri berterus terang dengan pasangannya, dengan siapa mereka berinteraksi. Hal ini walaupun nampak remeh namun amat penting dalam menjaga keintiman hubungan antara suami dan isteri. Jangan dilakukan sesuatu yang boleh menimbulkan prasangka antara suami isteri.

Masa bersama antara suami isteri kalau boleh janganlah diganggu dengan aktiviti-aktiviti sms atau berborak panjang dengan rakan sekerja. Masa-masa sebegini sepatutnya dibina untuk keintiman hubungan antara suami dan isteri. Tidak kiralah bagi suami dan isteri yang kedua-duanya bekerja atau bagi isteri yang tidak bekerja. Masa untuk mereka bertemu dan bercerita itu dan ini hanya sebentar cuma. Kalau dihabiskan pula dengan aktiviti bersms, maka akan hilang mood pasangannya untuk bermesra dan membina hubungan. Lama kelamaan mereka sendiri akan terbiasa dengan aktiviti sendiri-sendiri. Suami dengan hal suami. Isteri dengan hal isteri. Maka hilanglah roh sakinah, mawaddah dan rahmah yang dicari-cari.

Semoga sedikit bebelan dari Ummi hari ini menjadi muhasabah untuk diri Ummi sendiri dan kita semua. Jangan sampai SMS mengundang bala dalam kerukunan hidup berumahtangga…

*************************************************************************************

Isnin, 30 November 2009

Marilah Kita Berbahasa Arab...

Assalamualaikum.

Untuk anak-anak Ummi dan pengunjung blog Ummi yang dikasihi, kali ni jom kita sama-sama belajar asas bahasa Arab, okay? Hmmm...dah tak tau nak buat apa musim cuti sekolah ni, lebih eloklah kita refresh sedikit pengetahuan kita terhadap bahasa Arab. Bukankah bahasa Arab itu bahasa al-qur'an?

Mula-mula kita belajar pasal anggota badan dahulu...



Apa pulak kita nak panggil kat mak, ayah, adik-beradik dalam bahasa Arab?



Aha! Yang ini best. Dia ajar kita ucapan pertemuan sebagai asas perbualan...


Nak lagi? Jom kita belajar mengenal pakaian dalam bahasa Arab pula...



Yang kat bawah ni pulak, mengenal jenis-jenis permainan. Apa salahnya nanti bila nak ajak anak-anak keluar bermain, kita gunakan perkataan bahasa Arab pulak. Nanti kat sekolah, anak-anak kitapun lebih cekap dalam penggunaan bahasa Arab kerana dah dibiasakan di rumah. Betul tak?



Ok, Ummi rasa cukuplah dulu setakat ini, ya. Banyak-banyak nantikan tak boleh tangkap pulak. Selalulah ulang-ulangi video asas bahasa Arab ini. InsyaAllah anak-anak Ummi dan semua pengunjung blog nanti dah boleh sikit-sikit berbahasa Arab di rumah.

Selamat menonton dan selamat mempraktiskannya!

*************************************************************************************

Rabu, 25 November 2009

Selamat Berpuasa...

Assalamualaikum


Ingatkan hari ini Ummi nak cerita pasal kelebihan Puasa Hari Arafah, tup-tup bila bukak blog anak Ummi, dah ada diceritakan rupanya. Hmmm...best pulak baca artikel kakak dalam blog barunya. Jom kita sama-sama hayati apa yang diperkatakan di sini....

Selamat Berpuasa Esok Hari...!

***************************************************************************************

Isnin, 23 November 2009

Ihtifal SRIP Tahfiz 2009

Assalamualaikum.

Majlis Ihtifal SRIP Tahfiz 2009 akhirnya berjaya diadakan pada 21 November 2009 bertempat di Auditorium Fakulti Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Wah, gah sekali majlis kali ini kerana telah berjaya diadakan di sebuah universiti tempatan di sini. Bersemangat habis anak-anak! Apalagi apabila memasuki perkarangan universiti yang begitu indah dan permai. Itulah sebenarnya tujuan pihak SRIP Tahfiz mengadakan majlis ihtifalnya di dewan universiti. Tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk motivasi dan perangsang buat anak-anak didik Sekolah Rendah Islam Pintar Tahfiz (SRIP Tahfiz)!

Indah mekar si bunga raya, kuntuman indah menambat seri, anak-anak hiasan dunia, pintar dan soleh penyejuk hati....itulah puisi pembukaan yang tertera pada buku cenderahati majlis kali ini.

Majlis dimulakan dengan alunan kalimullah oleh adik Mohd Izzat Farhan (tahun 6) diikuti terjemahannya oleh adik Iffah Nabilah (tahun 6). Mereka ini adalah rakan sebaya dan bekas rakan sekelas anak Ummi, Anas yang kini sedang menuntut di Maahad Bu'uth Islami, Kaherah.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh guru besar SRIP Tahfiz, Puan Norli binti Madlan yang lebih dikenali sebagai Ummi di kalangan pelajar-pelajar SRIP Tahfiz. Sungguh bernas sekali ucapan beliau!

Ucapan oleh wakil PIBG, Tuan Haji Kamarudin Abdul Rahim. Wah! Panjang lebar ucapannya dengan kisah pengalaman yang begitu bermakna buat para pendengar. Almaklum, ucapan dari 'orang lama'....

Penyampaian cenderahati untuk penaung SRIP Tahfiz, Tuan Haji Aminudin Mat Yusof.

Persembahan taekwondo oleh pelajar-pelajar SRIP Tahfiz...

Sangat menarik dan bertenaga!

Penuh dengan aksi dan gaya pertahanan diri...

Jangan disangka kami lemah...tendang kayu keras nipun boleh pecah beb...huhu....

Acara penyampaian hadiah dimulakan dengan hadiah perangsang untuk semua pelajar TISPIN, Tahun 1 dan Tahun 2. Kelihatan anak Ummi, Aisyah Farihah sedang menerima hadiah perangsang.

Majlis diteruskan dengan acara persembahan sketsa yang begitu menarik sekali, bertajuk Nilai Sebuah Keberkatan. Power habis pelakon-pelakonnya. Anak-anak kecil, dilatih untuk apapun, boleh jadi hebat! Macam tak caya tengok lakonan mereka, tak kekok langsung!

Sketsa diakhiri dengan persembahan nasyid bertajuk 'keampunan' oleh pelajar-pelajar tahap 1 (Tahun 1-3). Merdu habis suara diaorang!

Siap dengan gayanya yang pelbagai....

Majlis kemudiannya disambung dengan acara penyampaian hadiah perangsang untuk kesemua pelajar Tahun 3 sehingga 6. Kelihatan anak Ummi, Amirah Zahidah sedang menerima hadiah perangsang.

Kecil-kecil cili api! Hebat sekali adik tahun 1 ini mempersembahkan sajak bertajuk 'guruku' buat semua hadirin.

Majlis diteruskan dengan persembahan nasyid bertajuk 'Allahu'. Wah! Macam-macam bahasa pulak yang digunapakai dalam lagu ni...

Akhirnya tibalah masa untuk anugerah kecemerlangan akademik buat pelajar-pelajar yang telah berjaya dengan cemerlang. Kelihatan Aisyah Farihah sedang menerima piala dan sijil di atas pencapaian tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini. Tahniah Aisyah! Semoga Aisyah akan berusaha dengan lebih gigih lagi bagi mengekalkan kecemerlangan.

Kakak (Amirah Zahidah) pula menerima anugerah kecemerlangan akademik, tempat pertama untuk peperiksaan akhir tahun. Tahniah kakak! Semoga kakak akan terus cemerlang di dunia dan di akhirat...

Persembahan bintang kecil dari pelajar-pelajar prasekolah!

Siap dengan lakonannya sekali! Hebat!

Diakhiri dengan persembahan lagu dalam bahasa inggeris....

Seterusnya, acara penyampaian hadiah untuk pertandingan musabaqah membaca al-qur'an. Tak sangka, anak Ummi, Aisyah berjaya menggondol Johan Musabaqah Tahap 1! Tahniah sekali lagi untuk Aisyah! Rajin-rajin baca qur'an ya sayang...sungguh al-qur'an itulah pedoman hidup kita sampai bila-bilapun.

Kakak pula membuat kejutan kerana berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan hafazan al-qur'an tahap 2! Alhamdulillah...semoga anak-anak Ummi akan terus menjadikan al-qur'an sebagai pedoman hidup.

Penyampaian piala dan sijil kecemerlangan untuk pelajar terbaik lelaki dan perempuan Tahun 6! Rupa-rupanya kedua-dua peserta yang mengalunkan kalimullah di awal majlis tadilah yang merupakan pelajar terbaik SRIP Tahfiz tahun ini! Tahniah untuk adik Mohd Izzat Farhan dan Iffah Nabilah.

Majlis diakhiri dengan acara khatam qur'an.

Tahun ini seramai 20 orang pelajar telah berjaya mengkhatamkan bacaan al-qur'an...

Antaranya adalah anak Ummi, Aisyah Farihah, Tahun 1 (berbaju kuning). Alhamdulillah...

Kakak Amirah (berbaju oren di belakang) juga telah mengkhatamkan al-qur'an pada tahun ini. Alhamdulillah, setakat ini setiap tahun kakak pasti akan khatam al-qur'an pada bulan Ramadhan.

Bunga telur dah jadi bunga pulut kuning. Hahaha..hadiah pulut kuning dari Ummi sempena majlis khatam qur'an...

Akhir sekali 'Ummi' bergambar bersama 'Ummi' (guru besar SRIP Tahfiz). Waduh! Ummi yang bersaiz rendah atau guru besar ni yang bersaiz tinggi...hihihi....

Sekian dulu. Sehingga ketemu lagi, InsyaAllah....

*************************************************************************************

Ahad, 22 November 2009

Sambutan Hari Lahir & Anugerah Baiti Jannati 2009...

Assalamualaikum.

Sekejapnya masa berlalu. Terasa baru aja Ummi mengeluarkan posting Sambutan Hari Lahir & Anugerah Baiti Jannnati 2008, tup-tup hari ini dah sampai pula masanya untuk sambutan tahun 2009! Ya Allah, semoga hari-hari yang telah berlalu itu diampunkan segala dosa-dosa kami...

19 November 2009 - hari ulangtahun kelahiran 2 puteri Ummi, Amirah Zahidah (10 tahun) dan Atiqah Maisarah (5 tahun). Berkebetulan dengan hari ulangtahun mereka yang disambut pada penghujung tahun, maka hari Anugerah Baiti Jannati juga digabungkan bersama pada hari ini bagi lebih memeriahkan majlis. Malah ianya pasti menjadi hari yang lebih bermakna buat kami dan anak-anak.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Abi. Semoga hidup kami sekeluarga senantiasa diberkati dan dirahmati Allah. Kalau dulu majlis disambut bersama 5 orang anak, kemudiannya tinggal 4, kini hanya tinggal 3 puteri. Apapun, majlis tetap diteruskan. Buat Along dan Angah nun jauh di bumi kinanah, InsyaAllah masanya untuk kita berkumpul bersama akan tiba juga. Yang penting, carilah ilmu walau ke ceruk rantau mana sekalipun...

3 puteri penghibur dikala sepi dan duka...Daripada Aisyah r.a, dari Nabi SAW baginda telah bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka."

Kembar berlainan tahun...Kakak Amirah dahpun menjangkau umur 10 tahun, manakala Adik Atiqah 5 tahun. Bukan senang nak berkebetulan lahir pada tarikh yang sama ni, kan? Bukan setakat tarikh yang sama, harinya pun sama! Kedua-duanya lahir tanggal Jumaat...

Sambutan Hari Lahir Atiqah Maisarah (5 tahun)

Tu dia! Berebut-rebut nak kasi hadiah kat Atiqah. Waduh, tersenyum lebarlah tuan punya birthday...

Wah! Banyaknya anak Ummi dapat hadiah....

Sambutan Hari Lahir Amirah Zahidah (10 tahun)

Giliran kakak pulak dapat hadiah. Bestnya!

"Mmmmuahhh! Ummi saaaaaayang kakak. Kakak cepat besar, ya dan jadi anak yang solehah..."

"InsyaAllah, anak Abi ni pasti akan jadi hamba Allah number 1! Kakak kan selalu score nombor 1, di sisi Allahpun kakak mesti nak nombor 1 juga, kan?"

Hadiah Perangsang Untuk Aisyah Farihah

Aik? Yang tak birthday pun dapat hadiah juga? Ini adalah hadiah perangsang untuk Aisyah yang baru sahaja ke gerbang persekolahan tahun ini (Tahun 1) dan Alhamdulillah Aisyah berjaya score dalam banyak subjek serta berjaya juga menempa kecemerlangan dalam setiap kali peperiksaan penggal dan OTI. Maka Ummi dan Abi pun tumpang sama melafazkan rasa gembira kami atas usaha Aisyah ini dengan turut memberikan hadiah buat Aisyah di hari ulangtahun kakak dan adiknya.

Agak-agaknya siapa yang lebih gembira? Yang menerima hadiah atau yang memberi hadiah? Nak tahu jawapannya? Selain menerima, rajin-rajinlah juga memberi...

"Mmuaaaahhh! Ummi saaaaaaaayang Aisyah. Aisyahpun nak jadi anak yang solehah juga, kan?"

"Wah! Besarnya hadiah untuk Kak Aisyah!"...He,he...agaknya itulah yang dijeritkan oleh Atiqah sampai habis semua jari ditunjukkan kat kakaknya tu...(Kotak aja yang besar, isi di dalam kecik aja..hihi...)

Anugerah Baiti Jannati

Tibalah masanya yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak. Penyampaian piala untuk kecemerlangan akademik dalam peperiksaan akhir tahun!

Tempat pertama jatuh kepada...opps..si adik ni mana ada exam lagi. Sekolahpun belum. Habis tu anugerah apa yang Atiqah dapat ni? Yes! Anugerah Pintar membaca kategori 4 tahun! Alhamdulillah...kepintaran dan kefasihah Atiqah dalam bacaan telah melayakkan Atiqah untuk turut menerima piala dalam sesi Anugerah Baiti Jannati 2009! Wah, macam anugerah peringkat nasional jer bunyinya..hihi...

Aisyah Farihah dengan Anugerah Pelajar Terbaik Tahun 1 2009 - Tempat pertama! Alhamdulillah...semoga kecemerlangan ini akan terus dikekalkan, ya Aisyah...

Amirah Zahidah dengan Anugerah Pelajar Terbaik Tahun 4 2009 - Tempat pertama! Alhamdulillah...rekod kakak masih kekal sehingga sekarang. Doa Ummi Abi untuk anak-anak dan kita semua agar terus cemerlang di dunia dan di akhirat...

3 puteri bersama piala kecemerlangan mereka. "InsyaAllah, akan kubuktikan pada Ummi dan Abi untuk diri ini terus mencipta kejayaan di masa-masa mendatang."

Piala bukan sekadar piala...semangat yang terbina dari anugerah piala itulah yang akan menjadi titik tolak kejayaan buat mereka, InsyaAllah...

Aisyah...semangat wajamu cukup membanggakan Ummi dan Abi...

Rajin berusaha tangga kejayaan. Kerajinanmu kakak moga menjadi contoh buat adik-adik...

Jenuh dipujuk untuk bersekolah, masih juga enggan...rupanya itulah cabaran buat Ummi bagi menjadi guru pendidik buatmu anakku. Alhamdulillah...hanya 2 minggu mengajar membaca, Atiqah akhirnya berupaya membaca dalam 'kadar pecutan' yang sungguh mengujakan!

Apa tunggu lagi? Bukak jerlah hadiah tu! "Eeeyahoo...bestnya hadiah Ummi Abi kasi ni!" He,he...tergelak Ummi tengok gelagat anak-anak menikmati acara membuka balutan hadiah...

"Apalah agaknya isi kat dalam ni ek? Besar kotak hadiah ni..." Agaknya itu yang difikirkan Aisyah...

"This is a duck! Quack, quack, quack..."

Berakhir sudah sesi anugerah,
Seronoknya hati tidak terkira,
Ucapkanlah syukur kepada Allah,
Atas nikmatnya yang tidak terhingga...

Seeru 'ala baarakatillah

**************************************************************************************