Assalamualaikum.
Tonton dan hayatilah video di bawah. Sungguh nikmat kita berada dalam Islam itu adalah nikmat yang terlalu amat besarnya...
Bukankah Allah mengharamkan syurga bagi mereka yang kufur terhadapnya? Kerana itu, sebesar-besar nikmat adalah nikmat Islam. Sungguh nikmat yang paling besar adalah nikmat Islam. Dan apabila Allah menginginkan bagi hambaNya kebaikan, maka dia dimatikan dalam beragama Islam.
Nabi kita pernah berdoa : "Wahai yang menetapkan hati-hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu." Nabi SAW juga pernah memberitahu bahawa antara tanda-tanda fitnah akhir zaman, orang yang malamnya muslim dan paginya kafir atau paginya kafir dan petangnya dia beriman.
Hari ini kita lihat di sekeliling kita berbagai perkara yang disebarkan berbentuk syubhah, penipuan dan perkara yang meragukan serta yang membangkitkan syahwat. Tidak syak lagi bahawa semuanya ini dapat menyebabkan seseorang itu berpaling dari agamaNya. Tetapi Allah yang Maha Tinggi apabila mencintai seseorang hamba maka akan diwafatkan dia di dalam Islam. Setiap perkara yang ditarik dari kita pasti akan ada gantinya dari Allah kecuali agama, maka tiada gantinya. Dan apabila Allah mencintaimu, maka Dia akan menetapkan kematianmu dalam Islam, supaya engkau mati dalam Islam.
Kerana itu, jadikanlah hatimu gembira tatkala engkau menyembah Allah. Sebahagian orang apabila melakukan sesuatu perkara yang mubah atau makruh seperti menghadiri sesuatu pertandingan atau majlis keramaian, dia merasa gembira kerana menghadirinya. Kita tidak ingin membicarakan tentang perihal sesuatu golongan itu tetapi kita ingin mengambil faedah dari 'kegembiraan' ini. Bagaimana engkau tahu bahawa engkau tetap di atas Islam ialah apabila engkau merasa gembira tatkala engkau mentaati Allah. Jangan dilakukan sesuatu ibadat itu semata-mata untuk menyelesaikannya tetapi lakukanlah sesuatu ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Allah tidak dimudaratkan oleh kemaksiatanmu tetapi engkaulah yang binasa apabila engkau melakukan maksiat. Matilah dalam Islam dalam apa jua keadaanpun. Ia jauh lebih baik berbanding mati dalam kekufuran sebagaimana disebutkan dalam doa para solehin, "Ya Allah sesungguhnya aku mencintaiMu walaupun aku bermaksiat kepadaMu." Seorang sahabat yang mulia, Amru Ibn al-Ash tatkala hampir waktu kewafatannya berkata : "Ya Allah, aku bukanlah seorang yang lepas (dari dosa) maka aku memohon pengampunanMu dan bukanlah aku orang yang kuat (dalam beribadah), maka aku memohon pertolonganMu. Tiada bantuan dan kekuatan kecuali dengan (pertolongan) Allah."
Apabila Allah telah menetapkan bagimu untuk solat subuh berjemaah misalnya, setelah engkau keluar dari masjid, hadirkanlah perasaan gembira bahawasanya Allah dengan rahmatNya telah membangunkanmu dari tempat tidurmu dan menyebabkan engkau berdiri di hadapannya dan membawa engkau bergerak menuju rumahNya (masjid). Inilah yang kita harapkan. Mereka yang apabila Allah inginkan kebaikan untuk mereka, mereka ditetapkan dan dimatikan di atas agama. Dan tidak ada kegembiraan yang lebih besar bagi seorang hamba selain kegembiraannya terhadap Islam.
Sebagaimana semua telah tahu bahawa seorang hamba itu mestilah bersyukur kepada Allah kerana menjadikannya seorang muslim. Kita semua dengan rahmat Allah, dilahirkan muslim. Yakni Allah memberikan kita Islam tanpa kita memintanya. Maka semoga Allah mengurniakan juga kepada kita syurga tatkala kita memintanya.
Segala puji bagi Allah di atas nikmat Islam dan iman ini....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan