Isnin, 3 Januari 2011

Persekolahan 2011 & Ihtifal SRIP Tahfiz 2010

Assalamualaikum.

Hari ini anak bongsu Ummi, Atiqah Maisarah memulakan persekolahannya dalam Tahun 1 di SRIP Tahfiz. Bermakna 3 anak perempuan Ummi akan belajar di sini pada tahun ini. Kakaknya, Amirah Zahidah dahpun memasuki Tahun 6 dan Aisyah Farihah di Tahun 3. Kedua-dua abangnya pula berada di peringkat menengah Maahad Al Azhar, Mesir.

Ini bermakna Ummi dahpun melepasi fasa anak-anak di peringkat prasekolah. Apa maksudnya? Banyak yang tersurat dan banyak yang tersirat. Antara yang tersurat, anak-anak sudah semakin menginjak ke usia remaja dan kedua ibu dan ayahnya pula semakin meningkat ke usia tua. Yang tersirat, fasa didikan untuk anak-anak sudahpun beralih peringkat!

Tepi kiri adalah Atiqah Maisarah. Manakala yang di sebelahnya pula adalah teman baru, Aina Maisarah. Hmmm...nama yang hampir. Atiqah masuk ke kelas dengan tenang dan bersemangat.

Setenang wajah ibunya...hihihi...masuk bakul angkat sendiri.

Pada 25 Disember baru-baru ini, di majlis Ihtifal SRIP Tahfiz & TISPIN, Atiqah baru sahaja dinobatkan sebagai pelajar cemerlang 6 tahun serta diberi pengiktirafan sebagai 'graduan cilik' TISPIN bersama 9 lagi rakan-rakannya.

Atiqah menerima trofi dan sijil untuk tempat pertama 6 tahun TISPIN.

Inilah dia graduan-graduan cilik TISPIN (Tadika Islam Pintar)

Wajah yang bersih dari noda dan dosa...Ya Allah, bantulah aku dalam mendidik anak-anakku menjadi insan yang soleh dan cemerlang di dunia dan di akhirat.

Setahun berhempas-pulas dalam menuntut ilmu, Alhamdulillah tahun ini kakaknya, Amirah Zahidah masih berjaya mengekalkan kecemerlangan di tempat pertama Tahun 5 dan Aisyah di tempat ke-2 Tahun 2. Malah masing-masing juga telah berjaya merangkul pelajar terbaik dalam akademik untuk 4 matapelajaran.

Setiap kejayaan pasti diraikan. Gambar kenangan kejayaan mereka akan Ummi jadikan inspirasi untuk generasi cucu-cicit yang seterusnya, InsyaAllah. Yang paling penting adalah inspirasi untuk diri mereka sendiri dalam menghadapi kemelut perjuangan menuntut ilmu di masa mendatang.

Trofi, sijil dan hadiah kecemerlangan akademik yang berjaya dirangkul oleh ketiga-tiga buah hati Ummi. Semoga kejayaan yang ditempa akan menjadikan mereka lebih tunduk dan patuh kepada penciptaNya.

"Aku sayang cikgu, cikguku sayang cikgu, sayang sayang cikgu, cikguku sayang..." Luahan nasyid dari anak-anak didik TISPIN. Tak sangka Ummi rupanya Atiqah yang jadi solo. Patutlah begitu bersemangat sekali dia berlatih nasyid di rumah, siap dengan gayanya sekali.

Cergas, lincah dan mempersonakan...itulah yang boleh Ummi ungkapkan buat persembahan graduan-graduan TISPIN hasil didikan guru-gurunya yang berkaliber.

Anak-anak kecil...ke mana nak kita corakkan? Meskipun yuran di TISPIN dan SRIP tidak semurah di sekolah-sekolah kerajaan, namun corak pendidikan yang diterapkan menyebabkan Ummi dan Abi membuat pilihan untuk menghantar mereka ke sana. Bukan sekadar cemerlang akademik yang kita harapkan, namun kecemerlangan dari sudut akhlak dan agama itulah yang paling penting.

Lirik nasyid yang dilagukan amat menyentuh jiwa dan perasaan. Ini adalah persembahan dari Kelab Nasyid Shoutul Syabab. Hmm..kakak dah jadi senior di sekolahnya tapi masih lagi terpaksa berbaris paling tepi. Kenapa ya? Hehehe...masih kategori paling rendah.

Aisyah dan rakan-rakannya dengan persembahan hafazan untuk 3 surah.

Yang paling Ummi suka untuk raikan adalah majlis khatam qur'an. Dengan adanya majlis ini, anak-anak bersemangat untuk mengkhatamkan al-qur'an sekurang-kurangnya sekali setiap tahun. Alhamdulillah tahun ini kakak khatam untuk kali yang ke-5 dan Aisyah khatam untuk kali yang ke-3. Makanya, setiap tahun Ummi pasti akan sediakan bunga telur yang paling ceria untuk majlis ini. Nampak bunga kuning yang paling besar tu? Itu dia bunga telur sumbangan dari Ummi buat keraian majlis.

Semoga anak-anak Ummi akan terus cemerlang baik di dunia, mahupun di akhirat. Doa Ummi dan Abi akan sentiasa bersama kalian.

2 ulasan:

azniza berkata...

assalamualaikum,kak han..
entah kenapa membaca entry kak han kali ini menyebabkan saya rasa sebak, hampir mahu menangis tapi memandangkan berada di tempat awam, haruslah dikawal perasaan kan..bukan sebak sedih, tapi sebak terharu melihat kakhan sudah pun melepasi fasa mendidik anak2 pra sekolah dengan berjaya..teringat buah hati saya yang bertiga yang masih lagi kecil..( 3thn, 2thn dan 2 1/2 bulan) entah kemana kami dicampak untuk bertugas nanti, dan ntah di mana pula kami nak sekolahkan mereka...semoga ALlah permudahkan semuanya

onesue11 berkata...

Assalamualaikum
Bila baca entry ini, teringat masa anak mula masuk tadika, hari pertama dia ke sekolah dan juga pada hari konvokesyennya. Tak dapat diungkap dengan kata-kata apabila menghantar anak ke sekolah dan melihat dia di pentas semasa majlis konvokesyen