Jumaat, 28 Januari 2011

Isu MC lagi?

Assalamualaikum.

Hari ni Ummi kena paksa diri untuk menulis. Wajib! Kenapa? Terkilan sangat-sangat rasanya apabila isu MC suami Cikgu Mala (calon Tenang) cuba dipertikaikan. Dah lama Ummi geram dengan kebanyakan pihak yang suka mempertikaikan MC yang diberi oleh doktor. Bukan sekali dua Ummi pernah dapat panggilan dari majikan yang cuba mempertikaikan kesahihan MC untuk pekerjanya. Dah banyak kali sangat. Akhirnya yang ter'malu' sendiri adalah pihak majikan yang menelefon. Apa lagi dalam kes suami Cikgu Mala ini, nampak sangat isu MC ini cuba dipolitikkan.

Pemberian MC ini jelas sekali merupakan hak mutlak doktor yang merawat. Doktor lebih tahu berapa hari pesakitnya layak untuk menerima MC. Walaupun pesakit sendiri boleh memohon dari doktor berapa hari yang dia perlukan untuk rehat, namun yang berhak menentukan kelayakan untuk pesakit tersebut adalah doktor itu sendiri. Begitu juga dengan kelayakan untuk menyambung MC. Selalunya pesakit akan datang kembali bertemu doktor untuk menyambung MC sekiranya masih belum sembuh dan yang akan menentukan layak atau tidak untuk dia menyambung MC adalah doktor tersebut. Kalau doktor dah sign MC, maka itu bererti pesakit tersebut memang berhak menerimanya. Yang jadi masalahnya, berhakkah pihak lain yang tidak ada kaitan sama sekalipun dalam proses pemeriksaan dan rawatan pesakit ni memandai-mandai pula nak pertikaikan kesahihan MC yang telah diberikan?

Tunggu dulu! Anda fikir mungkin sahaja MC tersebut dikeluarkan untuk tujuan lain? Bukan kerana sakit? Kalau begitu wajar sahaja pihak yang hendak mempertikaikan MC tersebut membuat siasatan terlebih dahulu. Benarkah pesakit tersebut pernah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan MC tersebut telah ditandatangani secara sahih oleh doktor yang sah? Kalau dah memang sahih lagi benar, jangan berani-berani mempertikaikan kesahihannya. Di bimbangi anda pula yang akan disaman oleh doktor secara sahih kerana mempertikaikan kesahihannya. Apalagi dalam kes suami Cikgu Mala ini. Bagaimana pula ada pihak tertentu yang tiba-tiba mendedahkan MC personal seseorang kepada umum? Tidakkah tindakan sedemikian secara tidak langsung akan mendedahkan pula pihak yang didakwa kepada diagnosis penyakit yang sepatutnya menjadi hak kerahsiaan pesakit tersebut?

Apa komen sahabat lawyer kita?

Bolehkah doktor saman pihak yang pertikaikan kesahihan MC yang dikeluarkannya atau suami Cikgu Mala saman pihak yang mendedahkan MC kerana telah secara tidak langsung mendedahkan hak kerahsiaannya?

Dunia oh dunia....bilakah keadilan akan tertegak?

Isnin, 3 Januari 2011

Persekolahan 2011 & Ihtifal SRIP Tahfiz 2010

Assalamualaikum.

Hari ini anak bongsu Ummi, Atiqah Maisarah memulakan persekolahannya dalam Tahun 1 di SRIP Tahfiz. Bermakna 3 anak perempuan Ummi akan belajar di sini pada tahun ini. Kakaknya, Amirah Zahidah dahpun memasuki Tahun 6 dan Aisyah Farihah di Tahun 3. Kedua-dua abangnya pula berada di peringkat menengah Maahad Al Azhar, Mesir.

Ini bermakna Ummi dahpun melepasi fasa anak-anak di peringkat prasekolah. Apa maksudnya? Banyak yang tersurat dan banyak yang tersirat. Antara yang tersurat, anak-anak sudah semakin menginjak ke usia remaja dan kedua ibu dan ayahnya pula semakin meningkat ke usia tua. Yang tersirat, fasa didikan untuk anak-anak sudahpun beralih peringkat!

Tepi kiri adalah Atiqah Maisarah. Manakala yang di sebelahnya pula adalah teman baru, Aina Maisarah. Hmmm...nama yang hampir. Atiqah masuk ke kelas dengan tenang dan bersemangat.

Setenang wajah ibunya...hihihi...masuk bakul angkat sendiri.

Pada 25 Disember baru-baru ini, di majlis Ihtifal SRIP Tahfiz & TISPIN, Atiqah baru sahaja dinobatkan sebagai pelajar cemerlang 6 tahun serta diberi pengiktirafan sebagai 'graduan cilik' TISPIN bersama 9 lagi rakan-rakannya.

Atiqah menerima trofi dan sijil untuk tempat pertama 6 tahun TISPIN.

Inilah dia graduan-graduan cilik TISPIN (Tadika Islam Pintar)

Wajah yang bersih dari noda dan dosa...Ya Allah, bantulah aku dalam mendidik anak-anakku menjadi insan yang soleh dan cemerlang di dunia dan di akhirat.

Setahun berhempas-pulas dalam menuntut ilmu, Alhamdulillah tahun ini kakaknya, Amirah Zahidah masih berjaya mengekalkan kecemerlangan di tempat pertama Tahun 5 dan Aisyah di tempat ke-2 Tahun 2. Malah masing-masing juga telah berjaya merangkul pelajar terbaik dalam akademik untuk 4 matapelajaran.

Setiap kejayaan pasti diraikan. Gambar kenangan kejayaan mereka akan Ummi jadikan inspirasi untuk generasi cucu-cicit yang seterusnya, InsyaAllah. Yang paling penting adalah inspirasi untuk diri mereka sendiri dalam menghadapi kemelut perjuangan menuntut ilmu di masa mendatang.

Trofi, sijil dan hadiah kecemerlangan akademik yang berjaya dirangkul oleh ketiga-tiga buah hati Ummi. Semoga kejayaan yang ditempa akan menjadikan mereka lebih tunduk dan patuh kepada penciptaNya.

"Aku sayang cikgu, cikguku sayang cikgu, sayang sayang cikgu, cikguku sayang..." Luahan nasyid dari anak-anak didik TISPIN. Tak sangka Ummi rupanya Atiqah yang jadi solo. Patutlah begitu bersemangat sekali dia berlatih nasyid di rumah, siap dengan gayanya sekali.

Cergas, lincah dan mempersonakan...itulah yang boleh Ummi ungkapkan buat persembahan graduan-graduan TISPIN hasil didikan guru-gurunya yang berkaliber.

Anak-anak kecil...ke mana nak kita corakkan? Meskipun yuran di TISPIN dan SRIP tidak semurah di sekolah-sekolah kerajaan, namun corak pendidikan yang diterapkan menyebabkan Ummi dan Abi membuat pilihan untuk menghantar mereka ke sana. Bukan sekadar cemerlang akademik yang kita harapkan, namun kecemerlangan dari sudut akhlak dan agama itulah yang paling penting.

Lirik nasyid yang dilagukan amat menyentuh jiwa dan perasaan. Ini adalah persembahan dari Kelab Nasyid Shoutul Syabab. Hmm..kakak dah jadi senior di sekolahnya tapi masih lagi terpaksa berbaris paling tepi. Kenapa ya? Hehehe...masih kategori paling rendah.

Aisyah dan rakan-rakannya dengan persembahan hafazan untuk 3 surah.

Yang paling Ummi suka untuk raikan adalah majlis khatam qur'an. Dengan adanya majlis ini, anak-anak bersemangat untuk mengkhatamkan al-qur'an sekurang-kurangnya sekali setiap tahun. Alhamdulillah tahun ini kakak khatam untuk kali yang ke-5 dan Aisyah khatam untuk kali yang ke-3. Makanya, setiap tahun Ummi pasti akan sediakan bunga telur yang paling ceria untuk majlis ini. Nampak bunga kuning yang paling besar tu? Itu dia bunga telur sumbangan dari Ummi buat keraian majlis.

Semoga anak-anak Ummi akan terus cemerlang baik di dunia, mahupun di akhirat. Doa Ummi dan Abi akan sentiasa bersama kalian.

Ahad, 2 Januari 2011

Sanah Helwah Ya Abi...!

Assalamualaikum.

"Selamat Hari Lahir Abi...!"

Ucapan Ummi dan anak-anak pada Abi di awal pagi ini.

2 Januari 2011 - genap Umur Abi 41 tahun. Lagi 3 bulan Ummi pula yang akan menjejak 41 tahun. Saban tahun, umur semakin meningkat. Bagaimanalah pula dengan amalan kita untuk akhirat agaknya ya? Saban hari 'dunia kata pergi,kubur kata mari...'

Buat Abi ;

Terimakasih atas segala-galanya. InsyaAllah Ummi dan anak-anak akan sentiasa menyayangi, mencintai dan mengasihi Abi kerana bagi kami 'you are the best!'. Sabarnya Abi dalam mendidik kami tiada taranya. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa merahmati, memberkati dan memanjangkan usia Abi dalam ketaatan kepadaNya.

Hadiah? Hanya sekadarnya sahaja yang dapat Ummi dan anak-anak sediakan. Walaupun Abi tak pernah meminta tapi anggaplah ini peluang untuk kami meluahkan rasa cinta dan kasih kami buat Abi. Mudah-mudahan sedikit ingatan ini akan menambah eratkan lagi ikatan kasihsayang antara kita.

Tengok?Senyuman dari Abi sudah cukup membahagiakan kami.Semoga Abi gembira menerima hadiah yang tidak seberapanya itu...

Alhamdulillah, tahun ini Kak Mun (kakak sulung Abi) juga dapat meraikan sama hari kelahiran Abi. Anak-anak?Hmm..masih berpakaian tidur..haha. Tak apalah, kasi can sebab masih di awal pagi gambar kenangan ini diambil.

Akhir kalam dari Ummi dan anak-anak :

SELAMAT MENYAMBUT HARI KELAHIRAN KE-41...Sanah helwah ya Abi!

"Waktu kamu lahir, kamu menangis dan orang di sekelilingmu tersenyum. Jalanilah hidupmu sehingga kamu meninggal, kamu tersenyum dan orang-orang di sekelilingmu menangis."

"Manusia yang hidup untuk dirinya sendiri, usianya amatlah singkat. Bermula dari hari kelahirannya dan berakhir ketika disapa sakaratulmaut. Akan tetapi bagi yang hidup untuk perjuangan, usianya panjang sepanjang perjuangan itu. Bermula dari hari Allah menciptakan Adam, berakhir tatkala Dia memusnahkan alam ini."