Ahad, 31 Januari 2010

Bibik Oh Bibik...

Assalamualaikum.

Dah lebih setengah bulan Ummi tak menulis di sini. Bukan kerana frust terhadap kes kecurian di internet baru-baru ini. Namun ia adalah kerana faktor kesihatan yang terganggu, sekaligus menyebabkan mood untuk menulis hilang.

Benarlah pesanan Rasulullah SAW terhadap kita. Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, masa kayamu sebelum miskin dan masa hidupmu sebelum mati.

Ujian batuk yang berpanjanganpun dah cukup membuatkan diri ini terasa sangat hilangnya nikmat kesihatan yang Allah kurniakan selama ini. Habis pelbagai macam ubat di preskripsi untuk diri sendiri namun ia tetap berterusan. Madu dan habbatus sauda’ juga turut diamalkan. Hari ini Alhamdulillah dah terasa ada bezanya dari hari-hari yang lain. Maka mood menulis datang kembali. Doakan Ummi agar terus mampu untuk mencoretkan sesuatu di sini. Sesuatu yang boleh menjadi peringatan buat diri sendiri dan buat pengunjung yang dikasihi.

Bibik Pulang Ke Indon

Kepulangan bibik, pembantu yang memang banyak membantu selama ini ke Indonesia cukup terasa kesannya. Bagi Ummi yang waktu kerjanya di klinik siang dan malam, hidup tanpa bibik cukup merubah suasana. Paling merumitkan, anak-anak tiada yang menemani sewaktu Ummi bekerja sedangkan semuanya masih dalam peringkat usia anak-anak yang belum baligh. Ada tak ada, semuanya Ummi angkut ke klinik (tingkat atas). Malah Ummi sekeluarga dahpun ‘berumahtangga’ di klinik pula sekarang! Hmm..sabar ajalah sehingga bibik yang baru pula sampai.

Rumah Baru Dah Siap

Kebetulan pula, bertepatan masa bibik pulang ke Indonesia, masa ini jugalah rumah baru kami siap. Perpindahan di akhir bulan Januari telahpun dirancang. Tak sangka pula, bibik yang baru lambat sampai kerana urusan visa. Waduh! Semuanya membuatkan kami cukup berada dalam kekalutan. Namun berkat kesabaran dan keyakinan bahawa pasti segalanya ada jalan penyelesaian, Alhamdulillah perpindahan barang-barang dari rumah lama ke rumah baru juga hampir selesai walaupun tanpa bibik.

Kami Tak Berpindah Ke Rumah Baru?

Yang peliknya, kami sekeluarga tak pula berpindah ke rumah baru. Sebaliknya berpindah ke Klinik Ummi pulak? Hahaha…

Sabarlah..tunggu sampai bibik baru tiba…

Bibik Oh Bibik….

*************************************************************************************

Rabu, 13 Januari 2010

Ummi Dah Terkena! Berhati-Hatilah...

Assalamualaikum.

Hati masih rasa terkilan. Namun Ummi perlu gagahkan diri juga untuk mencoretkannya di sini buat peringatan dan perhatian sahabat-sahabiah agar perkara yang sama tidak berulang.

Semalam Ummi dah terkena!

Setibanya Ummi di klinik pagi kelmarin, terus Ummi buka kotak email dan salah satu mesej yang Ummi terima adalah dari maybank2u.com yang mengatakan bahawa akaun maybank2u.com Ummi telah di ‘block’ atas alasan keselamatan. Untuk membolehkan Ummi mengaksesnya kembali, Ummi perlu ‘unblock’ dengan cara menekan butang ‘log in’ yang dipaparkan.

Mengambilkira kemungkinan ada bil yang perlu di bayar melalui maybank2u nanti, maka arahan yang diberi terus Ummi patuhi dengan memasukkan ‘user name’ dan ‘password’ sebagaimana kaedah biasa untuk kita ‘log in’ ke maybank2u.com.

Apabila dah berjaya ‘log in’, terus Ummi keluar dari paparan tersebut untuk melakukan kerja-kerja rutin klinik. Tiada sebarang transaksi dilakukan pada hari ini.

Tiba-tiba pada jam 11.58 pagi (lebih kurang 2 jam selepas urusan ‘unblock account’ tadi), Ummi menerima mesej melalui telefon dari maybank2u.com yang berbunyi : “3rd Party Funds Transfer – RM4,890.00 successful on 12 Jan 2010 11:57:12.TQ”

Dalam keadaan terpinga-pinga dengan mesej tersebut, terus Ummi menelefon Abi bertanyakan sama ada Abi ada membuat transfer account kepada sesiapa menggunakan akaun Ummi pagi ini. Bila Abipun menafikannya…terus kami membuat kesimpulan bahawa AKAUN UMMI TELAH DICEROBOHI!

Usai sesi klinik di sebelah tengah hari, terus Ummi dan Abi berkejar ke Maybank Caw K.Trg untuk membuat laporan. Alhamdulillah, urusan bank agak cekap. Akaun Ummi dan Akaun Penerima terus di ‘block’. Namun untuk membolehkan tindakan dan siasatan lanjut di buat, Ummi terpaksa membuat laporan polis.

Rupanya dah ramai yang terkena! Polis memaklumkan bahawa Ummi dah kena ‘phishing’. Maklumat si penceroboh berjaya diperolehi.

Mudah-mudahan kes ini akan segera selesai dan duit Ummi dapat dikembalikan. Doakan Ummi.

Senangnya orang sekarang cari duit kan? Kecekapan menggunakan IT telah disalahgunakan. Ummi terasa sayu sangat-sangat. Apalagi bila dapat tahu si penceroboh ni orang melayu kita, masih muda-belia lagi. Kenapa tak bekerja secara halal untuk cari duit? Kita dalam keadaan sakitpun, masih gagahkan diri juga untuk mencari sesuap rezeki yang halal tapi ada manusia yang dianugerahkan Allah otak yang cerdik dengan IT, sanggup buat kerja menipu macam ni untuk cari duit? MasyaAllah…

Untuk teman-temanku yang dikasihi…BERHATI-HATILAH dengan email sebagaimana yang Ummi ceritakan tadi. Mudah-mudahan kejadian sebegini tidak akan berulang lagi. Menurut pihak bank, mereka tidak akan sama sekali berurusan dengan pelanggan melalui email. Ini bermakna email yang Ummi terima itu adalah email penipuan dari si penceroboh.

Bila direnungi kejadian sebegini, terdetik di hati… “Adilnya Allah jadikan syurga dan neraka untuk hambaNya di akhirat nanti. Seringkali kita tak berpuas hati dengan hukuman untuk si pesalah di atas dunia ini. Hanya akhiratlah penyelesaian yang terbaik kerana di sana Allah akan balasi setiap apa yang makhlukNya perbuat dengan seadil-adilnya…!"

*************************************************************************************

Ahad, 10 Januari 2010

Terimakasih Anak-Anakku...

Assalamualaikum.

"Kenapa Ummi termenung je ni?" sapa Atiqah yang baru berusia 5 tahun itu pada Ummi.

"Ummi kurang sihatlah Atiqah" jawab Ummi lemah. Memang dah 2 hari Ummi di serang demam, sakit tekak dan batuk-batuk. Kepalapun masih berdenyut-denyut walau dah disogok dengan pain killer.

"Kalau tak sihat, Ummi tak payah gi kerjalah!" sambung Atiqah.

"Hah!Betul tu Atiqah!Ummi tak payah gi kerjalah,kan?Cakap kat Ummi tu..." sampuk Abi.

Ummi tersenyum kelat dengan teguran dari si kecil Atiqah. Aduhai...dah matang juga rupanya fikiran sikecilku ini.

Kenapa Ummi masih memaksa diri ke tempat kerja?

Entahlah...banyak yang Ummi fikirkan. Tutup klinik tanpa gantian doktor seringkali menyebabkan sesal di hati kerana membayangkan pesakit yang menaruh harapan tinggi untuk mendapatkan rawatan terpaksa balik begitu sahaja dengan hampa. Buka klinik dengan gantian doktor locum pula seringkali menyebabkan hati terasa was-was...'baik ke layanan doktor ni terhadap pesakit-pesakitku?' dan macam-macam perasaan lagi yang timbul.

Akhirnya Ummi pasrah, memaksa diri.

Pagi ini, Aisyah dan kakak pula bertanya pada Ummi ;

"Ummi demam ni macamana nak tengok patient? Nanti patientpun tahu Ummi sakit. Ummi rehat ajalah kat rumah."

Subhanallah. Anak-anakku cukup prihatin...

"Tak apa. Kat depan patient, Ummi tak pernah tunjuk yang Ummi sakit."

"Pandai ke Ummi berlakon nanti tu?" soalan yang penuh ikhlas pula keluar dari bibir Aisyah.

Ummi terdiam, kehabisan kata-kata. Hanya senyuman yang menjadi jawapan. Akhirnya Ummi bangkit dari sejadah selepas selesai membaca ma'thurat bersama anak-anak dan terus menuju ke dapur.

"Ummi nak ambik ubat ni. Mudah-mudahan lepas makan ubat ni, Ummi sembuh. Tak payahlah Ummi berlakon lagi, kan?"

Langkah Ummi ke dapur dituruti oleh anak-anak...barangkali untuk memastikan yang Ummi benar-benar mengotakan apa yang dikata.

Syukur padamu ya Allah atas anugerah anak-anak yang solehah, penyejuk hatiku...

*************************************************************************************

Isnin, 4 Januari 2010

Kenangan Di Hari Pertama Persekolahan...

Assalamualaikum.

3 Januari 2010 - bermulalah sesi persekolahan anak-anak. Subuh nan dingin disambut dengan semangat yang berkobar-kobar. Awal-awal lagi, selepas solat Subuh anak-anak Ummi dah mula bersiap-siap untuk ke sekolah walhal sekolah hanya bermula pada jam 8.30 pagi. Full mentally prepared...Alhamdulillah.

Bagi Ummi, ini adalah saat paling mendebarkan kerana pada pagi ini anak bongsu Ummi, Atiqah akan mendaftar ke sekolah barunya, Tadika Islam Pintar (TISPIN). Apa tak berdebarnya, cubaan Ummi untuk menyekolahkan Atiqah pada usia 5 tahun dulu dah gagal. Entah apalah pula reaksinya kali ini.

Nampak pada gayanya, Atiqah (tengah) memang bersemangat habis nak memulakan persekolahan hari ini. Kakak dan Aisyahpun sama. Tak sabar-sabar nak ke sekolah dengan pakaian baru. Apalagi si kakak, yang dilantik jadi pengawas sekolah tahun ni.

3 dara pingitan dengan beg sekolah masing-masing. Seronok anak dara ramai ni. Pantang duk depan kamera, macam-macam gaya ler jawabnya..hehe.

Hah..jangan main-main, siap angkat jari lagi, nak sekolah punya pasal..hahaha..

Bila dah sampai ke sekolah...alamak! Jari dah angkat ke bibir tu..nampak macam ragu-ragu jer pulak? Huhuhu...

Kawan-kawan dah ramai yang selesai mendaftar.

Agak-agak, apa yang sedang difikirkan oleh si anak dan apa yang sedang difikirkan oleh maknya tu...hehehe...

Atiqah dah mula berkenalan dan bersalam-salaman dengan rakan-rakan baru...ahhh, lega sikit rasa hati Ummi...

Alamak! Sebaik saja Ummi nak beredar, Atiqah terus teresak-esak...huwaa...penangan anak bongsu...Nasib ler cikgu pandai memujuk. Sepanjang hari Ummi asyik teringatkan Atiqah.."Hai, apalah jadi anak aku kat sekolah tu. Entah panjang esak tangisnya, entah tidak..."

Balik dari sekolah...wah! Bukan main ceria lagi Atiqah. Sepanjang dalam perjalanan balik, tak henti-henti dia bercerita! Alhamdulillah...perjuangan di hari pertama selesai. Semoga Atiqah Maisarah dan anak-anak Ummi semua akan terus tabah dalam perjuangan menuntut ilmu, InsyaAllah.

*************************************************************************************

Sabtu, 2 Januari 2010

Selamat Hari Lahir, Abi!

Assalamualaikum.

Hari ini umur Abi genap 40 tahun. Cepatnya masa berlalu. 3 bulan lagi, Ummi juga akan menempuh dekad yang sama, 40 tahun! Apakah angka 40 ini membawa apa-apa pengertian? Terlalu banyak tentunya. Setiap kali umur bertambah, setiap kali itulah ia menjadi peringatan buat diri yang alpa.

Buat Abi ;

Terimakasih atas segala-galanya…kami semua amat-amat menyayangi dan mengasihimu, Abi!






*************************************************************************************