Rabu, 16 Disember 2009

Bukan Sekadar Cinta Fitrah...

Assalamualaikum.
Sekadar muhasabah diri….buat diriku yang bernama isteri dan buat dirimu yang bernama suami ;


Masa bercinta mungkin warna sebenar (true colours) pasangan kita tidak nampak ketara. Dia rela mengikut selera, minat dan jalan hidup kita atau kita juga rela mengikutnya. Tetapi semakin lama berumahtangga, maka semakin ketara kelemahan dan kekurangannya. Ah, bagaimana hendak mengekalkan cinta? Apakah ia umpama bulan yang dipuja dari kejauhan tetapi botak dan berlopak di mata angkasawan?

Kata bijak pandai, sesuatu akan berakhir mengikut bagaimana ia bermula. Mukaddimah banyak menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya di syurga), ia mesti diperkukuh dari pangkalnya. Perkahwinan dimulakan dengan percintaan, tetapi disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab itu ramai ahli psikologi mendefinisikan cinta sebagai ‘rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang!’

Janganlah hendaknya cinta dan rumahtangga dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Atau mengejar status sosial. Atau lebih hina lagi hanya untuk memenuhi keperluan fizikal dan material semata. Jika rumahtangga hanya dibina untuk makan-minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks), kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego)…apa bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Ingat kata Farabi, “Cinta yang didorong untuk memenuhi kehendak seks ialah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan untuk binatang!” Itulah cinta kelas dua.

Oleh itu, pada tahap manapun rumahtangga kita…di permulaan, pertengahan atau pengakhiran marilah bermuhasabah apakan benar-benar rumahtangga kita di asaskan di tapak cinta Allah? Ini cinta kelas pertama. Jika sebarang cinta di asaskan di atas cinta ini, InsyaAllah cinta itu akan kekal selama-lamanya. Bagaimana kita boleh memastikan bahawa rumahtangga kita benar-benar diasaskan kepada cinta Allah? Jawapannya mudah. Cubalah nilai, apakah seluruh isi keluarga lalai atau taatkan perintah Allah? Bagaimana dengan solat? Bagaimana dengan al-Qur’an? Bagaimana dengan hak-hak Allah yang ada di kalangan manusia? Sudahkah kita tunaikan amanah itu?

Jika tidak, itu menunjukkan cinta kita sudah tersasar. Sekali-sekala jika terjadi pertembungan kehendak Allah dengan kehendak isteri atau suami, yang mana satu didahulukan? Jika didahulukan kehendak pasangan, sah itu petanda cinta telah tersasar. Hakikatnya, inilah yang banyak berlaku dalam alam berumahtangga kini. Dan inilah punca mengapa ramai pasangan suami isteri berpisah sekalipun di kalangan pasangan yang saling cinta-mencintai. Berpisah, bukan kerana mereka tidak cinta, tetapi cinta mereka telah meminggirkan cinta Allah.

Cinta yang meminggirkan cinta Allah adalah rendah mutunya dan tidak tahan uji. Cinta hanya semata-mata berasaskan fitrah, adalah cinta kelas bawah. Cinta jenis ini dikurniakan secara semulajadi (fitrah) oleh Allah kepada semua manusia, yang Islam dan bukan Islam, malah binatangpun mendapatnya. Hanya dengan cinta kategori ini, sebuah rumahtangga tidak akan dapat bertahan dengan perubahan fizikal. Bila wajah kendur, cinta luntur. Bila kemudaan hilang, sayang melayang. Sebaliknya cinta Allah mampu mengekalkan, malah boleh meningkat lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku, justeru tapak cinta itu di hati, bukan di mata. Ingat, cinta itu buta. Itu ada kebenarannya. Bila sudah cinta, semuanya indah sahaja.

Tegasnya, cinta yang berdasarkan fitrah semata-mata akan runtuh dipukul badai alam rumahtangga. Ketika itu perkahwinan akan menjadi pusara percintaan. Sebaliknya cinta yang dibina atas dasar cinta Allah akan menjadikan perkahwinan sebagai taman atau kebun percintaan. Mungkin sekali-sekala bergolak jua, tetapi atas dasar ibadah, tanggungjawab, cinta dapat dibina semula…rumahtangga akan dipacu ke arah cinta selamanya, di syurga!


“Cinta kelas pertama bukan ditentukan oleh urat, daging dan kulit…yang akan kedut dan mereput, tapi ditentukan oleh hati, yang menilai iman, kasih, sayang, akhlak dan budi. Nilai-nilai ini tidak akan reput. Ya, kedut kelopak mata isteri kita, dia dah tua…tapi itu pandangan mata cuma. Hati kita memandang lain…mata itulah yang pernah menangis bersama kesusahan kita. Ya, telah putih uban di kepala suami kita…tapi si isteri seolah-olah tidak melihatnya, yang di’pandang’nya ialah kepala itulah yang selama ini memikirkan bagaimana nak membahagiakan rumahtangga!”

Firman Allah SWT:

“Pergaulilah isteri-isterimu dengan baik dan apabila kamu tidak lagi menyukai (mencintai) mereka (jangan putuskan tali perkahwinan), kerana boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, tetapi Allah menjadikan padanya (di sebalik perkara itu) kebaikan yang banyak.”

(an-Nisa: 19)

Petikan Daripada Buku :

Satu Rasa Dua Hati
(Pahrol Mohd Juoi)

*************************************************************************************

4 ulasan:

k.sha berkata...

salam ukhwah Dr Ummi,

Terima kasih atas artikal yang menarik ini,
saya panjangkan artikal & link Dr Ummi ke FB saya untuk perkongsian bersama teman2 yang bergelar suami & isteri.

Terima kasih.

Nisha berkata...

Assalamualaikum semua,
Dr. Ummi cerita kita sedikit berbeza namum maksudnya sama. Terima kasih atas peringkatan

wassalam

kin hashim berkata...

menarik :).

Dr Amad berkata...

Siapa bilang kak ummi enggak bisa ngomong bab cinta?

Dr cinta barangkali

=)