Sabtu, 12 Disember 2009

Bolehkah Doktor Merawat Pesakit Berlainan Jantina?

Assalamualaikum.

Sebelum ini Ummi ada mengeluarkan artikel bertajuk 'Dr Lelaki Atau Perempuan?' yang boleh dibaca di sini. Hari ini Ummi terbaca pula artikel bertajuk 'Adakah Boleh Doktor Merawat Pesakit Berlainan Jantina?' dari laman Ustaz FaridRashidi.Com. Sungguh mengesankan!

Ummi sendiri sebagai doktor wanita Islam di sebuah klinik swasta merasa cukup terkilan dengan masyarakat kita terutamanya kaum wanita yang tidak mengambil kisah dengan perkara ini. "Jumpalah doktor mana-manapun. Sama jer..." kata mereka. Malah lebih menyedihkan ada sebahagiannya yang hanya memberikan alasan ; "Alahh...saya dah turun temurun dapatkan rawatan dengan Dr Lim tu kak. Dia tu dah jadi macam doktor peribadi keluarga saya dah". Kalau setakat demam selsema tu bolehlah tahan, tapi untuk masalah sakit puan yang memerlukan pendedahan aurat dalam pemeriksaan kesihatanpun mereka sanggup? MasyaAllah....

Pengalaman bersama pesakit lelaki pula macamana? Hmm...tak taulah Ummi nak cakap. Yang perempuannya suka jumpa doktor lelaki, yang lelakinya pulak suka jumpa doktor perempuan? Lebih memelikkan lagi, ada pasangan suami isteri tu, si suami datang jumpa Ummi untuk masalahnya dan si isteri datang jumpa Dr Abi! Tak ke dunia dah terbalik? Nasiblah Ummi ni suami isteri doktor, untuk masalah-masalah yang melibatkan aurat lelaki, bolehlah Ummi rujuk pada Abi dan begitu juga sebaliknya.

Pernah suatu ketika tu datang seorang pesakit lelaki yang mengadu masalah 'sakit tuan' dan mintak Ummi buatkan pemeriksaan lengkap untuknya. Secara lembut Ummi menolak kerana dia masih ada pilihan untuk berjumpa dengan doktor lelaki dan Ummi sendiri yang akan merujuknya. Tapi tuan-tuan nak tahu apa jawapannya? "Saya seganlah dengan suami doktor. Doktor jerlah yang examine saya!" MasyaAllah, memang dunia dah terbalik! Seorang pesakit lelaki boleh segan dengan doktor lelaki tapi tak segan nak mendedahkan auratnya pada doktor perempuan? Lebih tragis lagi, ada pulak yang menasihatkan kita, "Alahh..doktor tak payah seganlah dengan saya. Saya dah kahwinpun!" Tak ke haru?

Pengalaman Dr Abi dengan pesakit perempuan pulak? Kisah yang sama, malah banyak yang pelik wal melik. Malas Ummi nak cerita.

Kesimpulannya, kefahaman masyarakat Islam kita terhadap isu-isu penjagaan aurat sebegini teramatlah cetek dan seringkali dianggap remeh oleh sebahagian besar dari mereka. Amat malang sekali!

Berikut Ummi paste kan artikel yang ditulis oleh Ustaz Farid Rashidi untuk tatapan dan renungan kita semua. Jazakallahukhair ustaz atas pendedahan yang sangat berguna ini.

*************************************************************************************

“Siapakah yang bersalah, doktor atau pesakit jika ternampak aurat?” Tanya seseorang.

“Bagaimana hukumnya?”

Saya percaya, ramai di kalangan kita masih samar-samar mengenai hukum berkaitan dengannya. Tambahan pula perkara ini seolah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat sehinggakan perkara sebenar tidak diaplikasikan sebaik mungkin. Di sini kita bukan mahu mencari salah siapa samaada pesakit ataupun doktor, akan tetapi mahu mengambil jalan penyelesaian agar dapat diselesaikan semaksimum mungkin.

BOLEHKAH DOKTOR LELAKI MENGUBATI PESAKIT WANITA ATAUPUN SEBALIKNYA?

Memahami masalah ini pada asasnya perbuatan melihat aurat wanita adalah ditegah sama sekali. Islam mengharamkan lelaki melihat aurat wanita, begitu juga wanita melihat aurat lelaki. Namun dalam masalah mengubati pesakit berlainan jantina diharus bersyarat.

Majma’ al-Fiqhi al-Masihi di bawah Rabitah al-A’lami al-Islami di dalam seminarnya yang ke-14 bertempat di Mekah bertarikh 20 Sya’ban 1415 Hijrah bersamaan 21 Januari 1995M telah mengeluarkan resolusinya seperti berikut:

1. Syariat pada asalnya mengharamkan perempuan mendedahkan aurat kepada lelaki dan mengharamkan lelaki mendedahkan aurat kepada perempuan. Begitu juga perempuan diharamkan mendedahkan aurat sesama perempuan atau lelaki sesama lelaki.

2. Pihak Majma’ sekali lagi menegaskan di dalam resolusinya yang bernombor 85/12/85 di dalam persidangan yang bermula pada 1-7 Januari 1414H bahawa: “Asalnya apabila kedapatan doktor perempuan Islam, dialah yang wajib merawat pesakit wanita. Jika doktor Islam tidak ada, maka mestilah doktor wanita bukan Islam. Apabila doktor wanita bukan Islam tidak ada, maka dibolehkan doktor lelaki Islam. Apabila ketiadaan doktor lelaki Islam, barulah dibolehkan doktor lelaki bukan Islam merawat pesakit wanita Islam. Ianya mesti disyaratkan melihat bahagian badan perempuan yang diperlukan sahaja bagi menentukan jenis penyakit serta merawatnya, dan tidak boleh melampaui batas keperluan. Hendaklah menutup anggota badan sekadar yang terdaya. Apabila seseorang doktor lelaki merawat pesakit perempuan, maka pesakit perempuan hendaklah ditemani mahram atau suami atau perempuan lain yang boleh dipercayai, dibimbangi berlakunya khalwat.”

Manakala di dalam kita Fiqh as-Sadah as-Syafie’yah oleh Doktor Khalifah Abdul Basit Shahin menyebut bahawa melihat aurat berlainan jantina tanpa sebab adalah haram. Ini berdasarkan dalil al-Quran bermaksud:

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

Begitu juga Allah SWT mengharamkan ke atas wanita melihat aurat orang lain:

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat.”

Pengarang juga membahagikan sebab yang diharuskan melihat aurat berlainan jantina kepada tiga bahagian dan ini termasuklah mengenai rawatan oleh para doktor.

Justeru, secara kesimpulannya prioriti bagi merawat pesakit menurut syariat Islam adalah sebagaimana berikut:

1.Doktor wanita Islam
2.Doktor wanita bukan Islam
3.Doktor lelaki Islam
4.Doktor lelaki bukan Islam

DOKTOR YANG MENGAMBIL KESEMPATAN

Dewasa ini kedapatan banyak kes melibatkan doktor ke atas pesakit, ini termasuklah kes cabul, rogol ataupun perzinaan. Inilah natijahnya jika tidak mengguna pakai aturan yang ditetapkan oleh syariat Islam. Doktor-doktor keluaran sistem barat tidak langsung menitikberatkan soal akhlak dan syariat ketika mengubati pesakit berlawanan jantina. Malah doktor berhidung belang seperti ini sanggup mengambil kesempatan dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Pada asalnya tugas sebagai doktor adalah suatu profesyen yang baik dan mulia kerana membantu manusia dari kecelakaan. Namun ianya menjadi haram kerana salahguna tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Sudah tentu ianya mencalarkan kredibiliti sebagai seorang doktor profesional.

Saya yakin, mengambil alasan darurat (sedangkan masih ada jalan penyelesaian) demi memuaskan nafsu syahwat itu bukan etika seorang doktor muslim dan tidak termasuk silibus yang pernah dipelajari bertahun-tahun!

PESAKIT YANG TIDAK PEKA

Masalah ini juga pada asasnya terletak kepada pendirian pesakit itu sendiri. Dalam hal ini, saya melihat ramai di kalangan kita mengambil jalan mudah dan langsung tidak menghiraukan soal penjagaan syariat ketika menerima rawatan. Masakan tidak, terkadang masih wujud klinik yang mempunyai doktor wanita Islam tetapi mereka lebih gemar memilih untuk menerima rawatan dari doktor lelaki malah lebih dahsyat apabila lelaki itu bukan beragama Islam.

Jika sakit itu melibatkan batuk demam mungkin tidak terlalu bermasalah, tetapi jika sakit itu melibatkan aurat mughallazah (aurat berat seperti tubuh badan wanita dan alat sulit) tidakkah ianya sesuatu yang mengundang risiko? Tidak tercalarkah maruah?

Tambahan pula perkara ini melibatkan kesan psikologi pesakit, terutamanya pesakit wanita jika ianya melibatkan aurat sulit. Sudah tentu timbul pelbagai perasaan kelak jika tidak dibendung segera.

Pekalah dengan keadaan semasa, usahlah terlalu mengambil ringan dan memandang enteng tentang perkara ini. Berhati-hatilah!

Mencegah itu bukankah lebih baik dari mengubati?

JADILAH DOKTOR YANG ISLAMIK

Suka saya untuk mengutip kata-kata nasihat beberapa orang doktor buat tatapan pembaca di blog ini.

Kata Dr.Hamdi Mas’ud dalam kitabnya Daur at-Tobib al-Muslim fi nasyri Ta’alim al-Islam bermaksud:

“Adapun bagaimanakah cara untuk seseorang doktor itu membawa pesakitnya ke jalan menuju Allah ketika melaksanakan tugasan dirinya.. hendaklah berusaha dalam kadar waktu yang mengizinkan untuk memasukkan ke dalam benak fikiran dan hati pesakit akan kefahaman Islam yang sebenar.. bertitik-tolak dari kefahaman Islam yang sebenar inilah, seseorang doktor itu mampu mendekatkan pesakitnya akan hakikat Tauhid dengan menyatakan bahawa segala perkara yang terjadi adalah di bawah kekuasaan Allah.”

Renungilah pula kata-kata dari Dr. Nada Abd Azez Mohamed al-Yusfi, dalam kitabnya Ila at-Tobib wa Tolib at-Tib Kaifa Takhdimu al-Islam:

“Sesengguhnya doktor yang hidupnya adalah untuk dirinya sendiri tanpa memikirkan orang lain di sekelilingnya dan tidak meletakkan di hadapannya tujuan dakwah yang menggunung, juga tidak melapangkan masanya sejam sahaja dalam seminggu untuk mempelajari ilmu agama dan menghafaz apa yang patut dari al-Quran, juga tidak memikirkan apa yang perlu dibuat untuk Islam terhadap ilmu perubatan yang dianugerahkan kepadanya, maka keadaannya kadang-kadang banyak rehat, hidup matinya dalam keadaan jiwanya kerdil. Adapun doktor yang berjiwa besar sanggup memikul tugasan yang penat ini, tidak mementingkan urusan tidurnya, waktu rehatnya, berada di atas tilam empuk dan kehidupan yang senang-lenang disamping harta benda yang memuaskan. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberitahu keadaan sepatutnya dan bersabda kepada Ummul Mukminin Saidatina Khadijah: Telah berlalu masa untuk tidur wahai khadijah. Maka kami ingin menyatakan di sini: Telah berlalu masa untuk kamu tidur dan pejam lelap wahai penuntut-penuntut bidang perubatan!”

Subhanallah, nasihat yang berbekas!

10:15AM, 12 Disember 2009,
Siberbay, Tanta.

*************************************************************************************

5 ulasan:

Faridrashidi berkata...

Allah Allah!.. terasa geram sekali membaca komen Dr Ummi di atas.. sungguh, sangatlah tipis kesedaran terhadap penjagaan aurat!

Kenapa suka dirawat Dr berlainan jantina? Jawapannya mudah.. hilangnya malu dan rasa takut pada Allah.

HafizAdam berkata...

ada juga manusia yang berpendapat Lelaki boleh rawat Perempuan dengan syarat berlapik dll dsb. ini mentaliti Pesakit.

kesimpulannya, saya tertarik dengan komen senior saya yang memetik kata-kata Lecturer "dunia ini ada 3 jantina; Lelaki, Perempuan dan Doktor".

BUJANG SUSAH berkata...

Assalamualaikum.. jalan2 mencari info Alhamdulillah terjumpa blog ummi.

Nak bertanya sedikit berkenaan kekurangfahaman berkenaan doktor dan hospital.

Berkenaan hospital kerajaan.. bolehkah jika kita meminta atau menentukan doktor (perempuan) untuk menyambut kelahiran? jika boleh bagaimana caranya?

Tapi kemungkinan besar ianya tidak boleh. kerana pihak hospital akan memberikan alasan kekurangan doktor perempuan.

Apa yg harus saya lakukan jika ini berlaku? maksud saya, andai diketika itu saya tidak mampu dari segi kewangan untuk pergi ke hospital swasta separti hospital "pantai"?

Kalau tidak silap saya menurut pengalaman kawan saya, bayarannya sehingga RM2+++. itu pun saya tidak pasti adakah di hostipal swasta yg seumpama ini kita boleh menentukan doktor (perempuan)yg bakal menyambut kelahiran itu nanti.

Memang sebolehnya dalam keadaan apa sekalipun saya tidak mahu doktor lelaki yg menyambut kelahiran. Jadi apa yg harus saya lakukan dalam keadaan begini?

Harap ummi dapat membantu permasalahan saya ini.

Tanpa Nama berkata...

Salam, mcm mana pula hukum tiada pilihan sbb masalah kewangan, kebanyakan cas rawatan mahal dikenakan. Jadi nak salahkan siapa.

Tanpa Nama berkata...

Salam, klu ade masalah kewangan mcm mana. Cas rawatan mahal tk mampu. Salah siapa sekarang ni.