Isnin, 14 September 2009

Selamat Beriktikaf...

Assalamualaikum.

Ummi ucapkan Selamat Beriktikaf buat Abi, Along dan Angah dalam 10 hari terakhir Ramadhan ini. Semoga diberkati Allah jua...

Sama-sama kita renungi Tazkirah Ramadhan dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS buat semua ahli dan penyokong...(dipetik dari Harakah 21-23 Ramadhan 1430)

"Saya hendak tekan, dunia ini bukan kita yang punya. Bumi, langit, udara, air hujan dan segalanya dicipta Allah Taala untuk manusia. Dan ia bukan terjadi sendiri. Kita tanpa mengira bangsa apa sekalipun, hanya menumpang di atas bumi Allah.

Kalau semua kemudahan itu tidak ada, maka mati semua manusia. Tidak ada satupun syarikat yang boleh buat bumi, udara, gandum, beras dan segala kemudahan asas bagi keperluan manusia untuk hidup.


Hatta seekor anak bilispun tidak ada kerajaan yang boleh buat. Dari segi sainspun begitu, lebih-lebih lagi al-Qur’an. Kita menumpang segala kemudahan itu dan bukan mendapat percuma. Segala itu akan dituntut bayaran. Tuntutan bukan bayaran dengan duit tetapi tuntutan takwa kepada Allah Taala.


Perkataan takwa mengandungi positif dan negatif. Kita kena buat apa Tuhan suruh dan tinggal apa yang dilarang. Misalnya saya sebagai Menteri Besar, kalau pergi ke rumah orang tidak boleh pandai-pandai naik ke atas rumahnya tanpa izin. Inilah kelemahan kita apabila sudah jadi orang besar, mahu berlagak seperti Tuhan.

Inilah kesilapan yang perlu kita renungi. Wajib kita sedar, kita sekadar menumpang di atas bumi Allah. Di akhirat kelak akan dihancurkan semua dunia ini dan diganti dengan alam akhirat.


Pembalasan di akhirat kelak sebagaimana disebut di dalam al-Qur’an. Buku yang digunakan Tuhan bagi menjatuhkan hukuman ke atas manusia di akhirat kelak ialah Qur’an.


Ini
perkara pokok yang perlu manusia tanpa mengira bangsa memikirkan. Kita mesti mati dan selepas mati kita akan hidup balik. Selepas hidup balik, kita akan dihakimi sebelum dijatuhkan hukuman syurga dan neraka.

Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadhan adalah ajaran agama. Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak.


Ini kerana nafsu kita bermuka dua, iaitu mendorong kepada kejahatan dan satu lagi kepada kebaikan. Melalui cara iktikaf di masjid, kita dapat kawal. Kita dapat kawal nafsu dengan cara iktikaf di masjid.


Rasulullah SAW pada 10 hari terakhir Ramadhan iktikaf di masjid. Sebelum Rasulullah SAW menjadi nabi, baginda bertapa di dalam Gua Hiraq.

Selepas baginda menjadi nabi, sistem bertapa di dalam gua tidak lagi diamalkan dan Rasulullah SAW bertapa pula dalam masjid. Bertapa dalam masjid lebih praktikal. Ini kerana kita didatangkan ke dunia ini bukan untuk kita seorang sebaliknya untuk kita dan masyarakat.


Kalau kita duduk di masjid, kita boleh tegur orang dan orang juga boleh tegur kita, tetapi kalau di dalam gua tidak ada orang yang hendak ditegur.


Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak, setiap kali masuk masjid, sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf.


Bila niat iktikaf, kita merasakan diri kita di kurung di hadapan Allah Taala. Amalan tadarus dan tarawih tidak ada dalam agama lain. Nabi Muhammad SAW bertadarus dengan malaikat Jibrail tiap-tiap tahun.

Oleh itu, saya nasihatkan semua ahli dan penyokong PAS mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al-Qur’an yang digunakan setiap hari iaitu di masjid, pejabat dan rumah.
"

*************************************************************************************

Tiada ulasan: