Rabu, 23 September 2009

Meriahnya Hari Raya...!

Assalamualaikum.

Alhamdulillah.

1 Syawal menjelang jua,
Takbir bergema salam bersambut,
Maaf dipinta di hari yang mulia,
Tua dan muda Aidilfitri disambut.

Hari Raya Pertama

Usai solat Aidilfitri, acara maaf-bermaafan menjadi tradisi keluarga.

Sambil bermaaf-maafan, sambil hulur-menghulur. Aduhai, seronoknya jadi budak-budak, kan? He,he....

Angah dan Wan...

Ki dan Wan bersama cucu-cucunya...

Giliran bersalam-salaman dengan Ayah Long dan Che Long pulak...

Sampai giliran bersalam-salaman dengan Mak Teh...

Aha! Giliran Ummi pulak hulur-menghulur..haha...

Anak sulung Ummi..dah besar panjangpun nak duit angpau lagi? He,he...

Tak ketinggalan, angpau untuk bibik-bibik yang setia membantu....

Bergambar kenang-kenangan di hari raya. Yang berkumpul di hari raya pertama cuma keluarga Ayah Long, Mak Teh dan Cek Su. Masih kekurangan 2 keluarga besar. Apapun hari raya tetap disambut dengan meriah.

Keluarga Ummi di hari raya pertama, sedondon dengan warna coklat.

Siap posing, sampailah masanya untuk ziarah-menziarahi ke rumah saudara-mara dan sanak keluarga.

Zaiarh, ziarah jugak. Sembahyang jangan dilupa. Dah masuk waktu, kat mana-manapun boleh tumpang sembahyang, kan. Bimbang nanti asyik berziarah, luput waktu solat.

Sesi malam, dah keletihan, berteraburlah jawabnya anak cucu Wan ni landing...hahaha...

Ayah Su dah siap booking mesin urut tu hah..tak aci betul!

Hari Raya Ke-2

Sedondon dengan warna purple pulak..he,he...

Sambung sesi ziarah-menziarahi. Inilah peluang untuk kita saling bermaaf-maafan dan mengeratkan tali silaturrahim. "Apasal jauh termenung tu Along?"

Wah! Bergaya sakan Kakak Amirah dan Adik Aisyah bersama sepupunya, Maryam dengan gaya tudung terkini...

Atiqah dan Ina yang sebaya ni macam tak boleh berenggang!

Abi tak der kerja lain dah, sibuk dengan videonya..hihi...Tapi kali ni dah ringan sikit kerja Abi sebab Along yang banyak ambik tugasan ni. Sekali sekala aja Abi membantu...

Balik dari ziarah, sampai aja rumah Wan, tengok-tengok, tu dia! Penuh kasut tetamu! Rumah Wan ni tak payah nak tunggu buat rumah terbuka, sepanjang masa di hari raya, full house! Alhamdulillah, meriah sungguh...

Petang Hari Raya ke-2 barulah kami 5 beradik dapat berkumpul semua sekali. Tak lepaskan peluang, sekali lagi Wan dan Ki bergambar sakan bersama anak menantu dan cucu-cucunya seramai 25 orang (2 org tiada dalam gambar).

Hari Raya Ke-3

Rumah terbuka di rumah Ayah Chik dengan hidangan barbeque!

Nasib baiklah 'askar-askar wataniah' ramai, bolehlah turut sama membantu dalam acara bakar-membakar...he,he..

Malang tak berbau, sewaktu dalam perjalanan dari rumah Wan mengangkut pulang anak-anak dan anak-anak saudara, kereta Ayah Chik tetiba dilanggar Minah Rempit..aduhai...moga ada hikmah di sebaliknya...

Walau musibah menimpa, acara barbeque bersama keluarga tetap diteruskan...

Hidangan nasi goreng bersama ayam bakar cukup menyelerakan...

Ki bersama Ayah Chik (tuan rumah)

Jamuan santai sebegini sungguh menyeronokkan...

Si kecil Azim dan Danial yang nakal, tak ketinggalan menikmati hidangan sotong bakar.

Ni yang paling best. Sotong bersama sos asam!

Anak-anak dara Ummi dan Ayah Chik makan berjemaah...

Wan dan Mak Teh...Alhamdulillah, dah selesai makanpun...

"Alamak bik! Apalah yang dibualkan tu? Seronok sungguh..."

Ni dia cucu-cucu lelaki Wan yang macho-macho...he,he,he...

Pose istimewa dari Ki tersayang....

Dan pose istimewa dari Wan tersayang....

Begitulah serba sedikit corat-coret di hari raya bersama keluarga.

Buat anak saudaraku Amir Faisal yang jauh di perantauan nun di bumi Ireland..."Usah sedih, usah berduka...menuntut ilmu itu terlalu besar ganjarannya di sisi Allah. InsyaAllah tahun-tahun yang mendatang Amir juga pasti akan dapat bersama-sama kami di sini meraikan hari yang mulia..."

Eid Mubarak buat semua dari Ummi sekeluarga :

Dr Roslan Yusof
Dr Zaihan binti Salleh
Ammar Roslan
Anas Roslan
Amirah Zahidah Roslan
Aisyah Farihah Roslan
Atiqah Maisarah Roslan

*************************************************************************************

Khamis, 17 September 2009

Salam Aidilfitri Buat Semua...

Assalamualaikum

Buat semua pengunjung blok Klinik Ummi yang Ummi kasihi kerana Allah ;

Taqabbalallahu Minna Wa Minkum
"Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di bulan Ramadhan) kami dan kamu"

*************************************************************************************

Petikan sebahagian artikel Ustaz Zaharuddin yang boleh di baca di sini...

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri.

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya: mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.



Selamat Hari Raya Idil Fitri



"Taqabballahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"



Sekian dahulu,


Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

27 Ramadhan 1428 H
9 Oktober 2007

Ulang siar pada 25 Sept 08 ( 25 Ramadhan 1429 H)

*************************************************************************************

Selasa, 15 September 2009

Tetamu Ramadhan

Assalamualaikum.

Bermula perkenalan di shoutbox, akhirnya akrab menjadi saudara seIslam, seperjuangan. Alhamdulillah kali ini Ummi sekeluarga menerima tetamu Ramadhan istimewa dari Kelantan, 3 beradik ustaz yang disegani.

Terimakasih tak terhingga buat Ustaz Bani dan abang-abangnya di atas kesudian bertandang dan menambahkan keberkatan ke atas kami sekeluarga. Bukankah tetamu itu membawa berkat? Apalagi dengan kesudian mereka untuk berbuka puasa ala kadar di teratak usang kami, Alhamdulillah.

Semoga tak serik hendaknya untuk bertandang lagi, ya dik...

Ust Bani (berbaju hitam) mula singgah di shoutbox blog Ummi dengan pelbagai soalan yang pelik wal melik..hihihi. Apa tak peliknya, ada ker patut ditanyanya Ummi macam-macam soalan agama, walhal Ummi ni bukan pakar bidang agama. Namun dari situlah akhirnya, ukhuwwah terbina, persaudaraan terikat, walau Ust Bani berada nun jauh di Jordan demi seteguk ilmu.

Semoga persahabatan ini akan terus berkekalan dan menjadi asbab agar diri-diri ini dinaungi Allah kelak pada hari yang tidak ada naungan selain naungannya iaitu hari akhirat.

Dari Nabi SAW, baginda bersabda:

“Ada tujuh golongan yang bakal dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, yaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dengan ibadah kepada Allah (selalu beribadah), seseorang yang hatinya bergantung kepada masjid (selalu melakukan shalat berjamaah di dalamnya), dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah, seseorang yang diajak perempuan berkedudukan dan cantik (untuk beRzina), tapi ia mengatakan: “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang diberikan sedekah kemudian merahsiakannya sampai tangan kirinya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kanannya, dan seseorang yang berdzikir (mengingat) Allah dalam kesendirian, lalu menitiskan air mata dari kedua matanya.”

(HR Bukhari)


*************************************************************************************

Isnin, 14 September 2009

Selamat Beriktikaf...

Assalamualaikum.

Ummi ucapkan Selamat Beriktikaf buat Abi, Along dan Angah dalam 10 hari terakhir Ramadhan ini. Semoga diberkati Allah jua...

Sama-sama kita renungi Tazkirah Ramadhan dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS buat semua ahli dan penyokong...(dipetik dari Harakah 21-23 Ramadhan 1430)

"Saya hendak tekan, dunia ini bukan kita yang punya. Bumi, langit, udara, air hujan dan segalanya dicipta Allah Taala untuk manusia. Dan ia bukan terjadi sendiri. Kita tanpa mengira bangsa apa sekalipun, hanya menumpang di atas bumi Allah.

Kalau semua kemudahan itu tidak ada, maka mati semua manusia. Tidak ada satupun syarikat yang boleh buat bumi, udara, gandum, beras dan segala kemudahan asas bagi keperluan manusia untuk hidup.


Hatta seekor anak bilispun tidak ada kerajaan yang boleh buat. Dari segi sainspun begitu, lebih-lebih lagi al-Qur’an. Kita menumpang segala kemudahan itu dan bukan mendapat percuma. Segala itu akan dituntut bayaran. Tuntutan bukan bayaran dengan duit tetapi tuntutan takwa kepada Allah Taala.


Perkataan takwa mengandungi positif dan negatif. Kita kena buat apa Tuhan suruh dan tinggal apa yang dilarang. Misalnya saya sebagai Menteri Besar, kalau pergi ke rumah orang tidak boleh pandai-pandai naik ke atas rumahnya tanpa izin. Inilah kelemahan kita apabila sudah jadi orang besar, mahu berlagak seperti Tuhan.

Inilah kesilapan yang perlu kita renungi. Wajib kita sedar, kita sekadar menumpang di atas bumi Allah. Di akhirat kelak akan dihancurkan semua dunia ini dan diganti dengan alam akhirat.


Pembalasan di akhirat kelak sebagaimana disebut di dalam al-Qur’an. Buku yang digunakan Tuhan bagi menjatuhkan hukuman ke atas manusia di akhirat kelak ialah Qur’an.


Ini
perkara pokok yang perlu manusia tanpa mengira bangsa memikirkan. Kita mesti mati dan selepas mati kita akan hidup balik. Selepas hidup balik, kita akan dihakimi sebelum dijatuhkan hukuman syurga dan neraka.

Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadhan adalah ajaran agama. Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak.


Ini kerana nafsu kita bermuka dua, iaitu mendorong kepada kejahatan dan satu lagi kepada kebaikan. Melalui cara iktikaf di masjid, kita dapat kawal. Kita dapat kawal nafsu dengan cara iktikaf di masjid.


Rasulullah SAW pada 10 hari terakhir Ramadhan iktikaf di masjid. Sebelum Rasulullah SAW menjadi nabi, baginda bertapa di dalam Gua Hiraq.

Selepas baginda menjadi nabi, sistem bertapa di dalam gua tidak lagi diamalkan dan Rasulullah SAW bertapa pula dalam masjid. Bertapa dalam masjid lebih praktikal. Ini kerana kita didatangkan ke dunia ini bukan untuk kita seorang sebaliknya untuk kita dan masyarakat.


Kalau kita duduk di masjid, kita boleh tegur orang dan orang juga boleh tegur kita, tetapi kalau di dalam gua tidak ada orang yang hendak ditegur.


Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak, setiap kali masuk masjid, sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf.


Bila niat iktikaf, kita merasakan diri kita di kurung di hadapan Allah Taala. Amalan tadarus dan tarawih tidak ada dalam agama lain. Nabi Muhammad SAW bertadarus dengan malaikat Jibrail tiap-tiap tahun.

Oleh itu, saya nasihatkan semua ahli dan penyokong PAS mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al-Qur’an yang digunakan setiap hari iaitu di masjid, pejabat dan rumah.
"

*************************************************************************************

Khamis, 10 September 2009

"Alhamdulillah..."

Assalamualaikum.

Alhamdulillah hari ini serentak Kakak Amirah dan Adik Aisyah khatam al-qur’an, tepat sebagaimana janji mereka sewaktu diberikan hadiah naskhah al-qur’an sebagai penghargaan di atas kecemerlangan mereka dalam OTI 4…

“Kakak dan Aisyah janji akan khatam al qur’an dalam bulan Ramadhan, guna al-qur’an comel hadiah dari Ummi dan Abi ni. Eiiii sukanya dapat qur’an ni…”

Memang Kakak Amirah dan Adik Aisyah berkenan betul dengan al-qur’an milik Ummi, hadiah dari Abi semasa hari lahir Ummi tahun ini. Sampaikan diaorang siap buat permohonan, “Kalau kakak dan Aisyah dapat nombor 1 dalam ujian OTI 4 nanti, Ummi kasilah hadiah al-qur’an macam yang Abi kasi kat Ummi tu, ya.”

Hari ini Ummi rasa sungguh terharu dengan kesungguhan mereka. Kakak, sejak umurnya 7 tahun, pasti akan khatamkan al-qur’an di bulan Ramadhan dan Aisyah, inilah kali pertama berjaya mengkhatamkan al-qur’an dalam usianya 7 tahun, juga di bulan Ramadhan. Alhamdulillah…


Macamana pula dengan Adik Atiqah (5 tahun) yang paling bongsu? Dah nampak kakak-kakaknya ngaji berterusan, naik semangatlah juga dia. Orang lain ngaji, diapun nak ngaji. Alhamdulillah, Ramadhan ni Atiqah dah boleh baca sampai Iqra’ 3. Mula-mula ajar Atiqah dulu, setiap hari Ummi kena sediakan cop yang bertulis “Bagus”, “Ada Peningkatan” dan macam-macam lagi. Setiap kali habis baca satu round, satu kali cop. 2 round, dua kali cop sampai penuh buku Iqra’ tu dengan cop! Aduhai…

Rupanya kaedah cop ni buatkan Atiqah bersemangat! Nak cop banyak, kena baca banyak kali. Itulah formulanya…he,he,he.

Tapi akhir-akhir ni, Alhamdulillah, keseronokan membaca al-qur’an tidak lagi disebabkan faktor cop. Atiqah dah malas nak ‘main-main’ dengan cop tu. Tak ada cop pun, Atiqah dah tak kisah. Target Atiqah, Atiqah nak cepat habiskan Iqra’ supaya Atiqahpun boleh dapat hadiah naskhah al-qur’an yang cantik macam Kakak Amirah dan Kak Aisyah…

Oh anak-anakku, semoga kalian hidup dan membesar dalam bimbingan al-qur’an…

Harapan Ummi, biarlah di dunia ini Ummi tidak dihiasi dengan gemerlapan intan permata sekalipun kerana Ummi dan Abi kepingin sekali untuk merasai perhiasan di akhirat nanti yang sama sekali tidak dapat ditukarganti dengan lipatankali ganda harta dunia sebagai ganjaran di atas anak-anak yang mempelajari al-qur’an…(rujuk di sini)

Telah bersabda Rasulullah S.A.W :

"Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."

*************************************************************************************

Rabu, 9 September 2009

Tak Batal Puasapun....

Assalamualaikum.

Keputusan Seminar Feqh Perubatan ke 9, yang diadakan di Casablanca, Maghribi pada 8-11 Safar 1418, bersamaan 14-17 Jun 1997 :

(Anjuran Institut Kajian Sains dan Perubatan Sultan Hassan II dengan kerjasama Akademi Fiqh Islam serta WHO -World Health Organization)

Ahli majlis/peserta seminar tersebut telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA.

1. Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga

2. Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung). [contoh: Sublingual Gliceryl Trinitrate]

3. Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, memasukkan spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin) [contoh: vaginal examination, speculum examination, cervagem]

4. Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray. [contoh: cystoscopy]

5. Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut. [contoh: Dental procedure]

6. Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah. [makanan i.e Total Parenteral Nutrition regime. Not sure about IV drips, vitamins, glucose, but if needed for therapeutic purposes, then it is Harus]

7. Penderma atau menerima pemindahan darah

8. Oksigen dan gas bius

9. Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat

10. Mengambil sampel darah untuk ujian makmal

11. Sesalur dan bahan perantara untuk arteriography (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain. [contoh: Angiography, contrast for imaging]

12. Teropong dalam rongga perut (endoskopi) untuk mencari punca penyakit.

13. Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk ke dalam perut. [contoh: Ear Nose Throat examination]

14. Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat kedalamnya, (contoh: Intra Uterine Contraceptive Device)

15. Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.

Sementara iu majoriti peserta (terdapat minoriti yang tidak bersetuju ) menambah perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA [No 16 sehingga 20]

16. Ubat titis hidung, semburan hidung dan ubat sedut

- Bagi penyakit asma atau lelah, amalan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasanya kerana yang disedut itu ialah gas dan untuk tujuan perubatan. Ini adalah fatwa kebanyakan ulama masakini seperti Sheikh Ben Baz dan merupakan pendapat majoriti ulama yang bersidang di Seminar Feqh Perubatan ke 9.

- Keharusan penggunaan inhaler bagi pesakit asma juga harus berdasarkan fatwa umum dalam masalah ini oleh Syeikhul Islam Ibn Taymiyah. Keharusan ini meliputi teknik perubatan yang tidak menggunakan makanan atau minuman. Jika dari jenis debu maka diharuskan.

- Imam Ibn Hazm al-Andalusi (Kitab al-Muhalla) juga berpendapat tidak batal puasa dalam urusan perubatan termasuk suntikan atau menghirup serbuk.

17. Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.

18. Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan untuk berpuasa

20. Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya ke dalam perut [tidak pasti: saline for washout]

*************************************************************************************