Rabu, 28 Mei 2008

Doa Untuk Dr.Huda bt. Prof. Dato' Dr.Haron

Nama Huda Haron telah menarik perhatian aku semenjak kali pertama aku mendengar nama itu di Matrikulasi 2 di USM pada tahun 1989-1990 dulu. Ini berikutan karisma beliau yang menonjol semasa di Matrikulasi 1 yang akupun lupa dia Matriks kat mana. Aku kat MRSM Kulim. Masa tu nama beliau dicadangkan untuk menduduki kerusi AJK. Tetapi beliau menolak. Seorang kawan bernama Mohd. Nizam yang sangat kuat berkempen untuknya sangat kecewa dengan keputusannya...Namun itulah Huda Haron...yang selepas itu beliau menjadi tidak begitu famous di kalangan persatuan di universiti.

Aku mula kenal lebih dekat dengan sifat dan perawakannya semasa di USM Kubang Kerian kerana sama-sama mengambil bidang perubatan. Beliau aku lihat biasa saja meskipun merupakan anak seorang Profesor yang terkenal di seluruh Malaysia kerana 3 bidang yang sangat menonjol iaitu bidang agama, bidang perubatan As-Syifa' (yang aku sendiri adalah antara pelajar bidang ini sekarang) dan bidang politik sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS...sebuah parti politik yang cukup menonjol di Malaysia dan di dunia.

Walaupun aku tidak begitu rapat semasa di universiti, tetapi aku agak rapat selepas keluar universiti dan bekerja. Maklumlah kami sama-sama membuka klinik swasta. Aku dan isteri di Terengganu dan dia dan suaminya (Dr.Azlin) di Bandar Baru Bangi. Kami lebih dulu membuka klinik beberapa bulan sebelum mereka membuka klinik mereka. Aku pernah pergi ke rumahnya (masa tu rumah parents beliau) dan juga ke kliniknya dan mereka juga pernah datang ke klinik kami di Terengganu.

Beliau membahasakan aku sebagai Wak Lan saja sebagaimana panggilan itu memang dah jadi sinonim dengan nama gelaranku kerana aku memang orang Jawa. Wak tu maksudnya pakcik sebelah yang lebih tua, iaitu abang kepada ibu atau bapa. Kalau abang tu dalam bahasa cina suatu penghormatan yang hebat terutama dalam masyarakat 'Kung Fu'. Jadi bila teringat hal ini, aku jadi rasa hebat....perasanlah sekali-sekala.... Kalau dalam sms aku selalu gurau je dengan beliau. Kalau berjumpa, beliau memang cukup mesra. Macam-macam topik beliau nak cerita. Pendek kata kalau jumpa tu, tak cukup telinga nak dengar cerita dan pengalaman mereka berdua.

Suami isteri tu memang cukup serasi. Itulah sebabnya Allah mentakdirkan jodoh mereka. Mereka cukup mesra dan sangat mengutamakan kawan dan tetamu. Sewaktu aku singgah kat klinik mereka hari tu, di klinik mereka masih ada pesakit, tetapi mereka memanggil aku masuk untuk sekadar 'berborak' dengan mereka. Sampai aku pulak yang terpaksa minta keluar untuk membolehkan beliau tengok pesakit yang menunggu...

Beberapa hari yang lepas, kawan aku yang bernama Domi hantar sms kat aku yangg mengatakan Huda masuk ICU di UAE. Kemudiannya sms lain menyusul mengatakan di Dubai. Aku rasa 'numbness' juga buat seketika...ucapan innalillahi wainnaa ilaihi roji'un sebagaimana yang Nabi ajar (untuk diucapkan apabila ditimpa musibah / mendapat berita musibah, tak semestinya berita kematian) itu terus terpacul dari bibirku. Kemudian aku beritahu isteriku dan beliau juga mengucapkan ucapan yang sama. Kami termenung seketika. Aku tidak pernah menyangka bahawa beliau yang sihat dan ceria itu rupa-rupanya menanggung penyakit yang serius! Samada beliau tahu dah lama atau baru diketahui, tetapi penyakit itu memang suatu yang merbahaya yang belum ditemui ubatnya...

Namun, begitulah sunnah kehidupan. Sihat lawannya adalah sakit. Kita tak mungkin lari daripadanya. Hanya seorang manusia saja di dunia yang tak sakit iaitu Fir'aun laknatullah. Cuma bagi kita, sebelum sakit, maka nikmat sihat yang Allah beri ini perlulah kita gunakan untuk menambahkan amalan kita. Masya Allah..tugas doktor ini merupakan satu sumber pahala yang besar! Dalam sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. berbunyi:

“Apabila seseorang Muslim menziarahi saudaranya yang sakit, berfirman Allah Ta’ala: Engkau telah melakukan yang baik dan akan baiklah perjalananmu dan engkau telah menduduki sebuah rumah di syurga.”


Bukankah tugas doktor satu lombong pahala yang besar?

Buatlah apa yang patut untuk diri kita. Kalau niat kita ikhlas untuk sihat kerana Allah, apa yang kita lakukan akan mendapat pahala.

Kepada Huda, sabarlah kerana kesabaran itu akan meningkatkan darjatmu di syurga. Berdoalah...kerana kesakitan yang kau alami akan meningkatkan keikhlasanmu terhadap Allah SWT...bukankah keikhlasan itu satu-satunya lesen untuk amalan diterima Allah? Kepada Azlin...sabarlah...kerana sesungguhnya ujian yang Allah berikan kepada kalian adalah 'hadiah' dari Allah jika dirimu bersabar. Jangan putus berdoa kerana sesungguhnya doa itu adalah senjata paling ampuh bagi orang yang beriman.

Khamis, 22 Mei 2008

Dr Ummi & Dr Abi Bercuti

Assalamualaikum;

Kepada semua pengunjung blog Klinik Ummi...

Bermula 23 sehingga 25 Mei, Dr Ummi & Dr Abi tak ada di sini. InsyaAllah kami akan kembali memperbaharui blog pada 26 Mei dengan cerita terbaru! Doakan kami ya. Umppph...kami pasti merindui kalian...

Hargai Persahabatan Di Tika Ini

Antara bersahabat dan memelihara persahabatan…ada beza ke? Kalau memang berbeza, mana lebih mudah…bersahabat atau memelihara persahabatan? Sekali imbas, otak ummi menterjemahkan bersahabat itu sebagai satu tindakan menjadikan seseorang sebagai kawan, rakan dan taulan manakala memelihara persahabatan ialah perbuatan untuk sentiasa berada dalam keadaan kawan, rakan dan taulan tadi akan terus menjadi kawan, rakan dan taulan kita sampai bila-bila. Hai berbelit juga tu…

Sengaja ummi meng’highlight’kan dua perkara tu sebab petang ni tiba-tiba aja ummi terasa rindu pada sahabat-sahabat seperjuangan sewaktu di alam kampus dahulu. Kena pulak minggu ni, ummi duk sibuk menyusun kembali gambar-gambar lama, maka terjumpalah ummi gambar waktu muda-muda dulu bersama sahabat-sahabat yang cukup rapat. Berbagai kenangan lama kembali mengimbas.


Terfikir ummi, alangkah seronoknya kalau masa-masa dulu boleh diputarkan kembali. Tapi untuk apa sebenarnya kan? Setiap yang bernama manusia akan melalui putaran hidup sedemikian. Hari ini si A menjadi sahabat kita, esok lusa si B, si C dan si D yang dalam masa yang sama kemungkinan si A masih kekal menjadi sahabat atau si B telahpun terpisah dari kita dalam membina hidup dan kariernya di tempat lain. Begitulah seterusnya kehidupan berputar.


Kerana itu, kembali hati ummi mengingatkan…dalam kita merindui kenangan-kenangan lama, sewajarnyalah kita menghargai persahabatan yang masih kekal sehingga ke hari ini. Sudah tentu hari ini berbeza dari hari semalam dan hari esok kan pasti berbeza dari hari ini. Pandanglah siapa di sekeliling kita hari ini. Merekalah sahabat-sahabat yang masih bersama kita! Tidak salah untuk kita mengenangi mereka yang telah ‘pergi’ tetapi jangan sampai kita terlupa memelihara, membajai dan menyuburkan ikatan persahabatan yang masih wujud di tika ini.


Mudah-mudahan bertemunya kita kerana Allah dan berpisahnya kita juga kerana Allah.


Rasulullah s.a.w. bersabda:" Tujuh macam orang yang akan dinaungi Allah pada hari kiamat pada saat tidak ada naungan kecuali naungan Allah:

1. Imam (pemimpin yang adil).

2. Pemuda yang tumbuh dalam ibadat kepada Allah s.w.t.

3. Seorang yang hatinya tergantung pada masjid, ketika keluar sehingga kembali (yakni rajin menjaga sembahyang berjama'ah).

4. Dua orang saling menyintai (berkasih sayang) kerana Allah s.w.t. baik ketika berkumpul atau berpisah.

5. Seorang yang ingat kepada Allah s.w.t. ketika bersendirian lalu mencucurkan airmata ketana takut kepada Allah s.w.t.

6. Seorang yang bersedekah dirahsiakan sehingga yang dikirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh kanannya.

7. Seorang lelaki yang dipanggil oleh wanita yang cantik untuk berzina, lalu ia berkata: "Saya takut kepada Allah azza wajalla."


Rabu, 21 Mei 2008

MC - Untuk Diberi,Bukan Diminta

Sebut pasal MC (Medical Certificate), kerapkali darahku tersirap. Bukan sebab aku geram pada kertas yang sekeping tu, tapi sebab geramnya aku pada mereka yang selalu menyalahgunakan MC. Inilah sebenarnya fenomena yang selalu dihadapi oleh kebanyakan doktor seperti aku, yang diberi kuasa untuk men'cuti'kan sesiapa yang layak. Apalagi aku doktor swasta, yang pada anggapan mereka MC ni boleh dibeli begitu sahaja, asalkan aku dibayar! Astaghfirullahal'azim.

Lihat aja fenomena-fenomena di bawah:

Fenomena 1
"Dr, saya tak sakit sebenarnya, tapi saya nak MC sebab saya balik kg nak jaga mak sakit."

Ulasan

Kenapa tak apply cuti kerja? Kan ke setiap pekerja dah diperuntukkan cuti tahunan atau cuti kecemasan?

Fenomena 2
"Dr, Akak nak mintak MC kelmarin ni sebab Akak tak gi sekolah (ngajar) kelmarin. HM suruh datang ambik MC"

Ulasan

MasyaAllah. Kuasa mengeluarkan MC ni sebenarnya hak doktor atau hak HM (headmaster)? Dah tu, kenapa baru hari ni datang mintak MC seolah-olah Akak ni memang dah diberi jaminan akan diberi MC? Tinggal kerja dulu, apply MC kemudian?

Fenomena 3
"Dr, saya nak beli MC!"

Ulasan

Ya Allah. Yang ini lagilah tak ada adabnya. Kau orang ingat doktor ni tak ada etika ke? Doktor ni kerjanya nak cop duit je ke?

Fenomena 4
"Dr, saya jangka bersalin seminggu lagi ni. Dr tolong buatkan MC untuk saya sampai tarikh saya bersalin boleh? Sebab saya ingat saya nak standby sini terus je, tak payah balik KL dah"

Ulasan

Masa aku kerja kerajaan dulu, aku yang doktor nipun, selagi tak beranak, selagi tulah kena kerja dan kena oncall...sampaikan masa aku hamil anak sulung, kebetulan time aku cukup bulan tu, aku tengah kerja kat wad bersalin, time tulah aku sakit perut nak beranak...naik atas katil, terus teran! Hah..lepas tu baru dapat cuti bersalin!

Fenomena 5:
Panggilan telefon: "Dr, tolong buat MC untuk saya 2 hari!" "Kenapa?" "Saya tak dapat cutilah dr. Nak hantar anak masuk asrama ni"

Ulasan:

Camanalah aku nak pahamkan kau orang?

Fenomena 6:
"Dr, saya nak mintak tolong sangat-sangat dengan dr ni. Bulan lepas saya kemalangan tapi tak delah saya jumpa dr. Saya berubat sendiri je. Ni saya nak claim insuran tapi dia orang cakap kena dapatkan MC dulu untuk tarikh tu. Tolong ya dr."

Ulasan:

Betul ke kau layak untuk claim insuran kalau dah sememangnya time kemalangan tu sebenarnya kau boleh gi kerja dan tak perlu MCpun.

Malah beribu-ribu fenomena lagi yang tak larat kupaparkan di sini.Berjaya atau tidak mereka mendapatkan MC, itu soal kedua. Pokok perbincangannya sekarang, bagi kami pegawai perubatan, soal pemberian MC itu soal etika dan kejujuran. Jika ianya disalahgunakan, ini bererti kami telah melanggar etika dan profesion perubatan itu sendiri. Bagi mereka yang tidak terlibat dengan profesion perubatan, mereka tidak menilai itu semua. Apa yang penting, mereka dapat cuti secara percuma tanpa mengganggu cuti tahunan dan gajinya terus berjalan tanpa mengambil cuti tanpa gaji.

MC sebenarnya boleh diberi dengan bersebab tetapi tidak boleh diminta atau dirayu dengan sebab-sebab yang tidak munasabah! Sesiapa yang 'merayu' MC bererti ada perkara lain yang berlaku atau dia tidak yakin dengan kewibawaan seseorang pegawai perubatan yang menilai tahap kesihatannya. Seorang pegawai perubatan tahu bila dia perlu memberikan MC kepada pesakitnya dan berapa hari kelayakan MC untuk mereka.

Sesekali terfikir dibenakku, siapakah yang bersalah dalam hal ini? Adakah fenomena ini berlaku akibat ketidakjujuran sesetengah doktor yang mengambil mudah soal etika dan kejujuran? Adakah ianya akibat sikap sesetengah majikan yang terlalu 'berkira' untuk meluluskan cuti kakitangan mereka? Atau adakah ianya akibat sindrom malas dan ambilmudah di kalangan pekerja, yang mungkin terlupa bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan di dunia ini ada 'Penilai'nya.

Dan aku yang sentiasa diasak dengan fenomena ini, mampukah aku bertahan dengan etika kejujuran dan profesion kedoktoran ini, tanpa sekelumit kerjasama hasil dari sebuah pengertian di kalangan masyarakat?

Doktor Dunia Dan Akhirat

Kisah terjadi dahulukala,
Ketika Saidina Ali berhijrah ke Basrah,
Terlihat olehnya manusia mengadap seorang pemuda,
Tampan dan segak nampaknya si dia.

Oh...sang doktor rupanya,
Hebat mengesan penyakit zahir,
Derita batin berkeupayaan dia.

Dirapatinyalah si doktor muda,
Lalu terjadilah dialog di antara mereka.

Assalamualaikum tuan doktor,
Salam dijawab penuh mesra,
Boleh tuan tunjukkan ubat penyakit dosa?
Pertanyaan ditanya beberapa kali.

Sang doktor akhirnya berkata,
Jika ingin mengubat dosa,
Tinggallah di kebun iman,
Ambillah akar-akar niat dan bijirin penyesalan,
Petiklah daun membaiki diri dan azam,
Taburlah bijirin warak,
Semailah buah feqah,
Dahan-dahannya adalah yakin,
Saripatinya adalah ikhlas,
Dan kulitnya adalah ijtihad.

Ambillah akar-akar tawakkal,
Sempurnakannya dengan iktibar,
Minumannya air taubat,
Dan ubatnya tawadhuk.

Ubat diambil dengan hati yang hadir,waspada dan faham,
Peganglah taufik, basahlah selalu dengan airmata,
Nyalakan api-api rindu sehingga kedapatan buih-buih hikmat.

Setelah masak, tuangkanlah ke dulang redha,
Kipaslah dengan kipasan istighfar,
Lalu kau akan dapati minuman yang sangat jernih, asli dan sedap rasanya.

Minumlah air itu di tempat yang sunyi tanpa manusia,
Hanya Allah Taala semata-mata,
Itulah dia pengubat dosa yang mustajab.

Selesai memberi ubat maka terdengarlah,
Madah-madah dari doktor tentang Yang Maha Esa,
Tiba-tiba terdengar teriakan dari doktor budiman,
Jatuh ia rebah lalu kaku.

Sesungguhnya engkau ini doktor dunia dan akhirat,
Itulah ungkapan Saidina Ali kepadanya,
Lalu jasad doktor disemadikan dengan aman.

Isnin, 19 Mei 2008

Balada

Ayah dan ibu

Dengarlah rintihan hatiku

Kau selalu tiada di sisiku

Aku bagaikan yatim piatu

Aku juga ingin seperti

Insan yang lain

Dahagakan kasih sayang

Dan juga belaianmu


Bila malam menjelma

Bersua denganmu cuma seketika

Bila fajar tiba

Kau dengan duniamu

Hidupku bagaikan

Padang pasir yang kering tandus

Menantikan titisan hujan

Yang tak kunjung tiba


Daku ditinggalkan keseorangan

Terumbang ambing sendiri

Di pentas duniaku

Aku bagaikan tidak berharga

Dibiarkan begitu saja

Olehmu oh ayah dan ibu


Selami dan fahamilah lubuk hatiku

Anggaplah diriku permata hatimu

Yang perlu dibelai

Dan juga diasuh

Agar hidupku

Selamat di dunia dan akhirat


Manakah mahkota kebahagiaan

Yang kucari dan kuidamkan

Bakal membentuk keluarga yang harmoni

Hidup aman dan makmur

Sejahtera, bahagia dan sentosa


Sepuluh tahun yang lalu, seringkali nasyid dari kumpulan Syoutul Amal ini menjadi dendangan Ummi sewaktu bersantai bersama Abi, sambil Abi memainkan kompang. Bukan ditujukan untuk sesiapa, sekadar menghiburkan hati sambil melepaskan lelah bekerja. Dan semestinya, tak ada siapapun yang menjadi penonton kecuali Ummi, Abi dan anak sulung yang masih kecil ketika itu.


Pernah juga lagu ini, kami ajarkan kepada anak jiran untuk dipersembahkan sewaktu hari pementasan sempena…. apa ya? Ummi dah lupa. Tapi pementasan tu seingat Ummi dianjurkan oleh jabatan tempat Ummi bekerja yang Ummi sendiri menjadi pengarahnya.


Tapi hari ini, setelah sepuluh tahun berlalu, tiba-tiba nasyid ini kami dendangkan semula bersama anak-anak. Entah kenapa, setiap bait yang didendangkan begitu menyentuh hati dan perasaan. Kalau dulu, patah-patah perkataan yang dilagukan kurang memberi erti tapi hari ini bait-bait lagu itu terasa menyentuh sehingga ke jantung hati.


Mana mungkin tidak terasa, sedangkan itulah realiti yang mungkin dirasai oleh anak-anak Ummi sendiri yang beribukan seorang doktor dan berbapakan seorang doktor. Bukan hendak menyalahkan kerjaya, malah Ummi bersyukur kerana terpilih dari sekian ramai yang mengharap, bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah ini. Namun sesekali terdetik di hati Ummi, mampukah Ummi juga memenuhi kewajipan Ummi sebagai seorang ibu yang akan melahirkan anak-anak yang berjaya di dunia dan di akhirat?


Anak-anakku tercinta, semoga dirimu sentiasa memahami. Buat kalian, Ummi persembahkan pula lagu yang diubahsuai sendiri oleh Ummi sebagai jawapan terhadap rintihan sayu dari lubuk hatimu…


Anak-anakku

Dengarlah rintihan hatiku

Aku ingin selalu di sisimu

Sesaatpun tak ingin berpisah

Aku juga ingin seperti

Ibu yang lain

Curahkan kasih sayang

Dan juga belaianku


Bila malam menjelma

Kuingin membelaimu hingga terlena

Bila fajar tiba

Kuasuh dan kudidik

Hidupku bagaikan

Mentari yang bersinar

Melihat kau membesar

Dibawah naungan illahi


Tak ingin kau kutinggalkan

Membina hidup sendiri

Kanku didik dirimu

Walau diriku menjadi korban

Takku biar begitu saja

Dirimu oh anak-anakku


Selami dan fahamilah lubuk hatiku

Anggaplah diriku pelindung dirimu

Yang selalu membelai

Dan juga mengasuh

Agar hidupmu

Selamat di dunia dan akhirat


Engkaulah mahkota kebahagiaan

Yang kucari dan kuidamkan

Bakal membentuk keluarga yang harmoni

Hidup aman dan makmur

Sejahtera, bahagia dan sentosa



Kasihsayang berkekalan: Ummi & Abi

Jumaat, 16 Mei 2008

Nyamuk Aedes Semakin Kebal

Assalamualaikum.

Cuba tuan puan baca artikel berkenaan dengan nyamuk-nyamuk di negara kita yang dikeluarkan oleh akhbar kosmo. Satu fakta yang menakutkan apabila 50 daripada 100 nyamuk yang dikaji telah didapati semakin kebal dengan racun serangga.

Suatu waktu dahulu, di negara barat, racun serangga biasa didapati tidak lagi berkesan untuk membunuh tanaman perosak kerana serangga tersebeut mengalami mutasi dan menjadi kebal terhadap racun serangga biasa. Ini adalah kerana penggunaan racun serangga tersebut secara meluas dan besar-besaran. Para saintis terpaksa mencipta racun serangga yang lebih kuat setiap kali untuk membunuh makhluk perosak ini.

Jika ini terus berterusan berlaku maka, sistem imuniti nyamuk akan terus meningkat dan makhluk pembunuh ini akan bermaharajalela.

NYAMUK aedes kini mempunyai sistem imuniti terhadap racun serangga.

Perkara itu didedahkan pakar serangga Universiti Malaya (UM) Prof. Dr. Mohd. Sofian Azirun. Beliau merujuk kepada beberapa kajian yang dijalankan di Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini.

Kajian tersebut mendapati daripada 100 nyamuk aedes, 50 sudah kebal daripada pelbagai jenis racun serangga.

Jelasnya lagi, amalan pengasapan yang dilakukan sekarang turut menjadi punca nyamuk kini semakin kebal. Racun itu meresap semasa proses pembiakan nyamuk aedes termasuk racun ‘temphos’.

“Ini kerana semasa proses pembiakan, ia menjadi sebati dengan racun itu dan menghasilkan nyamuk yang tidak alah terhadap racun serangga.

“Serangga ini menghasilkan enzim esterase yang menjadikan dirinya lebih kuat dan kalis racun. Proses ini dinamakan rantai silang,” katanya. Baca artikel penuh

Baru-baru ini seorang anak murid perempuan kepada isteri saya baru sahaja meninggal dunia akibat diserang denggi berdarah di Kampung Bharu. Berita itu dikhabarkan daripada kawan-kawannya melalui telefon kepada isteri saya. Diceritakan bahawa beliau lewat datang ke hospital.

Sekiranya anda atau anak menghadapi demam tinggi yang tidak kurang, sakit-sakit badan yang teruk, hilang selera makan, kelesuan melampau, cirit-birit dan sakit perut, ruam merah di seluruh badan dan lebam-lebam, usah tunggu lagi kerana pemeriksaan darah pada hari ke empat atau ke lima adalah wajib kepada anda.

Salam.


Khamis, 15 Mei 2008

Sup Ketam Penawar Demam Denggi?

Penemuan Penawar Demam Denggi
Dilulus terbit pada Saturday, April 19 @ 07:29:03 MYT oleh SongkokPutih
Artikel Oleh: Putra KB

Wabak denggi yang menyerang pelbagai tempat di negara ini merupakan suatu ancaman bermusim yang sehingga kini telah melibatkan berpuluh ribu orang mengalaminya dan tidak kurang juga yang menemui ajal akibat denggi berdarah. Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan peningkatan yang mendadak kes-kes denggi terutama selepas musim hujan.

Misalnya sepanjang tahun 2006, sebanyak 35,402 kes telah dilaporkan. Manakala jumlah kematian dalam tahun sebelumnya pula 107 kes. Dalam minggu ke 14 tahun 2008 ini setakat 5 April sahaja jumlah kes denggi dicatatkan sebanyak 756 dan terus meningkat dari semasa ke semasa. Wabak endemik yang berlaku sepanjang tahun ini kini seolah-olah sukar dielakkan oleh sesiapa sahaja terutama penduduk bandar dan menjadi ancaman melebihi virus selesema burung. Kementerian Kesihatan menjangkakan menjelang tahun 2010 sebanyak 48,000 kes akan dihadapi oleh penduduk negara ini.

Demam Denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Denggi (genus Flavivirus) yang disebar oleh nyamuk Aedes betina. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).Virus Denggi akan terpendam di dalam badan pesakit selama 3 - 14 hari (purata 4 hingga 6 hari) sebelum menunjukkan tanda-tanda. Pesakit mungkin akan mengalami demam mengejut diikuti dengan berbagai-bagai tanda dan gejala tidak khusus.

Denggi dan denggi berdarah merupakan penyakit febril akut (acute febrile), dijumpai di kawasan tropika, dengan taburan geografi serupa dengan malaria. Disebabkan oleh satu daripada empat virus serotype yang berkait rapat dari genus Flavivirus, famili Flaviviridae, setiap serotype cukup berbeza menjadikan tiadanya perlindungan bertindan (cross-protection) dan wabak denggi yang disebabkan oleh pelbagai serotype (hyperendemicity) boleh berlaku. Denggi disebarkan kepada manusia oleh nyamuk Aedes aegypti (hanya kadang-kala oleh Aedes albopictus).

Tanda dan gejala

Demam denggi bermula dengan demam mengejut, dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk menyebabkan ia juga digelar demam tulang-pecah - break-bone fever) dan gatal-gatal. Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bnintik-bintik merah terang, dan biasanya muncul di anggota bahagian bawah - pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh. Tanda pada kulit yang klasik ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok-tompok kulit warna yang normal (island of white in a sea of red). Kemungkinannya terdapat gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luarbiasa radang otot jantung (cardiomyopathy).

Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam (dikenali sebagai pola biphasic). Secara klinikal bilangan sel darah pembeku (platelet) akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ke tiga (third space loss di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya), kerana kapilari darah menjadi rapuh (capillary fragillity). Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.

Kes DHF juga menunjukkan demam tinggi, fenomena pendarahan, thrombocytopenia dan haemoconcentration. Sebahagian kecil kes membawa kepada sindrom kejutan denggi (dengue shock syndrome) atau DDS yang mempunyai kadar kematian yang tinggi.

Diagnosis

Diagnosis denggi kebiasaannya dibuat secara klinikal. Gambaran klasik adalah demam tanpa sumber jangkitan tempatan, bintik-bintik gatal dengan thrombocytopenia dan kemungkinan leukopenia.

Kajian serologi dan PCR (polymerase chain reaction) digunakan bagi mengesahkan diagnosa denggi sekiranya diperlukan secara klinikal.

Rawatan dan Pencegahan

Rawatan utama yang dilakukan oleh pihak hospital sekarang adalah terapi sokongan. Pesakit digalakkan untuk mengekalkan makan, terutamanya minum air. Sekiranya pesakit tidak mahu / mampu minum, tambahan melalui cecair intravena mungkin diperlukan untuk menghalang kekeringan dan hemoconcentration teruk. Pemindahan darah mungkin diperlukan sekiranya bilangan platelet turun dengan banyaknya.

Pada masa kini para saintis masih belum menemui vaksin untuk menentang demam denggi flavivirus. Cara mencegah denggi yang utama yang dilakukan oleh pelbagai pihak buat masa sekarang adalah dengan menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air (seperti dalam bekas bunga) terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Penggunaan kelambu dan juga semburan penghalau serangga juga boleh membantu tetapi semuanya ini tidak memberi banyak makna kepada mereka yang telah dijangkiti denggi.

KETAM – PENAWAR TUNTAS DEMAM DENGGI ?


Allah s.w.t tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan juga ubatnya. Dan dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. ada menyebut bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Berdasarkan hadis ini adalah jelas bahawa denggi juga mempunyai ubatnya, cuma belum ditemui oleh manusia di dalam bidang perubatan moden dewasa ini . Selama ini para saintis dunia perubatan moden masih gagal menemui ubat atau vaksin yang mujarab untuk menentang virus denggi. Ini menyebabkan ramai orang menjadi mangsa dan tidak kurang juga yang mati akibat serangan denggi. Salah satu sebabnya kerana kurangnya kesedaran mengenai gejala-gejala (simptoms) awal serangan denggi menyebabkan sesetengah orang lewat mendapatkan rawatan di hospital.


Namun, penemuan saya sejak hampir dua tahun yang lalu mengenai penawar melawan demam denggi sepatutnya membuka mata para saintis mahu pun penyelidik kita untuk membuat kajian mendalam mengenai khasiat ketam (crab) untuk dijadikan penawar melawan denggi. Malangnya surat-surat email yang saya hantar kepada beberapa orang profesor dan penyelidik di beberapa buah universiti tempatan agar dibuat kajian saintifik mengenai perkara penting ini tidak mendapat sebarang sambutan dan ianya amat mengecewakan. Malang juga kerana saya bukanlah seorang saintis yang dapat membuat kajian sewajarnya. Jika di negara barat, mungkin penemuan ini telah meledak dan manusia sejagat telah menikmati manafaatnya. Namun ianya tidak berlaku di negara ini.

Kajian ringkas saya mendapati ketam mengandungi sejenis protein yang tinggi, yang dapat membantu pembinaan semula platelet darah yang hilang akibat virus denggi. Ini kerana pesakit demam denggi akan mengalami sindrom penurunan platelet yang ketara dalam tempoh beberapa hari selepas dijangkiti virus tersebut dan dalam kes denggi berdarah, platelet mungkin akan jatuh ke tahap paling minima, yang akhirnya membawa maut kepada pesakit.

Pengambilan sup ketam akan menyebabkan platelet pesakit naik mendadak dan sekali gus menyembuhkan mereka dengan kadar yang sangat cepat. Keberkesanan rawatan menggunakan ketam sebagai terapi oral (dimasak sebagai sup semata-mata) amat menakjubkan kerana pesakit demam denggi yang meminum dan memakan (isi dan kuahnya) satu mangkuk besar sup ketam (500ml hingga 1 liter) akan mengalami peningkatan kadar platelet yang mendadak dalam masa relatif singkat, iaitu cuma antara 5 hingga 8 jam sahaja dan pesakit akan pulih 99.9 % dalam tempoh tersebut. Ketam yang terbaik untuk tujuan ini adalah ketam nipah yang cengkerangnya berwarna kehitaman dan oren di bahagian bawah perutnya. Walau bagaimanapun, lain-lain jenis ketam yang boleh dimakan juga berkhasiat untuk tujuan ini.

Malah proses pemulihannya amat pantas berbanding rawatan semasa yang diterima oleh pesakit di hospital kerana pesakit pasca demam tidak perlu lagi memakan multivite atau pun magnesium pill untuk recovery tenaga dan staminanya, juga tidak perlu mengambil masa 2-3 minggu untuk kembali bertenaga seperti sedia kala. Juga paling menarik apabila pesakit yang mengalami simptoms awal denggi tidak perlu untuk ke hospital sekiranya mereka mengambil sup ketam sebaik sahaja menyedari tanda-tanda diserang denggi.

Sehingga kini observasi saya mendapati tidak kurang daripada 20 orang kenalan yang telah diserang denggi telah sembuh sepenuhnya dalam masa 5 hingga 8 jam selepas memakan sup ketam. Malah pengalaman saya sendiri juga amat mengkagumkan di mana saya telah pulih 100% dalam masa 7 atau 8 jam sahaja ketika diserang gejala demam denggi pada Mei 2006 lalu.


Berdasarkan kadar kesembuhan ke atas pesakit demam denggi yang mengambil sup ketam adalah hampir 100%, maka saya berpendapat bahawa ianya bukanlah suatu “kebetulan” semata-mata tetapi merupakan sesuatu yang pasti bahawa ketam merupakan penawar yang paling mujarab untuk merawat denggi.


Oleh kerana saya bukanlah seorang saintis dan penemuan ini belum lagi dibuktikan secara saintifik dan klinikal, maka saya ingin mencabar agar saintis-saintis dan penyelidik kita di universiti-universiti tempatan mengorak langkah untuk membuat kajian makmal mengenai khasiat ketam ini. Jangan sampai orang lain dahulu yang membuat kajian mengenai penawar penting ini berbanding kita. Jika kajian nanti mendapati dakwaan saya ini tepat maka Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang berjaya menemui vaksin mutlak melawan virus denggi dan bakal menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.


Saya percaya penemuan ini bakal melakar suatu revolusi baru dalam bidang kajian penyakit berjangkit bawaan vektor di negara kita sementelah belum ada lagi saintis dunia yang berjaya menemui penawar demam denggi selama ini. Untuk itu suatu kajian saintifik perlu disegerakan bagi merealisasikan penemuan ini demi kemaslahahan umat manusia amnya dan rakyat negara kita khasnya. Manakala orang ramai nanti tidak lagi perlu fobia dengan wabak demam denggi yang begitu kerap menyerang negara kita terutama di bandar-bandar utama apabila penawarnya yang tuntas sebegini telah ditemui.


Tujuan saya mendedahkan perkara ini di internet adalah untuk menyebarluaskan perkara yang cukup penting ini demi maslahah manusia semua khasnya di Malaysia ini. Dan agar para penyelidik tempatan membuka mata dan keluar daripada kepompong stereotaip mereka yang cuma membuat kajian kepada perkara-perkara tertentu sahaja

Rabu, 14 Mei 2008

Deritanya hospital lembab, lintah darat

Dipetik daripada tranungkite.net
Amirrudin Hassan | May 13, 08 8:46pm

Pada mulanya saya rasa mahu mendiamkan saja perkara ini tetapi apabila difikirkan kembali, saya rasa perkara seperti ini perlu diketengahkan di dada akhbar dan menuntut penjelasan daripada pihak-pihak yang bertangungjawab bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.

Ibu saya Latiffah Hashim, 65, mempunyai penyakit kencing manis yang tidak kronik, paras gulanya tidak pernah mencecah tahap bahaya dan sentiasa terkawal dengan ubat-ubatan yang diperolehi daripada klinik kerajaan.

Pada hari raya Aidilfitri yang pertama 2007, beliau tiba-tiba tergelincir di bilik air, lalu bahunya patah. Kami telah membawanya ke hospital besar Pulau Pinang (HBPP).

Di sana beliau telah dibedah dan dimasukkan klip untuk menyambung bahagian yang patah. Para pegawai perubatan dimaklumkan akan penyakit kencing manis yang dihidapi beliau, tetapi tetap meneruskan pembedahan.

Doktor berjanji akan membuka simen yang telah dibalut dalam tempoh dua minggu. Setelah tempoh itu berlalu, kami membawa ibu kami ke hospital untuk membuka balutan simennya, lebih-lebih lagi ibu merasa kesakitan yang amat pada bahagian yang dibedah.

Malangnya doktor menyatakan bahawa balutan tersebut tidak boleh dibuka dengan alasan klip penyambung belum betul-betul berfungsi. Kami minta penjelasan, kenapa ibu merasa sangat sakit di bahagian yang dibedah tetapi tidak diendahkan oleh pegawai-pegawai perubatan yang bertugas.

Mereka tetap enggan membuka balutan simen tersebut kerana tidak mahu menangung risiko.

Setiba di rumah, kami anak-beranak mengambil keputusan membawa ibu ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang. Di sana doktor berpendapat, balutan simen perlu dibuka kerana pesakit ada penyakit kencing manis.

Setelah balutan dibuka, bau daripada bahagian yang dibedah itu tersangat busuk dan bernanah. Bayangkanlah bagaimana kalau kami menunggu dua minggu lagi sebagaimana yang dijanjikan oleh doktor daripada HBPP.

Sejak peristiwa itu, ibu kami bertukar daripada seorang yang periang dan aktif menjadi murung, atas kemurungan yang melanda dirinya, tahap kencing manisnya tiba-tiba naik mendadak ke paras yang tinggi. Beliau menjadi terlalu letih dan menghadapi masalah pernafasan.

Kerana pengalaman pahit di HBPP, kami mengambil keputusan untuk menghantar ibu ke hospital swasta terbabit. Setibanya di sana, pihak hospital mengesahkan semua wad di unit rawatan rapi (ICU) telah penuh dan mencadangkan ibu kami dihantar ke satu lagi hospital swasta di Pulau Pinang pada 16 Januari lalu.

Di sana ibu mendapat rawatan kecemasan dan doktor berjaya mengawal tahap gula ke paras normal dan beliau dapat bernafas seperti biasa.

Semasa pendaftaran, hospital meminta kami menjelaskan deposit sebanyak RM5,000. Keesokannya tiba-tiba ibu mengalami sesak nafas yang belum pernah terjadi sebelum ini. Kami juga hairan, lantas pihak hospital menggunakan alat bantuan pernafasan.

Sebelum bantuan diberikan, kos rawatan menjadi persoalan utama - sama ada mampu atau tidak kami membayarnya. Bayaran wad dalam ICU tanpa apa-apa pembedahan, kami terpaksa menangung kos RM3,000 sehari. Selama tiga hari, bahagian kewangan hospital tersebut meminta kami membayar RM10,000.

Demi kasih sayang kepada seorang ibu, kami anak-beranak tetap membayar selagi mampu. Selang tiga hari, ibu mulai sedar dan dapat mendengar serta memahami apa yang kami bualkan. Doktor berjanji, ibu akan kembali normal selepas beberapa hari dalam wad ICU dan akan dipindahkan ke wad biasa.

Setiap kali kami menyoal doktor itu tentang keadaan semasa ibu, doktor menyatakan bahawa ibu semakin sihat dan banyak perubahan ke arah sembuh. Tiba-tiba mereka menyatakan ibu terpaksa ditebuk di bahagian leher untuk memudahkan pernafasan.

Setelah mendengar penjelasan daripada sepasukan doktor, kami bersetuju demi kebaikan ibu. Setelah pembedahan, ibu kelihatan lebih segar tapi doktor tidak pernah menyatakan apakah penyakit sebenar ibu. Mereka asyik menyatakan semakin baik dan akan pulih.

Bayangkan setiap tiga hari kami kena membayar RM10,000. Sampailah kepada jumlah terakhir yang kami bayar RM46,110, kami sudah tidak mempunyai apa-apa simpanan lagi sedangkan doktor tidak dapat memberi jaminan berapa lama ibu akan berada di wad ICU.

Bayangkanlah kalau ibu terpaksa tinggal dua bulan di dalam wad ICU, manalah kami mampu membayar? Siapa yang tidak mahu melihat ibunya sihat, ibulah segala-galanya bagi kami.

Setelah berbincang, kami mengambil keputusan memindahkan ibu ke HBPP pada 1 Februari 2008 walaupun sedar layanan di sana Allah saja yang Maha Mengetahu. Tetapi apakan daya, kami bukanlah daripada kalangan orang yang berduit, itu sahaja wang yang kami ada untuk membantu ibu.

Kami terus menghubungi HBPP dan mendapat pengesahan ada kekosongan di wad ICU. Maka kami terus membuat persiapan untuk memindahkan ibu ke sana. Bayangkanlah perasaan kami melihat ibu diusung dengan ambulan dari hospital swasta itu ke HBPP.

Ibu tersenyum, mungkin dia tahu kami sudah tidak ada kemampuan membayar lagi. Tetapi kami sangat terharu dan tidak dapat menahan sebak, siapalah lagi yang kami ada melainkan ibu? Bapa, datuk dan nenek telah lama meningalkan kami.

Yang lebih menyedihkan, sesampai di HBPP, apa yang dijanjikan tidak dikotakan. Wad ICU telah dipenuhi walaupun telah dijanjikan untuk ibu. Jadi, ibu dibiarkan di wad biasa yakni wad kelas 3 (Wad 6) yang dipenuhi dengan berbagai-bagai ragam pesakit selama lebih 13 jam (dari jam 3 petang sampai 4 pagi) tanpa bantuan pernafasan sedangkan ibu memerlukan bantuan pernafasan.

Kami beberapa kali memberitahu jururawat-jururawat yang bertugas bahawa ibu sesak nafas dan memerlukan bantuan pernafasan tetapi tidak diendahkan. Malah sikap mereka sungguh biadap dan menyakitkan hati. Tepat jam 4 pagi, pernafasan ibu terhenti, kami pula yang menjadi jururawat terpaksa memanggil mereka untuk memberitahu keadaan ibu.

Allah maha penyayang, dengan kuasa-Nya, doktor-doktor melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan ibu dapat bernafas semula. Bayangkanlah bagaimana nasib orang yang tidak mempunyai wang dan terpaksa menghadapi kerenah para petugas di hospital-hospital besar kerajaan.

Sejak tempoh tersebut, ibu tidak pernah sedar dan berada dalam keadaan koma selama lebih tiga minggu di HBPP. Ibu tidak langsung diberikan peluang untuk ditempatkan di wad ICU, malah lebih sedih lagi beliau ditempatkan di wad kelas 3 (Wad 6) walaupun abang sulung kami yang bertugas sebagai guru layak untuk menempatkan ibu di wad kelas satu.

Pihak hospital sentiasa memberikan berbagai-bagai alasan bahawa wad kelas satu dan wad ICU penuh. Para jururawat dan doktor di wad tersebut kebanyakannya tidak banyak membantu.

Cuma ada dua atau tiga orang jururawat yang betul-betul menjalankan tugas dengan dedikasi. Kami tetap bersabar, sehinggalah pada suatu hari seorang jururawat telah menyuntik tangan ibu kami sehingga jarumnya bengkok.

Kerana tidak tahan dengan sikap petugas-petugas yang semakin melampau, saya tidak dapat lagi menahan kemarahan dan telah memarahi doktor dan jururawat yang bertugas dan saya juga mengancam akan melaporkan perkara ini ke peringkat menteri kabinet.

Saya juga mengingatkan mereka bahawa pesakit adalah ibu kepada seseorang dan mengapa beliau dilayan bagaikan seekor haiwan. Bayangkanlah kalau pesakit itu ibu mereka sendiri, sanggupkah mereka melayan sebegitu rupa? Bukan itu sahaja, ada pula doktor dan jururawat secara sinis mengumpat kami dengan kata-kata "sudah tidak ada duit, baru mahu datang ke HBPP".
Sejak tarikh itu, petugas-petugas mulai takut dan menjalankan tugas dengan lebih baik.

Ajal ibu sudah sampai dan beliau walaupun tidak pernah sedarkan diri sejak berada di HBPP, lebih rela meninggalkan anak-anak daripada hidup terus terseksa.

Selepas lebih tiga minggu di HBPP, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir tepat jam 10 malam 20 Februari 2008 - waktu yang sahkan oleh doktor. Tetapi adik-adik saya yang berada di sisi ibu mengesyaki bahawa ibu sudah tiada lagi sejak jam 9 malam.

Kesimpulannya, apakah sudah tidak ada tangungjawab sosial di negara kita ini? Kerajaan asyik melaungkan cogan kata "Malaysia boleh" dan sering membantu mangsa malapetaka di rantau luar negara. Kita begitu berbangga dengan bantuan yang dapat dihulurkan untuk masyarakat antarabangsa tetapi apakah nasib anak Malaysia di tanah air sendiri?

Hospital kerajaan dengan kerenah birokrasinya dan hospital swasta umpama lintah darat.

Pihak-pihak yang bertangungjawab, saya amat berharap agar apa yang dibangkitkan ini mendapat penjelasan yang sejujur dan seikhlasnya tanpa berselindung di sebalik apa-apa kepentingan peribadi. Saya tidak berniat menuntut apa-apa imbuhan berbentuk kewangan sebab kami sekeluarga ikhlas dan tidak ingin mencari keuntungan daripada kematian ibu yang sangat kami sanjungi dan sayangi.

Kami hanya inginkan perkara-perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa akan datang. Saya juga tidak mahu mana-mana ahli politik yang rakus memainkan isu ini, maka saya hanya menghantar luahan kekecewaan ini selepas pilihanraya.

Kepada hospital swasta di negara ini, jangan jadikan bidang perubatan sebagai perniagaan untuk mengaut keuntungan seperti lintah darat dan lupa pada tangungjawab sosial serta menghina bidang kerjaya itu sendiri dan kepada hospital kerajaan, bekerjalah dengan jujur dan ikhlas pada Allah.

Semua ini akan menjadi soalan-soalan yang bakal disoal di akhirat. Tidak akan ada manusia yang terlepas daripada dosa yang dilakukan.