Isnin, 26 Mac 2012

Mari Berniaga Dengan Allah...

Assalamualaikum.

Nak dengar lagi tak kisah para dermawan? Ummi suka baca kisah-kisah para dermawan. Bukankah Allah telah menjanjikan pelbagai kelebihan buat para dermawan, bukan sahaja di akhirat sana tetapi juga di dunia ini lagi tapi kita sebagai insan yang lemah seringkali dilalaikan oleh bisikan syaitan dengan rasa keraguan untuk menderma. Tidak inginkah kita menjadi jiran Nabi di syurga sebagaimana yang dijanjikan buat para dermawan?

Hari ini Ummi nak bercerita kisah betapa dermawannya sahabat Nabi, Usman bin Affan....

Usman bin Affan merupakan salah seorang sahabat yang dijanjikan Allah akan masuk syurga tanpa dihisab. Di samping memiliki budi pekerti yang mulia, beliau adalah seorang yang sangat dermawan. Sejak belia lagi beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang kaya raya. Tetapi setelah memeluk Islam seluruh hartanya didermakannya untu kepentingan perjuangan Islam.

Semasa Abu Bakar as-Siddiq memerintah sebagai khalifah pertama setelah kewafatan Rasulullah. satu kemarau panjang telah melanda tanah Hijjaz. Ramai orang yang kelaparan kerana kesukaran mendapatkan bahan makanan. Dalam keadaan itu Usman bin Affan telah datang dengan barang perniagaannya berupa 500 tan gandum yang diangkut oleh 100 ekor unta.

Melihat kedatangan khalifah perniagaan Usman, seluruh pedagang di Kota Madinah menyambutnya. Masing-masing menawarkan harga yang tinggi untuk membeli gandum tersebut. Dalam hati mereka telah membayangkan keuntungan yang diperolehi daripada berniaga gandum di masa orang ramai memerlukannya. Seorang peniaga menawarkan harga dengan berkata: "Saya tawarkan harga dua kali ganda." Usman menjawab: "Bolehkah kamu tawarkan harga lebih tinggi?" Maka peniaga yang lain menjawab: "Ya, saya berani membeli dengan harga tiga kali ganda." Usman menjawab: "Saya mahu harga yang lebih tinggi." Dijawab oleh seorang peniaga: "Saya tawarkan harga empat kali ganda." Usman berkata: "Saya mahu yang lebih tinggi lagi." Maka para peniaga gandum itupun menyerah kalah.

"Usman, itulah harga tertinggi yang boleh kami tawarkan kepadamu. Kalau lebih tinggi lagi tentu kami tidak mendapat keuntungan apapun." Maka Usman menutup perbualan itu seraya berkata: "Dengarlah olehmu semua. Allah menawarkan kepada saya ganjaran berkali-kali lebih banyak daripada apa juga yang kamu tawarkan. Sesungguhnya gandum ini telah saya ikhlaskan untuk membantu penduduk Hijaz yang sedang kelaparan. Maka dalam hal ini saya hanya mahu berniaga dengan Allah. Sebab dalam al-Qur'an Allah telah menawarkan harga 700 kali ganda atau lebih sebagai balasan bagi orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah."

Mendengar jawapan itu, para peniaga gandum itu berasa sedar dan malu. Mereka pergi meninggalkan Usman sambil beristighfar memohon ampunan Allah SWT kerana telah bersikap tamak. mereka juga menyesal kerana telah berniat mengambil peluang atas kesusahan penduduk Hijaz.

Demikianlah mulianya hati sahabat Nabi ini. Kalau dahulu dia berniaga dengan manusia untuk mendapatkan keuntungan dunia, maka setelah Islam dia hanya mahu berniaga dengan Allah untuk memperoleh keuntungan akhirat. Kehebatan peribadinya yang mulia ini menyebabkan dirinya telah dilantik sebagai Khalifah Islam yang ketiga menggantikan Umar bin al-Khattab.

Kesungguhan Usman dalam mendermakan hartanya di jalan Allah tidak menjadikannya jatuh miskin. Bahkan setelah itu perniagaannya bertambah maju dan rezekinya bertambah murah. Tetapi semakin bertambah rezekinya, semakin kuat pula beliau berderma di jalan Allah. Hingga pada suatu hari semasa peperangan di tabuk, usman telah mendermakan hartanya sehingga cukup untuk membiayai satu pasukan perang, lengkap dengan persenjataan dan makanannya.

Alangkah bahagianya Usman bin Affan. Di dunia dia dimuliakan Allah dengan harta. Di akhirat pula dia memuliakan dirinya dengan banyak menderma semasa di dunia.

Nah! Bagaimana pula kedudukan kita berbanding kedermawanan Usman bin Affan? Marilah sama-sama kita berdoa agar kita dijauhkan daripada sifat bakhil, kedekut, berkira dan kikir. Yakinlah, bersedekah tidak pernah membuat manusia jadi papa kedana. Ia makin memudahkan kehidupan. Janji Allah sentiasa benar!

Khamis, 22 Mac 2012

Ambillah Tanganmu Kembali

Assalamualaikum.

Hari ini Ummi nak bercerita satu kisah yang bertujuan untuk menggalakkan diri Ummi sendiri serta sahabat-sahabiah di luar sana agar sentiasa bersedekah. Tajuk ceritanya berbunyi : Ambillah Tanganmu Kembali.

Ceritanya berbunyi begini (hehe...lama tak jadi penglipur lara) :

Satu kemarau panjang telah melanda negeri Bani Israel. Rumput-rumput yang kering telah lama menantikan datangnya hujan yang tidak kunjung tiba. Angin kering musim kemarau pula membuatkan tanaman tidak berbuah. Pada masa itu semua orang hidup dalam kesusahan. Bekalan makanan semakin hari semakin kurang.

Dalam keadaan seperti itu, ada seorang fakir datang dari rumah ke rumah meminta sedekah. Suatu hari dia berhenti di pintu rumah seorang kaya. Dia mengetuk pintu rumah orang itu seraya berkata : "Berilah saya sedekah meskipun hanya sebuku roti." Tapi orang kaya itu tidak mempedulikan permintaan orang fakir itu. Dia mengulang kembali permintaannya sehingga tiga kali.

Tiba-tiba anak perempuan orang kaya itu keluar daripada rumah sambil membawa beberapa buku roti yang masih hangat. Meskipun ayahnya yang kaya itu bakhil, tapi anak perempuannya sangat baik hati. Dia tidak tahan melihat ayahnya membiarkan seorang peminta sedekah berdiri di depan pintu rumah.

Kebaikan hati perempuan itu rupanya disalah mengerti oleh ayahnya. Melihat anaknya memberikan roti kepada pengemis itu, dia berasa sangat marah. Dia telah mengingatkan anaknya agar tidak melayan para pengemis yang datang ke rumah mereka. Pada masa itu dia berasa anaknya itu telah menderhaka kepada perintahnya. Dia tidak dapat mengawal amarahnya lalu dia memotong tangan anaknya itu.

Allah SWT murka dengan perbuatan lelaki bakhil itu. Selepas peristiwa itu perniagaannya merosot dan dia menjadi muflis. Hartanya habis hari demi hari sehingga dia menjadi miskin. Tidak lama selepas itu dia mati dalam keadaan hina. Perempuan yang cantik itu terpaksa meminta sedekah untuk menyambung kehidupan. Dia berjalan dari rumah ke rumah dengan tangan yang kudung.

Pada suatu hari perempuan itu meminta sedekah di rumah seorang yang kaya. Ibu kepada orang kaya itu keluar rumah. Hatinya hiba melihat perempuan secantik itu terpaksa meminta sedekah dari rumah ke rumah. Dia mempelawa perempuan itu masuk ke rumahnya. Setelah berbual beberapa lama ibu itu teringat bahawa inilah anak perempuan yang telah dipotong tangan oleh ayahnya kerana bersedekah kepada seorang fakir. Dia menjadi semakin simpati kepadanya dan tertarik kepada budi pekertinya yang baik. Maka diapun berniat mengahwinkan anak perempuan itu dengan anak lelakinya.

Majlis perkahwinanpun berlangsung dengan meriahnya. Ibu lelaki yang kaya itu membelikan baju-baju yang cantik serta perhiasan untuk menantunya yang solehah. Setelah itu dia menghidangkan makanan untuk kedua-dua pengantin baru itu. Semasa makan anak perempuan itu hanya mengeluarkan tangan kirinya sahaja. Hal ini membuat suaminya berkata kepadanya :

"Setahu saya kamu adalah seorang yang berbudi bahasa. Tentapi mengapa kamu makan dengan tangan kiri. Keluarkanlah tangan kananmu." Tentu sahaja isterinya tidak boleh memenuhi permintaan suaminya itu kerana malu dengan tangan kanannya yang kudung itu. Suaminya sekali lagi meminta agar isterinya mengeluarkan tangan kanannya.

Dalam keadaan yang cemas itu, tiba-tiba isterinya mendengar satu suara dari langit bagai berbisik ke telinganya.

"Keluarkanlah tanganmu wahai hambaKu. Sesungguhnya dahulu engkau telah memberikan roti kerana Aku. Maka tidak ada sebab bagiKu untuk tidak mengembalikan tanganmu."

Wanita itu lantas mengeluarkan tangannya dan dengan kuasa Allah tangan itu kembali menjadi sempurna. Ibu kepada lelaki itu bersyukur sambil menitiskan air mata. Anaknya hairan melihat ibunya menangis. Maka ibunya bercerita bahawa tangan isterinya itu sebenarnya telah dipotong oleh ayahnya kerana bersedekah kepada seorang pengemis. Tetapi dengan kekuasaan Allah tangan itu kini dikembalikan kepadanya. Mendengar cerita itu bertambahlah kecintaan suami kepada isterinya. Dan merekapun hidup bahagia melahirkan anak-anak yang soleh dan rajin menderma.

Rabu, 21 Mac 2012

Tips Untuk Pasangan Yang Sukar Mendapat Zuriat!

Assalamualaikum.

Hari ini Ummi nak kongsikan tips untuk pasangan suami-isteri yang ditakdirkan Allah sukar untuk mendapatkan anak. Bukan tips makan ubat atau apa jua siasatan yang selalu dilakukan oleh doktor-doktor di hospital tapi tips ini adalah tips dari al-qur'an dan hadith. Baik sekali kalau sekiranya rakan-rakan Ummi sesama doktor tidak lupa untuk menyampaikan tips ini kepada setiap pesakit mereka di samping kita mempraktiskan siasatan dan rawatan perubatan secara moden untuk mereka.

Diriwayatkan oleh Abu Hanifah dalam musnadnya dari Jabir bin Abdillah r.a :

“Bahawasanya ada seseorang yang datang mengadap Nabi Saw dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, aku tidak diberi anak dan aku tidak memiliki anak seorangpun.’ Beliau Saw bersabda : ‘Di mana kamu dengan banyaknya beristighfar dan bersedekah yang dengannya engkau akan diberi anak?’ Maka orang itupun memperbanyakkan sedekah dan istighfar. Diapun mendapat sembilan orang anak laki-laki.”

Al-‘Allamah Mulla Ali Al-Qari dalam syarah hadith ini mengatakan, kemungkinan ini dikutip dari firman Allah SWT yang menceritakan tentang Nabi Nuh a.s :

“Maka aku katakan kepada mereka : ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh : Ayat 10-12)

Malah dalam hadith juga disebutkan :

“Barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, nescaya Allah akan memberi penyelesaian bagi setiap permasalahan dan jalan keluar bagi setiap kesempitan, serta memberinya rezeki dari sisi yang tidak disangka-sangka.” – Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Hakim dari Ibnu Abbas r.a.

Nah! Selama ini kita seringkali lupa dengan petunjuk dari Allah dan RasulNya. Mudahan-mudahan dengan amalan sedeqah dan istighfar yang berterusan ini dapat menjadi ubat yang mujarab untuk permasalahan kemandulan yang dihadapi oleh segelintir pasangan. Namun dalam kita berusaha, kita tetap pasrah dengan ketentuan Allah. Bukankah Allah SWT ada berfirman dalam surah As-Syura ayat 49 dan 50 yang maksudnya :

“Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Namun usaha tetap usaha. Kita tidak boleh berhenti berharap pada Allah dan jangan sekali-kali kita menyangka yang tidak baik kepada Allah. Teruslah berikhtiar! Semoga berjaya...