Isnin, 18 Julai 2011

Al-Fatihah : Mak, Damailah Dirimu Di sana...

Assalamualaikum.

Di pagi Jumaat yang hening, jam 9.25 am, 15 Julai 2011 bersamaan 13 Syaaban 1432H - mak kembali ke rahmatullah dalam suasana penuh ketenangan dengan alunan bacaan al-qur'an dan kalimah Lailahaillah.

Mak, mak kini telah merasai kematian. Sesungguhnya tidak ada lagi kematian selepas ini buatmu mak...selama-lamanya. Allah telah menguji mak tepat 9 bulan yang terakhir dengan kesakitan dan kepayahan. Angin ahmar yang menyerang menyebabkan mak lumpuh dan tidak mampu berkata-kata. Mak terpaksa makan melalui tiub. Mak kerap batuk dan demam. Mak kesakitan setiap kali dimandikan. Belakang mak sentiasa pedih akibat kulit yang melecek. Namun mak sabar dan hanya mampu menangis bagi menzahirkan kesakitan.

Mak, dua hari terakhir yang kusaksikan amat memilukan. Namun dirimu terus tabah menahan kesakitan, demam dan lelah. Namun hari ini, segalanya telah berlalu. Kulihat wajah terakhirmu yang tenang tanpa kerutan, bahkan menggambarkan sebuah kepuasan. Airmukamu bersih dan tenang bak tidur yang lena. Mudah-mudahan itulah petanda Allah meredhai perjuanganmu, mak. Perjuangan semasa sihatmu dan perjuangan menanggung derita kesakitan. Segala ujian yang kau lalui dengan sabar, InsyaAllah pasti akan meninggikan darjatmu di syurga.

Mak, hayatmu di dunia telah berlalu. Segala jasamu, amal solehmu, derma dan sumbanganmu, nasihat dan pengajaranmu...segalanya menjadi pahala yang akan kau nikmati hasilnya di sana. Anak-anak cucumu yang kau tinggalkan, InsyaAllah akan sentiasa mendoakan kesejahteraanmu.

Kau telah pergi buat selamanya mak. Tiada lagi gurau tawa dan belaian manja darimu. Sungguh, tiada yang menyamaimu...

Belasungkawa

Mak semasa hayatnya, bukan siapa-siapa. Mak, tiada jawatan. Mak, bukan pimpinan. Mak, bukan orang penting dalam organisasi. Namun mak semasa hidupnya adalah seorang hamba Allah yang meletakkan seluruh ketaatannya kepada Yang Maha Esa. Mak semasa nafasnya masih ada, adalah seorang pengikut yang sungguh taat dan wala' kepada pimpinan jemaah Islam. Mak bukan orang penting jemaah tapi mak sentiasa meletakkan kecintaannya kepada siapa juga yang memperjuangkan Islam.

Mak juga seorang yang tidak langsung lokek dalam bersedekah dan berbelanja untuk perjuangan Islam. Datanglah siapa sahaja yang meminta, mak akan menjadi tangan di atas yang sentiasa memberi. Mintalah berapa sahaja. Mak akan menghulur tanpa teragak-agak. Wang pemberian anak-anak sentiasa mak asingkan sebahagian besarnya untuk derma dan perjuangan Islam. Bahkan kadang-kadang, satu senpun mak tidak ambil untuk keperluan dirinya. Semuanya diserahkan kembali demi perjuangan Islam. Itulah mak yang bertangan panjang ibarat gelaran Rasulullah kepada isterinya Zainab.

Sewaktu mak masih sihat, yang kekal dalam ingatan ini....mak sentiasa berada di kerusi kayunya dalam telekung sembahyang. Mak sentiasa kekal dalam wudhuk. Seawal jam 3 atau 4 pagi, mak istiqamah bersolat tahajjud. Al-qur'an sentiasa di tangan. Terkadang, mak menelaah kitab-kitab karangan TGHH serta Tok Guru Nik Aziz dengan cermin mata jarak dekatnya. Mak tidak pernah ketinggalan melanggan Harakah. Bahkan mak buat khusus sebuah almari khas untuk simpanan Harakah dan kaset-kaset ceramah TGHH. Malah, mak masih simpan keluaran Harakah bermula dari keluaran yang pertama!

Itulah mak di masa hayatnya...

Mak juga begitu menunjukkan kecintaan kepada semua pimpinan PAS, baik di kalangan muslimin mahupun muslimat. Anak-anak mak semua tahu siapa idola mak di kalangan pimpinan. Mereka mungkin tidak pernah mengenali mak tapi mak tetap tanamkan rasa kecintaan mak pada mereka melalui doa dan sumbangan derma. Kadang-kadang mak simpan keratan akhbar mengenai kisah kehidupan mereka. Setiap kali anak-anak datang menziarahi mak di rumah, mak hulurkan keratan akhbar itu. Mak pesan pada anak-anak, jadikanlah mereka sebagai contoh dan ikutan.

Itulah mak di masa hayatnya...

Dan apabila tiba saat kematian mak ;

Siapa sangka mak disolatkan oleh idola-idola mak. Jenazah mak pertama sekali diimamkan oleh Ustaz Kamaruzaman Abdullah, AJK Dewan Ulamak Pas dan kali keduanya oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi sendiri, Presiden PAS yang selama ini, dialah Tok Guru kesayangan mak, dialah Tok Guru yang mak letakkan seluruh wala' dan ketaatan kepadanya.

Tak ada siapa juga yang menyangka, jenazah mak turut dikunjungi oleh ramai pimpinan-pinpinan PAS yang sentiasa menjadi sebutan di bibir mak termasuklah Pesuruhjaya PAS Negeri Trg, Hj Abdul Wahid Endut. Paling mengejutkan Ummi, tanpa disangka, Ustazah Siti Zailah, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat turut hadir menziarahi mak di hari kematiannya. Sejak dahulu, mak meminati dan menyanjungi Ustazah Siti Zailah. Mak sentiasa ikuti kisah kehidupan dan liku-liku perjuangan Ustazah Siti Zailah. Mak simpan keratan akhbar mengenai kisah kehidupan beliau. Sememangnya Ustazah Siti Zailah tidak pernah mengenali mak. Tapi di hari kematian mak, Allah hantar idola-idola mak menyembahyangkan jenazah mak, menziarahi jenazah mak dan pusara mak. Ya Allah, besarnya kekuasaan dan keagunganmu Ya Allah. Besarnya kecintaan yang Engkau tunjukkan pada hambaMu yang mencintai hamba-hambaMu yang soleh....

Mak, bertuahnya mak di saat tiba masanya mak menghembuskan nafas yang terakhir, suami tercinta (bak) sentiasa ada di sisi mak. Semua anak-anak mak yang tinggal di Terengganu ada bersebelahan mak. Kami anak-anak meratap hiba melihat bak mencium dahi mak, memandang mak dengan sayu bersama linangan airmata sambil melafazkan kata-kata redha seorang suami buat isteri tercinta. Entah kenapa juga, di saat hampirnya mak meninggalkan dunia yang fana ini, tertutup hati-hati kami, anak-anak menantu yang bergelar doktor untuk melakukan sebarang prosedur kecemasan untuk mak sebagaimana lazimnya. Yang terlintas di hati, kami anak-anak, hanya ingin berada dekat dengan mak, hampir dengan telinga mak, mengucapkan lafaz kalimah Laailahaillah mengiringi setiap hembusan nafas mak. Terasa sekali hembusan-hembusan nafas terakhir mak begitu tenang mengiringi setiap kalimah Laailahaillallah...dan akhirnya pernafasan mak terhenti seiring dengan kalimah Laailahaillallah. Ya Allah, tenangnya wajah mak saat itu, tanpa kerutan. Mak nampak benar-benar puas. Seolah-olah tamatlah sudah penderitaan mak dalam kesakitan selama ini.

Mak, kini tiada lagi kesempatan untuk kami, anak-anakmu memohon ampun dan maaf darimu, mak. Mudah-mudahan tiada apa yang terkilan di hatimu terhadap anak-anak. Tiada lagi peluang untuk kami berbakti padamu di masa hayatmu. Namun yang pasti, kami anak-anak akan terus mendoakan kesejahteraan buatmu, mak. Kami akan terus berbakti padamu melalui amal-amal soleh kami. Kami sangat merinduimu, mak. Ya Rabbi...ubatilah rindu kami dengan pertemuan di syurgaMu kelak. Amin ya Rabbal 'alamin.

Bakti terakhir seorang menantu. Terimakasih suamiku, yang telah menjadi tulang belakang paling kuat buat diriku dalam membantu menjaga mak sepanjang mak diuji dengan angin ahmar.

Mak, Adik Ah bawa mak balik ke rumah dengan harapan yang tinggi untuk merawat mak dan melihat mak kembali sembuh. Maafkan Adik Ah mak. Adik Ah tak mampu mengatasi takdir Allah. Maafkan anakmu ini mak.

Hanya beberapa detik sebelum mak di bawa pergi. Pergi yang tak akan kembali lagi. Ya Allah...sudah tiba masanya mak akan bertemu denganMu ya Allah. Sudah tiba masanya mak kembali kepadaMu ya Allah. Aku redha dan aku pasrah ya Allah. Cucurilah rahmatMu ke atas roh ibuku ya Allah...

TGHH melangkah turun mengiringi pemergian mak...Terimakasih Ayah Chik. Terimakasih atas doa dari Ayah Chik. Semoga mak bakal mendapat syafaat dari Rasulullah saw berkat doa dan limpahan airmata dari seorang yang soleh...

DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali...
Maafkan kami, anak-anak dan cucu-cucu perempuan mak yang tidak mengiringi mak ke tempat persemadian. Kami ingat pesan mak, "Jauhi syubhah, jauhi fitnah..." Cukuplah doa kami mengiringi jenazah mak ke sana...

Ya Allah...selama ini sebutan mati sentiasa di bibir mak. Ingatan mak pada sebuah kematian benar-benar menjadikan mak bersedia untuk itu...

Dan kini mak telah merasainya. Tidak ada lagi kematian selepas ini buat mak...

Ya Allah..Mak, bersama-sama mak, hanya kain telekung putih Adik Ah yang mak bawa bersama sebagai alas. Hanya kain kapan pembalut badan yang mengiringi. Benarlah pesanan mak selama ini pada anak-anak.... "Cari harta, jangan sampai lupa akhirat. Esok-esok tak adapun yang boleh kita bawa ke kubur. Hanya amalan soleh kita di dunia inilah yang akan dibawa mati..." Kami ingat pesan mak. Kami ingat kata-kata mak yang tak pernah jemu memberi peringatan buat anak cucu...

Bahagianya mak pergi bertemu Allah dengan redha seorang suami...

"Mak, Adik Yi redha dengan pemergian mak. Cukuplah sudah penderitaan mak di dunia ini dengan ujian kesakitan yang Allah takdirkan buat mak. Sudah tiba masanya untuk mak menerima ganjarannya di alam sana..."

Ampunilah segala dosa-dosa ibuku ya Allah...

Rahmatilah ibuku ya Allah...

Tempatkanlah ibuku di kalangan hamba-hambaMu yang soleh, ya Allah....

Mak, damailah mak di alam sana...

Berbahagialah mak di alam sana...

Bersemadilah mak di bawah lembayung rahmat dan redha Allah...

16 Julai 2011


Telah satu malam mak tinggal di sini. Mak, Adik Ah rindu pada mak. Adik Ah langsung tak dapat melelapkan mata malam tadi kerana teringatkan mak. Adik Ah doa pada Allah agar kubur mak terang. Adik Ah mohon dari Allah agar kubur mak merupakan salah satu taman dari taman-taman syurga. Tenanglah mak di sana, mak. Damailah mak di sana. Tiada lagi kesakitan dan penderitaan buat mak di sana...Amin Ya Rabbal'alamin.

- Al-Fatihah buat bondaku Hajjah Meriam binti Ali -

13 ulasan:

asmaa' binti ahmad jafree berkata...

allahuakbar...subhanallah..

klg yakin dan percaya ceksu di saat kita sume anak cucu wan bersedih dengan pemergian wan..klg yakin wan sedang bergembira di alam sana..

subhanallah..
untungnya wan dikurniakan allah anak2 yg tidak henti2 mendoakan ibunya..sungguh doa anak2 yg soleh itu pasti akan sampai kepada ibu bapanya walaupun mereka sudah tiada di dunia ini..

allah dah tunjukkan tanda2 Nya terhadap hambanya yg soleh ini..
klg ingat lagi masa klg selalu bermalam di rumah wan..
wan ada sebut.."klg..wan kalu boleh biarlah allah tarik nyawa masa pagi dhuha..senang org nak uruskan kita.."

lebih kurang mcm tu kata2 wan..
ternyata allah tu telah memakbulkan doa wan..hamba yg dicintainya..subhanallah..

nurul berkata...

salam ketabahan dan kesabaran ye kak..moga arwah diberi kedudukan yg lebih baik di alam sana..

seha berkata...

assalamualaikum,

salam takziah buat kak ummi sekeluarga.

نورالعتيقة محمود berkata...

assalamu'alaikum,
salam takziah buat kak han sekeluarga.
benarlah kematian itu adalah sebaik2 peringatan...

mumtazah berkata...

Takziah Kak Ummi dan keluarga. Al-Fatihah

Ros Illiyyuun berkata...

Assalamualaikum

Salam takziah dari saya,semoga al-marhumah di tempatkan di kalangan mukminat solihat. Ameen

ibn suhaimi™ berkata...

Salam Alaik...Allahurobbi, sedih saya lihat catatan ikhlas penulis laman ini..

Sesungguhnya pemergian Emak Dr. sebagai seorang pejuang Agama Allah, insya'allah diletakkan sebaris disisiNya seperti Almarhumah Zainab Al-Ghazali, Tokoh Muslimat dari Kalangan Ikhwan Muslimin.

Dari bumi syam saya kirimkan Al-fatihah~

Semoga Dr.terus istiqomah berjuang.

USAH jemu berjuang..

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum

Salam takziah buat Dr.Ummi sekeluarga diatas permegian Bonda yang tercinta....semoga al-marhumah ibu Dr ,di tempatkan di kalangan mukminat soliha..Al-Fatihah.....

Amin Ya Rabbal Alamin....

- ismisyakila - berkata...

Innalillahi wa inna ilaihi raji'un...
Salam takziah dari kami sekeluarga..

Meremang bulu roma saya dan suami masa baca entri Kak Ummi part TGHH ziarah dan solatkan jenazah almarhumah.MasyaAllah..Tabarkallah..

Semoga berkat doa anak2 dan ulama' almarhumah digolong di kalangan ahli syurga..insyaAllah

wfaiziah berkata...

Assalamualaikum K Han dan Abg lan.
Takziah buat k Han sekeluarga atas pemergian bonda tercinta. Mgkin Yie dah tahu... cuma Wan yg agak ketinggalan info sekarang ni sbb sibuk menguruskan si kecil. Bonda K han kembali ke Rahmatullah pada pagi Jumaat, 15 Julai..penghulu segala hari..Masya Allah..hanya hambaNya yang terpilih sahaja diambil nyawanya pada hari jumaat. Pada hari yg sama juga kami buat majlis cukur dan aqiqah baby baru..Alhamdulillah Al-Qarni selamat dicukur jambulnya oleh TGNA pada pagi 15 Julai di masjid Pulau Melaka..

Mudahan K Han kuat dengan kehilangan bonda tercinta..Wan yakin bonda K Han damai di sana..Al-fatihah buat Hajjah Meriam binti Ali..moga tenang di Taman Syurga..

Onesue berkata...

Takziah...Al-fatihah untuk arwah

Tanpa Nama berkata...

Mudah mudahan ditempatkan dalam rahmatNya.kita menunggu giliran ke sana.

Jαnnαhツ berkata...

salam takziah ke atas keluarga.


begitulah lumrah alam. mereka yang pergi takkan kembali. begitulah kami di sini juga kematian guru kami baru2 ini. 8/9/11. guru yang sangat dikasihi.

belum sempat kami meminta maaf, menatap wajah kali terakhir, atau bersama dengannya di saat2 akhir pemergiannya, dia pergi dulu. Allah lebih menyayanginya...