Isnin, 7 Februari 2011

Nasib Anak-Anak Di Mesir: Perkembangan Terkini...

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Lebihkurang jam 4 petang kelmarin, Ummi menerima mesej dari Along dan Angah yang menyatakan mereka telah selamat sampai di Jeddah menaiki kapalterbang TUDM. Segala puji bagiMu ya Allah. Terasa terlepas satu bebanan yang sekian lama meruntun jiwa.

Sukar sekali rasanya untuk berkongsi perasaan dan gelodak jiwa seorang ibu. Seorang ibu yang kasihnya pada anak-anak tidak pernah berbelah-bahagi. Seorang ibu yang cintanya pada anak-anak, cinta tanpa syarat.

Di kala anak-anak tidak dapat dihubungi sedangkan di sana Mesir semakin bergolak, hanya keluhan pada Yang Maha Esa yang mampu menenangkan jiwa. Mana mungkin seorang ibu bisa lena dalam tidurnya sedangkan nasib anak-anak di sana tidak ketahuan. Mana mungkin seorang ibu bisa damai hatinya sedangkan anak-anak di sana berada dalam ketakutan. Tidak mungkin!

Sungguh dalam menempuh saat-saat sukar sebegini, pergantungan kepada Allah lah yang mampu mengubat hati dan mendidik jiwa.

Ummi menunggu kepulanganmu, Along dan Angah. Ummi tahu, Along dan Angah akan sentiasa dapat bertahan dan bersabar. Sungguh kalian beruntung kerana telah dipilih Allah untuk merasai cabaran itu. Cabaran berada dalam ketakutan di saat Ummi dan Abi jauh dari kalian, cabaran menahan perut yang lapar akibat kekurangan makanan, bahkan cabaran merasai seolah-olah nyawa berada di hujung tanduk di saat rusuhan yang meletus di hadapan mata. Sungguh segalanya ini akan menjadikan kalian orang-orang yang tabah dan berjiwa pejuang!

Jazakumullahu khairan kathira Ummi ucapkan buat semua sahabat-sahabiah serta pengunjung blog yang telah sama-sama mendoakan keselamatan mereka. Bahkan kata-kata semangat dari kalian yang Ummi terima melalui email, sms, komen di blog benar-benar telah membantu memberikan kekuatan buat Ummi. Terasa sekali kekuatan ukhuwwah di antara kita dikala ujian mendatangi diri. Kalian adalah sahabat sejati dunia dan akhirat!

3 ulasan:

indahhouse berkata...

Salam kak,
Alhamdulillah, anak-anak Ummi sudah berada di tempat yg tidak bergolak. Moga mereka tabah bertahan di sana ..

wfaiziah berkata...

Doa saya along dan angah selamat sampai di sisi bonda dan ayahanda tercinta..Amin.

Pena Ainun Mardhiah berkata...

Assalanualaikum ummi..sy dan suami baru pulang dari Jeddah,mnziarahi sahabat2 Mesir yg transit di sana.Alhamdulillah,semuanya selamat dan tempatnya pun selesa.moga Along dan angah selamat sampai ke msia,amin..