Assalamualaikum.
Sehingga ke hari ini anak-anak Ummi masih belum dapat dipindahkan keluar dari Kaherah. Dah beberapa hari mereka berhimpun di Malaysian Hall...menunggu dan terus menunggu.
Malam tadi Ummi ikuti kesemua berita yang menyiarkan perkembangan di Mesir. TV3 dengan gahnya mewar-warkan bahawa kerajaaan akan menanggung penuh pengurusan pelajar-pelajar kita balik ke Malaysia diikuti berita ucapan terimakasih dari pelajar-pelajar Mesir kepada PM. Indahnya khabar! Bahkan segala-galanya merujuk kepada usaha dan keprihatinan kerajaan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyatnya. Namun apa yang berlaku, ramai ibubapa masih tertunggu-tunggu anak mereka di sana selamat dipindahkan...ke Jeddahpun cukuplah. Kami hanya mengharapkan mereka dapat keluar dengan segera dari kawasan yang sudah dikategorikan sebagai red zone! Menurut berita, semalam sahaja 18 penerbangan berulang alik dari Mesir ke Jeddah walhal dah beberapa hari bertanyakan perkembangan anak-anak di sana, tiada tanda-tandapun lagi mereka akan dibawa keluar. Pelik bin ajaib. Pada saat dan ketika ini rasanya para ibubapa tidak perlu lagi dipujuk dengan janji-janji manis. What we want is action!
Tamat berita perkembangan Mesir di TV3, Ummi beralih ke TV1. Ada juga berita perkembangan yang diharapkan. Menurut wartawan, modus operandi piramid menghadapi sedikit masalah hak pendaratan dalam mengangkut keluar pelajar. Perintah berkurung telah dipercepatkan ke jam 1 petang! Ini bermakna mereka hanya ada masa untuk mengangkut pelajar diluar waktu perintah berkurung dari jam 7 pagi sehingga 1 petang. Nah! Mungkin inilah jawapannya kepada persoalan yang bermain di kepala, kenapa anak-anak masih terpaksa terus menunggu.
Kenapa TV3 tak menyampaikan perkembangan berita yang diharapkan? Jelas sekali, berita-berita yang disampaikan hanya berita-berita yang mengampu kerajaan dan mengelabui mata rakyat! Ummi kecewa. Sangat-sangat kecewa!
Apapun, Ummi yakin ini adalah ujian buat para hambaNya. Anak-anak di Malaysian Hall masih terurus dibawah seliaan ustaz-ustaz mereka. Setiap kali mesej, merekalah pula yang selalu memberikan kata-kata semangat buat Ummi agar bersabar. Terasa sangat buah hasil didikan ustaz-ustaz di sana. Di saat-saat begini, mereka bergantung sepenuhnya kepada Allah. Solat hajat tetap diteruskan. Mereka adalah penghafal-penghafal al-qur'an. InsyaAllah doa mereka akan Allah kabulkan.
Mudah-mudahan hari ini Ummi akan terima berita yang lebih baik. Kami tetap akan saling memperkuatkan. Mesej terakhir Ummi semalam buat mereka :
"Banyak-banyak sabar, ya Along Angah. Inilah ujian. Kalau nak banding ujian dengan rakyat Palestin, jauh lebih ringan. Yang penting, dalam hati kecil Along Angah tu kena ada niat, kita juga bersama rakyat Mesir dalam perjuangan mereka melepaskan diri dari cengkaman kezaliman Husni Mubarak dan sekutu-sekutunya. Mudah-mudahan ada pahala jihad kita di situ. Ummi yakin lepas ini Along Angah akan lebih matang selepas menempuhi pengalaman yang tidak semua dapat dirasai oleh orang lain."
Kalaulah mereka telah selesai dalam jihad menuntut ilmu, rasa-rasanya ingin Ummi menjadi seperti Khansa' yang melepaskan ke empat-empat anak lelakinya ke medan jihad dengan kata-kata syair yang amat indah :
"Wahai anak-anakku, jika esok kamu bangun dengan sihat, bangunlah dengan penuh keberanian dan semangat. Bertempur, sambil meminta pertolongan kepada Allah SWT. Jika terlihat pertempuran bertambah seru, teruslah maju dengan semangat tinggi, ke medan pertempuran, bunuhlah pemimpin kafir itu. Insya Allah, kalian akan masuk syurga dengan penuh kemuliaan.”
Keesokan paginya, keempat-empat anaknya telah bangun. Dan satu demi satu berangkat menuju ke medan perang. Mereka bertempur sambil membacakan syair-syair ibunya. Apabila satu orang dari mereka telah syahid, maka disusuli pula oleh yang lainnya. Sampai semuanya syahid. Ketika ibunya telah mendengar tentang kesyahidan mereka, ia berkata, “Syukur kepada Allah yang telah memuliakanku dengan kesyahidan mereka. Mudah-mudahan dengan kesyahidan mereka, dosa-dosa saya dapat diampuni oleh-Nya. Saya berharap kepada Allah dengan rahmat-Nya, mudah-mudahan saya dapat dikumpulkan kembali bersama keempat anakku itu dalam naungan-Nya”
InsyaAllah, masa untuk itu akan tiba juga kerana Ummi dan Abi sedang menyediakan kalian ke arah itu. Berjihadlah dahulu dengan ilmu setinggi-tingginya kerana selepas daripada itu jihad kalian akan lebih bermakna.
Sabtu, 5 Februari 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Sayu membaca entri ini. Semoga semuanya selamat. Tabahlah kak. InsyaALLAH ada jalan keluarnya.
Catat Ulasan