Sabtu, 18 Disember 2010

Pertemuan Yang Tak Disangka...

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Setelah balik dari Mekah, minggu ni Ummi sekeluarga berpeluang pula menjenguk Serambi Mekah (Kelantan). Kebetulan ada majlis walimah adik angkat. Usai pertemuan dengan pengantin, terus kami ke KB Mall untuk mencari sedikit keperluan.

Tak disangka-sangka, sebaik saja Ummi melangkah masuk ke KB Mall, tiba-tiba Ummi disapa oleh seseorang.

"Kak Ummi!"

"Eh, Chik ke ni?"

"Ha'ah...Chik ni. Ya Allah, tak sangkanya dapat jumpa Kak Ummi kat sini!"

Begitulah pertemuan yang telah diatur oleh Dia yang Maha Pengatur...

Ummi kenal Chik melalui blognya yang tidak asing lagi ; Keluargaku Sayang. Malah Ummi juga antara pelanggan tetap buku-buku jualan Chik melalui laman online MariBaca Blogshop. Sungguh pertemuan yang begitu mengujakan!

Kalau selama ini kami hanya mengenal melalui alam maya, namun kini Allah telah mempertemukan kami di alam realiti. Pertemuan sedetik itu malah telah menambah eratkan rasa kasihsayang persaudaraan di antara kami. Chik amat mesra sekali orangnya. Tak hairan kalau selama ini kemesraan itu sudah terasa melalui tulisan-tulisan Chik yang sentiasa di update setiap hari! Tulisan yang sarat dengan bait-bait nasihat dan pengajaran untuk pembaca....

Chik, Moga ikatan ukhuwwah antara kita akan terus berkekalan....

Tak sangka juga saiz Kak Ummi dan Chik, lebihkurang aja...hehe. Lepas ni senang Kak Ummi nak order abaya dengan Chik...dah tahu saiznya.

Malah pertemuan ini juga rupanya membawa rezeki kepada kami sekeluarga untuk peluang melancong ke Beijing dengan pakej yang begitu murah sekali - RM199.00 per kepala! Terimakasih Wan (suami Chik) atas peluang yang diberikan. Ada sesiapa yang berminat nak join pakej ini? Cepat hubungi Chik di blognya sebelum 20 Disember ini...hehe. Saja nak promosi.

Mudah-mudahan bertemunya kita kerana Allah dan berpisahnya kita, juga kerana Allah. Bukankah antara tujuh macam orang yang akan dinaungi Allah pada hari kiamat kelak, pada saat tidak ada naungan kecuali naungan Allah ialah dua orang yang saling menyintai (berkasih sayang) kerana Allah s.w.t. baik ketika berkumpul mahupun berpisah?

Seeru 'ala baarakatillah....


Khamis, 16 Disember 2010

Travelog Haji : Mohonlah DariNya...

Assalamualaikum.

Bertemu kembali...

Termenung Ummi sebenarnya nak menulis berkaitan hikmah perjalanan haji yang baru dilalui. Apa yang nak disampaikan mungkin tak kesampaian maksud. Cukuplah beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk dikongsi bersama...

Selagi Usia Masih Muda

"Abi, lepas ni kan...kita mintaklah anak-anak kita kerjakan haji sewaktu umur masih muda. Kita yang masih dalam kategori belum berusia sangat (40-an) nipun dah terasa sangat beratnya beban fizikal yang perlu ditanggung dalam mengerjakan ibadah haji ni. Macamanalah agaknya makcik-makcik yang lebih tua dari kita tu ek?"

Itulah antara cetusan perbualan Ummi dan Abi sewaktu di sana.

Benar, ibadat haji adalah ibadat fizikal. Tawaf, Sa'i, Wukuf di Arafah, Bermabit di Muzdalifah dan Mina, Melontar Jamrah...segala-galanya memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Malah, untuk berulang-alik ke masjid juga memerlukan daya kekuatan fizikal! Apa tidaknya, jarak antara masjid dan tempat penginapan tidak lagi sedekat dulu. Apalagi jika tempat penginapan kita itu jalannya berbukit bukau.

Terasa sangat ruginya apabila melihatkan jemaah berusia terpaksa solat sendirian di bilik lantaran diri yang tak berkemampuan untuk ke masjid walhal ganjaran solat di Masjidil Haram itu 100,000 kali ganda pahalanya.

Mengapa perlu tunggu usia tua untuk mengerjakan haji? Bila diri sudah berkemampuan, bersegeralah...

Selagi Kekuatan Masih Ada...

"Han, tak payahlah ulang-alik ke masjid sangat panas-panas ni. Nanti sakit, susah. Lepas ni kita nak kerjakan haji pulak. Masa haji ni, perlu tenaga lebih. Jadi simpanlah dulu tenaga tu betul-betul..."

Antara nasihat yang Ummi terima...

Terdetik dihati, 'Jauh-jauh aku datang ke sini. Kalau tak kerana nak merebut pahala dan ganjaran selama berada di sini, rugilah sangat.'

"Tak apa. Sayang kalau tak ke masjid. InsyaAllah kita doa banyak-banyak mintak Allah pelihara kesihatan kita.."

Setiap kali ke masjid di waktu puncak kepanasan (Zohor), Ummi akan menyelubungi diri dengan pemakaian 'mask'/purdah dan cermin mata hitam. Benar, tak terasa kepanasannya lagi. "Patutlah nampak jemaah yang pakai purdah tu, payah nak kena demam/selsema/batuk eh Abi. Rupanya diri mereka benar-benar terlindung dari kepanasan dan habuk."

Waktu ke masjid juga kami tetapkan hanya 3x untuk 5 waktu. Waktu Subuh, Zohor dan gabungan Asar sehingga Isyak. Bermakna selepas Asar kami akan terus berada di masjid sehinggalah solat Isyak. Dengan cara begini, kami tak kepenatan kerana berulang-alik. Namun perbanyakkanlah doa agar Allah memelihara wudhuk kita sentiasa. Kalaupun terbatal, tandas di Masjidil Haram ada tersedia. Cuma bagi Ummi, jemaah wanita, agak gerun rasanya nak keluar dari saf berseorangan untuk ke tandas. Maka doa sentiasa dipanjatkan agar Allah tetap memelihara wudhuk sehingga selesai menyempurnakan solat Isyak.

Selagi Waktu Masih Tersisa

Sebelum sampai waktunya kita berangkat ke Arafah untuk wukuf, perbanyakkanlah masa di Masjidil Haram. Sewaktu kami di sana, waktu siang terasa sekali pendeknya. Waktu malam yang panjang pula jangan dihabiskan untuk tidur memanjang. Tidur awal, bangunnya juga awal. Tidur sekadar 3,4 jam sudah cukup mengembalikan tenaga untuk beribadat. Qiamullail di Masjidil Haram terasa sungguh keseronokannya. Selepas solat Subuh, itulah masa terbaik untuk melakukan tawaf sunat atau sekadar merenung kaabah dalam merebut ganjaran rahmat dari Allah. Pulang ke bilik hanya selepas waktu dhuha untuk bersarapan. Rehat seketika dan kembali lagi ke Masjidil Haram 2 jam sebelum masuk waktu. Selepas Zohor, kembali ke hotel untuk makan tengah hari. 2 jam sebelum masuk waktu Asar kembali lagi ke masjid sehinggalah selepas solat Isyak. Alhamdulillah, banyak masa yang boleh dihabiskan di masjid untuk membaca al-Qur'an dan melakukan solat sunat.

Seawal jam 7.30 petang, solat Isyak sudah selesai. Waktu Subuh hanya masuk lebih kurang jam 5.15 pagi. Itulah sebabnya Ummi mengatakan waktu malam begitu panjang dan waktu siang terasa sekali pendeknya. Maka pergunakanlah ia dengan sebaiknya.

Rindu Pada Mak

Sepanjang di sana, hampir setiap malam Ummi tidur bermimpikan mak. Mak yang ditinggalkan di rumah dalam keadaan tidak mampu duduk atau berjalan, tidak mampu makan atau minum, tidak mampu bertutur akibat angin ahmar yang menyerang. Namun sewaktu di Tanah Suci, hampir setiap malam Ummi bermimpi bersama mak yang bisa bertutur, bisa berjalan dan bisa melakukan apa sahaja sebagaimana mak sewaktu masih sihat. Apabila siang menjelma, Ummi menelefon ke rumah hampir setiap hari bertanyakan khabar mak. Namun hakikatnya keadaan mak tetap juga tak berubah. Mak tetap tak mampu berjalan, duduk, makan, minum mahupun bertutur. "Ya Allah, aku tetap pasrah dengan kehendakMu namun aku akan tetap memohon dariMu di setiap ketika agar mak diampuni segala dosa-dosanya dan disembuhkan dari penyakit yang dihidapinya. Hanya Engkaulah jua Ya Allah yang Maha Pengatur atas segala-galanya..."

Pertolongan Allah

Mohonlah sentiasa dari Allah agar memberikan pertolongannya buat kita di setiap masa. Jangan kita merasa gah dengan kesihatan dan kekuatan yang Allah kurniakan pada kita sehingga kita lupa untuk meminta pertolonganNya.

Pernah sewaktu melontar 3 jamrah, Ummi dihimpit 2 manusia yang berbadan besar dan sasa, namun di ketika itu juga datang seorang hamba Allah yang lebih besar memegang bahu Ummi dan membawa Ummi terus ke benteng hadapan jamrah. Subhanallah...

Pernah sewaktu tekak ini terasa sekali hausnya, namun tangan tak kesampaian menadah air zamzam yang berada di bawah sana, tiba-tiba ada hamba Allah yang merenung ke atas ke arah Ummi dan menghulurkan segelas air zam-zam buat membasahi tekak. Sungguh tak terhitung nikmat dariNya...

Bahkan untuk bersolat di masjidpun, mohonlah sentiasa agar Allah menyediakan ruangnya untuk kita. Betapa ramai mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan saf di dalam ruang masjid atau di hadapan kaabah, namun jika kita memohon dariNya dan yakin akan pertolonganNya, InsyaAllah saf kita akan sentiasa tersedia di sana...

Terimakasih Ya Allah..Terimakasih Suamiku

"Abi, masa kat Mekah nanti Abi jangan tinggal Ummi eh..."

Itulah antara cetusan yang lahir dari hati yang was-was, gerun dan bermacam lagi yang difikirkan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Terbayang di sana kita bakal melaksanakan ibadat tawaf, sa'i, wukuf, melontar jamrah dalam himpitan jutaan manusia.

Memang benar. Di sana, kita berada dalam himpitan jutaan manusia namun rupanya Allah sentiasa menyediakan ruangnya untuk kita. Abi tak pernah tinggalkan Ummi keseorangan. Baik dalam situasi tawaf, sa'i, wukuf, melontar bahkan berulang-alik ke masjid juga kami sentiasa bersama. Terpisah hanya pada saf solatnya. Terimakasih Ya Allah...terimakasih yang tak ternilai buat anugerah seorang suami yang begitu penyayang dan prihatin dalam membimbingku di setiap ketika...

Selasa, 14 Disember 2010

Travelog Haji: Kembali Ke Tanah Air...

Assalamualaikum.

Buat pengunjung yang dirindui, Alhamdulillah Ummi dan Abi telah selamat kembali ke tanah air. Segala puji bagi Allah yang telah mempermudahkan segalanya. Walaupun kesihatan agak sedikit terganggu sewaktu di Tanah Suci, namun urusan ibadah haji tetap dapat disempurnakan. "Ya Allah, terimalah amalan ibadah kami dan kurniakanlah kami haji yang mabrur..."

Hanya beberapa keping gambar untuk dikongsi bersama. Kali ini Ummi kembara tanpa kamera. Niat dihati nak menumpukan sepenuh masa yang ada untuk beribadah kepadaNya. Lantaran itu, kamera ditinggalkan di tanah air. Cukuplah beberapa keping gambar yang disnap melalui kamera telefon Abi sebagai kenangan.

Dari Tingkat 2 Masjidil Haram. Setiap hari, di sinilah tempatnya kami meraih 20 rahmat dari Allah yang Maha Pemurah hanya dengan melihat dan merenung kaabah...

Kami tiba di Masjidil Haram benar-benar di waktu puncak, di saat hampir kesemua bakal-bakal jemaah haji telah berkumpul dari seluruh negara. Ada yang mengatakan jumlah kesemua jemaah haji tahun ini 5 juta orang, ada juga yang mengatakan 4 juta orang. Wallahua'lam.

Di belakang Ummi adalah Jamratul Aqabah. Rasa macam tak percaya, saat kami tiba di sana untuk melontar Jamratul Aqabah setelah selesai mengerjakan tahallul awal, suasananya begitu tenang dan damai...Sungguh Allah telah mempermudahkannya buat kami.

Inilah saatnya kelambu kaabah ditukar. Kalau sebelum ini, hati sentiasa dilanda kebimbangan...mampukah ya Allah aku menghadapi suasana beribadat dalam himpitan berjuta-juta manusia, namun rupanya ruang untuk kita sebagai tetamuNya di sana sentiasa tersedia...mohonlah dari Nya yang Maha Memberi...

- Bersambung, InsyaAllah -