Khamis, 17 November 2011

Tahniah Buatmu, Kakak...

Assalamualaikum.

Hari ini seawal jam 4.15 pagi lagi, Allah dah jagakan Ummi. Lagi 6 jam result UPSR anak Ummi, Amirah yang lebih manja dengan panggilan kakak akan keluar. Ummi tahu, Allah nak Ummi lebih banyak berharap kepadaNya, yakin kepadaNya dalam menentukan kejayaan anak-anak Ummi. Ummi segera bangun untuk bertahajjud. Ummi dahulukan dengan solat taubat. Ummi dirikan solat tahajjud. Ummi sampaikan hajat Ummi untuk melihat kejayaan kakak hari ini melalui doa-doa Ummi dalam solat hajat. Ummi tahu, Allah tak pernah jemu mendengar doa hambanya yang memohon kepadaNya. Malah Ummi doakan juga kejayaan yang cemerlang untuk semua kawan-kawan kakak. Jangan pernah lokek untuk turut mendoakan kejayaan anak-anak orang lain kerana pastinya keikhlasan kita untuk melihat mereka semua berjaya juga akan terkena tempiasnya kepada anak-anak kita.

Jam 10.15 pagi, kakak telefon Ummi. "Ummi, datanglah sekolah Ummi. Result dah keluar ni Ummi. Cikgu hanya akan maklumkan result pada mak ayah. Kakak takut ni Ummi...."

Jam 10.30 pagi, Abi sampai di Klinik Ummi untuk membawa Ummi ke sekolah. Along dan Angah ikut serta.

Jam 10.40 pagi, Ummi tiba di sekolah. Kakak berlari-lari datang mendapatkan Ummi. "Kakak dah dapat keputusannya?" "Tak lagi Ummi. Cikgu tunggu Ummi...."

Jam 10.45am : Setibanya Ummi di bilik guru, kelihatan kawan baik kakak menangis di bahu ibunya. Ya Allah, hati Ummi berdebar-debar. "Ya Allah, aku pasrah dengan apapun jua keputusan dariMu.."

Jam 10.46am : Cikgu hulurkan slip keputusan peperiksaan UPSR kakak pada Ummi sambil mengucapkan tahniah! Ya Allah....kakak berjaya mendapat 5A. "Syukur padamu ya Allah atas kurniaan ini. Ya Allah, jadikanlah kami ya Allah, hambamu yang sentiasa bersyukur, yang akan lebih mendekatkan diri kepadaMu dan jadikanlah kami insan yang sentiasa merendah diri...."

Ummi peluk kakak. Ummi peluk guru-guru SRIP Tahfiz yang telah mengajar kakak, yang telah banyak mencurahkan bakti mereka pada anak-anak Ummi selama ini. Sebelum Ummi pulang, Ummi nak sangat rasanya memeluk kawan baik kakak, Anisah. Ummi nak sangat sampaikan kata-kata semangat Ummi pada Anisah. Sungguh besar dugaan Allah padanya. Anisah yang selama ini sentiasa berjaya mengekalkan kecemerlangan 5A bersama-sama kakak, namun kehendak Allah...sungguh rasa macam tak percaya Anisah gagal memperolehi 5A. Ummi dapat merasai kekecewaan di hatinya. Tapi Ummi tak berpeluang memeluknya kerana Anisah terus teresak-esak di pangkuan ibunya. Ummi yakin Allah tidak akan menguji seseorang hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan hambaNya itu. Ya Allah....kurniakanlah kekuatan buatnya ya Allah.

Buat semua kawan-kawan kakak di SRIP Tahfiz; buat semua mereka yang telah Ummi anggap seperti anak-anak Ummi juga : Gagal mendapatkan 5A dalam UPSR ini bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Ummi juga pernah menghadapi kenyataan ini semasa menerima result UPSR anak sulung Ummi. Kecewanya dia kerana hanya mendapat 4A1B. Namun ketentuan Allah, rupa-rupanya dengan result sedemikianlah menyebabkan Along akhirnya berpeluang menuntut ilmu di bumi Mesir. Sungguh segala kehendak Allah itu ada hikmah di sebaliknya.

Buatmu kakak : Terimakasih kerana telah menjadi seorang anak yang sentiasa membanggakan hati Ummi dan Abi. Bersyukurlah dengan kejayaan yang Allah kurniakan ini. Biarlah kejayaan ini menjadikan kita semakin hampir dengan Allah, menjadikan kita manusia yang sentiasa merendah diri serta menjadikan kita sebagai hambaNya yang sentiasa menginsafi betapa kerdilnya kita sebagai hamba Allah...

1 ulasan:

ustazah berkata...

Assalamualaikum dr ummi,sama la juga kita, berdebar hanya Allah yang tahu, apatah lagi semalam keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama(PSRA)Negeri Selangor,anak hanya dapat jayyid jiddan...bimbang keputusan hari ini sama jugak, tapi Allah sentiasa memprkenankan usaha dan doa hamba-hambanya yang sentiasa mengharapkan rahmatNya.TAHNIAH untuk kakak!