Di pagi Jumaat yang hening, jam 9.25 am, 15 Julai 2011 bersamaan 13 Syaaban 1432H - mak kembali ke rahmatullah dalam suasana penuh ketenangan dengan alunan bacaan al-qur'an dan kalimah Lailahaillah.
Mak, mak kini telah merasai kematian. Sesungguhnya tidak ada lagi kematian selepas ini buatmu mak...selama-lamanya. Allah telah menguji mak tepat 9 bulan yang terakhir dengan kesakitan dan kepayahan. Angin ahmar yang menyerang menyebabkan mak lumpuh dan tidak mampu berkata-kata. Mak terpaksa makan melalui tiub. Mak kerap batuk dan demam. Mak kesakitan setiap kali dimandikan. Belakang mak sentiasa pedih akibat kulit yang melecek. Namun mak sabar dan hanya mampu menangis bagi menzahirkan kesakitan.
Mak, dua hari terakhir yang kusaksikan amat memilukan. Namun dirimu terus tabah menahan kesakitan, demam dan lelah. Namun hari ini, segalanya telah berlalu. Kulihat wajah terakhirmu yang tenang tanpa kerutan, bahkan menggambarkan sebuah kepuasan. Airmukamu bersih dan tenang bak tidur yang lena. Mudah-mudahan itulah petanda Allah meredhai perjuanganmu, mak. Perjuangan semasa sihatmu dan perjuangan menanggung derita kesakitan. Segala ujian yang kau lalui dengan sabar, InsyaAllah pasti akan meninggikan darjatmu di syurga.
Mak, hayatmu di dunia telah berlalu. Segala jasamu, amal solehmu, derma dan sumbanganmu, nasihat dan pengajaranmu...segalanya menjadi pahala yang akan kau nikmati hasilnya di sana. Anak-anak cucumu yang kau tinggalkan, InsyaAllah akan sentiasa mendoakan kesejahteraanmu.
Kau telah pergi buat selamanya mak. Tiada lagi gurau tawa dan belaian manja darimu. Sungguh, tiada yang menyamaimu...
Belasungkawa

Mak juga seorang yang tidak langsung lokek dalam bersedekah dan berbelanja untuk perjuangan Islam. Datanglah siapa sahaja yang meminta, mak akan menjadi tangan di atas yang sentiasa memberi. Mintalah berapa sahaja. Mak akan menghulur tanpa teragak-agak. Wang pemberian anak-anak sentiasa mak asingkan sebahagian besarnya untuk derma dan perjuangan Islam. Bahkan kadang-kadang, satu senpun mak tidak ambil untuk keperluan dirinya. Semuanya diserahkan kembali demi perjuangan Islam. Itulah mak yang bertangan panjang ibarat gelaran Rasulullah kepada isterinya Zainab.
Sewaktu mak masih sihat, yang kekal dalam ingatan ini....mak sentiasa berada di kerusi kayunya dalam telekung sembahyang. Mak sentiasa kekal dalam wudhuk. Seawal jam 3 atau 4 pagi, mak istiqamah bersolat tahajjud. Al-qur'an sentiasa di tangan. Terkadang, mak menelaah kitab-kitab karangan TGHH serta Tok Guru Nik Aziz dengan cermin mata jarak dekatnya. Mak tidak pernah ketinggalan melanggan Harakah. Bahkan mak buat khusus sebuah almari khas untuk simpanan Harakah dan kaset-kaset ceramah TGHH. Malah, mak masih simpan keluaran Harakah bermula dari keluaran yang pertama!
Itulah mak di masa hayatnya...
Mak juga begitu menunjukkan kecintaan kepada semua pimpinan PAS, baik di kalangan muslimin mahupun muslimat. Anak-anak mak semua tahu siapa idola mak di kalangan pimpinan. Mereka mungkin tidak pernah mengenali mak tapi mak tetap tanamkan rasa kecintaan mak pada mereka melalui doa dan sumbangan derma. Kadang-kadang mak simpan keratan akhbar mengenai kisah kehidupan mereka. Setiap kali anak-anak datang menziarahi mak di rumah, mak hulurkan keratan akhbar itu. Mak pesan pada anak-anak, jadikanlah mereka sebagai contoh dan ikutan.
Itulah mak di masa hayatnya...
Dan apabila tiba saat kematian mak ;

Tak ada siapa juga yang menyangka, jenazah mak turut dikunjungi oleh ramai pimpinan-pinpinan PAS yang sentiasa menjadi sebutan di bibir mak termasuklah Pesuruhjaya PAS Negeri Trg, Hj Abdul Wahid Endut. Paling mengejutkan Ummi, tanpa disangka, Ustazah Siti Zailah, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat turut hadir menziarahi mak di hari kematiannya. Sejak dahulu, mak meminati dan menyanjungi Ustazah Siti Zailah. Mak sentiasa ikuti kisah kehidupan dan liku-liku perjuangan Ustazah Siti Zailah. Mak simpan keratan akhbar mengenai kisah kehidupan beliau. Sememangnya Ustazah Siti Zailah tidak pernah mengenali mak. Tapi di hari kematian mak, Allah hantar idola-idola mak menyembahyangkan jenazah mak, menziarahi jenazah mak dan pusara mak. Ya Allah, besarnya kekuasaan dan keagunganmu Ya Allah. Besarnya kecintaan yang Engkau tunjukkan pada hambaMu yang mencintai hamba-hambaMu yang soleh....
Mak, bertuahnya mak di saat tiba masanya mak menghembuskan nafas yang terakhir, suami tercinta (bak) sentiasa ada di sisi mak. Semua anak-anak mak yang tinggal di Terengganu ada bersebelahan mak. Kami anak-anak meratap hiba melihat bak mencium dahi mak, memandang mak dengan sayu bersama linangan airmata sambil melafazkan kata-kata redha seorang suami buat isteri tercinta. Entah kenapa juga, di saat hampirnya mak meninggalkan dunia yang fana ini, tertutup hati-hati kami, anak-anak menantu yang bergelar doktor untuk melakukan sebarang prosedur kecemasan untuk mak sebagaimana lazimnya. Yang terlintas di hati, kami anak-anak, hanya ingin berada dekat dengan mak, hampir dengan telinga mak, mengucapkan lafaz kalimah Laailahaillah mengiringi setiap hembusan nafas mak. Terasa sekali hembusan-hembusan nafas terakhir mak begitu tenang mengiringi setiap kalimah Laailahaillallah...dan akhirnya pernafasan mak terhenti seiring dengan kalimah Laailahaillallah. Ya Allah, tenangnya wajah mak saat itu, tanpa kerutan. Mak nampak benar-benar puas. Seolah-olah tamatlah sudah penderitaan mak dalam kesakitan selama ini.
Mak, kini tiada lagi kesempatan untuk kami, anak-anakmu memohon ampun dan maaf darimu, mak. Mudah-mudahan tiada apa yang terkilan di hatimu terhadap anak-anak. Tiada lagi peluang untuk kami berbakti padamu di masa hayatmu. Namun yang pasti, kami anak-anak akan terus mendoakan kesejahteraan buatmu, mak. Kami akan terus berbakti padamu melalui amal-amal soleh kami. Kami sangat merinduimu, mak. Ya Rabbi...ubatilah rindu kami dengan pertemuan di syurgaMu kelak. Amin ya Rabbal 'alamin.





Maafkan kami, anak-anak dan cucu-cucu perempuan mak yang tidak mengiringi mak ke tempat persemadian. Kami ingat pesan mak, "Jauhi syubhah, jauhi fitnah..." Cukuplah doa kami mengiringi jenazah mak ke sana...











16 Julai 2011



Telah satu malam mak tinggal di sini. Mak, Adik Ah rindu pada mak. Adik Ah langsung tak dapat melelapkan mata malam tadi kerana teringatkan mak. Adik Ah doa pada Allah agar kubur mak terang. Adik Ah mohon dari Allah agar kubur mak merupakan salah satu taman dari taman-taman syurga. Tenanglah mak di sana, mak. Damailah mak di sana. Tiada lagi kesakitan dan penderitaan buat mak di sana...Amin Ya Rabbal'alamin.
- Al-Fatihah buat bondaku Hajjah Meriam binti Ali -