Selasa, 19 Oktober 2010

Dari Insan Yang Melahirkanmu...

Assalamualaikum.

Hari ini genaplah umur anak sulung Ummi, Ammar, 15 tahun. Selamat menyambut hari lahir di perantauan, Along. Semoga Along bertambah matang dalam meniti usia. Doa dari Ummi dan Abi buat Along dan adik-adik pastinya tidak akan putus.

Dah seminggu lebih Along dan Angah kembali ke Mesir demi tuntutan ilmu. Ummi tahu, Along dan Angah sedih nak berpisah. Tapi Ummi juga tahu, Along dan Angah orang yang tabah. Orang yang di dalam hatinya sentiasa berazam untuk menjadi luar biasa, bukan sekadar biasa-biasa.

Hanya kalianlah anak-anak lelaki Ummi. Siapakah kelak yang akan menjaga Ummi dan Abi di kala Ummi dan Abi dah tak bermaya kudratnya? Siapakah nanti yang bakal menjadi pemimpin buat adik-adik perempuan yang sentiasa memerlukan bimbingan? Siapakah seharusnya kelak yang akan menerajui keluarga setelah bergelar suami dan ayah? Siapakah juga nanti yang akan memperbaiki keadaan masyarakat yang punah di sekeliling? Tak lain dan tak bukan, kalianlah yang perlu bersedia kearah itu.

Tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya. Kalam Allah terlalu amat luasnya. Kalam yang tersedia untuk menyediakan diri manusia sebagai khalifah Allah di mukabumi ini.

Usah banyak membuang masa, wahai anak-anakku. Sungguh masa itu terlalu berharga! Menjelang usia yang semakin lanjut kini, Ummi amat merasakan betapa berharganya masa-masa yang telah berlalu itu. Namun kita tidak mungkin berbalik kembali ke masa yang lampau. Kerana itu, jadikanlah hari-hari yang dilalui itu sebagai hari-hari yang terbaik dalam hidup kalian. Biarlah hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari esok lebih lagi baiknya dari hari ini.

Peliharalah solatmu di awal waktu. Jangan tinggalkan solat berjemaah dan biasakanlah diri Along dan Angah bertahajjud di kala rakan-rakan yang lain masih enak dibuai mimpi. Hanya dengan jalan itu benteng pertahanan iman yang kukuh akan terbina. Perjalanan hidup kalian masih jauh jika dikurniakan usia yang panjang. Terlalu banyak cabaran yang bisa mendatang. Kerana itu benteng pertahanan iman perlu dibina dengan sekukuh-kukuhnya.

Hanya sekadar itu coretan dari insan yang melahirkanmu di hari lahirmu ini…

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) do’a permohonan. Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”