Khamis, 25 September 2008

e-Nasihat Raya : Cirit-Birit Yang Tak Diundang!

Assalamualaikum.

Semua teman-teman blogger dah passing Kad Raya kat Ummi tapi Ummi sendiri tak reti nak design Kad Raya untuk kengkawan. Huwaaaa...maafkan dakuuuuuuuuu!! Terimalah Kad Raya Cetak Rompak di bawah ni dari Ummi untuk semua pengunjung blog yang dikasihi terutamanya yang dah kasi Kad Raya dan Ucapan Raya awal-awal lagi kat Ummi nih - Kin, Niza, Izz, Wan, Baity...

Tak pelah...instead of e-Kad Raya, Ummi nak kasi kat kengkawan semua e-Nasihat Raya yang cukup penting sebagai pengganti kad original dariku...hmm..excuse yang bagus juga nih! Heheheh...

Nak tahu apa masalah paling kerap berlaku di musim raya? Clue : Akibat makan dan minum tak menentu...akibat minum air gas banyak sangat...atau apa-apa jelah di musim raya ni. Haa...pasti dah dapat jawapannya, kan? Masalah cirit wal birit. Cirit-birit le tu! Tak payahlah Ummi nak cerita apa itu cirit-birit pulak ya. Dah tentu semua orang tahu apa itu yang dimaksudkan dengan CIRIT-BIRIT.

Penyelesaian :

Nak datang klinik?

Hari Raya Pertama - Harap Maaf! Klinik Ummi Di Tutup..


Woitt ! Doktorpun nak beraya juga weh! He,he..

Jadinya...e-Nasihat Raya dari Ummi :

Meh
kita ulangkaji sedikit apa yang patut dilakukan sekiranya anda atau ahli keluarga anda terrrrrrrkena cirit-birit raya nanti! Minta dijauhkannnnn....

Langkah Penjagaan Apabila Diserang Cirit-Birit

• Berhati-hati terhadap tanda-tanda dehidrasi/kekontangan

Tanda-Tanda Dehidrasi Ringan:

  • Kehilangan 5-10% berat badan
  • Gelisah dan mudah tersinggung
  • Mata terbenam
  • Ketidakhadiran air mata
  • Mengalami kekeringan mulut dan lidah
  • Dahaga dan meminum dengan keinginan yang tinggi
  • Kulit kehilangan keanjalannya sedikit


Tanda-Tanda Dehidrasi Teruk:

  • Kehilangan lebih dari 10% berat badan
  • Keletihan dan mungkin hilang sedar
  • Mata adalah terlalu terbenam
  • Ketidakhadiran airmata
  • Mulut dan lidah adalah terlalu kering
  • Meminum hanya sedikit atau tidak meminum langsung
  • Kekenyalan kulit mengurang dengan nyata, iaitu apabila kulit dipicit ke atas, ia mengambil beberapa saat sebelum kulit menjadi rata kembali
  • Kekurangan jumlah air kencing

• Banyakkan meminum cecair. Menghirup ketulan ais juga dapat melegakan masalah ini.

* Orang dewasa sepatutnya minum 2 cawan cecair setiap jam kecuali jika muntah.
* Kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas boleh minum sehingga 2 liter sehari.

Cecair yang boleh diberi/diminum

• Jell-o
• Sup
• Teh cair dengan gula
• Minuman tenaga seperti 100 Plus
• Campuran 4 sudu teh gula dan 1 sudu teh garam bersama-sama 4 cawan air, larutkan
• Larutan garam rehidrasi (ORS) yang boleh didapati dari mana-mana klinik atau hospital.

Amaran

• Jangan minum minuman yang terlalu panas atau terlalu sejuk
• Elakkan minuman beralkohol, berkafein dan susu.
• Jangan beri kanak-kanak minum jus epal dan susu kerana ia akan memburukkan lagi cirit-birit.
• Makan sedikit sahaja dan elakkan makanan pepejal untuk permulaan. Jell-o boleh diambil kerana ia berbentuk cair.

Apabila cirit-birit beransur pulih, ikuti langkah berikut

• Makan makanan yang lembut seperti nasi, pisang, ubi kentang rebus dan sebagainya.

• Makan sedikit sahaja. Jauhi daging, kekacang, hasil tenusu seperti dadih, ais krim dan lain-lain

• Jangan makan makanan yang tinggi serat seperti roti gandum tulen atau bijirin yang keras.

• Jangan makan makanan keras yang sukar dihadam seperti:
(i) Buah-buahan dan ulam mentah
(ii) Makanan bergoreng

• Jangan minum kopi (mengganggu perut)

• Jangan bersenam terlalu lasak, tunggu sehingga pulih sepenuhnya.

• Anda boleh membeli ubat Immodium AD Kaopectate atau Pepto-Bismol. Tunggu sehingga 12 jam sebelum mengambil ubat ini. Biarkan cirit-birit itu berhenti dengan sendirinya.

Cirit-birit Di Kalangan Kanak-Kanak

• Jika kanak-kanak mendapat cirit-birit, keadaan dehidrasi boleh membahayakan mereka. Dehidrasi boleh berlaku dalam masa beberapa jam sahaja selepas diserang cirit-birit!

• Bawa anak anda berjumpa doktor segera sekiranya bayi anda membuang najis cair atau berair beberapa kali dalam masa 2-3 jam.

• Doktor biasanya akan memberi anak anda susu separuh pekat dalam kuantiti yang sedikit. Anda boleh meneruskan penyusuan bayi sekiranya bayi hendak menyusu.

• Untuk kanak-kanak yang lebih dewasa, petua untuk orang dewasa boleh diikuti tetapi jangan memberi sebarang ubat tanpa nasihat doktor.

• Untuk kanak-kanak berikan cecair lebih kerap bersama secebis garam.

Semoga bermanfaat adanya....

"SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI. MAAF ZAHIR BATIN..."

*************************************************************************************

Rabu, 24 September 2008

Mata Oh Mata...!

Assalamualaikum.

Hari ni ummi cuba juga luangkan masa menulis sesuatu di blog. Aduhai..tak boleh nulis kat sini sehari dua rasa macam tak boleh bercakap dengan ‘kekasih’ berbulan-bulan! 'Kekasih' tu...hubby ummi le! Jangan fikir bukan-bukan pulak, ya. Huhuhu….

Alangkah indahnya jika perasaan sedemikian turut kita rasakan apabila terpisah dari alunan al-Qur’an, kan? Bukankah al-Qur’an itu ‘Surat Cinta’ dari Allah buat kita? Malah surat cinta itu bukan sekadar untuk mendekatkan diri kita denganNya..Surat cinta itu merangkumi segala-galanya! Surat cinta itulah pedoman kita, surat cinta itulah penenang hati kita, surat cinta itulah penyelamat buat kita! Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang sentiasa berusaha membaca, menghayati dan mengamalkannya…

Tips Menjaga Mata :




Hmmm....kelmarin terpaksa ummi kurangkan sedikit masa menatap skrin komputer kerana mata ummi kembali bermasalah. Entah kenapa tulisan di paparan skrin jadi ‘pecah’ kerana gangguan cahaya! Cepat-cepat ummi ‘rest’kan mata dengan cara melarikan mata dari komputer dan carik benda berwarna hijau..tatap kat ‘green colour’ tu puas-puas. He,he..Mana lak ummi dapat formula ni? Ntah le..tapi selalunya memang cara tu berkesan! Pernah juga ummi dengar ‘kalau nak mata sihat, selalu-selalulah tengok rumput dan pemandangan yg berwarna hijau. Sebab tulah Klinik Ummi nipun dipenuhi dengan warna hijau! Tak caya? Dari warna bangunannya, warna kerusinya sampai ke warna alas peralatannyapun hijau! Malah ‘hati’ tuannyapun turut hijau! Hi,hi,hi..tak faham? Tak pelah…..Hmmm…silap-silap background blog nipun tukar jadi hijau nanti tapi saje ummi nak kasi can kat Amdang81 menghijaukan blognya dulu (Jangan marah Amdang!)…

Alang-alang dah cakap pasal tips merehatkan mata ni, mari kita kongsi satu lagi tips dari artikel di bawah :

The eye was not made to be constantly focused on close objects. If your work requires that you stare at a computer screen all day long or if you watch a lot of television, stop from time to time to do a few eye exercises.

For example :

• Roll your eyes in large circles in both directions; or

• Look over to each side as far as possible and then go from up to down; or

• Scan an imaginary text on the wall from left to right; or

• Look out the window as far as you can following the horizon then return to a point right in front of you and begin again.


In this way, you will avoid long term eye problems, you will enlarge your inner space, and relax both your eyes and your mind.


Hah! Kan dah dapat formula tu…Biasanya gitulah, kan. Sekali timbul masalah, sakan le mencari tip-tip yang dapat membantu. Masa tak sakit atau bermasalah, tengok kat tips tu sebelah mata aje. Hai manusia-manusia…


Masih Bab Mata :

Malam tadi, kan…punyalah mengantuknya ummi…ya Allah! Tak tau nak cakap betapa beratnya kelopak mata sewaktu mengimamkan puteri-puteriku bersolat isyak dan terawih! Nak kata kerja teruk di siang hari, tak de le sangat. Entah berapa kali ‘take rest’ lepas salam. Pi basuh muka..tak hilang-hilang juga ngantuknya! Lastly, Puteri 1 cakap “Biar kakak jelah jadi imam pulak ummi!” Huhuhu….anakku dah tak sabar nak perabih terawih tuh!

Nasib le terlintas di benak fikiranku…”Isyhh..Lailatul Qadar ke malam ni? Pelik sangat ngantuknya…” Lepas tu apa lagi, cerah balik le mata…rupanya manusia ni kan, bila fikir pasal ganjaran, memang cerah mata! Hai manusia-manusia…

Belajar Bersengkang Mata :

Kelmarin Along mula bercuti. Sukanya ummi bukan kepalang. Hati seorang ibu…anak di perantauan sentiasa dirindui. Sebenarnya kan, sejak Along tinggal kat asrama, ummi dah jarang-jarang masak kuih atau kek. Tak semangat! Sampai Abi cakap, “Baru Along sorang terpisah, ummi dah mogok buat kuih. Lepas ni giliran Angah pulak masuk asrama, silap-silap ummi mogok masak nasi pulak!” Huhuhu..harap-harapnya tak le sampai gitu…

Nak cerita pasal Along ni bukan apa. Semenjak 10 Akhir Ramadhan, tiap-tiap malam Abi dan Angah beriktiqaf kat masjid. Jadi bila Along balik hari ni, bertambahlah sorang lagi jemaah iktiqaf. Hati seorang ibu, bila nampak anak kepenatan baru balik dari asrama, terasa tak sampai hati nak suruh tidur kat masjid. Apa lagi selama ni dah selalu bersengkang mata belajar kat sekolah, kan.Tapi mengingatkan ganjaran yang lebih besar di hari kemudian, kutelan aja rasa terkilan dihati. Rupanya bila Abi ajak Along beriktiqaf malam tu, selamba aja Along cakap…”Jom! Kat sekolahpun Along selalu iktiqaf kat masjid malam-malam”. Alhamdulillah…lega hati ummi. Tak sia-sia ummi hantar Along ke Maahad Tahfiz….ibadat yang dirasakan ‘berat’ dah jadi ‘ringan’ bila selalu diamalkan…

Kiri dan kanan tu gambar Along, Angah dan Abi sebelum ke masjid. He,he..sempat lagi ummi snap

Ok…ummi berenti sini dulu untuk hari ni. InsyaAllah nanti ummi sambung lagi. Walaupun singkat, mudah-mudahan ada sesuatu pengajaran dan panduan yang boleh diambil…

"Selamat Mengimarahkan Hari-Hari Akhir Ramadhan.."

Siruu ‘Ala Baarakatillah…

*************************************************************************************

Isnin, 22 September 2008

Peluang Meraih Pahala Berganda!


Mohon Disebarkan


Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

" Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sehingga kamu menafkahkan harta yang kamu cintai ke jalan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui"

(Surah Ali Imran - Ayat 92)



PELUANG MENANAM SAHAM UNTUK AKHIRAT
Melalui

SKIM WAKAF TUNAI PAPISMA

Bagi Membiayai Penerbitan
"BUKU FEQAH PERUBATAN"


Jangan Lepaskan Peluang Untuk Mendapatkan Gandaan Pahala Yang Berterusan Ini
Sebelum Berakhirnya Ramadhan!

(Kutipan Wakaf Sah Sehingga 30 Mac 2009)

Siapa PAPISMA?





PAPISMA
adalah merupakan nama ringkas untuk Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia yang merupakan sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar. Ia mula ditubuhkan pada tahun 2004 dengan dianggotai oleh gabungan tenaga-tenaga profesional kesihatan yang antara lain tujuannya adalah untuk membimbing ahli dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang sistem penjagaan kesihatan dan perubatan.


PAPISMA sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu masyarakat nasional dan global memahami dan menjiwai kaedah serta sistem perubatan dan perawatan yang selari dengan al-Qur'an dan Sunnah serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam.


Sehingga kini PAPISMA telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang penjagaan kesihatan melalui pelbagai kaedah seperti rawatan kesihatan percuma, bengkel-bengkel kesihatan, ceramah-ceramah, pameran dan sebagainya.


Berpegang kepada moto pertubuhan : Berilmu, Beramal dan Bertaqwa, maka kini PAPISMA sedang mengorak langkah untuk menerbitkan sebuah buku berkaitan fiqh perubatan selaras dengan ILMU di dada kami, untuk dikongsi dan di AMALkan dalam rangka membina masyarakat dan insan yang berTAQWA.


Laman Web Rasmi : http://www.papisma.org/home/


Pengertian Wakaf


Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umum masyarakat dengan niat sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.


Wakaf Sebagai Sedekah Jariah


Para ahli fiqh dan ulama' berpendapat, amalan wakaf adalah satu-satunya ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir kepada pewakaf hingga ke akhirat, selagi harta tersebut kekal dan dimanfaatkan.


Fadhilat Ibadah Wakaf


Mewakafkan harta adalah merupakan amal jariah yang sangat di tuntut oleh Islam kerana amalan wakaf bukan hanya sebagai satu amalan ibadah sahaja, malahan merupakan satu sistem yang beroperasi untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam melalui konsep pengumpulan harta bersama.


Konsep Skim Wakaf Tunai


Skim Wakaf Tunai PAPISMA adalah satu cara berwakaf melalui wang tunai iaitu dengan cara membeli unit-unit saham yang di tawarkan oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) sebagai pemegang amanah dan memanfaatkan unit-unit saham tersebut selama-lamanya kerana Allah S.W.T dengan tujuan untuk kepentingan dan kesejahteraan umat Islam.


Matlamat dan Tujuan


Tujuan Skim Wakaf Tunai ini diwujudkan adalah untuk menampung kos perbelanjaan bagi penerbitan buku Feqah Perubatan. Buku ini akan menjadi rujukan masyarakat umum dan pengamal-pengamal perubatan terhadap isu-isu perubatan terkini yang memerlukan penjelasan dari sudut hukum dan sebagainya. Malah ia sangat sesuai dijadikan panduan kepada pesakit-pesakit samada di rumah, di hospital atau di mana-mana sahaja.


Oleh kerana 300 buah buku daripada edisi pertama ini akan diedarkan secara percuma ke premis-premis awam seperti hospital, perpustakaan dan sebagainya, maka sumbangan orang ramai melalui Skim Wakaf Tunai ini amat diperlukan untuk menampung kos penerbitan.


Kita mungkin tidak mampu beramal jariah melalui penulisan, apatah lagi dalam bentuk penyampaian ilmu. Maka kaedah pembelian saham melalui Skim Wakaf Tunai ini membuka peluang kepada orang ramai berkongsi amal jariah dalam menjayakan penerbitan buku tersebut yang kelak ilmunya akan dimanfaatkan secara berterusan sehingga ke hari kiamat. Mudah-mudahan sedikit sumbangan daripada kita sebagai pelabur akan menjadi bukti dan saham di akhirat nanti dalam meraih ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT.


Anggaran Kos Penerbitan Buku


Anggaran setelah diambilkira kos penerbitan yang akan melibatkan pengumpulan bahan rujukan dari pelbagai sumber bahan dan tenaga serta belanja percetakan adalah sebagaimana berikut :


RM60.00 x 300 buah buku = RM18,000.00

Bukaan Tawaran Belian
  • Unit Saham Wakaf Tunai di tawarkan dengan harga RM10.00 seunit.
  • Jumlah unit saham yang di tawarkan adalah 1,800 unit.
  • Minimum - Satu Unit.
  • Maksimum - Tiada Had.
  • Setiap penyertaan akan menerima sijil SAHAM WAKAF TUNAI.
  • Penyertaan terbuka kepada seluruh individu masyarakat Islam, syarikat korporat, pertubuhan amal, persatuan dan sebagainya.

Contoh Belian
  • 1 unit - RM10.00
  • 5 unit - RM50.00
  • 10 unit - RM100.00
  • 100 unit - RM1000.00
  • 500 unit - RM5000.00
  • dan seterusnya...

Sokongan


Pelancaran Skim Wakaf Tunai PAPISMA untuk penerbitan sulung Buku Feqah Perubatan ini telah mendapat sokongan penuh daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Resit Pengecualian Cukai

Sukacita dimaklumkan bahawa setiap pembelian saham akan dimajukan bersama resit daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang bagi tujuan pengecualian cukai.

Bank-In Melalui Kaunter/ATM/Online
Ke Akaun
PAPISMA ENTERPRISE
No.Akaun
Maybank : 5630-6411-5978
Bank Islam : 1301-7010-812-843

Atau Melalui Cek
Atas Nama
PAPISMA ENTERPRISE

Dan Poskan Ke Alamat Berikut :

Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA),
No.3B, Jalan SG3/16,
Pusat Bandar Sri Gombak,
68100 Batu Caves,
Selangor.

Untuk Penghantaran Sijil Dan Resit ;

Sila Maklumkan/SMS
Nama, Alamat & Jumlah Wang Tunai
Yang Diwakafkan
Kepada Bendahari Di Talian
019-9822951

Untuk Maklumat Lanjut
Sila Hubungi :

019-9563653 - Presiden (Dr.Suhazeli b Abdullah)
019-5782951 - Setiausaha (Dr.Awisul Islah b Ghazali)
019-9822951 - Bendahari (Dr.Zaihan binti Salleh)
019-3842951 - Pembantu Tadbir (M.Lizam b M.Manap)

" Bandingan ( pahala ) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah umpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( KurniaNya ) lagi Maha Mengetahui ".


( Surah Al-Baqarah Ayat 261 )


Jangan Putuskan Talian Sebaran Hanya Setakat Ini. Sebarkan 'Peluang Meraih Pahala Berganda' Ini Kepada Rakan-Taulan, Saudara-Mara, Sahabat-Handai Yang Anda Kenali. Mudah-Mudahan Sumbangan Wakaf Dari Mereka Nanti Akan Turut Menjanakan Saham Untuk Anda Di Akhirat Sana...


Ahad, 21 September 2008

Doktor Muslim : Hubungan Sesama Doktor

Assalamualaikum.

Lamanya Ummi tak update blog! Subhanallah..masa 24 jam sehari suntuk masih tidak mencukupi atau akukah yang tidak tahu mengatur masa? Sudah tentu kemungkinan yang kedua itulah jawapannya. Mudah-mudahan 10 malam terakhir Ramadhan ini kita hanya disibukkan dengan pencarian dan pemburuan Lailatul Qadar!

Kesinambungan daripada artikel yang lepas berkaitan Doktor Muslim, rasanya kali ini terpanggil pula untuk Ummi membincangkan berkaitan Hubungan Sesama Doktor.

Entah kenapa akhir-akhir ini nostalgia lama kerapkali menerpa di fikiran terutamanya nostalgia sewaktu di alam ‘housemanship’ atau kata lainnya HO. Rasanya tak perlu diungkitkan nostalgia yang hanya membuatkan ‘luka lama berdarah kembali’ (cheewahhh…dah mula dah tu). Cuma apa yang Ummi nak simpulkan ;

a) Kenapa seorang senior MO atau Specialist semestinya bersikap kasar, bengis dan ‘tidak berperikemanusiaan’ terhadap seorang junior HO? (ralat: situasi ini mungkin tidak berlaku pada semua orang dan semua tempat)

b) Semestinyakah seorang doktor yang ‘bermain dengan nyawa’ diajar dan dilatih dengan cara yang ‘keras’?


c) Sampai bilakah kitaran ‘kezaliman’ di antara senior dan junior akan berakhir sekiranya dendam kesumat yang sentiasa membara itu tidak dilupuskan?

d) Mengapa tidak seorang HO itu dididik dan diajar dengan penuh sifat timbangrasa dan kasihsayang? Bukankah ilmu yang ditatang dalam kedaan emosi yang tenang dan stabil itu lebih mudah diterima?


Itulah persoalan yang sentiasa menerjah di benak fikiranku suatu ketika dulu. Mungkinkah persoalan itu kembali bermain di benak fikiran adik-adikku yang kini bergelar ‘housemanship’?

Rentetan daripada itu, marilah sama-sama kita renungi apa yang diperkatakan oleh Dr.Shabib Ibn Ali Al-Hathery di bawah tajuk :

Tugas Doktor Muslim Terhadap Rakan-Rakan Seperjuangan Sesama Doktor

1. Seharusnya terdapat persekitaran yang rapat sesama rakan seperjuangan untuk membolehkan doktor itu saling bekerjasama antara satu sama lain.

Allah berfirman, “Sesungguhnya seorang Islam dengan orang Islam yang lain adalah saudara.”

Berkaitan dengan doktor bukan Islam, perhubungan hendaklah didasarkan kepada peraturan Islam.

Allah berfirman lagi yang bermaksud:

“Allah forbids you not to deal unjustly and unkindly with those who faught not against you on account of religion and drove you not out of your homes. Verily, Allah loves tghose who deal with equity.”

Anda seharusnya menjelaskan kepada mereka berkaitan dengan agama Islam dan mengajak mereka untuk memeluk agama Islam.

2. Menasihati dan sentiasa mengingati mereka kerana seorang muslim merupakan gambaran kepada peribadi saudaranya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Agama adalah untuk nasihat menasihati. Untuk siapa? Beliau berkata, semata-mata demi Allah, bukuNya, NabiNya, untuk pemimpin agama bagi umat Islam dan bagi kesemua umat Islam.”

3. Perbincangan perubatan yang berterusan adalah satu daripada tugasnya, supaya beliau dapat mempertingkatkan kemahiran saintifiknya yang mana ianya akan dapat digunakan untuk memberi faedah kepada pesakit.

4. Bekerjasama antara para doktor dalam pelbagai aktiviti seperti pembacaan al-Qur’an, melawat pesakit dan mengembara ke Negara Islam yang lain untuk memberikan pertolongan perubatan kepada orang Islam yang lain.

Allah berfirman dalam Surah 5, Ayat 2 yang bermaksud:

“Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya.”

5. Seorang doktor hendaklah dengan cara halus berbudi bahasa, memaafkan rakan-rakan seperjuangannya bila mereka membuat kesilapan, sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, elakkan dari bersyak wasangka yang banyak, malahan syak wasangka yang sedikitpun adalah dosa.”

6. Seorang doktor tidak harus prejudis terhadap mereka yang engkar dan seharusnya cuba untuk menukarkan dan merubah pandangan mereka.

Alangkah indahnya suasana demikian seandainya ia benar-benar wujud. Mampukah kita merealisasikannya?

*************************************************************************************

Khamis, 18 September 2008

Doktor Muslim : Tertunaikah Sudah Tanggungjawabku?

Assalamualaikum.

Artikel ini kudedikasikan sebagai muhasabah (peringatan) untuk :
  • Diriku - Yang terkadang lupa akan tanggungjawabku yang sebenar sebagai seorang doktor muslim
  • Suamiku Tercinta, Dr Abi- Mudah-mudahan amanah yang dipertanggungjawabkan buat kita ini tidak kita persiakan
  • Rakan-Rakan Seperjuangan Yang Bergelar Doktor Muslim- Kita adalah da'i di jalan ini, maka sentiasalah merasai kewujudan Dia yang sentiasa melihat kita secara terbuka atau tersembunyi. Semoga kita mampu melaksanakan amanah ini berasaskan ketaqwaan kita kepada Allah SWT
  • Adik-Adik Yang Sedang Berjuang Untuk Merebut Gelaran Doktor - Ikhlaskanlah hati dan sediakanlah dirimu untuk menggalas tanggungjawab yang besar ini!
Tugas Khas Seorang Doktor Muslim

1. Membetulkan Keimanan Pesakit

Seorang doktor hendaklah sentiasa mengingatkan pesakit bahawa kesihatan adalah terletak dalam tangan Allah yang Maha Perkasa – Dialah penyembuh yang sebenar-benarnya. Sebagaimana Nabi Ibrahim AS bersabda di dalam al-Qur’an dalam surah 26, ayat 80 yang bermaksud:

“…dan apabila aku sakit, Dialah (iaitu Allah) Yang Menyembuhkan aku.”

Semua ubat-ubatan dan alat kelengkapan hanya merupakan cara yang digunakan dan ia tidak seharusnya melemahkan keimanan pesakit terhadap Allah.

Terdapat sebuah hadith dari Abu Khuzaima yang mendengar bapanya berkata, “Kami bertanya kepada Nabi Muhammad SAW sekiranya kami mendoakan untuk seseorang dan memakan ubat serta mengambil langkah perlindungan, adakah ini bermakna sudah hilang keimanan kami kepada Allah? Maka Nabi Muhammad SAW bersabda; “Itu adalah dari Iradah Tuhan.”

2. Berurusan Dengan Pesakit Secara Fizikal Dan Spiritual

Seorang doktor tidak seharusnya memberikan keutamaan kepada satu aspek sahaja berbanding dengan aspek-aspek yang lain. Ini boleh dilaksanakan dengan mematuhi perkara-perkara berikut:

a. Mendengar dengan cermat tentang segala aduan pesakit dan membuat pemeriksaan ke atas pesakit dengan teliti. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud; “Tuhan menyayangi mereka yang melakukan kerjanya dengan sempurna.” (Abu Dawud)

b. Meminta kebenaran pesakit apabila hendak melakukan pemeriksaan ke atasnya.

c. Hendaklah bersikap lemah-lembut semasa melakukan pemeriksaan. Terdapat sebuah hadith daripada Aisyah (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya), tentang beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Kelembutan akan membuat sesuatu perkara itu bertambah baik, kurangnya kelembutan akan membuatkan sesuatu perkara itu bertambah buruk” (Muslim)

d. Mengingatkan pesakit apabila tiba waktu sembahyang untuk mengerjakan solat sebagaimana Rasulullah SAW biasa melakukan sembahyang berdekatan dengan pesakit dan memohon kepada Allah untuk memberikan keampunan dan kemaafan kepadanya. Sembahyang membawa pesakit ke hadhrat Allah, meningkatkan keimanan dalam dirinya dan membuatkannya redha dengan apa yang telah Allah tetapkan baginya kerana mereka bergantung kepadaNya sebagaimana di dalam Surah 40, Ayat 60 Allah berfirman yang bermaksud;

“Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepadaKu (dan mintalah apa sahaja dariKu), nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina.”

Dan sekali lagi dalam Surah 2, Ayat 186 Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad SAW tentang Aku jawablah), bahawasanya Aku adalah (sangat) dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu (tanpa sebarang perantaraan dan orang tengah), maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Dan sekali lagi Allah berfirman dalam Surah 27, Ayat 61 yang bermaksud:

“Atau siapakah yang telah menjadikan bumi sebagai tempat berdiam, dan menjadikan sungai-sungai di celah-celahnya dan yang menjadikan gunung-gunung untuk (mengukuhkannya) dan menjadikan suatu pemisah antara dua laut (lautan masin dan sungai air tawar)? Apakah di samping Allah ada Tuhan (yang lain)? Bahkan (sebenarnya) kebanyakan dari mereka tidak mengetahui.”

e. Mengingatkan pesakit bahawa penyakit mereka merupakan penebusan (ibtila) bagi kesalahan (dhunub) dan dosa yang telah dilakukan olehnya. Abu Hurairah dan Abu Said mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, “Walau apa sahaja yang menjejaskan orang-orang Islam sama ada dari penyakit, kesakitan, keletihan, kesengsaraan, kesedihan (hazan), kecederaan (kerosakan) atau kematian, malah walaupun sekiranya tulang ikan yang melukakanmu, iaitu kecederaan yang sekecil-kecilnya, dan disebabkan ini Allah akan menghapuskan dari kamu dosa-dosa kamu.”

f. Mengadakan perundingan dengan pesakit dan mengambil persetujuan daripadanya atas sebarang perancangan atau perlaksanaan, terutamanya dalam keadaan yang berkaitan dengan pembedahan dan sebagainya.

g. Membuatkan pesakit berasa gembira, menaikkan kegirangannya dan beliau hendaklah mengurangkan kesengsaraan pesakit dengan memberikan keseronokan dalam hatinya. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya anda melawat pesakit, anda hendaklah jangan mengkhabarkan kepadanya suatu berita buruk, tetapi hendaklah memberikan galakan kepadanya dan berikan keyakinan kepadanya. Sekiranya anda memberitahu kepadanya yang dia akan hidup lebih lama lagi, anda tidaklah dapat memanjangkan usianya tetapi sekurang-kurangnya dapat memberikannya sedikit keselesaan dan kelegaan dengan membuang perasaan takut akan mati.”

h. Seorang doktor hendaklah berdoa kepada Allah untuk menyembuhkan pesakit. Ini sepatutnya dilakukan dengan kehadiran pesakit tersebut. Abu Darda mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila anda mendoakan untuk saudara Islam anda dalam kehadirannya, tindakan ini sangat-sangat dihargai oleh Allah; dan malaikat yang berada di sisi pesakit akan sama-sama mendoakan anda juga.” (Muslim)

i. Menghormati kemahuan pesakit dan tidak memaksa pesakit untuk menerima sesuatu yang beliau tolak. Sebagai contoh, pesakit wanita yang meminta diperiksa oleh doktor wanita.

j. Hendaklah memberitahu pesakit atau keluarganya dengan bijak dan cermat tentang penyakit bahaya yang dihidapinya.

3. Seorang Doktor Hendaklah Melakukan Segala Usaha Untuk Merawat Pesakit.

Beliau hendaklah menyembuhkan kesakitan sebaik mungkin yang beliau boleh dengan bergantung kepada pertolongan Allah.

4. Melindungi Hal-Hal Peribadi Pesakit

Seseorang doktor tidak seharusnya mendedahkan hal-hal peribadi pesakit melainkan untuk keperluan perubatan sahaja. Beliau hendaklah menutup apa yang beliau nampak sama ada kecacatan fizikal atau bukan fizikal atau tingkahlaku pesakit yang buruk. Abu Hurairah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya seseorang itu melindungi kecacatan seseorang yang lain, maka Tuhan akan melindungi kecacatannya pada hari akhirat kelak.” (Muslim)

5. Menyimpan Rahsia Pesakit

Seorang doktor hendaklah menyimpan rahsia pesakit kerana ini akan menyebabkan pesakit tersebut mempercayai doktor. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang doktor adalah pemegang amanah” (al-Tarmizi dan Ibn majah)

Seorang doktor tidak harus mendedahkan rahsia pesakit melainkan dalam keadaan tertentu (daripada proseding Persidangan Perubatan Islam Pertama yang diadakan di Kuwait pada tahun 1401[1981]):

a. Seorang doktor boleh mendedahkan rahsia pesakit sekiranya ia adalah untuk kepentingan pesakit itu sendiri. Contohnya, jika pesakit itu menderita dengan penyakit psikiatri yang mungkin akan mendatangkan keburukan kepada diri sendiri, seperti terlibat dengan kejadian bunuh diri dan sebagainya. Dalam kes ini seorang doctor hendaklah memberitahu kepada kaum keluarga pesakit ini supaya mereka dapat mengambil langkah-langkah pencegahan untuk memberhentikan pesakit itu dari mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.

b. Sekiranya ianya mendatangkan bahaya kepada orang lain. Contohnya, sekiranya pesakit mempunyai jangkitan seksual dan akan mendirikan rumahtangga, doctor mungkin akan memintanya untuk menangguhkan dulu perkahwinan tersebut sehinggalah beliau sembuh, tetapi jika pesakit tidak mahu bekerjasama, maka doctor kemudiannya hendaklah memberitahu kepada keluarga bakal isteri pesakit itu, agar dapat mencegah kerosakan sekiranya perkahwinan itu diteruskan.

c. Sekiranya mendatangkan bahaya kepada orang awam. Contohnya jika pesakit itu seorang pemandu bas atau kapal terbang, dan beliau menghidap penyakit epilepsy, seorang doktor mestilah mencegah pesakit ini daripada melakukan kerjanya kecualilah penyakitnya telah benar-benar sembuh. Sekiranya pesakit tidak memberikan kerjasama, doktor terpaksa memberitahu kepada majikannya untuk mencegah pesakit ini.

6. Tidak Menyebabkan Kemudaratan Kepada Pesakit.

Seorang doktor tidak harus menyebabkan sebarang kemudaratan kepada pesakit. Allah berfirman dalam Surah 5, Ayat 32 yang bermaksud:

“Oleh kerana itu kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah dating kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampau batas dalam berbuat kerosakan di mukabumi.”

Dan sekali lagi dalam surah 4, Ayat 93, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya.”

Dan Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadith yang bermaksud:

“Jangan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain dan seharusnya orang lain tidak mendatangkan keburukan kepada kamu.” (Ahmad dan Ibn Majah)

7. Tidak Boleh Mempreskripsi Ubat Larangan
Seorang doktor tidak bioleh mempreskripsi ubat-ubatan yang menjadi larangan di dalam Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah yang menurunkan penyakit dan ubat dan Dia jugalah yang memberikan rawatan untuk setiap penyakit”

Oleh itu hendaklah anda menjalankan rawatan dan jangan juga merawat diri anda sendiri dengan ubat yang diharamkan melainkan dalam kes yang benar-benar kecemasan, anda mungkin dikecualikan.

8. Menasihati Perkara Yang Baik Dan Mencegah Perkara Yang Buruk

Seorang doktor hendaklah melakukan tugas untuk menasihatkan pesakit kepada perkara-perkara baik dan mencegahnya daripada melakukan tindakan-tindakan yang salah dan perbuatan yang buruk.

Allah berfirman dalam Surah 3, Ayat 110 yang bermaksud:

“Kamu (orang Islam yang benar-benar beriman) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf…”

(Iaitu Tauhid Islamiyah dan kesemua apa yang diperintahkan oleh Islam. Contohnya menyeru pesakit untuk terus melakukan perkara yang Tuhan seru untuk kita lakukan seperti berpuasa, bersembahyang dan menasihati pesakit untuk mengelakkan perkara yang dilarang seperti minum alkohol dan menagih dadah sekiranya pesakit mempunyai tabiat sebegini)

“…..dan mencegah perkara mungkar…..”

(kesyirikan, kekufuran dan segala sesuatu yang dilarang oleh Islam)

“…..dan beriman kepada Allah.”

9. Mengajar Pesakit Nazak Mengucap Dua Kalimah Syahadat

Mengajar pesakit yang sedang nazak untuk mengucap Kalimah Syahadah, iaitu Tiada Tuhan selain daripada Allah dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Muaz bin Jabal yang mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja yang mengucapkan kalimah sebelum meninggal dunia akan memasuki syurga.”

10. Kaedah Merawat Pesakit Wanita

Berkenaan dengan pesakit wanita : Secara idealnya doktor wanita seharusnya memeriksa pesakit wanita. Tetapi sekiranya terdapat keperluan perundangan Islam, doktor lelaki mungkin boleh memeriksa pesakit wanita dan sebaliknya. Dalam kes ini beberapa perkara harus diingat:

a. Seorang doktor lelaki hendaklah memeriksa pesakit perempuan dengan kehadiran jururawat. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak seorangpun dibenarkan untuk bersendirian dengan seorang perempuan kecuali muhrimnya (suaminya, anak, abang, ayah, pakcik, saudara mara rapat yang beliau tidak boleh berkahwin).”

b. Seorang doktor hendaklah tidak melihat muka pesakit wanitanya; beliau hendaklah cuba untuk tidak melihatnya sebagaimana Allah berfirman dalam Surah 24, ayat 30 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman; “Hendaklah mereka menahan pandangannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

c. Menasihati pesakit wanita berkenaan dengan bertudung cara Islam.

d. Memeriksa pesakit pada bahagian yang perlu sahaja.

"Kami mohon daripada Allah SWT agar Allah yang Maha Perkasa memberikan kami pertolongan dan petunjuk serta membetulkan kami dalam segenap urusan, niat dan perbuatan kami serta kami bersyukur kepadamu ya Allah yang merupakan satu-satunya Tuhan bagi seluruh alam."

Sumber Rujukan :

Tugas Dan Tanggungjawab Seorang Doktor Muslim
(Dr.Shabib Ibn Ali Al-Hathery)

*************************************************************************************************

Rabu, 17 September 2008

Kejadian Janin : Dihembuskan Padanya Ruh...

Assalamualaikum.

Izinkan Ummi menjawab persoalan dari Musafir yang ditujukan kepada Ummi dalam Cbox di sebelah.

Soalan : Salam..Kak Ummi, nak tanya. Dalam Islam, ruh bayi ditiup masa bln ke 4 betul ke?

Jawapan : Untuk menjawab persoalan ini, marilah sama-sama kita renungi ulasan terhadap hadith ke-4 yang dibincangkan di dalam kitab Hadith 40 karangan Imam An-Nawawi.

Hadith Ke-4 Dari Hadith-40

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):

Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.

(Rawahul Bukhari)

Kefahaman Hadith :

1. Peringkat Pertumbuhan Janin Dalam Rahim : Ayat-ayat yang berkaitan dengannya (Al-Haj : 5) (Al- Mu’minun :12-14). Hikmat di sebalik kejadian berperingkat-peringkat : Sebagai pengajaran kepada manusia untuk mencapai tahap kesempurnaan ma’nawi mestilah melalui cara (tadarruj) beransur-ansur, tidak gopoh atau gelojoh.

2. Ditiup Ruh : Sepakat ulama’ menyatakan bahawa ruh ditiup pada janin selepas 120 hari disenyawakan. Hikmat bagi perempuan yang kematian suami, baginya iddah selama empat bulan sepuluh hari … bagi menjamin kesucian rahimnya (tak mengandung).

3. Menggugurkan Janin : Sepakat ulama’ menyatakan haram (setelah ditiupkan ruh) - dikira sebagai jenayah dan wajib membayar diat (denda) bila digugurkan, sekalipun mati selepas itu. Gugurkan sebelum ditiupkan ruh - juga haram pada kebanyakan pendapat. Ada yang kata boleh tapi pendapat yang dhaif.

4. Keluasan Ilmu Allah : Maha mengetahui keadaan-keadaan makhluk sebelum dijadikan samada iman dan taat atau kufur dan maksiat, bahagia atau derita semua dalam pengetahuannya. Ilmu Allah tidak menghalang manusia dari berikhtiar (Al- Syams: 7-10).

Pengajaran Hadith:

• Kejadian manusia yang unik menunjukkan kekuasaan Allah SWT mencipta makhlukNya, seterusnya menjadi dalil bahawa hanya Dialah Tuhan yang berhak disembah.

• Kejadian manusia mesti menjadi renungan manusia yang berakal, kerana kejadiannya yang teramat indah dan unik ini tiada tolok bandingnya - manusia tidak mampu mencipta manusia atau robot bernyawa dan berakal fikiran.

• Proses kejadian manusia yang berperingkat-peringkat ini telah diceritakan oleh lslam melalui al-Qur'an dan hadis Nabi semenjak 14 kurun lampau, tetapi manusia baru benar-benar arif tentang proses ini di zaman kemajuan sains. lni adalah bukti yang jelas bahawa Allah SWT yang mencipta makhluk ini, Dia jugalah yang Maha mengetahui rahsia kejadian mereka.

• Empat ketentuan hidup manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak dia belum lahir ke bumi - rezekinya, ajal kematiannya, amalannya dan nasibnya sama ada dia akan menjadi seorang yang susah atau senang.

• Amalan terakhir manusia adalah faktor penentu kepada nasibnya yang kekal abadi di akhirat. Boleh jadi dia sangat baik di sepanjang hayat - tetapi di saat terakhir dia melakukan perbuatan ahli neraka, iaitu maksiat lalu dia mati dan mendapat balasan neraka. Begitulah sebaliknya..

Allahua'lam.

Untuk Musafir : Sila rujuk juga link di bawah untuk maklumat lanjut berkaitan bilakah permulaan hidup manusia di bawah tajuk 'Pengguguran Kandungan'.
www.papisma.org/nota/fekah/isu.pdf

Semoga membantu hendaknya...

Sumber Rujukan : http://www.oasetarbiyah.com/wp-content/uploads/2007/02/hadis-40.pdf


*************************************************************************************